Sunday, January 22, 2012

Realiti Seorang Guru...

Ini antara keluhan realiti dalam dunia pendidikan, dunia seoran guru...
Tersepit dan dikepit...

Di maktab perguruan, kami diajar bahawa murid yang tidak mengikut peraturan perlu dihukum. Tapi hakikatnya di sekolah, semua jenis hukuman ditangguhkan. Hukuman terbesar seperti buang sekolah pun boleh dibangkang oleh murid kerana kita ada dasar pendidikan wajib 11 tahun. Jadi semua murid boleh melanggar semua peraturan sekolah, seperti ponteng kelas dan tidak perlu menyiapkan kerja sekolah kerana tidak ada satu peraturan yang boleh menyentuh mereka. Murid boleh berjalan keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar dan tidak ada siapa boleh menghalang mereka. 

Punca pelajar menengah gagal membaca, menulis. 

Jan. 16th, 2012 at 6:01 PM 


SAYA ingin merujuk kepada tulisan Hassan Salleh bertajuk 'Di Manakah Silap Guru' di ruangan ini yang menyentuh soal wujudnya pelatih-pelatih PLKN lepasan sekolah menengah yang masih tidak boleh membaca dan menulis. 

Jawapan saya sebagai seorang guru yang telah lima tahun mengajar di sekolah menengah ialah: 

Di maktab perguruan, kami diajar bahawa murid yang tidak mengikut peraturan perlu dihukum. Tapi hakikatnya di sekolah, semua jenis hukuman ditangguhkan. Hukuman terbesar seperti buang sekolah pun boleh dibangkang oleh murid kerana kita ada dasar pendidikan wajib 11 tahun. Jadi semua murid boleh melanggar semua peraturan sekolah, seperti ponteng kelas dan tidak perlu menyiapkan kerja sekolah kerana tidak ada satu peraturan yang boleh menyentuh mereka. Murid boleh berjalan keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar dan tidak ada siapa boleh menghalang mereka. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan murid berbanding sekolah. Tapi hakikatnya di sekolah, guru disuruh bertungkus-lumus membuat kerja perkeranian sehingga tidak ada masa untuk mengajar. Terbaru di negeri Johor, pertandingan dibuat di antara sekolah-sekolah untuk mencari siapakah guru yang paling cekap membuat kerja perkeranian dan mengurus fail. Tentunya guru yang menang itu akan diberi anugerah dan dapat mengharumkan nama pengetua. Tapi kebanyakan guru yang menang itu tidak pernah memenangkan murid dalam apa-apa pertandingan pun. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya memikirkan cara bagaimana hendak mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya murid yang pelbagai kerenah boleh dibantu. Tapi hakikatnya di sekolah, yang dipelbagaikan ialah jenis jawatankuasa, borang dan fail, bukan teknik pengajaran. Akhirnya setiap guru akan memegang 10 hingga 15 jawatan dalam pelbagai jawatankuasa, dan murid kadang-kadang satu buku pun tidak ada. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya 'buat apa yang betul untuk murid'. Tapi hakikatnya di sekolah, pengetua hanya mahu mencari nama dan hendak cepat naik pangkat dan naik gaji. Oleh itu semua guru mesti berhempas pulas mengurus hal-ehwal sekolah. Kadang-kadang guru terpaksa meninggalkan kelas untuk hadir mesyuarat kerana pengetua mahu semua fail lengkap dan terkini. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya mengajar mengikut tahap murid. Untuk itu, murid diasingkan mengikut kelas. Murid yang pandai dan cekap akan diletak di kelas pandai, supaya guru boleh mengajar dengan pantas. Jika kurang cekap dan lemah, akan diletak di kelas kurang pandai supaya guru boleh mengajar perlahan-lahan dan murid boleh dibantu. 

Tapi hakikatnya, ibu bapa menuduh guru menganggap anaknya bodoh jika diletak di kelas hujung, jadi ibu bapa akan bawa wartawan, bawa ahli politik dan bawa ketua kampung untuk serang guru di sekolah. Oleh kerana sekolah tidak suka orang politik mencari populariti dalam sekolah, sekolah pun beralah dan murid kurang pandai ini pun diletakkanlah di kelas pandai. 

Ibu bapa pun baliklah dengan bangga dan berceritalah kepada jiran-jiran, kononnya anaknya di kelas pandai. Tapi akhirnya anaknya ketinggalan kerana tak mampu mengejar murid pandai yang lain dan guru akan diserang lagi kerana tak pandai mengajar. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan klien. Tapi pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran tidak pernah anggap guru sebagai klien mereka. Guru sekolah hanya 'kuli' pihak PPD dan jabatan semata-mata. Jika PPD dan jabatan minta data, guru mesti sediakan secepat mungkin. Kalau boleh dua saat selepas diminta, data mesti sudah sampai ke pejabat. 

Dua hari selepas data dihantar, PPD dan jabatan akan telefon sekolah untuk memarahi pengetua kerana guru tidak hantar data. Pengetua pun marahlah kepada guru dan guru pun terpaksalah meninggalkan kelas untuk menghantar lagi data buat kesekian kalinya kerana PPD dan jabatan memang tidak pernah simpan apa-apa data pun. Setiap kali mahu apa-apa mereka akan minta dari sekolah, sehingga data yang sama boleh dihantar hampir sepuluh kali ke pejabat. Tanyalah kepada Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid, berapa kali agaknya data enrolmen murid dihantar ke pejabat dalam setahun. 

Saya fikir kesilapan pihak guru ialah, lain yang diajar di maktab, lain yang perlu dbuat. Pengetua, PPD, jabatan dan ibu bapa, semua membuli guru sekolah. Kalau maktab perguruan mahu membantu hapuskan buta huruf, ajarlah guru pelatih bagaimana hendak 'mengajar' orang atasan.


Sumber : Tranungkite Online

Wednesday, January 18, 2012

Sabarlah wahai diri...



Peperiksaan hari ni, sepatutnya berakhir dengan satu kepuasan. Namun, ia berlaku sebaliknya. Kita hanya mampu merancang, Allah jua menentukan. Rata-rata sahabat lain juga meluahkan rasa yang sama.

Kaedahnya mudah. Daripada 6 soalan yang diberi pensyarah, ramai yang memilih untuk membaca 4-5 tajuk sahaja memandangkan ada 3 tajuk tugasan dalam bahasa Arab. Malangnya, apabila dua tajuk yang tidak diberi tumpuan itulah yang masuk, termasuk satu tajuk yg tiada dalam muqorror. Pendek kata, daripada 4 soalan yang keluar, hanya 1 soalan yang benar-benar menepati sasaran.

Apa nak dikata. Gunakanlah elemen pengetahuan sedia ada dalam menjawab baki 2 soalan. Sesal pun dah tak guna. Namanya pun exam, kan? Huhu... Apa yang memeranjatkan, baru setengah jam bermula, sudah ada yang mula menghantar kertas jawapan. Sama ada selesai menjawab kesemua soalan, ataupun turut 'frust' macam saya... hehe.

Selang 5-10 minit, makin ramai yang menyusul. Sorang demi seorang. Bagai memberi sedikit cabaran buat saya. Argh... takpe, jawab je mana yang ingat... Masa 2 jam setengah perlu dimanfaatkan... ;)

Selesai sesi 'mengarang', masing-masing keluar dewan dengan senyuman pahit dan tawar. Sama-sama kita doakan, agar ada markah ihsan dari ustaz nanti... InsyaAllah.

Saya mengambil keputusan untuk tidak terus pulang. Ada tempat yang perlu saya singgah. Untuk kembalikan semangat dan 'pujuk' diri ini, agar tidak terlalu kecewa. Saya menuju ke Alamanda. Mahu menebus baucer buku yang diberi itu, di MPH Book Store. Saya menghabiskan masa antara 45-60 minit untuk menggeledah setiap ruang dan pelosok rak, bagi mencari buku-buku yang sesuai. Akhirnya, saya berjaya memerangkap 2 buah buku akademik dan 2 buah buku bacaan agama, termasuk sebuah buku istimewa sebagai hadiah untuk isteri sempena hari lahirnya, 4 hari lepas. (Tunggu wrapped dulu, baru boleh kasi... )

Saya akan mulakan pembacaan untuk meneruskan fasa kedua saya untuk semester 3 akan datang, menulis! Itulah kekuatan yang perlu saya dapat. Moga2 ianya akan berjaya, InsyaAllah.

Selesai sesi mencari bahan bacaan, saya 'tersinggah' di booth Focus Point. Memandangkan alat bantu lihat saya sudah semakin longgar, saya mula menapak perlahan, memerhati frame yang ditayang. Satu persatu dibelek sehingga akhirnya muncul satu lembaga hitam yang tak diundang. Huhu, sapa lagi kalau bukan salesgirl FP.

Harga yang ditawarkan cukup menarik. antara RM129-239 (frame+lens). Akhirnya saya tertarik dengan frame RM199. Setelah ditambah harga lens (xtermasuk pakej, RM90 (harga biasa RM250- kata minah tu laaaa), saya terpaksa membayar RM289.

Selama hampir 2 jam, saya berjaya melupakan peristiwa tak berapa manis dalam dewan peperiksaan sebentar tadi. Moga ia tidak lagi menghantui kami semua. The past is past. Let by-gone, be by-gone...

Tamatnya kertas peperiksaan tadi, maka berakhirlah semester 2 saya sepanjang di UKM. Ada lagi baki 2 semester yang perlu saya habiskan. Moga Allah permudahkan jalan saya dan sahabat2 yang lain. InsyaAllah...

Monday, January 16, 2012

Selesai RPT PI Thn 2 Semester 1


Alhamdulillah, akhirnya selesai mengedit Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Islam KSSR Tahun 2. Walaupun saya tak ditugaskan mengajar Tahun 2, namun atas dasar untuk membantu sahabat2 sepanitia, saya gagahkan diri ini.

Kebetulan, saya mula hadapi peperiksaan akhir semester 1 sesi 2011/2012 pada awal Januari. Ghalibnya, sudah semestinya saya sibuk dengan persediaan utk exam tersebut. Mood pun, kadang-kadang ada, kadang-kadang hilang.

Seperti tahun lepas, saya masih diberi kepercayaan sebagai Penolong Setiausaha Kokurikulum. Tugasnya agak mencabar disebabkan sehingga saat ini, kerusi dan bilik GPK Koku masih belum terisi sejak GPK Koku sebelum ini, telah dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar di SK Jenderam Hilir.

Oleh itu, banyak perancangan koku termasuk menyusun atur jawatankuasa koku terpaksa saya dan SU Koku lakukan. Data murid mengikut unit uniform, sukan/permainan dan persatuan juga masih belum terusik. Harapan saya, SU Koku faham situasi saya sekarang. Masih 'bergelumang' dengan nota-nota, kertas2 tugasan!!!

Sehingga saat ini, sudah 3 kertas peperiksaan berjaya disudahkan. Hanya tinggal 1 sahaja lagi. Maktabah Tafsir. Yang masih belum dibaca, tapi sudah disusun kemas. Tunggu 'mood' itu datang sebelum tiba hari peperiksaan, iaitu 18hb nanti.


Berbalik pada tajuk di atas, saya seboleh mungkin mahu segera menyiapkan meng'edit' keseluruhan RPT PI Thn 2 tersebut. Namun dek kerana kekangan masa, saya siapkan dahulu sehingga minggu ke-19 dahulu. Saya perlu edit mengikut kesesuaian taqwim sekolah. Saya mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab untuk memuat naik bahan RPT tersebut akan segera memurnikannya. Pasti ramai yang tertunggu-tunggu. Namun, rasa saya, sudah ramai dikalangan guru yang sudah mahir menyediakan RPT itu, sendiri. Tahniah dan syabas...

Hari ini, saya dikejutkan dengan dua berita sedih. Tergamam dan terkedu saya mendengarnya. Pertama, ayahanda kepada sahabat saya, Ku Ahmad Munauwir telah kembali ke Rahmatullah akibat kemalangnn jalan raya. Takziah buat seluruh ahli keluarga arwah. Moga roh Allahyarham akan ditempatkan bersama-sama hamba yang beriman dan beramal soleh. (Saya sempat menonton berita kemalangan tersebut melalui Berita Awani 7.45 dan saluran tv9, malam tadi)

Kedua, seorang rakan guru mengadu tentang anak kecilnya, yang baru berumur 6 bulan, telah disumbat dengan stokin ke dalam mulutnya. Kejadian itu disedari apabila dia tanpa sengaja telah pergi ke rumah pengasuh anaknya itu untuk menghantar barang milik abang di kecil itu. Mungkin itu gerak hari seorang ibu. Zalim sungguh manusia itu! Hati ibu mana yang tak terguris apabila melihat bayi yang kecil yang tanpa kudrat, meronta2 meminta ihsan simpati.

Macam-macam hal dan cerita tentang pengasuh sejak kebelakangan ini. Daripada 1001 kisah dan cerita itu, ada kalanya, ada juga yang tak masuk akal. Masih ada orang yang kononnya bertamadun sanggup memperlakukan sedemikian rupa... terhadap kanak-kanak pulak tu...Huhu... Mungkin ibu bapa perlu lebih berhati-hati. Jangan terlalu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada 'mereka'. Ada masa, pantaulah 'kerja' mereka itu. Ada yang bermanis muka dan mulut dihadapan kita, namun hati sepahit hempedu.

Semoga ia menjadi pengajaran buat kita semua...

Sunday, January 01, 2012

Hits dan Carian 'Keywords'

Assalamualaikum...

2011 dah berakhir. Tirainya dah dilabuhkan semalam. Hari ni bermula hari baru (just another day) bagi Taqwim Masihi. Sepatutnya sambutan Tahun Baru Masihi tidaklah semeriah Tahun Baru Hijri. Ada yang menetapkan KPI azam mereka berpandukan Tahun Hijri, malah ada juga yang meletakkan KPI azam mereka atas sandaran Tahun Masihi.

Sebentar tadi, saya menyemak analisis pengunjung blog Kalam Murabbi. Pengunjungnya semakin bertambah sejak saya mula mengemaskini beberapa maklumat dan entry berkaitan KSSR, RPT dan sebagainya. Hampir beberapa bulan blog ini tiada isi. Sementara 'mood' mengemaskini blog ini ada, saya akan cuba berkongsi input yang berguna, InsyaAllah...

Harapan saya, agar entry2 tersebut dapat membantu pengunjung yang singgah walau seketika cuma.

Dibawah ini saya sertakan beberapa analisis sehingga 25 Disember 2011:

Stat Hits sepanjang bulan Disember 2011

Peratusan pengunjung sepanjang bulan Disember 2011
Keywords untuk hari ini (1 Januari 2012)

Daripada keywords atau kata kunci yang dicari untuk sampai ke blog Kalam Murabbi, majoriti pengunjung mencari bahan berkaitan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan RPH. PRT Pend Islam KSSR Tahun 2 pastinya menjadi 'buruan' kerana sesi persekolahan 2012 akan bermula beberapa hari sahaja lagi.


Keywords sepanjang minggu ini

Sepanjang minggu ini juga, bahan-bahan pengajaran j-QAF dan KSSR menjadi tumpuan pengunjung. Selain itu, contoh Kajian Tindakan turut dijadikan kata kunci yang paling diminati. Namun, ada juga yang menjadikan "BEST KE JADI GURU j-QAF" sebagai keywords mereka. Harapnya, bila dah berkunjung ke sini, akan ada rasa minat itu, InsyaAllah...

Keywords 2 minggu terakhir bulan Disember


Apabila saya melihat analisa keywods 2 minggu lepas, saya tersenyum sendiri kerana ada pengunjung ke blog ini dengan menaip nama sahabat saya yang semakin terkenal sebagai penceramah di radio dan televisyen, USTAZ AHMAD HUSNI ABD RAHMAN. Rata-rata teruja dengan perubahan fizikal Ustaz Husni yang telah kurus sejak beberapa bulan yang lalu. Sehingga ada yang mencari kata kunci ' Ustaz Husni Abd Rahman dah kurus', Ustaz Husni abd rahman kurus', dan 'ustaz husni kurus'. Pastinya sedang menjadi idola kepada yang ingin mengikut jejak langkah beliau. Mabruk syeikh Husni...

Keywords sepanjang bulan Disember

Dan terakhir, ini adalah keywords sepanjang bulan Disember. Pelabagai kata kunci yang dicari untuk sampai ke blog ini. Hatta yang menaip 'stor sukan' pun ada. Yang pasti, berdasarkan hits yang terbanyak ialah carian berkaitan Kajian Tindakan Pendidikan Islam yang telah saya muatkan dalam entry pada tahun 2009 sewaktu berada di SK Telok Menegon dulu.

Apa pun, sekalung penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada semua sahabat dan pengunjung yang sudi singgah di blog ini. Semoga ia dapat membantu anda mencari bahan yang dihajati. Salam ukhuwwah dari saya, mohon maaf atas kekurangan yang terdapat dalam blog ini. Moga Tahun 1433H dan 2012M ini akan memberi sinar kebahagiaan kepada kita semua...

Wassalam.

(Mode: Tension duk study untuk exam 3hb Januari nanti... ambil peluang up-dated blog dengan entry Tahun Baru 2012... doakan saya dan sahabat yang lain dalam exam sem 2 nanti yer ;) ... Syukran)

Popular Posts