Thursday, April 30, 2009

Nikmat Bermata Empat


Salam...

Entahlah, tiada tajuk lain yang terlintas untuk entri ini. Itu sahaja yang terlintas. Kenapa?

Hari ini, nikmat melihat saya tidak sesempurna insan yang lain. Terpaksa mengecilkan anak mata untuk memandang objek yang jauh.

"Kenapa pulak tu? Mana pergi cermin mata?" tanya seorang rakan.

Sedih sebenarnya, sebab perkara itu tidak mungkin terjadi kalau kita berhati-hati, beringat.

Tengah hari tadi, sesudah menjemput isteri dari klinik untuk pemeriksaan kandungan, saya merebahkan diri di hadapan tivi yang terletak di suatu sudut di dapur yang luas itu. Alhamdulillah tekanan darah isteri sudah naik,

"Dah naik 10.1 mg. Dah tak perlu ke klinik klang lagi, klinik kg jawa je lepas ni," ujar isteri kelegaan.

Kerana, klinik kg. jawa lebih dekat berbanding klinik ibu dan anak di klang yang juga sentiasa ramai dengan ibu-ibu yang lain-lama pula menunggu- di sana.

Sedang berehat, saya lupa menanggalkan cermin mata, seperti rutin. Biarkan ia melekat walaupun mata agak keletihan minta direhatkan.

"Kalau anak-anak datang 'terkam', mau patah cermin ni," bisik saya.

Saya masih bermalas-malas untuk bangun dan meletakkan cermin mata di tempat yang tinggi.

Anak-anak ligat bermain. Kejar mengejar, usik mengusik. Saya tidak betah melayan karenah mereka. Saya mahu rehat sekejap sebelum bersiap ke sekolah, sebentar lagi.

Tanpa diduga, anak sulung meluru laju ke arah saya sambil buku ditangan. Mungkin kerana tidak sempat membrek, buku yang dipegang tersentap ke muka saya.

MasyaAllah!!! Patah?

Apa yang dijangka, terjadi juga. Saya kaget. Masih terkejut. Tiba-tiba ingatan tertumpa pada surat cinta dari Polis Trafik yang masih belum terlunas.

Ya Allah... duit lagi. Saya mengeluh sendirian. Saya mengurung diri di dalam bilik seketika menenangkan diri. Tidak sanggup memarahi si abang kerana dia tidak sengaja, budak pulak tu!

Tiada perkataan dapat ditutur sepanjang saya bersiap ke sekolah. Masih tergamam. Bagaimana bisa untuk memandu ke sekolah dalam keadaan bermata dua, tidak bereempat lagi.

Saya cuba menyelongkar mencari cermin mata lama di dalam laci, mungkin masih boleh diguna sementara memandu ke sekolah. Bukaan yang terlalu besar, menyebabkan cermin mata lama itu sering menggelonsor ke bawah, agak tidak selesa.

Biarlah. Mungkin ini ujian buat saya. Duit boleh dicari, kan? Biar sesusah mana pun, untuk meneruskan hidup, insyaAllah ada la tu.

Saya terpaksa melihat dengan 'dua mata' sehingga ke kedai optometris malam ni atau pagi esok. Tapi esok cuti Hari Pekerja. Nak tak nak kena tunggu sampai hari Isnin la. Tak mengapa la... apa nak buat...

Nikmat bermata empat... hanya kami yang berkenaan sahaja yang mengerti...

Monday, April 27, 2009

Penawar buat yang 'sakit'

Risau saya memikirkan masa depan mereka. Semakin lama, semakin 'hebat' sikap mereka. Saya cuba menenangkan hati dan perasaan marah. Mereka tahu apa akan jadi kalau saya naik berang. Kelas yang saya masuk, akan kedengaran suara-suara yang bising dari dalam kelas...

"Ish... diam, Ustaz datang... "

"Eh... eh... Ustaz la woi... "

Saya cuba membuang title ustaz garang, ustaz bengis, ustaz 'beking'... saya juga ingin digelar ustaz baik, ustaz cool, ustaz sporting dan sebagainya. Bukan sebagai anugerah, tapi untuk kepuasan.

Saya cuba sedaya mungkin...


Minggu lepas saja, banyak insiden buruk yang berlaku. Seorang murid terseliuh tangan akibat tolak menolak semasa beratur, seorang lagi murid cedera pada ibu jari kaki akibat terpijak dawai kokot atas pentas, bergaduh dalam kelas dan mengacau murid perempuan.

Mereka baru sahaja ditahap satu. Tidak perlu menuding jari mencari puncanya. Semua pihak perlu bertanggungjawab.

Mereka cukup tegar. Setiap guru yang masuk ke kelas mereka, pasti akan meninggi suara, tak kira guru lelaki mahupun perempuan. Kalau guru perempuan, lagi lah.

GPI yang masuk bersama saya, seorang yang tenang dan penyabar. Agak jarang bercakap kasar, tinggi suara apatahlagi mencubit atau memukul.

Namun, bila tiba giliran kelas mereka, saya nampak kelainan pada wajahnya. Masam, marah, geram dan sebagainya. Lebih nampak tertekan jika saya tidak bersama, katanya. Kalau saya ada mesyuarat atau kursus yang menidakkan saya masuk bersamanya ke dalam kelas, GPI itu akan resah.

Sukar mengawal emosi marah.

Kenapa jadi begitu? Saya kekadang kesal dengan situasi ini. Mereka sudah tidak tahu menghormati guru, masih tersenyum walaupun bersalah... tidak menyiapkan kerja, meninggalkan buku di rumah, membuat bising, berbual sesama mereka walau guru sedang mengajar... dan macam2 lagi.

Saya sedang mencari di mana silapnya. Kebanyakan guru sudah malas melayan karenah mereka. Saya pernah menegur seorang rakan yang kerap meninggikan suara apabila mengajar kelas mereka. Sedangkan dia sedang hamil. Saya minta dia banyakkan bersabar, bimbang terkesan kepada kandungan.

Bagi saya, mereka ini agak 'istimewa'. Kerana saya terpaksa melayan mereka lebih daripada murid dalam kelas yang lain.

Saya perlu mendapatkan 'penawar' secepat mungkin sebelum semuanya terlambat. Tidak mahu berbunga rasa sesal bila semuanya sudah terjadi...

Saya bimbang dengan situasi sebegini. Setiapkali setelah api kemarahan saya reda, saya mengingatkan mereka pada tanggungjawab terhadap ibu bapa, kenang jasa mereka, pengorbanan mereka, kasih pada mereka dan sebagainya, agar terdetik rasa keinsafan yang lahir dari jiwa yang masih muda...

Saya pernah berbincang dengan guru senior, mendapatkan nasihat dari pengalaman mereka mengatasi masalah yang berlaku.

"Dalam ketegasan perlu ada kelembutan, dalam kelembutan pula ada ketegasan..." itu antara nasihat mereka kepada saya yang baru masuk tahun kelima bergelar pendidik di sini.

Buat semua pendidik, carilah penawar terbaik bagi setiap penyakit... kerana setiap penyakit itu ada penawarnya kecuali mati...

Sunday, April 26, 2009

Cuci Mata di PBAKL: Last Day

Salam,

Akhirnya, dapat kujejak juga di sini. Alhamdulillah. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bakal melabuhkan tirainya hari ini. Yang pasti, ramai pengunjung akan membanjiri PWTC.

Hari ni merupakan last day. Apa pun, mesti pergi juga. Semalam saya dan isteri bercadang untuk ke sana, langsung dari rumah Along di Bangi, selepas Angah berangkat ke Kelantan.

"Abang, rasa macam tak larat laa... budak-budak ni pulak meragam je nih... kita postpone esok je lah yer'" pinta isteri.

Walhal, isteri yang beria mengajak ke PBAKL. Saya menurut sahaja. Kesian juga. Dengan keadaan yang sarat lagi, anak-anak pun tak cukup tidur, jadi dari Bangi jam 12.00 tengah hari terus balik ke Klang.

Ya, itu semalam. Hari ni kami pergi juga. Bersiap-siap dan bertolak seawal jam 8.20 pagi.

Dah agak dah...hari ni last day pasti ramai pengunjungnya. Untuk menikmati suasana yang sesak itu, kami gagahkan diri juga. Bersama putera dan puteri kami. Huhu... bersesak-sesak dengan orang ramai, tangan Hajar dan Muazz dipimpin erat walau kekadang mereka cuba untuk meloloskan diri.

Tiga jam 'mencuci mata'... masih tidak sempat merayau seisi bangunan tapak pameran. Lama menyinggah di booth pendidikan awal anak-anak. Kami di'kidnapped' oleh seorang petugas di situ. Katanya 5 minit. Hampir setengah jam berlalu. Namun, penerangannya bagus. Menarik juga programnya, namun budget tidak mengizinkan, insyaAllah ada peluang nanti akan dibeli juga program tersebut.

Terserempak dengan beberapa sahabat lama. Seperti yang dijangka. Antaranya Ustaz Izhan Hamidi dan juga Frizdan.

Tidak banyak memborong, cuma beberapa buku sahaja. Saya mengerling gerai Alaf 21 yang menayangkan banyak novel-novel baru. Waduh... gian bangat ni. Dah lama tak melayan novel ni. Namun bila difikirkan, kurang masa untuk itu. Biarlah dulu. Keperluan lain masih perlu diutamakan.

Saya hanya membeli beberapa buku sahaja. Antaranya Bidadari Dari Timur, Bagaimana Meransang Seronok Belajar, Motivasi Alihan Pelajar, Saat Cinta Bertasbih dan Memoir Jihad Anak Melayu di Afghanistan serta beberapa buku untuk si kecil serta satu set Montessori untuk mereka. Isteri pula hanya membeli beberapa buah majalah Millenia. Buku-buku lain yang dirancang untuk dibeli, tidak terbeli.



Melihat isteri dan anak keletihan, saya mencadangkan agar berehat dan mencari food court yang sesuai.

"Banyak lagi yang belum disinggah... tak mengapa, lepas makan nanti sambung lagi," bisik hati kecil.

Saya pergi ke kereta untuk meletakkan buku-buku dah set montessori yang dibeli. Tak larat untuk di bawa ke hulu ke hilir. Isteri dan anak hanya menunggu di ruang legar tapak pameran.

Sesampai di tempat letak kereta, saya terlihat dua kelibat tubuh berpakaian seragam putih. Menggerunkan. Apa lak nih, kena saman ke?

Telahan saya memang tepat. Kelihatan tiket saman disisipkan pada wiper. Saya hanya menatap tiket saman itu dengan perasaan hiba. Berhabisan berbelanja di dalam, di luar ni pun kena 'belanja' juga. Hmm... saya menjeling kereta-kereta lain yang di 'parking' di kiri kanan jalan yang lain. Semua dapat 'surat jemputan' juga.

Melayang RM70. Begitu saja... bagai debu berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Arghhh... itu lah, dah tau salah letak kereta di situ, letak juga. Dah terima hukum. Itu hanya mainan di dunia ni.

Syariat Allah, kalau dipermainkan juga, yang salah dibuat, yang haram diturut, yang dilarang diikut, padahnya lagi amat dahsyat... peringatan buat diriku.

Nampak gaya, tak jadi nak teruskan niat menyambung 'langkah' ke gerai yang lain. Hasrat nak membeli beberapa buku lain juga dikuburkan. Mood telah hilang... terbang seperti gagak mencari makan...

Jam 1.30 petang, kami sampai di rumah. Sepanjang perjalanan, saya bermuhasabah, bermonolong lagi... koreksi diri, di masa salahnya... di mana silapnya... di mana kurangnya... ya, setiap apa yang berlaku, ada kisah di sebaliknya. Ada hikmah yang tersirat. Bila direnung, ada... memang ada... biar ia menjadi pedoman dan ingatan buat diriku...

PBAKL... tahun depan kita jumpa lagi... InsyaAllah.

Wednesday, April 22, 2009

Pesanan Buat Pendidik 2

Salam,

Entri kali ni menyambung beberapa pesanan yang dirujuk dalam sebuah kitab yang tidak ternilai bukan sahaja buat seorang pendidik, malah kepada ibu dan bapa yang baru menapak menelusuri jalan mencipta sebuah istana bahagia bersama anak-anak. Mengajar mengenal erti sebuah kehidupan.

Melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi:

Ertinya:

Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia.

Malah, saya tertarik juga dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tobrani;

Ertinya:

Lengkapkanlah anak-anakmu dengan tiga perkara: Cinta terhadap Nabi kamu, cinta terhadap ahli rumahtangganya dan selalu membaca Al-Quran

Selain himpunan hadith dan ayat suci yang terkandung dalam kitab tersebut, banyak kata-kata perangsang yang tertulis. Bukan kata-kata biasa, malah mampu menyirap ke sanubari seorang murabbi.

Antara wasiat Ibnu Sina dalam soal pendidikan anak-anak, katanya:

Hendaklah anak yang belajar di sekolah itu mempunyai teman-teman yang ramai, baik adabnya, senonoh adab dan tertibnya, kerana anak-anak itu akan meniru lagak dan tingkahlaku sesama mereka, ambil mengambil dan berkasih sayang

Antara kesungguhan lain yang jelas terlihat dalam pemilihan pendidikan anak-anak, melalui kata-kata Hisyam bin Abdul Malik kepada pendidik anaknya yang bernama Sulaiman Al-Kalbi.

Katanya;

Sesungguhnya anakku ini adalah cahaya mataku, dan kini aku telah serahkan kepadamu untuk kau mengajarinya. Maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, dan tunaikan amanah dengan sempurna.

Beliau menyambung lagi;

Mula-mula sekali, aku wasiatkan kepadamu supaya engkau membimbingnya dengan kitab Allah. Kemudian engkau lengkapkan dirinya dengan syair-syair yang terbaik sekali, kemudian engkau bawa dia mengelilingi perkampungan-perkampungan Arab, dan pilihlah syair-syair mereka yang terbaik sahaja, dan jangan lupa mengingatkannya dari hal halal dan haram. Ajarlah dia juga berpidato dan cara-cara berperang

Hebat bukan? Bersemangat saya membacanya. Bagaikan ada sebuah kekuatan muncul dalam diri. Begitu tinggi harapan seorang bapa tatkala menyerahkan anak untuk dididik seorang pendidik.

Mengapa masyarakat Arab begitu mengagungkan karya dalam bait-bait syair? Syair merupakan suatu yang indah, bukan calang-calang orang dapat menghasilkan karya syair yang begitu puitis menusuk kalbu, jua penuh bermakna.

Lihat juga, bagaimana soal halal dan haram dititikberatkan. Kita telah dedahkan perkara itu kepada murid-murid bukan? Ya, sememangnya. Namun, dapatkah mereka amalkan, hayati? Bila ditanya erti halal, haram, makruh, sunat dan harus,... lancar bibir menuturkannya.

Namun lekatkah dihati? Wallahu 'Alam. Bimbang saya dengan situasi kini.

Kenapa? Saya cukup risau. Anak-anak semakin membesar. Banyak yang dipelajari sehari-hari. Petang tadi saya telah dipertanggungjawabkan menyelesaikan satu kes. Cukup mengejutkan. Melibatkan murid tahun satu. Nanti lah, dalam entri yang akan datang, mungkin saya akan ceritakan.

Membaca kata-kata tersebut membuatkan saya bermonolog sendiri. Adakah saya mampu menjadi pendidik seumpama apa yang dikata? Adakah saya mampu membentuk akhlak anak-anak harapan keluarga sebagaimana yang diharapkan?

Wahai para pendidik, renungkanlah... tanggungjawab kita cukup besar... Laksanakanlah sebaiknya...

Tuesday, April 21, 2009

Bon Voyage...Oman

Dalam entri kali ni, saya nak ucapkan Selamat Berangkat dan 'Bon Voyage' kepada sahabat-sahabat Program j-QAF yang telah terpilih ke Oman bagi Program Pertukaran Kepakaran Malaysia-Oman khususnya dalam bidang pendidikan.

Semoga segala ilmu dan kepakaran yang diperolehi di sana akan dapat dikembangkan serta dikongsi bersama.

Kepada wakil Selangor, Akhi Mohd Ikmal Izwan Rosli dan sahabat dari Johor, Akhi Mior Syazril... selamat berangkat dan selamat kembali... jangan lupa sediakan Travelog dari Oman. Kami menanti suatu yang menarik dari sana.

Semoga program j-QAF akan lebih menarik dan mencabar sekembalinya kalian dari sana.

Selamat jalan...

Sunday, April 19, 2009

Pesanan Buat Pendidik

Dalam entri ni, suka saya untuk berkongsi apa yang dibaca.

Melalui buku Tarbiyatul Aulad karya Abdullah Nasih 'Ulwan, banyak yang dapat dijadikan sandaran dan panduan.

Dalam Bab Tanggungjawab Pendidik, ada dinyatakan:

Al-Jahizh telah meriwayatkan bahawasanya 'Uqbah bin Abu Sufyan, apabila menyerahkan anaknya kepada seorang pendidik, katanya:

Mula-mula sekali, sebelum engkau memperbaiki anakku, hendaklah engkau memperbaiki dirimu sendiri kerana matanya menumpu kepada matamu. Yang baik padanya adalah apa yang engkau pandang baik, yang buruk pula ialah apa yang engkau pandang buruk.

Katanya lagi:

Ajarkanlah dia perjalanan para ahli bijaksana dan akhlak para budiawan, dan ancamlah mereka dengan diriku, dan didiklah mereka tanpa membandingkan diriku. Dan jadilah baginya laksana seorang doktor yang tidak tergopoh-gopoh menentukan sesuatu ubat, sebelum dia tahu penyakitnya, jangan engkau bergantung atas keuzuran daripadaku, sebab sesungguhnya aku telah bergantung sepenuhnya kepada kebolehan dan pengalaman yang ada padamu...


Banyak lagi kata-kata menarik berunsur nasihat kepada insan bergelar guru, murabbi, pendidik, cikgu, mu'allim dan sebagainya. Begitu berat tugas kita sebenarnya.

Kata-kata yang bisa dijadikan renungan. Dengan tugasan yang banyak di sekolah, kita masih perlu menitipkan suatu yang bernilai buat 'anak-anak' kita.

Saya ingat lagi kata-kata Penyelia Petang saya dalam suatu mesyuarat ringkas bersama guru-guru sesi petang.

Katanya;

Treat them as your own child. Apa yang anda mahu orang lain (guru lain) lakukan pada anak anda, begitulah juga apa yang perlu anda lakukan. Hukum kita, hukum bertempat. Untuk mengajar, jangan mencederakan. Kalau tindakan cikgu semua betul, saya akan membela hak cikgu jika ada ibu bapa datang 'menyerang'... Don't be afraid! Selagi cikgu dipihak yang benar...

Itulah kata-kata Puan Susheela a/p Kannapathy yang begitu memahami tugas seorang pendidik. Saya hormat beliau. Bukan hanya kerana dia seorang pentadbir, kerana pengalaman dan nasihat serta sokongan yang diberi.

InsyaAllah dalam entri yang akan datang akan saya selitkan beberapa nasihat yang berguna buat kita melalui pembacaan dalam buku 'Pendidikan Anak-anak Dalam Islam' seterusnya. Bacaan yang sungguh menginsafkan. Semoga kemuliaan yang diharapkan dapat dilestarikan...

Apa yang Penting??? Kerjasama

Alamdulillah, diberi kesempatan untuk menulis lagi.

Semalam, selesai Kem Bestari Solat (KBS) untuk Tahun 1 Siri 1/2009. Ramai juga yang hadir. Menjangkau 160 orang daripada 198 murid. Mungkin ini pentanda yang baik. Moga dapat diteruskan pada siri-siri yang akan datang.

Fasi yang hadir juga, boleh tahan ramainya. 11 orang semuanya. Walaupun GPI + GPI j-QAF di sini ada seramai 15 orang (7+8), namun masing-masing ada komitmen yang lebih penting yang tidak dapat dielakkan, mungkin.


Pandangan saya terhadap kerjasama dan komitmen semua GPI dan GPI j-QAF?

Alhamdulillah, bagi saya semuanya bagus. Mampu memberikan kerjasama yang baik. Terutama sekali Ketua Panitia yang banyak membantu. Mujur beliau faham dan jelas konsep dan dasar j-QAF.

"Kita ni sebenarnya bertuah, kita dibantu oleh guru-guru j-QAF ni. Kita dibantu, bukan kita membantu... Kerajaan nak memperkasakan Pendidikan Islam... Mana ada kelas atau mata pelajaran yang diajar oleh 2 orang atau lebih? Kita bertuah... "

Itulah kata-kata KP saya kepada kami semua. Saya bangga dapat KP macam ni. Tak pernah merungut susah dan kesal.Saya akui, pada mulanya memang susah untuk menyatukan ukhuwwah semua GPI dan GPI j-QAF nih. Banyak masalahnya. Program j-QAF ni perlu difahami dasarnya. Perlu selari pelaksanaannya. Jika terabai dan diabai mana-mana aspek atau model, tak kemana lah kesannya nanti.

Sebagai Penyelaras j-QAF di sekolah, saya bertanggungjawab merungkai masalah yang timbul. Saya tidak selesa melihat pertengkaran, pertelingkahan dan permusuhan antara Guru-guru Agama ni. Saya mahu ukhuwwah yang dibina utuh. Kuat. Teguh.

Persoalan KBS. KBS perlu dilaksanakan secara berasingan bagi setiap aliran. Itu kehendak dan arahan pentadbir. Kami akur. SYMP. Jadi, kami perlu laksanakan 20 siri kem sepanjang tahun. 5 kem (siri 1) sudah selesai. Masih ada 15 siri lagi berbaki.

Pernah suatu masa dalam mesyuarat, pihak pentadbir melonggarkan keterlibatan dan kehadiran GPI ke KBS. Atas alasan, KBS program j-QAF. Jadi, GPI j-QAF sahaja yang wajib mengendalikan KBS.

Atas rasa keprihatinan dan tanggungjawab, saya bangun mencelah. Saya menegaskan, semua program j-QAF, sama ada Tasmik, KBS atau apa jua aktiviti yang dilaksanakan atas nama j-QAF, semua GPI dan GPI j-QAF perlu bekerjasama. Tiada pilihan lain. Semuanya telah termaktub didalam buku Dasar dan Buku Panduan. Malah penegasan daripada pihak JPS juga pernah dikeluarkan melalui surat siarannya.

Saya bangun mencelah bukan sebab saya ego atau tak mahu kerja jadi susah. Bukan kerana dengkikan GPI. Bukan sama sekali.

Kami telah berjaya wujudkan hubungan yang baik. Selama ini, semua kerja dan tugas dilakukan bersama. Jika pihak pentadbir cuba melonggarkan semuanya, maka pincanglah segala hasrat.

Yang pasti, kata-kata saya tadi hanya dipandang sepi. Bisu tidak berbalas. Tak mengapa, selagi niat saya baik.

Masalah yang wujud antara GPI dan GPI j-QAF perlu dirungkai segera sebelum parah dan bernanah. Tahun 2008, saya berkesempatan menghadiri Kursus Jurulatih Utama Pendidikan Islam KBSR (Peringkat Kebangsaan). Di situ juga banyak isu yang melibatkan kedua-dua status guru agama ini ditimbulkan.

Kita perlu berlapang dada. Kita perlu menerima dan memberi. Give and take. Bertolak ansur dan ketepikan ego. Masing-masing perlu memahami tugas yang diberi. Tidak perlu menuding jari siapa hebat, siapa bagus.

Setiap orang ada kelebihan dan kelemahannya. Jadi, ambil yang positif. Buang yang negatif. Saya lihat, jika pentadbir mampu menguasai dan memahami kehendak dalam program j-QAF ini, sudah pasti kefahaman yang jelas akan dapat dihayati oleh segenap warga pendidik di sekolah. Pasti guru-guru akademik lain bersedia membantu melaksanakan KBS mahupun Tasmik.

Ada juga kedengaran untuk menubuhkan kesatuan guru-guru j-QAF. Sama ada berteraskan kebajikan atau berperanan menyelesaikan masalah yang wujud, terpulanglah. Yang pasti, program j-QAF kian melangkah ke tahun ke-6 tahun 2010. Disitulah hasil yang ditanam dapat dituai. Baik atau sebaliknya, kita yang tentukan.

Bulan Ogos atau September nanti, kami warga Panitia Pendidikan Islam j-QAF merancang untuk melaksanakan Family Day. Berehat dan bersantai bersama keluarga. Dimana? Masih mencari tempat yang sesuai. Moga-moga dengan aktiviti ini akan menghilangkan rasa penat, tension, tertekan dan sebagainya, insyaAllah...

Bak kata Lenny, Tuck dan Ming-Ming... Apa yang penting??? Pikir la sendiri...

Friday, April 17, 2009

Pencinta Buku


Himpunan manusia yang pasti menggamatkan dunia pencinta ilmu dan peminat buku. Acara tahunan yang diadakan khusus bagi insan yang dahagakan bacaan baru. Buku ilmiah, kitab agama, novel, motivasi dan sebagainya pasti menyentap jiwa yang memerlukannya.

Persediaan yang perlu dibuat:

  1. buat budget sebaiknya. Kelabu mata bila dah ke sana nanti
  2. beli buku yang perlu sahaja. Kalau yang tak berapa perlu, baca je kat sana... huhu. 17-26 April... Lama tu. Boleh pergi tiap hari, lepak kat gerai tu, baca la buku yang kita minat kalau tak nak beli... tu pun kalau tak tau malu la. Buat muka selambau...
  3. kalau ada anak kecil, rasa-rasanya tak usahlah bawa. Terutama yang lasak. Takut ibu bapa 'ghalit' dan seronok memilih buku, anak entah ke mana... tempat ramai, sukar di jaga. Tapi anak2 ni perlu juga diajar cara memilih buku dan menghargai ilmu ni. Kena bawak juga ke kedai-kedai buku. Kena tengok dan awasi la yer. Bahaya dan malang tak berbau...
  4. jangan bawak duit banyak sangat. Tinggalkan kad bank di rumah. Huhu... takut gila nak beli banyak buku. Tapi kalau sesapa yang memang dah budget setahun untuk ke PBAKL ni, apa lagi... inilah masanya ana berbelanja.
Kekedang PBAKL ni berjaya menemukan sahabat lama yang telah lama tidak bersua. Tak sedar sedang asyik memilih buku, sahabat lama berada di sebelah. Sedang jalan-jalan gerai ke gerai, berselisih bahu dengan geng dulu. Huhu... pasti seronok kan. Dah jumpa, ajak pulak minum dan makan kat gerai-gerai yang ada. Wah... pasti banyak cerita yang diborak.

InsyaAllah, 2 minggu yang ada ni... akan dicari masa yang sesuai untuk ke sana. Nak cari bahan-bahan yang menarik untuk bekalan seorang pendidik a.k.a Murabbi. Sambil mengintai bahan bacaan santai tatkala diri dirundung duka.

Wednesday, April 15, 2009

Jom Beli Rumah

Siap juga akhirnya. Ingatkan saja suka-suka. Semuanya hasil kerja tangan Hisyam. Rajin betul dia nak tolong cat blog saya nih.

Memang dah lama nak renovate blog nih. Tapi tak berkesempatan ditambah dengan serik dah nak tukar-tukar template ni. Sebabnya pengalaman sebelum ni, banyak gadget dah hilang walaupun dan buat back up. Sebabnya tak bertanya kepada yang pakar.

So, dah ada pakar nih, senang la nak rujuk. Thanks Sham. Walaupun sibuk sebagai Pegawai Sulh di Kuantan, masih mampu menggodek blog saya. Hasilnya, not bad...nice.


Setiap orang pasti ingin memiliki rumah sendiri. Dah lama dah berangan nak buat rumah. Tak kesah la kat kampung atau kat klang nih. Janji rumah sendiri.

Tak larat nak menyewa lagi. Macam terbang cam tu je duit. RM500 sebulan. Banyak kalau dihitung hingga sekarang. Dah hampir 3 tahun menyewa. Kalau rumah sendiri, akhirnya jadi milik kita.

Takpe lah, mudah-mudahan Allah permudahkan urusan memiliki rumah sendiri nanti. Rumah idaman yang didambakan.

Kriteria yang diutamakan:
  • ruang tamu yang luas
  • halaman luar yang lapang untuk bercucuk tanam
  • bilik yang banyak (5-6 buah beserta tandas)
  • perabot yang kurang (bagi ruang rumah besar dan selesa)
  • ada ruang bacaan, ruang solat dan mini library
Harapnya kalau ada tetamu, sahabat handai, saudara mara dan adik beradik datang bertandang, keselesaan dapat diutamakan. Senang nak check in kat mana-mana bilik yang ada... huhu


Tunggu la beberapa tahun lagi... InsyaAllah

Monday, April 13, 2009

Ambil mana yang baik

Alhamdulilah,... itulah lafaz yang dapat diungkapkan. Tiada khabar atau berita sejak saya demam Rabu yang lalu. Kini, saya dah kembali ke sekolah, setelah mendapat cuti sakit selama 2 hari.

Semuanya bermula hari Selasa. Rasa tak sedap badan. Mulanya rasa macam sakit sendi2 je. Tubuh mula tampak lesu, tak bermaya. Tapi saya buat biasa. Malas nak layan perasaan sangat.

Terima kasih pada Hisyam yang tak serik berkunjung ke blog bertanya khabar, setia menanti sehingga sapaan berbalas. Tag pun belum berjawab. Maaf ye Syam...

Tugas saya minggu lepas, up-date fail dan dokumen berkaitan program j-QAF. Buat analisa dan laporan terkini (3 bulan pertama) berkaitan:

* pencapaian Al-Quran (tahun 1 hingga 5)
* pencapaian Pemulihan Jawi
* pencapaian KBS Siri Pertama
* PKSR Bahasa Arab

Dengan adanya 8 orang GPI j-QAF (termasuk saya), kerja kerji berkaitan j-QAF telah saya agih-agihkan. Harapan saya agar semua sahabat jQAF yang lain turut mampu menguasai bidang yang perlbagai dan arif tentang semua selok belok laporan dan sebagainya.

Jadi, saya cuma minta semua Penyelaras Tahun (1-5) untuk mengemaskini data pencapaian, kemudian saya kumpulkan, buat analisa dan laporan keseluruhan untuk dihantar kepada pihak pentadbir. Alhamdulillah, senang bila semua kerjasama. Macam apa yang Lenni, Tuck dan Ming-ming cakap... What's gonna work??? Teamwork... (Apa yang penting??? Kerjasama...)

So, saya cuba siapkan semuanya pada petang Hari Rabu, mengemaskini fail dan melengkapkan dokumen yang kurang lengkap.

Menjelang hari Rabu, tubuh rasa makin lesu dan tidak bermaya. Namun saya gagahkan diri untuk ke sekolah. Tapi cuma untuk beberapa jam. Sebab badan memang tak begitu mengizinkan saya berada lama di sekolah.

Setelah jumpa Penyelia Petang, beliau minta saya ke klinik. Risau takut demam denggi. Tak pun Chigukunya. Berdasarkan simpton yang saya ceritakan. Jadi, jam 4.30 petang saya pulang ke rumah.

Malamnya memang saya demam teruk. Menggigil satu badan. Kesejukan walaupun badan saya panas. Tidur berselimut malam tu.

Awal pagi, saya ke Klinik Husna. Dr. Rusna bagi saya MC 2 hari. Minta saya berehat. Demam Denggi sedang melanda Klang. Ada yang telah meragut nyawa. MasyaAllah...

Saya pulang ke rumah, makan ubat dan berehat. Malangnya, saya juga turut mengalami cirit birit. Ni yang tak tahan. Keluar masuk tandas... siapa la sanggup ye tak???

Jam 12.30 tengah hari, GPK telefon, minta saya ke sekolah segera kerana sekolah saya dilawati oleh Pemantau dari Jabatan Pelajaran Selangor, PPD Klang, PPD Gombak dan PPD Petaling Perdana. Waduh... mana bisa mau ke sekolah...

Saya terasa berat mulut memaklumkan bahawa saya MC 2 hari bermula hari itu. Kedengaran nada kecewa dari talian telefon. Apa kan daya, kalau demam, saya masih sanggup memandu ke sekolah. Sebab sebagai Penyelaras j-QAF, saya perlu berada di sekolah waktu ini. Namun dek kerana saya mengalami CB, tak daya saya melangkah lagi.

Saya cuma mengharapkan berita yang baik dari sahabat GPI j-QAF di sekolah. Moga semuanya berjalan lancar.

Sabtu saya ke sekolah. Cuti ganti Hari Raya Puasa. (Dah nak raya dah???)

Bertanyakan permasalahan semasa pemantauan... mulanya nada ceria. Kata mereka, pemantau memuji dan berpuas hati dengan pemantauan yang dilakukan. Begitu juga dengan pencerapan yang dibuat. Cuma... kalam terhenti. Nadanya bagai ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Setelah lama bercerita, segalanya terbentang hebat. Kenapa perkara sebegitu boleh timbul? Tak tergamak untuk saya ceritakan di sini. Bagai memburuk-burukkan sekolah sendiri. Biarlah pahitnya kami mamah dan telan bersama...

Saya cuba berlagak biasa. Seolah tiada apa yang berlaku. Malas nak banyak berfikir lagi. Biarlah tumpuan hanya pada murid. Bermula Selasa ini, Ujian Prestasi 2 akan bermula. Lebih baik saya membuat latih tubi murid untuk subjek Bahasa Arab dan juga membuat penilaian PKSR untuk bulan Mac yang tertangguh.

Itu lebih baik...
@mail01

Monday, April 06, 2009

Kecoh di Dunia...

Suasana di sekolah petang tadi agak kecoh. Memang kelam kabut. Masing-masing berlari lintang pukang.

Bukan kerana ada kebakaran. Bukan juga ada latihan 'fire drill' atau serangan orang gila.

"Ustaz, anak saya empat orang dah hilang ni, tak tau ke mana dah pergi..." keluh seorang ibu.

Kenapa pula macam tu.


Rupanya pintu pagar belakang tidak dibuka. Pintu tu menjadi laluan alternatif untuk murid keluar dan masuk ke sekolah. Apabila pintu pagar tidak dibuka, semua murid tahap satu berkeliaran lari untuk keluar melalui 2 pintu pagar yang lain, iaitu pintu masuk utama dan pintu berhampiran makmal komputer.

Saya lihat beberapa ibu dan bapa masih setia menanti anak mereka di pintu belakang. Terserlah kemarahan beberapa ibu dan bapa dengan tindakan tidak membuka pintu tersebut. Mungkin kecuaian daripada pihak pengawal keselamatan sekolah. Orang baru nampaknya. Masih muda.

Sungguh riuh rendah petang tadi. Ada yang marah-marah. Ibu ayah tercari-cari anak-anak mereka. Anak mencari ibu dan ayah. Masing-masing gawat.

Apabila kekecohon tersebut berlaku di depan mata, teringat peristiwa yang bakal berlaku apabila tibanya hari kiamat nanti. Hilang di sini, masih boleh dicari, tapi bila tiba saatnya... masing-masing mengejar urusan masing-masing.

Termaktub di dalam Surah 'Abasa:

Ertinya:

Pada hari seseorang itu lari daripada saudaranya. Dan ibunya serta bapanya. Dan isterinya serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seorang mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang menjadikan diri mereka sibuk dengan urusan diri mereka sahaja. (Surah Abasa: Ayat 34-37)

Tanda-tanda kecil kiamat makin banyak. Sedar atau tidak, kita makin menghampirinya. Semoga kita sentiasa bersedia untuk menghadapinya. InsyaAllah.

Sunday, April 05, 2009

Peluang Kerjaya... Mencari Jodoh

Pasti kita berasa puas bila dapat memberikan kepuasan kepada orang lain. Menggembirakan orang lain, buat kita juga rasa gembira...

Kerja Kosong

Tadi, sempat ber 'ym' dengan seorang sahabat sepengajian di universiti suatu masa dahulu. Sekarang beliau dah bergelar pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu.



Beliau memaklumkan pada saya ada kekosongan di sana. Sebagai Pensyarah. Antara bidang yang diperlukan ialah:

Pengajian Islam
Sains Politik
Sejarah Islam
Guru Bahasa Inggeris
Guru Bahasa Moden

dan baanyaaaak lagi.


Jadi, kepada sesiapa yang telah memiliki Master, sila la mohon sekarang. Mana tahu, rezeki anda ada di sana... kepada sahabat GPI j-QAF yang ingin mengubah selera, boleh la mohon gak. Mana tau nak tukar angin pulak... peluang nih. Bukan selalu datang. Tapi dengan syarat kena ada Master la yer...

Yang bestnya kepada sesapa yang berasal dari Terengganu dan Kelantan... dekat dengan kampung halaman. Bestnyer...

Ruginya takde Master lagi nih, huhu... baru tengah plan nak apply, tunggu zaujah siapkan disertasi dia dulu...

Jadi, kepada sesiapa yang berminat sila ke link ini untuk buat permohonan online, pastu bagitau la details kat saya, nanti leh la saya submit kat sahabat saya kat sana... InsyaAllah...

Kata sahabat saya tuh... "nak tulung saing-saing (kawan-kawan)"...

Bukankah tolong-menolong itu amalan yang mulia???

Wa ta'awanu a'la al-birri wa at-Taqwa, wa la ta'awanu 'ala al-ithmi wa al-'Udwan...

********

Mencari Jodoh

Cerita pasal tolong menolong nih, teringat cerita hari Jumaat baru nih. Sebelum pergi ke PPD Klang untuk Mesyuarat Pelaksanaan j-QAF 2009, saya menerima sepucuk surat dari seorang GPI j-QAF dari SK Sungai Kertas, Gombak. Memaklumkan beliau mencari 'pasangan' untuk program 'Tukar Suka Sama Suka'.


Begitulah usaha gigih seorang guru yang begitu semangat nak bertukar dari Gombak ke Daerah Klang @ Shah Alam (Petaling Utama / Petaling Perdana).

Setibanya saya di Bilik Mesyuarat PPD, ternampak kelibat seorang sahabat yang masih berulang alik dari Selayang ke Kapar. Saya terus teringatkan surat yang saya buka tadi. Beliau baru sahaja sembuh dari sakit akibat kemalangan jalan raya beberapa bulan yang lalu.

Saya terus mengkhabarkan surat yang saya terima. Tang tu jugak, sahabat saya menghubungi ustazah di Gombak tersebut.

Senyuman jelas terukir di wajahnya. Katanya kepada saya..."confirm... lepas ni buat surat je kat JPS... InsyaAllah, derita aku berulang jauh akan berakhir akhirnya..." ujarnya kegembiraan.

Kalu ikutkan, bukan dia yang sepatutnya datang ke mesyuarat petang tu. Itulah namanya takdir dan rezeki. Rezeki dia dapat bertukar ke Gombak, tidak lagi berulang jauh... Alhamdulillah.

Begitulah, masih ramai nasib sahabat saya yang berulang jauh sehingga 80 km setiap hari (pergi sahaja) semata-mata menjalankan tugas dan amanah.

Kepada Yahuza (Bangi ke Pulau Indah), Yusri (Petaling ke Pulau Indah) dan Hanafi (Bangi ke Kampung Jawa) yang masih keletihan menanti "pasangan" program Tukar Suka Sama Suka tu... bersabarlah yer... moga 'jodoh' kalian akan ketemu jua...

Wednesday, April 01, 2009

Cerpen 1: Terbelakah?

Renyai hujan menitik halus. Hisyam memasang wiper kereta bagi membuang titik air yang mengganggu pandangannya. Pandangannya tepat pada lampu merah yang menunggu masa untuk bertukar. Fikirannya menerawang jauh. Berserabut. Pening.

"Cikgu Syam, ada parents nak jumpa. Dia tunggu di bilik guru," sapa seorang teman, Cikgu Haslinda.

"Nak jumpa saya, kenapa?" Hisyam cuba mohon kepastian.

"Entahlah, katanya nak jumpa dengan cikgu, kemudian dia nak jumpa Guru Besar," jelas Haslinda lagi.



"Ada pukul budak ke?" tambahnya.

Hmm... Hisyam mula mengesyaki sesuatu. Ya. Mungkin insiden semalam yang menyebabkan parents itu ingin mengadapnya.

Hisyam menghayun langkah ke Bilik Guru. Sebatang tubuh lelaki berbadan tegap menanti di beranda aras 2.

Mungkin itulah orangnya, getus hatinya.

Hisyam menghulurkan salam selepas sapaan salam dilontar lembut.

"Saya ayah Kamarul," sapa bapa itu.

"Cikgu tampar anak saya semalam, kan?" bapa itu mula bertanya.

Hisyam teringat kisah semalam. Ya, memang dia tampar Kamarul. Tampar yang disudahi dengan nasihat. Tampar kerana tidak mendengar arahan setelah amaran diberi. Tampar kerana geram tidak siapkan kerja pada waktu yang diberi.

"Ya, saya ada menamparnya semalam. Saya minta maaf kalau itu tujuan encik ke mari," Hisyam bermanis muka.

Bapa itu masih tampak kemerahan. Menahan kemarahan. Hisyam tahu, jika dia menidakkan atau berhati keras pada waktu itu, mungkin keadaan bertambah keruh.

"Saya terdesak ke mari. Ibu Kamarul membuak marahnya. Dia ingin sangat berjumpa cikgu. Saya halang. Saya takut perkara buruk akan berlaku," jelas bapa itu lagi.

Perkara buruk? Sampai ke tahap itu?

"Isteri saya nak emelkan perkara ini kepada Kementerian Pelajaran. Bapa saudaranya juga seorang peguam."

Hisyam menghela nafas perlahan. Tergamam mendengar kalimah ayat dari bibir bapa itu.

"Kenapa sampai menampar anak saya?" bapa itu mohon penjelasan.

....................

Setelah semua arahan diberi, Hisyam meluru ke surau, untuk solat Asar.

"Pastikan kamu siapkan kerja ini. Jangan berbual atau membuat bising."

"Jasmin, tulis nama siapa yang bising"

Jasmin hanya mengangguk tanda faham.

Sekembali dari surau, Hisyam memeriksa kerja muridnya. Kamarul tersengih-sengih sendiri. Kerjanya belum berganjak. Masih di baris kedua. Ayat pun masih belum dibina.

"Kenapa tak siap lagi?"

"Dia bercakap dengan Yusri, cikgu" Jasmin memberi jawapan.

Kamarul hanya tersenyum bagai tidak bersalah.

Geram makin membuak. Tidak semena-mena satu tamparan hinggap di pipi Kamarul. Kamarul terdiam. Hisyam mula meronda kelas. Memerhati hasil kerja muridnya yang lain. Hisyam kembali memandang Kamarul. Di lihat sama ada ada kesan ataupun tidak tamparan tadi. Hisyam kesal. Bukan sengaja untuk menghukum. Tapi untuk mendidik. Arahan guru, jangan dipermain. Kalau nak berkat ilmunya, kena dengarlah.

Hisyam masih ingat, sewaktu dia sekolah dulu. Ada beberapa guru yang cukup digeruni. Ya, cubitan di perut, anak rambut dan rotan di tangan, pasti menggegarkan jiwa. Nak mengadu pada ayah atau mak, jauh sekali. Silap hari bulan, kena tambah lagi mungkin.

Hisyam kembali tersentak..

"Maafkan saya encik. Tidak ada niat untuk mendera, apatahlagi mencedera. Niat saya untuk mengajar dan mendidik. Kekadang timbul tindakan luar kawalan saya sendiri. Percayalah, bukan niat nak malukan anak encik"

"Saya tahu tindakan saya keras..."

"Ya memang keras," bapa itu mencelah.

"Ibunya sendiri tidak pernah menghukum apatahlagi memukul. Mencubit pun tidak pernah."

Hisyam hanya menunduk. Hisyam mohon bapa itu memahami apa yang dijelaskan tadi.

Beberapa ekor mata guru yang berada di aras bawah menjeling memerhati Hisyam dan bapa itu di aras 2. Hisyam pasti, sekejap lagi, heboh la cerita dia diserang bapa budak. Macam tu la yang selalu berlaku.

"Cikgu, saya faham. Saya pun dulu nakal. Anak saya pun memang nakal. Saya pernah dirotan dulu. 3 hari pun masih lagi berbekas. Takut nak beritahu ayah. Budak sekarang cepat mengadu. Saya tak salahkan cikgu. Cikgu buat mesti bersebab"

Hisyam memandang tepat mata bapa itu. Mengiyakan apa yang dikata.

"Isteri saya, tak boleh terima cikgu buat macam tu. Biasalah cikgu, ibu-ibu ni agak emosional pasal anak-anak. Cikgu dah kahwin?" sempat melontarkan soalan kepada Hisyam.

Hisyam mengangguk. Hisyam faham perasaan itu. Sekali lagi Hisyam menjelaskan, tindakannya itu bukan untuk memalukan atau mencederakan anaknya, sekadar peringatan dan hukuman atas kecuaian dan kealpaan.

"Beginilah cikgu, kita selesai di sini jelah. Tak payah dibesar-besarkan cerita ni. Tak payah lah nak masuk tv, keluar surat khabar."

"Balik nanti saya jelaskan kepada isteri saya"

Hisyam mula menguntum senyum. Syukur bapa itu memahami.

"Saya harap lepas ni, cikgu tak rasa menyesal. Jangan rasa bersalah lagi. Kalau nak hukum murid, silakan kalau itu yang terbaik. Maafkan saya ye cikgu"

Hisyam berjabat tangan dengan bapa Kamarul. Hisyam banyak bersyukur kerana bapa itu sudi berada ditempatnya seketika tadi. Merasa apa yang dirasa.

Namun, perasaan Hisyam masih terganggu. Hisyam masih teringat kisah yang melibatkan cikgu dalam tv dan akhbar. Hisyam tidak mahu itu berlaku pada dirinya.

Pertemuan empat mata bersama bapa itu memang menggangunya. Terngiang-ngiang kata-kata ugutan ibu Kamarul yang mahu memanjangkan perkara itu ke pihak atas. Hisyam cuba menenangkan dirinya. Siapa yang akan membela nasibnya nanti? Kepada siapa akan dia bergantung harap. Salahkah tindakannya itu? Terkesankah pada murid itu? Seribu macam persoalan yang tidak terungkai petang itu.

.....

Kereta diberhentikan perlahan. Isteri membuka pintu pagar. Menyambut kepulangan suami tersayang. Hisyam memandang wajah isterinya sepi. Senyumnya agak tawar.

Hisyam ingin melauhkan segalanya pada isterinya. Biar hilang rona dalam hati. Biar lenyap sebak dalam jiwa. Hisyam termenung. Terkenangkan apa akan jadi esok hari. Adakah Guru Besar akan menyalahkan dirinya? Mungkinkah dia akan disaman oleh ibu Kamarul? Mungkinkah juga dia bakal menghiasi dada akhbar, Seorang Guru di Saman... akibat memukul muridnya... pelbagai persoalan meruntun jiwanya...

Adakah aku benar-benar bersalah? Patutkah aku meminta maaf?

Azan maghrib berkumandang, melenyapkan sisa kerisauannya. Moga Allah tunjukkan jalan yang benar...

Popular Posts