Saturday, February 28, 2009

Kisah dulu-dulu...

Sedang saya search bahan-bahan dalam google, terjumpa berita ini. Kenangan yang cukup lama dan nostalgia. Hampir 12 tahun, meninggalkan dunia persekolahan. Maahad Muhammadi Lilbanin. MML yang begitu saya rindui, sayangi. Banyak cerita manis dan pahit. Alam sekolah, banyak ragamnya. Yang indah diingat-ingat... entry kali ini sekadar memberi inspirasi kepada diri bahawa apa yang kita lakukan, selagi dengan daya usaha dan kesungguhan... hasilnya amat membanggakan... MML oh MML!...

SPM 1996: Pelajar YIK capai keputusan terbaik

KOTA BHARU- 1997, PENCAPAIAN cemerlang sekolah-sekolah tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) terus terbukti meningkat di dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan April lalu.

Malahan kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah YIK dalam setiap peperiksaan yang diduduki oleh mereka setiap tahun mengatasi calon dari sekolah tajaan Kementerian Pendidikan.

Nur Hafilah Musa, pelajar Sekolah Menengah Ugama SMU (Arab) Maahad Muhammadi Perempuan merupakan pelajar terbaik seluruh Kelantan bagi peperiksaan SPM itu dengan mencapai keputusan 10A1.

Dua lagi pelajar YIK iaitu Mohd Hamidi Zakaria dan Mohd Rizal Abdul Ghani dari SMU (Arab) Maahad Muhamadi Lelaki juga mengatasi pelajar-pelajar lain dari sekolah Kementerian Pendidikan dengan mendapat 9A1.

Tiga pelajar dari sekolah tajaan Kementerian Pendidikan termasuk Siti Jeslin Hasan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Naim Lil-Banat dan Ikhwan Sani Mohamad dari Maktab Sultan Ismail memperolehi 8A1.

Bagaimanapun bilangan pelajar yang mendapat 8A1 dari sekolah YIK lebih ramai lagi iaitu seramai enam orang. Pelajar berkenaan iaitu Nur Diana Mohd Marzuki, Nurzahidah Mohd Zain dan Nursilawati Abdullah dari SMU Maahad Muhamadi Perempuan.

Dua lagi dari SMU Maahad Muhamadi Lelaki iaitu Mohamad Arif Ahmad Tajuddin dan Mohd Adib Ismail dan seorang dari SMU Shamsul Maarif Pulai Chondong, Nur Asmah Adam, memperolehi keputusan sama.

Pelajar yang mendapat 7A1 seramai dua orang, iaitu Hasimah Yaakub dari SMU Amir Indera Petra Bachok dan Mohd Mazran Marzuki (SMU Arabiyah Pasir Mas).

Penolong Pengarah Peperiksaan dan Penilaian YIK, Ustaz Ashari Ishak berkata, peratus kelulusan keseluruhan sekolah YIK meningkat tahun ini iaitu sebanyak 76.07 peratus berbanding 74.43 peratus tahun lalu.

Pencapaian kelulusan pangkat satu seramai 1,264 pelajar berbanding tahun 1995 (1,063 pelajar); pangkat dua (1,222 pelajar) berbanding tahun 1995 (1,192 pelajar). Manakala bilangan pangkat tiga tidak berubah iaitu 922 pelajar.

Katanya, peratus kelulusan bagi pangkat satu meningkat sebanyak 4.8 peratus.
“Sekolah terbaik bagi peperiksaan itu iaitu SMU Maahad Muhamadi Perempuan dengan kelulusan 100 peratus, di mana 238 pelajar mendapat pangkat satu, kedua SMU Maahad Muhamadi Lelaki (96.25 peratus) dengan seramai 175 pelajar mendapat pangkat satu manakala pangkat dua dan tiga masing-masing seramai 36 dan 45 pelajar.

“Ketiga SMU Arabiah Padang Siam, Tanah Merah (95.18 peratus), SMU Maahad Muhamadi Pasir Pekan (90.06 peratus) dan Maktab Pengajian Islam Jalan Bayam (87.97 peratus),” katanya di sini.

Manakala sekolah bantuan YIK yang terbaik, SMU Rahmaniah Paloh, Bukit Panau, Tanah Merah (90.74 peratus), SMU Ihsan Tanah Merah (86.89 peratus) dan Taqadum Maarif, Pasir Tumbuh (82.61 peratus).

Ashari berkata, suasana pembelajaran yang baik di sekolah YIK menjadi satu daripada faktor yang memberikan kejayaan sehingga dapat mencatat keputusan cemerlang pada setiap peperiksaan.

Syukran...terima kasih kepada semua guru, ustaz dan ustazah yang telah mencurah ilmu kepada saya dahulu, Ustazah Asiah (bonda), Cikgu Zaid, Cikgu Tarmizi, Cikgu Sabiha, Ustaz Bad, Ustaz Mumtaz (Allahyarham) dan ramai lagi... terima kasih cikgu!!!

sumber: berita harakah 1997

Friday, February 27, 2009

Monday, February 23, 2009

Abah... Pergimu Amat Dirasai...

Assalamualaikum,

Tergerak hati, untuk menulis satu dedikasi untuk ayahanda tercinta, yang kini sudah lama meninggalkan kami. Walaupun tanganku menggigil, menggeletar, kolam air mata semakin penuh, menanti saat untuk melimpah, kugagah jua... Sekadar untuk mengingati kisah, perginya abah, amat dirasai.

Hari ni, genap 2 tahun arwah abah kembali ke RahmatuLlah. Kehilangan yang cukup dirasai.

Abah telah diserang strok kali pertama pada November 2002. Waktu itu, saya masih lagi di Universiti Malaya, semester akhir. Panggilan yang syahdu dari angah (kakak) telah membuatkan hati ini begitu sebak. Angah akan kembali ke Mesir bagi menyambung pengajian yang masih berbaki satu semester di sana. Agak berat hati angah untuk meninggalkan abah dalam keadaan abah macam tu. Saya pula, kebetulan cuti semester, mengambil keputusan untuk pulang segera.

Keadaan abah pada waktu itu, tidak begitu serius. Setelah mengikuti beberapa sesi urut satu tubuh badan, abah kembali pulih. Serangan stroke yang tidak terlalu bahaya. Alhamdulillah.

Namun begitu, perwatakan abah telah menunjukkan sedikit perubahan. Abah tidah dapat bercakap dengan lancar dan jelas seperti sebelum ini. Mulut abah juga sedikit 'herot' kesan daripada stroke yang menyerang. Tapi aku lihat abah tabah. Kuat semangat.

Gambar abah tenang berlatarbelakangkan kaabah


Sukar untuk kami berkomunikasi dengan abah terutama melalui talian telefon. Suara abah tidak begitu jelas. Tapi saya dan keluarga bersyukur kerana abah masih kuat dan dapat berjalan dan menjalankan rutinnya seperti biasa.

Malah saya turut berbangga, kerana abah dapat hadir ke Konvokesyen semasa saya graduasi Universiti Malaya pada 2003, dan Konvokesyen KPLI j-QAF di Putrajaya pada 2006. Abah masih kuat pada masa tu.


Gambar Ummi dan Abah sewaktu mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan dua tahun lalu


PANGGILAN YANG PILU

Sehinggalah pada suatu pagi, saya mendapat panggilan telefon daripada achik (adikku) dari kampung mengatakan abah kemalangan, terlanggar lori yang parking di tepi jalan sewaktu menuju ke Masjid untuk solat Subuh. Kemudian disusuli dengan SMS dan panggilan daripada along (abangku) menyatakan perkara yang sama.

Kata achik, abah diberikan Rawatan Pesakit Luar sahaja, memandangkan luka abah tidak serius, tapi dijahit beberapa jahitan dikepala akibat kecederaan ringan yang dialami.

Saya dan along berpakat untuk balik. Kami menaiki bas secara berasingan. Along pulang sehari awal daripada saya. Malang sungguh, bas yang saya naiki (Konsortium) telah mengalami kerosakan pada malam saya bertolak. Bas rosak pada jam 11.30 malam berhampiran terowong di Genting Sempah. Bas hanya bergerak jam 5 pagi. Kalau ikut jadual, waktu tu saya dah pun sampai di Kelantan.

Sesampai di rumah, Along dalam perjalanan membawa abah pulang dari HUSM. Bersama achik yang semalaman menemani abah. Achik telah membuat keputusan menolak tawaran panggilan ke Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat semata-mata untuk menjaga abah yang kurang sihat. Saya bangga dengan achik. Walaupun achik terlalu teruja untuk pergi temuduga sebelum ini. Cita-citanya semakin hampir. Sanggup mengorbankan cita-citanya demi abah. Abah menangis mendengar keputusan achik. Kebelakangan ini, abah kerap menangis, hatinya mudah tersentuh, apatahlagi apabila sanak saudara datang ziarah...memeluk abah, makin kuat tangisan abah.

Saya pula hanya sempat menemani abah sehari sahaja. Pada malam itu, saya pulang ke Klang kerana isteri saya juga tidak berapa sihat, mengandungkan anak kedua. Abah pula masa itu, saya lihat sudah beransur baik. Saya meminta izin daripada abah untuk pulang, walaupun saya sendiri tidak sampai hati meninggalkan abah.

SAAT YANG CEMAS HADIR JUA

Keadaan yang mencemaskan hadir juga. Achik menelefon saya pada lewat malam itu. Achik maklumkan abah sudah tidak bercakap dan hanya mendiamkan diri. Makan pun tidak. Saya sudah mengalirkan air mata. Sebak, tiada kata mampu terucap.

Kebetulan cuti Tahun Baru Cina, saya dan isteri bergegas pulang. Sepanjang perjalanan, pelbagai perasaan menggangu. Isteri hanya menenangkan. Air mata kering dengan sendiri.

Sesampai di kampung, saya lihat sanak saudara sudah ramai yang menziarahi abah. Saya terus meluru ke bilik abah. Sedih dan hiba apabila melihat abah hanya terbujur tanpa mampu berkata apa-apa. Saya mencium dahi abah...sambil tertitis air mata. Abah sudah tidak dapat membalas senyum hibaku.

ABAH DIMASUKKAN KE HUSM

Ramai sanak saudara beranggapan abah sudah tidak lama. Tapi aku dan achik memujuk along untuk membawa abah ke hospital. Peluang abah mungkin masih ada...

Kami menjaga abah di HUSM. Kelihatan (dari kanan) Along, saya dan Chik (mak saudara)

Malam itu abah dibawa ke HUSM dengan ambulans. Terima kasih kepada Pakcik Hanafi (Cik Napi) atas sokongan beliau. Sesampai di sana, abah dimasukkan ku unit kecemasan. Tiub dimasukkan ke dalam mulut abah untuk disedut kahak yang tersumbat yang mengakibatkan abah sukar bernafas. Kemudian, abah dimasukkan ku ICU buat sementara waktu sebelum dimasukkan ke wad biasa di tingkat 8. Menurut doktor lagi, abah diserang angin ahmar (stroke) kali kedua.

Selama hampir seminggu abah di HUSM. Saya dan along mengambil cuti rehat, sambung cuti Tahun Baru Cina. Kata doktor, keadaan abah semakin serius. Kami bergilir-gilir menjaga abah. Yasin sering berkumandang di dalam wad. Abang Ngah menyewa sebuah rumah rehat untuk tempat kami sekeluarga berehat, terima kasih abg ngah!!!

Pagi Sabtu 24 hb Feb 2007, kami sekeluarga bersepakat untuk membawa abah pulang ke rumah. Oksigen yang membantu pernafasan abah dibuka. Abah dimasukkan ke dalam ambulans. Along dan Adik Ti menemani abah di dalam ambulans. Saya mengambil isteri dan anak di rumah mertua untuk balik ke kampung saya, Kok Lanas.

ABAH SUDAH DIJEMPUT ILAHI

Saya mengerling jam di dalam kereta. Pukul 10.10 pagi. Saya meneruskan perjalanan. Tiba-tiba saya terima SMS daripada Adik Ti yang mengatakan abah sudah tiada sewaktu dalam perjalanan pulang. Abah hanya tersenyum. Menurut Along, abah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.10 pagi. MasyaAllah, tepat pada masa saya terpandang jam di dalam kereta tadi. Innalillah wa inna ilaihi raajiun... tanpa disangka air mata berlinang tanpa diminta.

Abah sewaktu ditanah suci

Sesampai di rumah, saya lihat sanak saudara sudah ramai memenuhi ruang rumah. Kami memandikan abah. Saya, along, achik dan abg ngah memangku abah. Air mata masih panas membasahi pipi. Sukar untuk saya memberhentikan daripada mengalir. Kehilangan yang begitu besar... Walaupun saya sendiri sedar, setiap yang bernyawa... pasti MATI.

Terima kasih kepada Imam Masjid, kerana membantu melancarkan proses memandikan, menkafankan serta mengebumikan abah.

ABAH DISEMADI

Selepas solat Zuhur, abah disembahyangkan. Kemudian jenazah abah di bawa ke tanah perkuburan berhampiran rumah kami untuk disemadikan. Sekali lagi, saya, along dan achik turun ke liang lahad untuk membantu abah disemadikan di situ buat selama-lamanya.

Seusai dikebumikan, talkin di baca. Peringatan untuk yang masih hidup agar sentiasa bersedia menghadapi maut. Tidak sampai 5 jam proses persemadian abah. Alhamdulillah, kami telah melaksanakan amanah abah sebaik mungkin.

Saya lihat Ummi begitu tenang. Saya memluk ummi, tangisan tidak dapat dibendung. Tika itu ummi hanya membisikkan,"anak-anak ummi kena kuat, baru ummi akan kuat. Anak-anak ummi kena belajar terima dan redha. Ummi yakin anak-anak ummi terpelajar, ummi beri pelajaran agama... ketentuan Ilahi, kita terima... abah dah takde," tasngisan saya semakin menjadi, ummi ke peluk erat...kian erat. Ummi akan ditinggalkan sendirian, tanpa abah kini.

Jadi kami perlu bagi sokongan kepada ummi. Achik la akan menggantikan kami, menemani ummi di sini. Terima kasih achik...terima kasih banyak-banyak.

Kini, setiap kali pulang ke kampung, pusara abah pasti dikunjung. Masih terasa abah berada bersama kami. Walaupun sudah tiada gelak tawa dan senyumnya, abah masih di hati kami.

Semoga abah sentiasa tenang di sana. Kami akan sentiasa mendoakan abah. Maafkan kami. Terima kasih kerana mendidik kami sehingga kami berjaya.

Kini, Ummi tempat berkongsi kasih dan sayang. Maafkan anakmu ini, agak kurang bertanya khabar. Isteri selalu mengingatkan, "Abang, telefon lah ummi tiap hari...sekurang-kurangnya bertanya khabar.." terima kasih sayang kerana mengingatkan abang...

Buat Along, Angah, Achik, Ha dan Adik Ti...marilah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan abah. Hanya doa kita yang abah dambakan. Doa anak yang soleh dan solehah. Sudah pasti, itulah yang abah dan ummi harapkan.

ANAK-ANAKMU KINI...

Along, kini seorang jurutera berjaya yang juga seorang instructor di ILSAS, Bangi. Angah pula seorang pendidik di sebuah sekolah agama YIK di Tanah Merah, Kelantan. Sering melawat Ummi pada hari minggu. Membawa buah hati penyeri hari nenek...Najihah dan Wafa'. Achik pula, bekerja sendiri. Usahawan berjaya. Tunggu masa untuk mendirikan rumahtangga. Banyak menghabiskan masa menemani Ummi di rumah. Kerana hanya achik yang kini menjaga dan bersama Ummi. Terima kasih achik. Moga Allah merahmati dirimu.

Ha pula bertugas di Johor Bharu sebagai Guru j-QAF. Tengah praktikum sekarang, selamat menjalankan tugas sebagai pendidik yang berjaya dan cemerlang. Adik Ti pula, menyahut seruan dan cita-cita serta impian Abah dan Ummi... menjadi Hafizoh. Sedang melanjutkan pengajian di Al-Azhar Mesir dalam bidang Qiraat. Selepas tamat 30 juzuk di KUIS, Bangi. Moga cita-cita abah, akan adik realisasikan... Ma'a taufiq wannajah...

Sesungguhnya abah...pergimu amat dirasai...

Sunday, February 22, 2009

Perihal Sambung Belajar

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, saya masih diberikan ruang dan kesempatan, sihat tubuh badan, jasadiyyah dan 'aliyyah untuk menulis pada entry kali ini. Walaupun keterbatasan waktu dengan tugasan yang menimbun, saya gagahkan juga, kerana inilah minat saya...menulis.

Beberapa hari lepas, saya mendapat emel daripada seorang rakan yang sama-sama belajar di UM suatu ketika dahulu. Beliau sudahpun memperolehi Master dan kini bertugas sebagai seorang pensyarah di USIM. Dalam emel tersebut, beliau memaklumkan akan berlepas ke Khourtum, Sudan pada bulan Mei ini bagi menyambung pengajian ke peringkat PhD. Noor Azma namanya. Memang kuat study. Pemikir yang kritis dan kreatif. Saya ucapkan selamat belajar dan menggali sebanyak ilmu untuk anak bangsa.

Esok juga, salah seorang GPI sekolah saya, Kak Siti Huzaimah akan menyambung pengajian di Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia. Beliau mengambil Kursus 14 minggu dalam bidang Pengajian Islam sebagai langkah untuk menyambung ke peringkat Sarjana Muda di Open University. Tahniah kak Siti, moga terus berjaya...kami pasti merinduimu.

Rakan GPI j-QAF, Kak Faten Ainun dan Zulfa, yang kini sedang bercuti tanpa gaji mengikut suami yang menyambung pengajian di UK. Walaupun hanya menemani suami, besar pahalanya tu. Pengalaman berada di tempat orang pun, best juga. Ada peluang, sambung la juga ye...

Sabahat baik saya yang sama-sama bertugas sebagai GPI j-QAF, Yusri dan Zubaidi kini sedang berusaha keras mengikuti pengajian Master dalam bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam di UM. Semoga Allah akan mempermudahkan kalian berdua.

Ramai lagi sahabat sepersekolahan dulu yang kini berada di timur tengah, eropah dan sebagainya untuk meneruskan dan mengejar cita-cita... Rizal Muwazir dan Umi Fazara masih di UK... Ini membuatkan saya begitu teruja untuk sama-sama mengikut jejak langkah mereka. Sesungguhnya, selagi kita mengejar ilmu, semakin banyak yang kita tidak ketahui. Semoga cita-cita saya akan termakbul suatu hari nanti...

Buat Azral yang juga berada di perantauan, moga selamat dan tenang di tempat orang. Doakan saya juga apabila ziarah ke Mekah, ye.

Buat isteriku, Zaimah sayang... abang doakan akan dapat habiskan Master dalam bidang Hadis tu tak lama lagi. Kuatkan semangat, cekalkan hati. Semoga cita-cita dan impianmu akan tercapai. Semoga anak yang sedang dikandung akan terbias dengan semangat yang ada dalam dirimu. InsyaAllah, bulan 8 ni naik pentas terima scroll pada Konvokesyen kat UM nanti. Lepas tu boleh la abang sambung belajar pulak.

Akhir sekali, buat semua teman dan sahabat yang sedang dan akan menyambung pengajian masing-masing, saya doakan kalian semua akan berjaya dalam kehidupan masing-masing. InsyaAllah, saya akan menjejak langkah kalian suatu hari nanti, InsyaAllah.

Saturday, February 21, 2009

Animasi Pilihan Muazz dan Hajar

Salam...

Dalam kesibukan saya melaksanakan tugas sekolah kat rumah (bukannya rajin sangat pun, dah memang kena buat), saya terpaksa melayan karenah anak-anak. Pantang jika saya dan umi mereka membuka laptop, mereka pasti menjerit bersama-sama...

"nak ngok upin ipin...nak ngok upin ipin..." pinta Muazz dan Hajar.

Stok cerita upin dan ipin yang ada, sudah acapkali ditonton. Saya sendiri terpaksa duduk bersama-sama mereka menonton gelagat si kembar tu dengan kawan-kawannya. Memang mencuit hati. Penuh pengajaran dan dapat mendidik kanak-kanak.

Saya pun cuba melayari YouTube untuk search kot-kot kalau ada cerita Geng: Pengembaraan Bermula yang dah di upload di sana. (huhu...tak sempat lagi nak cari kat kedai). Alangkah gembiranya apabila terjumpa 6 Eposide cerita terbaru Upin dan Ipin yang saya sendiri tak pasti sama ada sudah ditayangkan di TV9 atau belum.

Episode tersebut ialah:

1. Episode 1: Air Kolah Air Laut Bahagian 1
2. Episode 2: Air Kolah Air Laut Bahagian 2
3. Episode 3: Basikal Baru Bahagian 1
4. Episode 4: Basikal Baru Bahagian 2
5. Episode 5: Berkebun Bahagian 1
6. Episode 6: Berkebun Bahagian 2

Jadi, saya pun download segera. Seronok saya tengok Muazz dan Hajar apabila menonton episode yang baru ni. (Saya pun tumpang sama :) Muazz cakap...nak tengok Upin Ipin Biru, sebab dalam episode kali ini, latar belakangnya warna biru, bukan lagi Hijau...

Kepada pelakon suara Upin dan Ipin, adik Fathiaz Diaz, walaupun sekarang tengah sibuk dengan promosi Geng: Pengembaraan Bermula...jangan ponteng sekolah tau. Minggu depan dah Ujian Prestasi 1. Ustaz doakan Fathiaz terus berjaya...jadi model dan contoh yang terbaik buat kawan-kawan Thiah kat sekolah.

Betul tak Fathiah?..."hmm...betul betul betul.."

Friday, February 20, 2009

Kajian Tindakan 2009

Salam...

Dua hari lepas, saya telah dipanggil oleh Guru Besar. Apabila Ketua Panitia memaklumkan kepada saya,

"Ustaz, GB nak jumpa...," katanya tersenyum.
"Ada apa ustazah?," tanya saya kembali, mohon penjelasan.

KP saya hanya menggeleng...tandanya dia pun tak tahu.

Saya hanya menapak ke bilik GB, dengan pelbagai persoalan dan tanda tanya. Rupa-rupanya, bukan saya seorang sahaja yang GB ingin jumpa, Ustazah Suhana (GPI j-QAF Bahasa Arab) pun sama. Pintu bilik diketuk, kami pun masuk. Kami hanya duduk apabila disuruh.

GB menjelaskan kepada kami berdua, kami diminta agar menyediakan proposal untuk Kajian Tindakan. Saya diminta menyediakan Proposal Kajian Tindakan Pelajaran Jawi, manakala Ustazah Suhana Kajian Tindakan Bahasa Arab.

Apabila mendengar penerangan ringkas, saya hanya mengangguk kepala tanda faham. Kebetulan saya telah menghadiri Kursus Pemantapan Kurikulum Pendidikan Islam KBSR untuk Jurulatih Utama Tahun 2008 bertempat di Hotel Goldcourse, Klang pada 23-26 Jun 2008. Dalam kursus tersebut, telah didedahkan format cara penyediaan Proposal Kajian Tindakan dan juga penyediaan Laporan Kajian Tindakan. Jadi, agak memudahkan kerja saya...insyaAllah.

Tapi tidak pula bagi Ustazah Suhana. Saya lihat dia terpinga-pinga. Macam tidak faham bagaimana format dan bentuknya. Jadi saya maklumkan padanya,

"nanti saya terangkan pada ustazah..." celah saya.
"syukran, ustaz," baru dia tersenyum.

Kajian Tindakan ini perlu diserahkan kepada PPD selewat-lewatnya 14 Mac 2009. Jadi GB meminta kami (semua panitia) menyerahkan proposal tersebut pada 6 Mac 2009 (Jumaat).

Semoga KT yang akan saya dan rakan-rakan laksanakan nanti akan menghasilkan input yang benar-benar menepati objektif, bukan semata-mata di atas kertas proposal sahaja.

Saya sertakan Format Penyediaan Kajian Tindakan untuk rujukan anda semua:

1. Nama Sekolah (sertakan alamat penuh)
2. Nama Penyelidik (Individu atau kumpulan)
3. Tajuk Kajian
4. Isu/Keprihatinan Yang Dikaji (Fokus Kajian)
5. Refleksi Masalah
6. Objektif Kajian (Am & Khusus)
7. Kumpulan Sasaran & Lokasi Kajian
8. Tindakan Yang Dicadangkan
9. Bahan Yang Dicadangkan
10. Jadual Pelaksanaan Kajian
11. Kos Kajian
12. Penutup

Saya akan sertakan pada entry yang akan datang, contoh Proposal Kajian Tindakan Pelajaran Jawi yang perlukan saya siapkan dalam masa terdekat ini, InsyaAllah. Semoga format ini dapat membantu anda.

Thursday, February 19, 2009

Kisah Muridku 1: Tak siap Kerja

Setibanya di bilik j-QAF (Baitul Hikmah) tengah hari tadi, saya disapa oleh Ustazah Asiah.

"Ustaz, tadi saya masuk kelas 3 Amanah, Emirul Muazz takde dalam kelas,"beritahunya.

"Laa..kemana pula dia pergi? Kan masa Tasmik tadi dia ada..." tanya saya kehairanan.

Saya bergegas ke Kelas 3 Amanah untuk mendapatkan maklumat daripada kawan-kawannya.

"Mana Emirul Muazz?" tanya saya kepada murid-murid 3 A sejurus memberi salam.

"Dah balik, ustaz,"

"Kenapa pulak?" tanya saya kepada mereka.

Ada dikalangan mereka menjawab, "mungkin sebab tak siap kerja Bahasa Arab kot.."

Hmm...faham lah saya kisahnya.

Sebenarnya saya telah mengingatkan semua murid 3A pada hari isnin yang lalu agar mengulangkaji tajuk "Hiwayati (Hobi saya)" dan "Asdiqaaiy" (Rakan-rakanku) sebab saya akan membuat drilling sebelum memulakan pelajaran baru pada hari Khamis (hari ini). Selain itu, saya juga mengingatkan agar mereka menyiapkan buku aktiviti Bahasa Arab yang telah saya berikan minggu lepas.

Rupa-rupanya anak murid saya itu mungkin tidak menyiapkan kerja rumah atau tidak menghafal sepertimana saya suruh menyebabkan dia pulang semua ke rumah. Walaupun saya agak terkejut dengan tindakannya, namun saya akan berjumpa dengannya esok.

Sebenarnya langkah saya menyuruh murid saya menghafal agar mereka tidak mudah lupa kalimah dan ayat yang dipelajari. Saya sering ingatkan mereka agar sentiasa mengulangkaji sekiranya mereka ingin mahir dalam Bahasa Arab. Tujuan saya juga hanya satu. Supaya mereka dekat dan sentiasa bersama kalimah bahasa arab...

Lagipun, minggu hadapan adalah minggu Ujian Prestasi 1. Jadi, secara tidak langsung mereka akan mengulangkaji untuk ujian tersebut.

Semalam, saya sempat berbual bersama beberapa orang guru lelaki di kafe. Kata mereka, zaman sekarang guru hanya perlu mengajar, bukan lagi mendidik. Ini kerana guru sudah tidak boleh marah, menengking, menegur dengan kasar, mengherdik, menjegil mata, malah menyentuh tubuh seperti mencubit dan memukul pun tidak boleh.

Jadi, mereka membuat kesimpulan, ajar je...buat macam biasa...tak payah ambil tahu la yang lain...tak bawak buku ke, tak buat kerja rumah ke...lantal la... tidak payah nak marah-marah lagi. Kita marah pun, mak ayah datang serang kita... Buat sakit hati dan tension jer...

Bagaimana dengan cara guru kita dahulu? Bukankah dengan cara begitu, murid akan lebih disiplin dan hormat kepada guru? Bagaimana pula dengan akhlak yang perlu kita pupuk? Adakah guru sekarang sekarang hanya perlu masuk ke kelas dan hanya mengajar tanpa mempedulikan murid yang tidah menyiapkan kerja, selalu meniggalkan buku teks, buku latihan di rumah, menggangu rakan di dalam kelas?

Guru sekarang juga dilarang memegang rotan sewaktu mengajar. Salah di sisi undang-undang. Saya juga pernah ditegur secara terbuka sewaktu mesyuarat guru oleh GPK HEM kerana didakwa memegang rotan sewaktu mengajar. Walaupun saya tidak pernah membawa rotan. Penyelia petang pun hairan, lantas bertanya kepada saya...bila ustaz mengajar pegang rotan? Beliau sendiri tidak pernah nampak...saya hanya menafikannya. Tak mengapa... saya yang menurut perintah.

Saya juga terbaca satu surat dalam Utusan Malaysia ruangan forum: Kisah Seorang Guru dan Muridnya. (kilik di sini untuk baca surat). Setakat itu sahaja yang kita boleh buat...

Pelbagai asam garam dalam dunia pendidikan... pandai-pandai lah kita mengharunginya.

Thursday, February 05, 2009

Perbetulkan niat kita

Di dalam suatu majlis anugerah, seorang guru lelaki naik ke pentas untuk menerima anugerah... sementara di dalam dewan tersebut kedengaran suara-suara sumbang...

Guru A: Ko tengok la tuh...baru je mengajar, dah dapat anugerah. j-QAF pulak tuh...
Guru B: Dah dia layak...dah dicalonkan. ok la tuh...
Guru A: Mengajar pun takde pengalaman lagi...macamana dia pilih yer...
Guru C: (Hanya mendiamkan diri...membisu tiada kata)

Sementara Guru D (perempuan) bertanya kepada Guru C,

Guru D: Mengajar kat mana?
Guru C : SK *** . Akak pulak? GPI gak ker?

Guru D: SK Kebun B****. Kenapa? Ada kenal sesapa ker?
Guru C : Ada kawan saya kat sana?
Guru D : Siapa? Azwan? Baith?
Guru C: Yer.. sama-sama kat maktab dulu...
Guru D: j-QAF jugak ker..
Guru C: ye..saya j-QAF
Guru D: Laa...j-QAF ker...hmmmm

Itu adalah antara perbualan yang sempat dimaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon oleh seorang sahabat saya (Guru C) yang telah terpilih menerima anugerah sempena Majlis Anugerah Kualiti Negeri Selangor di Kuala Selangor pagi tadi. Sahabat saya tadi hanya mampu tersenyum sipu dek kerana terkilan dengan sikap guru yang memegang title GPI.

Antara GPI sekolah rendah dan menengah yang terpilih dikalangan PPD, (hanya seorang GPI bagi setiap PPD) hanya 2 orang GPI j-QAF yang menerima anugerah tersebut. Yang lain semuanya GPI. Pencalonan dijalankan oleh PPD dan pemilihan dibuat oleh JPS. Sudah munasabah lah, pelbagai kriteria diambil dalam membuat pemilihan tersebut.

Rakan saya tadi memang aktif di peringkat daerah dan juga JPS. Kami sama-sama Jurulatih Utama Kurikulum Pendidikan Islam j-QAF Negeri Selangor. Saya cukup bangga dengan komitmen beliau sehingga usahanya selama ini dihargai oleh JPS dan PPD. Ini juga untuk membuka mata semua bahawa sudah tiada 'gap' dan benteng pemisah antara GPI dan GPI j-QAF. Kedua-duanya memainkan peranan yang cukup penting demi memperkasakan agama Islam di kalangan semua murid Islam seluruh negara.

Satu lagi, apa yang menyedihkan saya dan sahabat saya tadi ialah sikap iri hati dan hasad dengki dikalangan guru yang belajar dan mengajar Pendidikan Islam. Jika beginilah sikap kita, bagaimana mungkin kita mampu menuai hasil yang baik. Jika hati guru pun tidak suci dan ikhlas. Mengharapkan balasan sehingga timbul hasad dan dengki.

Semoga Allah mengampuni dosa kita semua dan membuka hati kita untuk ikhlas mendidik dan jauh daripada sifat tamak, irihati, dengki dan hasad...

Popular Posts