Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts

Thursday, December 29, 2011

Dimana pilihan TERBAIK untuk anak-anak...



Saya memetik kata-kata seorang sahabat dalam sembang santai petang tadi...

"Sekarang, masa untuk kita menjadi kaya, demi masa depan anak-anak. Kita memerlukan wang yang banyak sebagai satu investment..."

Jujurnya, sebagai ibu bapa semestinya kita hendak yang terbaik untuk anak-anak. Demi masa depan yang sempurna. Tatkala mereka masih kecil, arah tuju mereka, kita yang aturkan. 'Remote' mereka, kita yang pegang. 'Channel' mana yang kita nak, kita yang tekan. Jangan sampai mereka sudah punya akal untuk memilih, malah menentukan sendiri arah laluan mereka. Tika itu, pepatah yang sesuai tidak lagi "melentur buluh biarlah dari rebungnya", tetapi yang paling sesuai "nasi susah menjadi bubur"...

Seawal usia 4 tahun lagi, ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak mereka, memilih pusat pendidikan seperi CIC, CEC, Cuedis, Smart Reader, Genius Aulad, Zul Iman dan macam-macam lagi. Yuran mahal? Itu tak penting bagi mereka, asalkan berbaloi 'pelaburan' yang mereka buat demi anak-anak.

Kita juga boleh lihat sekarang, kenapa agaknya sudah semakin ramai ibu bapa berpusu-pusu malah berebut-rebut untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama swasta, walaupun kita semua tahu, kos yuran yang mahal, tidak memungkinkan semua orang ke sana, apatahlagi dengan anak yang ramai!!!

Apa istimewanya sekolah agama swasta? Apa pula kurangnya di sekolah kebangsaan yang sudah diketahui umum bahawa yurannya telah dimansuhkan!

Saya sendiri pernah menjadi guru di salah sebuah sekolah agama swasta di Subang Jaya. Walaupun yuran yang dikenakan setiap bulan mencecah RM260 - RM320, namun sekolah tersebut mampu menarik ramai ibu bapa untuk menyekolahkan di situ.

Bukan semua ibu bapa tersebut terdiri daripada kategori 'orang berada' atau kaya. Ada juga yang pada hemat saya, berpendapatan sederhana. Tetapi masih sanggup untuk berkorban wang ringgit, sebagai pelaburan masa depan mereka.

Kesedaran ini telah lama wujud. Sewaktu saya mengajar di sekolah tersebut juga, ada ibu-ibu yang mengiringi anak ke sekolah tanpa menutup aurat dengan sempurna, berseluar pendek, tidak bertudung, berbaju T. Namun, mereka tetap mahukan pendidikan agama yang baik untuk anak-anak.

Teringat saya seorang ayah yang menghantar 3 orang anaknya (ketika itu di Tahun 3, Tahun 2 dan Tahun 1) di sekolah tersebut. Kalau dikira2, hampir RM720 sebulan tidak termasuk yuran pendaftaran hampir RM570 seorang.

Dia tidak mempunyai pendapatan tetap. Kerjanya hanya menjual nasi lemak di pasar malam. Orangnya cukup ramah, senyumnya juga tak lekang di bibir. Isteri membantu berniaga. Saya dikhabarkan juga waktu itu, seorang lagi anaknya akan sama-sama mengikut jejak langkah abang dan kakaknya di situ.

Terharu saya lihat kesungguhannya. Kenapa tidak saja dihantar anaknya ke sekolah kebangsaan yang pastinya akan meringankan beban mereka suami isteri?

Saya mengajar dua dari tiga anaknya. Anak-anak itu tidaklah sepintar mana, namun punya akhlak yang cukup cemerlang. Rendah diri, hormat guru, pandai berkawan. Sehingga sekarang, riak muka yang menyejukkan mata ini, sentiasa berligar di dalam benak.

Menurut bapa tadi, harapannya tak banyak. Cuma mahukan anak2nya mendapat ilmu dunia dan akhirat secara seimbang. Dia juga dambakan anak-anak yang punya akhlak soleh dan solehah. Mereka adalah aset untuk dia dan isteri tatkala tiba masa mengadap Ilahi.

Mungkin itu merupakan antara jawapan-jawapan yang akan diberi oleh ibu dan bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka di sekolah agama swasta, bukan di sekolah kebangsaan.

Mungkinkah ibu bapa sekarang ada yang tidak yakin atau kurang yakin dengan kurikulum yang ditawarkan di SK?

Mungkinkah juga, pengaruh yang tidak sihat yang semakin menular dikalangan remaja menjadi faktor untuk mereka menyekatnya dari awal?


Sebenarnya ibu bapa masih ada pilihan. Jika tidak mampu dari segi kewangan, namun masih mengharapkan ada kurikulum agama tambahan untuk anak-anak, mereka masih boleh pergi ke SRA di bawah seliaan JAIS atau KAFA di bawah seliaan JAWI.

Namun, ibu bapa berhak memilih yang terbaik untuk anak-anak mereka. Saya kagum dengan sahabat-sahabat yang mampu menghantar anak-anak mereka di sekolah swasta. Pilihan mereka, pasti yang terbaik. Sanggup sabar menunggu walaupun dalam 'waiting-list'. Sanggup ditemuduga, sanggup melalui ujian-ujian saringan dan macam-macam peringkat sebelum diterima masuk.

Bagi anda wahai pembaca,... dimana pilihan TERBAIK untuk anak-anak anda??? Kenapa itu pilihan anda??? Mari sama-sama kita kongsikan... Moga ia menjadi perkongsian yang bijak antara kita...

Tuesday, July 28, 2009

Bersabarlah bila kita diuji

"Ya... duk kat hospital. Mungkin lama lagi sebab hari Khamis baru boleh buat CT Scan. Tak elok sebenarnya mengadu susah kepada sesama makhluk, seolah-olah kita tak redho dengan ketentuan Ilahi. Kalau ada cinta-Nya dihati, pasti ujian berat pun terasa manis. Kawe jauh lagi dari tahap tu... HasbiyaLlahu Wa Ni'mal wakeel..."

"Ilham kena masa umur 50 hari. Sekarang dah 73 hari. Dia tak demam, tapi penyakit dia infantile spasm (sejenis sawan, tanpa tanda-tanda). Dalam banyak kes, punca penyakit unknown. Ilham pun sama, doktor masih mencari punca penyakit. Kalau tengok body dan berat, dia nampak ok dan sihat"

"...Sedih jugak, tapi dah nama hidup di dunia, kena sabar atas ujian. Orang lain lagi susah. Inna liLlahi wa inna ilaihi raaji'un...

=====

Itu lah sebahagian balasan SMS daripada sahabat saya, Mohd Arif yang sudah agak lama tidak ketemu. Berita tentang anaknya dimasukkan ke hospital pun, saya dapat tahu daripada emel MailingList alumni saya.

Anak keduanya, Ilham baru berusia 73 hari. Mula dihantar ke hospital ketika umurnya baru 50 hari. Saya, tahu... sahabat saya ni memang seorang yang kuat dan tabah. Membaca SMSnya sahaja telah membuatkan saya yakin, beliau mampu menghadapi ujian Allah ini dengan tabah. Pergantungannya kepada Allah cukup tinggi. Beliau begitu yakin, setiap makhluk di dunia pasti diuji.

Saya juga mendapat khabar yang tidak baik daripada Fared. Anak sahabat saya yang baru berusia beberapa bulan turut dimasukkan ke hospital. Terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkan darah beku. Mengikut maklumat yang saya terima, anaknya kini sedang mendapat rawatan susulan seperti fisioterapi, pediatrik dan neuro. Semoga Asfani dan Hidayati akan tabah juga. Baca cerita di sini.

Terdahulu, selepas kami menjalankan gathering di Putrajaya, anak kecil Fadzli dan Wahyuna (tuan rumah gathering) telah dimasukkan ke hospital. Akibat demam berlarutan. Kini Hannan sedang menerima antibiotik bagi memberi kekuatan pada dirinya.

Mungkin ini hanya sebahagian cerita dan berita yang saya tahu. Ada lagi yang tidak sampai ke telinga saya. Bila cerita ni tersebar, hanya doa dari para sahabat lain...amat diharapkan. Semoga si kecil yang diuji akan segera sembuh dan pulih. Semoga si ayah dan si ibu tidak kering air mata, mengenang nasib si kecil yang masih belum betah menerima sakit sebegitu.

Saya cuba menyelami hati dan perasaan sahabat-sahabat saya ini. Bagaimana mereka mengharungi kisah hidup apabila anak yang masih kecil merengek, menangis kerana kesakitan. Mungkin sekarang, mereka diuji... nasib kita, belum kita ketahuinya lagi. Kerana jika kita mengaku kita beriman, kita pasti akan diuji.

Firman Allah dalam Surah 'Ankabut, ayat 2-3 yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.

Semoga ujian Allah ke atas Arif, Asfani dan Fadzli serta keluarga akan menjadi iktibar buat semua dan akan menambahkan lagi pergantungan kepada Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui setiap apa yang berlaku ke atas kita.

Sahabat... bersabarlah dengan ujian yang ada...

Saturday, July 25, 2009

Salah Faham jee..

Salam...

Masing-masing menunggu. Usai solat hajat dan bacaan Yasin, sesi ceramah Israk dan Mikraj. Saya diminta oleh KP untuk menunggu penceramah di dataran sekolah.

Ya, penceramah tersohor... pasti ramai yang teruja. Seisi sekolah sangat menanti kehadiran penceramah tersebut.

Saya cuba menghubungi penceramah yang masih belum kelihatan walaupun jam menunjukkan jam pukul 9 pagi. Saya bimbang kalau-kalau ada masalah yang timbul.

Saya cuba menghubungi beliau melalui telefon bimbit, nombor yang saya ambil dari rakan saya, Frizdan.

Saya agak terkejut, apabila setelah saya berjaya menembusi talian, beliau bertanya semula kepada saya:

"Jadi ke ni Ustaz? Takde orang yang confirmkan pun..."

"Ye ker...? Hmm... saya dimaklumkan, dah ada yang confirmkan...abis tu macamana ni ustaz?"

Saya yakin, ramai yang kecewa. Orang yang dinanti... tak dapat datang... hanya kerana salah faham...

Yang pasti, kami semua (Panitia Agama Islam) terus dipersalahkan atas kecuaian ini...

Saya hanya membisu. Rakan saya yang ditaklifkan menghubungi Ustaz tadi pun, diam. Rasa bersalah mula menyelubungi dirinya. Saya, sebagai rakan, hanya mendengar luahan dan keluhan, serta rasa sesal yang berbuah lebat.

Orang yang paling dipersalahkan dalam hal ini, tak lain tak bukan, KP kami. Kesian saya tengok dia. Dalam keadaan yang sedang sarat, menanti hari sahaja... pelbagai kata-kata yang kurang enak didengar, terpancul keluar dari mulut-mulut yang tidak berlesen. Hampir-hampir beliau menitikkan air mata. Saya lihat matanya merah... Dah banyak yang beliau lakukan. Walaupun seksa dengan keadaannya, beliau masih gagah ke hulu dan ke hilir.

Namun bila jadi macam nih, kena juga atas kepala.

Sabar je lah kak... Akak dah jalankan tugas dengan baik... akak juga dah ingatkan agar dihubungi peceramah semalam, namun tiada tindakan daripada insan yang tertaklif.

Ahirnya majlis diteruskan dengan Ceramah Motivasi yang sebenarnya dijadualkan selepas Ceramah Israk Mikraj. Kami juga meminta Ustaz yang dijemput mengendalikan ceramah motivasi itu menyelitkan sama dalam ceramahnya intipati berkisar Israk dan Mikraj. Terima kasih Ustaz Sayuti... jasamu dikenang!!!

Pengajaran daripada isu ini:
  1. Perlu dibuat mesyuarat setiap kali ingin mengadakan aktiviti sekolah yang melibatkan orang luar. Ibu bapa yang datang juga ada yang terkilan... apa nak buat
  2. Setiap AJK yang diamanahkan tugas, perlu 'alert' dengan taklifan masing-masing.
  3. Perlu ada 'back-up' dan 'stand-by' daripada mana-mana Ustaz sekolah sendiri untuk mengisi ruang ada
  4. Jangan mudah menuding jari... mencari salah dan mengungkit perkara yang sama. Yang silap, sama-sama diperbetulkan.
  5. Hayati kisah dan iktibar disebalik sirah Israk dan Mikraj Nabi Muhammad... itu yang kita mahukan sebenarnya, kan?
  6. Sama-sama bermuhasabah atas kelemahan diri sendiri.
Kepada semua yang terlibat dalam majlis hari ini, JazakaLlahu Khairal Jaza'... Hanya ALLAH yang dapat membalas jasamu.

Kepada Ustaz A, kami juga mohon maaf atas salah faham yang timbul, InsyaAllah jika ada masa, kami akan jemput.

Tuesday, July 21, 2009

Indahnya Hidup Bersyariat

Salam...

Semalam, usai dari mesyuarat saya terpandang dua buah kotak berisi buku dalam bonet kereta seorang rakan, Ustaz Hazri. Saya pernah melihat dan membaca buku itu, namun belum berkesempatan memilikinya.

Namun, peluang yang ada, saya rebut. Saya segera mendapatkan buku tersebut daripada Ustaz Hazri. Terima kasih atas harga istimewa yang diberikan... JazakaLlahu Khairal Jaza'...

Bukunya cukup menarik. Bagi saya, sangat sesuai untuk semua orang, tak kira yang alim, atau baru nak mengenal. Isinya cukup ringkas dan padat. Sesuai untuk bacaan umum. Olahannya juga mudah difahami.

Yang menarik, semua helaian buku berkulit tebal ini adalah licin dan cantik. Ilustrasinya juga menarik, grafiknya juga hebat. Walaupun tiada huraian yang berjela, namun boleh dijadikan rujukan dan bahan bacaan. Untuk tambahan, boleh dirujuk kitab Muktabar lain.


Isi buku INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT ini merupakan panduan untuk diri sendiri (fardu ain), seisi keluarga, masyarakat dan umat sejagat (fardu kifayah). Ia merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, penekaan pendidikan remaja, hukum-hakam muamalat (jual beli), munahakat (nikah kahwin dan rumah tangga) serta amalan zikir, doa dan adab. Semua ilmu bersumberkan al-Quran dan hadis sahih.

Bak kata sahabat saya Ustaz Nazib:

Buku ini memuatkan modul Fardhu Ain diri, keluarga dan masyarakat sepanjang hayat. Buku yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd ini dihasilkan daripada kolaborasi mantap Al-Fadzil Ustaz Dato' Ismail Kamus dan Ustaz Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid (Pensyarah Pusat Matrikulasi UIAM).

Katanya lagi...

Dengan berbelanja RM55.00 untuk buku ini saya berpendapat ia sangat-sangat berbaloi dan anda pasti tidak akan menyesal setelah memilikinya. Buku ini amat sesuai untuk rujukan institusi pendidikan di semua peringkat serta boleh dijadikan bahan tazkirah dalam laman blog anda. Saya bukan ape, cuma nak tolong promosi benda-benda yang bagus!

Saya jawab...

Saya pun begitu juga... : )

Monday, July 13, 2009

Work Smart

Tengah hari tadi saya mengadap Guru Besar bagi merungkai beberapa masalah yang timbul. Hasrat saya agar perjalanan program j-QAF sentiasa dipantau oleh pentadbir agar dapat dikenalpasti masalah dalaman dan luaran serta diambil segera jalan penyelesaiannya.

Selaku penyelaras, saya bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku. Saya perlu sentiasa meng'update' perjalanan program j-QAF di sini. Kekadang kita mungkin alpa dan leka... bertangguh kerja menyebabkan bebanan kerja semakin menimbun.

Saya menyarankan dan meminta semua rakan guru j-QAF saya menyediakan Laporan 6 Bulan Pertama bagi setiap Unit. Setiap unit ada penyelarasnya.

Penyelaras Al-Quran, Penyelaras Tasmik, Penyelaras Pemulihan Jawi, Penyelaras KBS, Penyelaras Bahasa Arab, Inventori, Bahan Bantu, Info, Data Murid dan beberapa unit lagi.

Setiap penyelaras hanya perlu menyatakan perjalanan dan pelaksanaan unit bermula Januari hingga Jun, menerangkan masalah yang wujud serta cadangan penyelesaian, juga perancangan unit untuk Bulan Julai hingga November 2009.

Setiap unit perlu menyerahkan Laporan Unit selewat-lewatnya 1 Ogos 2009 untuk diserahkan kepada pentadbir sekolah.

Tujuan saya agar setiap unit peka dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kerja kena 'smart' agar hasilnya juga 'smart'...

Semoga kita lakukan yang terbaik...

Ingat motto kita... "j-QAF Tanpa Gagal"

Tuesday, June 30, 2009

Analisa dan Muhasabah Diri...

Salam

Semalam, saya sudah selesai menyiapkan data e-Laporan bagi bulan JUN.

Agihan tugas kepada 6 orang GPI j-QAF (tidak termasuk seorang cuti bersalin dan seorang lagi sedang berKISSM) amat memudahkan kerja saya. Amalan agihan tugas ini saya praktikkan bermula tahun 2007. Semuanya berjalan lancar, Alhamdulillah.


Cuma kali ini, saya agak berasa lega kerana saya dapat mengIMPORT dan mengEKSPORT data terus melalui laptop saya ini, tidak lagi desktop di bilik j-QAF. Ini kerana saya menggunakan Windows Vista dan Office 2007, jadi ada masalah sebelum ini (Run Time Error).

Jadi terpaksalah saya 'bermalam kemalaman' di sekolah pada tahun lalu, hanya untuk proses IMPORT dan EKSPORT. (Siangnya, guru lain mengisi data, berebut komputer...)

Keputusan pencapaian keseluruhan


Tugas saya (selain menyiapkan data 4 buah kelas), seperti biasa ialah meng'IMPORT' dan meng'EKSPORT' data tersebut untuk diserahkan kepada PPD pada 2 Julai nanti.

Namun, setelah saya siap meng'IMPORT' semua data 27 buah kelas, saya amat 'terkezut' dengan pencapaian Jawi Tahun 5. Saya telah bertemu dengan teman seGPI j-QAF yang mengajar di Tahun 4 dan 5 bagi mendapatkan kepastian, kenapa keputusannya sedemikian rupa.

Hasil perbincangan, antara masalah yang dikenalpasti, kesediaan murid untuk berubah. Ada yang agak malas untuk menulis, apatahlagi membaca. Hatta yang tidak mengenal huruf pun ada lagi!

Saya amat teruja (tergamam sebenarnya) dengan situasi ini. Saya berbincang dengan Ketua Panitia agar langkah drastik dan pro-aktif SEGERA diambil.

Kenapa masih wujud murid yang lemah jawi sedangkan kelas pemulihan telah dilaksanakan? Semua pihak (kami semua) perlu bertindak!

Pastinya semua tidak mahu tangan dituding mencari siapa yang betul, siapa yang salah! Mengikut statistik dan analisa keseluruhan semua matapelajaran, pencapaian murid Tahun 5 agak kurang memuaskan. Khususnya 5 yang agak 'istimewa'.

Sudah banyak rungutan yang saya dengar tentang kelas itu. Rasanya ada sesuatu yang perlu dilakukan. Post-moterm mencari punca masalah, dan bertindak menyelesaikan masalah tersebut. Itu yang penting, sekarang!

Laporan Tasmik (Pencapaian semasa) murid Tahun 1 hingga Tahun 5 sedang disiapkan. Kehadiran murid ke kelas Tasmik juga kian merosot. Kami semakin buntu. Surat telah diedarkan, murid telah dikerah. Namun hanya muka yang sama sahaja muncul untuk ditasmik.

Saya dan rakan setugas perlu mencari jalan. Jangan sampai kami semua di'tegur' dek kecuaian kami sendiri. Tapi bagi saya, sekiranya semua pihak memberikan kerjasama yang baik, semua masalah pasti dapat diselesaikan.

Semoga analisa yang kami peroleh, menjadi landasan untuk kami bermuhasabah tentang kewajipan kami semua. Mencari di mana silapnya, mengubat barah yang kian bernanah!

Sunday, April 26, 2009

Cuci Mata di PBAKL: Last Day

Salam,

Akhirnya, dapat kujejak juga di sini. Alhamdulillah. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bakal melabuhkan tirainya hari ini. Yang pasti, ramai pengunjung akan membanjiri PWTC.

Hari ni merupakan last day. Apa pun, mesti pergi juga. Semalam saya dan isteri bercadang untuk ke sana, langsung dari rumah Along di Bangi, selepas Angah berangkat ke Kelantan.

"Abang, rasa macam tak larat laa... budak-budak ni pulak meragam je nih... kita postpone esok je lah yer'" pinta isteri.

Walhal, isteri yang beria mengajak ke PBAKL. Saya menurut sahaja. Kesian juga. Dengan keadaan yang sarat lagi, anak-anak pun tak cukup tidur, jadi dari Bangi jam 12.00 tengah hari terus balik ke Klang.

Ya, itu semalam. Hari ni kami pergi juga. Bersiap-siap dan bertolak seawal jam 8.20 pagi.

Dah agak dah...hari ni last day pasti ramai pengunjungnya. Untuk menikmati suasana yang sesak itu, kami gagahkan diri juga. Bersama putera dan puteri kami. Huhu... bersesak-sesak dengan orang ramai, tangan Hajar dan Muazz dipimpin erat walau kekadang mereka cuba untuk meloloskan diri.

Tiga jam 'mencuci mata'... masih tidak sempat merayau seisi bangunan tapak pameran. Lama menyinggah di booth pendidikan awal anak-anak. Kami di'kidnapped' oleh seorang petugas di situ. Katanya 5 minit. Hampir setengah jam berlalu. Namun, penerangannya bagus. Menarik juga programnya, namun budget tidak mengizinkan, insyaAllah ada peluang nanti akan dibeli juga program tersebut.

Terserempak dengan beberapa sahabat lama. Seperti yang dijangka. Antaranya Ustaz Izhan Hamidi dan juga Frizdan.

Tidak banyak memborong, cuma beberapa buku sahaja. Saya mengerling gerai Alaf 21 yang menayangkan banyak novel-novel baru. Waduh... gian bangat ni. Dah lama tak melayan novel ni. Namun bila difikirkan, kurang masa untuk itu. Biarlah dulu. Keperluan lain masih perlu diutamakan.

Saya hanya membeli beberapa buku sahaja. Antaranya Bidadari Dari Timur, Bagaimana Meransang Seronok Belajar, Motivasi Alihan Pelajar, Saat Cinta Bertasbih dan Memoir Jihad Anak Melayu di Afghanistan serta beberapa buku untuk si kecil serta satu set Montessori untuk mereka. Isteri pula hanya membeli beberapa buah majalah Millenia. Buku-buku lain yang dirancang untuk dibeli, tidak terbeli.



Melihat isteri dan anak keletihan, saya mencadangkan agar berehat dan mencari food court yang sesuai.

"Banyak lagi yang belum disinggah... tak mengapa, lepas makan nanti sambung lagi," bisik hati kecil.

Saya pergi ke kereta untuk meletakkan buku-buku dah set montessori yang dibeli. Tak larat untuk di bawa ke hulu ke hilir. Isteri dan anak hanya menunggu di ruang legar tapak pameran.

Sesampai di tempat letak kereta, saya terlihat dua kelibat tubuh berpakaian seragam putih. Menggerunkan. Apa lak nih, kena saman ke?

Telahan saya memang tepat. Kelihatan tiket saman disisipkan pada wiper. Saya hanya menatap tiket saman itu dengan perasaan hiba. Berhabisan berbelanja di dalam, di luar ni pun kena 'belanja' juga. Hmm... saya menjeling kereta-kereta lain yang di 'parking' di kiri kanan jalan yang lain. Semua dapat 'surat jemputan' juga.

Melayang RM70. Begitu saja... bagai debu berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Arghhh... itu lah, dah tau salah letak kereta di situ, letak juga. Dah terima hukum. Itu hanya mainan di dunia ni.

Syariat Allah, kalau dipermainkan juga, yang salah dibuat, yang haram diturut, yang dilarang diikut, padahnya lagi amat dahsyat... peringatan buat diriku.

Nampak gaya, tak jadi nak teruskan niat menyambung 'langkah' ke gerai yang lain. Hasrat nak membeli beberapa buku lain juga dikuburkan. Mood telah hilang... terbang seperti gagak mencari makan...

Jam 1.30 petang, kami sampai di rumah. Sepanjang perjalanan, saya bermuhasabah, bermonolong lagi... koreksi diri, di masa salahnya... di mana silapnya... di mana kurangnya... ya, setiap apa yang berlaku, ada kisah di sebaliknya. Ada hikmah yang tersirat. Bila direnung, ada... memang ada... biar ia menjadi pedoman dan ingatan buat diriku...

PBAKL... tahun depan kita jumpa lagi... InsyaAllah.

Wednesday, April 22, 2009

Pesanan Buat Pendidik 2

Salam,

Entri kali ni menyambung beberapa pesanan yang dirujuk dalam sebuah kitab yang tidak ternilai bukan sahaja buat seorang pendidik, malah kepada ibu dan bapa yang baru menapak menelusuri jalan mencipta sebuah istana bahagia bersama anak-anak. Mengajar mengenal erti sebuah kehidupan.

Melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi:

Ertinya:

Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia.

Malah, saya tertarik juga dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tobrani;

Ertinya:

Lengkapkanlah anak-anakmu dengan tiga perkara: Cinta terhadap Nabi kamu, cinta terhadap ahli rumahtangganya dan selalu membaca Al-Quran

Selain himpunan hadith dan ayat suci yang terkandung dalam kitab tersebut, banyak kata-kata perangsang yang tertulis. Bukan kata-kata biasa, malah mampu menyirap ke sanubari seorang murabbi.

Antara wasiat Ibnu Sina dalam soal pendidikan anak-anak, katanya:

Hendaklah anak yang belajar di sekolah itu mempunyai teman-teman yang ramai, baik adabnya, senonoh adab dan tertibnya, kerana anak-anak itu akan meniru lagak dan tingkahlaku sesama mereka, ambil mengambil dan berkasih sayang

Antara kesungguhan lain yang jelas terlihat dalam pemilihan pendidikan anak-anak, melalui kata-kata Hisyam bin Abdul Malik kepada pendidik anaknya yang bernama Sulaiman Al-Kalbi.

Katanya;

Sesungguhnya anakku ini adalah cahaya mataku, dan kini aku telah serahkan kepadamu untuk kau mengajarinya. Maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, dan tunaikan amanah dengan sempurna.

Beliau menyambung lagi;

Mula-mula sekali, aku wasiatkan kepadamu supaya engkau membimbingnya dengan kitab Allah. Kemudian engkau lengkapkan dirinya dengan syair-syair yang terbaik sekali, kemudian engkau bawa dia mengelilingi perkampungan-perkampungan Arab, dan pilihlah syair-syair mereka yang terbaik sahaja, dan jangan lupa mengingatkannya dari hal halal dan haram. Ajarlah dia juga berpidato dan cara-cara berperang

Hebat bukan? Bersemangat saya membacanya. Bagaikan ada sebuah kekuatan muncul dalam diri. Begitu tinggi harapan seorang bapa tatkala menyerahkan anak untuk dididik seorang pendidik.

Mengapa masyarakat Arab begitu mengagungkan karya dalam bait-bait syair? Syair merupakan suatu yang indah, bukan calang-calang orang dapat menghasilkan karya syair yang begitu puitis menusuk kalbu, jua penuh bermakna.

Lihat juga, bagaimana soal halal dan haram dititikberatkan. Kita telah dedahkan perkara itu kepada murid-murid bukan? Ya, sememangnya. Namun, dapatkah mereka amalkan, hayati? Bila ditanya erti halal, haram, makruh, sunat dan harus,... lancar bibir menuturkannya.

Namun lekatkah dihati? Wallahu 'Alam. Bimbang saya dengan situasi kini.

Kenapa? Saya cukup risau. Anak-anak semakin membesar. Banyak yang dipelajari sehari-hari. Petang tadi saya telah dipertanggungjawabkan menyelesaikan satu kes. Cukup mengejutkan. Melibatkan murid tahun satu. Nanti lah, dalam entri yang akan datang, mungkin saya akan ceritakan.

Membaca kata-kata tersebut membuatkan saya bermonolog sendiri. Adakah saya mampu menjadi pendidik seumpama apa yang dikata? Adakah saya mampu membentuk akhlak anak-anak harapan keluarga sebagaimana yang diharapkan?

Wahai para pendidik, renungkanlah... tanggungjawab kita cukup besar... Laksanakanlah sebaiknya...

Sunday, April 19, 2009

Pesanan Buat Pendidik

Dalam entri ni, suka saya untuk berkongsi apa yang dibaca.

Melalui buku Tarbiyatul Aulad karya Abdullah Nasih 'Ulwan, banyak yang dapat dijadikan sandaran dan panduan.

Dalam Bab Tanggungjawab Pendidik, ada dinyatakan:

Al-Jahizh telah meriwayatkan bahawasanya 'Uqbah bin Abu Sufyan, apabila menyerahkan anaknya kepada seorang pendidik, katanya:

Mula-mula sekali, sebelum engkau memperbaiki anakku, hendaklah engkau memperbaiki dirimu sendiri kerana matanya menumpu kepada matamu. Yang baik padanya adalah apa yang engkau pandang baik, yang buruk pula ialah apa yang engkau pandang buruk.

Katanya lagi:

Ajarkanlah dia perjalanan para ahli bijaksana dan akhlak para budiawan, dan ancamlah mereka dengan diriku, dan didiklah mereka tanpa membandingkan diriku. Dan jadilah baginya laksana seorang doktor yang tidak tergopoh-gopoh menentukan sesuatu ubat, sebelum dia tahu penyakitnya, jangan engkau bergantung atas keuzuran daripadaku, sebab sesungguhnya aku telah bergantung sepenuhnya kepada kebolehan dan pengalaman yang ada padamu...


Banyak lagi kata-kata menarik berunsur nasihat kepada insan bergelar guru, murabbi, pendidik, cikgu, mu'allim dan sebagainya. Begitu berat tugas kita sebenarnya.

Kata-kata yang bisa dijadikan renungan. Dengan tugasan yang banyak di sekolah, kita masih perlu menitipkan suatu yang bernilai buat 'anak-anak' kita.

Saya ingat lagi kata-kata Penyelia Petang saya dalam suatu mesyuarat ringkas bersama guru-guru sesi petang.

Katanya;

Treat them as your own child. Apa yang anda mahu orang lain (guru lain) lakukan pada anak anda, begitulah juga apa yang perlu anda lakukan. Hukum kita, hukum bertempat. Untuk mengajar, jangan mencederakan. Kalau tindakan cikgu semua betul, saya akan membela hak cikgu jika ada ibu bapa datang 'menyerang'... Don't be afraid! Selagi cikgu dipihak yang benar...

Itulah kata-kata Puan Susheela a/p Kannapathy yang begitu memahami tugas seorang pendidik. Saya hormat beliau. Bukan hanya kerana dia seorang pentadbir, kerana pengalaman dan nasihat serta sokongan yang diberi.

InsyaAllah dalam entri yang akan datang akan saya selitkan beberapa nasihat yang berguna buat kita melalui pembacaan dalam buku 'Pendidikan Anak-anak Dalam Islam' seterusnya. Bacaan yang sungguh menginsafkan. Semoga kemuliaan yang diharapkan dapat dilestarikan...

Apa yang Penting??? Kerjasama

Alamdulillah, diberi kesempatan untuk menulis lagi.

Semalam, selesai Kem Bestari Solat (KBS) untuk Tahun 1 Siri 1/2009. Ramai juga yang hadir. Menjangkau 160 orang daripada 198 murid. Mungkin ini pentanda yang baik. Moga dapat diteruskan pada siri-siri yang akan datang.

Fasi yang hadir juga, boleh tahan ramainya. 11 orang semuanya. Walaupun GPI + GPI j-QAF di sini ada seramai 15 orang (7+8), namun masing-masing ada komitmen yang lebih penting yang tidak dapat dielakkan, mungkin.


Pandangan saya terhadap kerjasama dan komitmen semua GPI dan GPI j-QAF?

Alhamdulillah, bagi saya semuanya bagus. Mampu memberikan kerjasama yang baik. Terutama sekali Ketua Panitia yang banyak membantu. Mujur beliau faham dan jelas konsep dan dasar j-QAF.

"Kita ni sebenarnya bertuah, kita dibantu oleh guru-guru j-QAF ni. Kita dibantu, bukan kita membantu... Kerajaan nak memperkasakan Pendidikan Islam... Mana ada kelas atau mata pelajaran yang diajar oleh 2 orang atau lebih? Kita bertuah... "

Itulah kata-kata KP saya kepada kami semua. Saya bangga dapat KP macam ni. Tak pernah merungut susah dan kesal.Saya akui, pada mulanya memang susah untuk menyatukan ukhuwwah semua GPI dan GPI j-QAF nih. Banyak masalahnya. Program j-QAF ni perlu difahami dasarnya. Perlu selari pelaksanaannya. Jika terabai dan diabai mana-mana aspek atau model, tak kemana lah kesannya nanti.

Sebagai Penyelaras j-QAF di sekolah, saya bertanggungjawab merungkai masalah yang timbul. Saya tidak selesa melihat pertengkaran, pertelingkahan dan permusuhan antara Guru-guru Agama ni. Saya mahu ukhuwwah yang dibina utuh. Kuat. Teguh.

Persoalan KBS. KBS perlu dilaksanakan secara berasingan bagi setiap aliran. Itu kehendak dan arahan pentadbir. Kami akur. SYMP. Jadi, kami perlu laksanakan 20 siri kem sepanjang tahun. 5 kem (siri 1) sudah selesai. Masih ada 15 siri lagi berbaki.

Pernah suatu masa dalam mesyuarat, pihak pentadbir melonggarkan keterlibatan dan kehadiran GPI ke KBS. Atas alasan, KBS program j-QAF. Jadi, GPI j-QAF sahaja yang wajib mengendalikan KBS.

Atas rasa keprihatinan dan tanggungjawab, saya bangun mencelah. Saya menegaskan, semua program j-QAF, sama ada Tasmik, KBS atau apa jua aktiviti yang dilaksanakan atas nama j-QAF, semua GPI dan GPI j-QAF perlu bekerjasama. Tiada pilihan lain. Semuanya telah termaktub didalam buku Dasar dan Buku Panduan. Malah penegasan daripada pihak JPS juga pernah dikeluarkan melalui surat siarannya.

Saya bangun mencelah bukan sebab saya ego atau tak mahu kerja jadi susah. Bukan kerana dengkikan GPI. Bukan sama sekali.

Kami telah berjaya wujudkan hubungan yang baik. Selama ini, semua kerja dan tugas dilakukan bersama. Jika pihak pentadbir cuba melonggarkan semuanya, maka pincanglah segala hasrat.

Yang pasti, kata-kata saya tadi hanya dipandang sepi. Bisu tidak berbalas. Tak mengapa, selagi niat saya baik.

Masalah yang wujud antara GPI dan GPI j-QAF perlu dirungkai segera sebelum parah dan bernanah. Tahun 2008, saya berkesempatan menghadiri Kursus Jurulatih Utama Pendidikan Islam KBSR (Peringkat Kebangsaan). Di situ juga banyak isu yang melibatkan kedua-dua status guru agama ini ditimbulkan.

Kita perlu berlapang dada. Kita perlu menerima dan memberi. Give and take. Bertolak ansur dan ketepikan ego. Masing-masing perlu memahami tugas yang diberi. Tidak perlu menuding jari siapa hebat, siapa bagus.

Setiap orang ada kelebihan dan kelemahannya. Jadi, ambil yang positif. Buang yang negatif. Saya lihat, jika pentadbir mampu menguasai dan memahami kehendak dalam program j-QAF ini, sudah pasti kefahaman yang jelas akan dapat dihayati oleh segenap warga pendidik di sekolah. Pasti guru-guru akademik lain bersedia membantu melaksanakan KBS mahupun Tasmik.

Ada juga kedengaran untuk menubuhkan kesatuan guru-guru j-QAF. Sama ada berteraskan kebajikan atau berperanan menyelesaikan masalah yang wujud, terpulanglah. Yang pasti, program j-QAF kian melangkah ke tahun ke-6 tahun 2010. Disitulah hasil yang ditanam dapat dituai. Baik atau sebaliknya, kita yang tentukan.

Bulan Ogos atau September nanti, kami warga Panitia Pendidikan Islam j-QAF merancang untuk melaksanakan Family Day. Berehat dan bersantai bersama keluarga. Dimana? Masih mencari tempat yang sesuai. Moga-moga dengan aktiviti ini akan menghilangkan rasa penat, tension, tertekan dan sebagainya, insyaAllah...

Bak kata Lenny, Tuck dan Ming-Ming... Apa yang penting??? Pikir la sendiri...

Monday, April 13, 2009

Ambil mana yang baik

Alhamdulilah,... itulah lafaz yang dapat diungkapkan. Tiada khabar atau berita sejak saya demam Rabu yang lalu. Kini, saya dah kembali ke sekolah, setelah mendapat cuti sakit selama 2 hari.

Semuanya bermula hari Selasa. Rasa tak sedap badan. Mulanya rasa macam sakit sendi2 je. Tubuh mula tampak lesu, tak bermaya. Tapi saya buat biasa. Malas nak layan perasaan sangat.

Terima kasih pada Hisyam yang tak serik berkunjung ke blog bertanya khabar, setia menanti sehingga sapaan berbalas. Tag pun belum berjawab. Maaf ye Syam...

Tugas saya minggu lepas, up-date fail dan dokumen berkaitan program j-QAF. Buat analisa dan laporan terkini (3 bulan pertama) berkaitan:

* pencapaian Al-Quran (tahun 1 hingga 5)
* pencapaian Pemulihan Jawi
* pencapaian KBS Siri Pertama
* PKSR Bahasa Arab

Dengan adanya 8 orang GPI j-QAF (termasuk saya), kerja kerji berkaitan j-QAF telah saya agih-agihkan. Harapan saya agar semua sahabat jQAF yang lain turut mampu menguasai bidang yang perlbagai dan arif tentang semua selok belok laporan dan sebagainya.

Jadi, saya cuma minta semua Penyelaras Tahun (1-5) untuk mengemaskini data pencapaian, kemudian saya kumpulkan, buat analisa dan laporan keseluruhan untuk dihantar kepada pihak pentadbir. Alhamdulillah, senang bila semua kerjasama. Macam apa yang Lenni, Tuck dan Ming-ming cakap... What's gonna work??? Teamwork... (Apa yang penting??? Kerjasama...)

So, saya cuba siapkan semuanya pada petang Hari Rabu, mengemaskini fail dan melengkapkan dokumen yang kurang lengkap.

Menjelang hari Rabu, tubuh rasa makin lesu dan tidak bermaya. Namun saya gagahkan diri untuk ke sekolah. Tapi cuma untuk beberapa jam. Sebab badan memang tak begitu mengizinkan saya berada lama di sekolah.

Setelah jumpa Penyelia Petang, beliau minta saya ke klinik. Risau takut demam denggi. Tak pun Chigukunya. Berdasarkan simpton yang saya ceritakan. Jadi, jam 4.30 petang saya pulang ke rumah.

Malamnya memang saya demam teruk. Menggigil satu badan. Kesejukan walaupun badan saya panas. Tidur berselimut malam tu.

Awal pagi, saya ke Klinik Husna. Dr. Rusna bagi saya MC 2 hari. Minta saya berehat. Demam Denggi sedang melanda Klang. Ada yang telah meragut nyawa. MasyaAllah...

Saya pulang ke rumah, makan ubat dan berehat. Malangnya, saya juga turut mengalami cirit birit. Ni yang tak tahan. Keluar masuk tandas... siapa la sanggup ye tak???

Jam 12.30 tengah hari, GPK telefon, minta saya ke sekolah segera kerana sekolah saya dilawati oleh Pemantau dari Jabatan Pelajaran Selangor, PPD Klang, PPD Gombak dan PPD Petaling Perdana. Waduh... mana bisa mau ke sekolah...

Saya terasa berat mulut memaklumkan bahawa saya MC 2 hari bermula hari itu. Kedengaran nada kecewa dari talian telefon. Apa kan daya, kalau demam, saya masih sanggup memandu ke sekolah. Sebab sebagai Penyelaras j-QAF, saya perlu berada di sekolah waktu ini. Namun dek kerana saya mengalami CB, tak daya saya melangkah lagi.

Saya cuma mengharapkan berita yang baik dari sahabat GPI j-QAF di sekolah. Moga semuanya berjalan lancar.

Sabtu saya ke sekolah. Cuti ganti Hari Raya Puasa. (Dah nak raya dah???)

Bertanyakan permasalahan semasa pemantauan... mulanya nada ceria. Kata mereka, pemantau memuji dan berpuas hati dengan pemantauan yang dilakukan. Begitu juga dengan pencerapan yang dibuat. Cuma... kalam terhenti. Nadanya bagai ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Setelah lama bercerita, segalanya terbentang hebat. Kenapa perkara sebegitu boleh timbul? Tak tergamak untuk saya ceritakan di sini. Bagai memburuk-burukkan sekolah sendiri. Biarlah pahitnya kami mamah dan telan bersama...

Saya cuba berlagak biasa. Seolah tiada apa yang berlaku. Malas nak banyak berfikir lagi. Biarlah tumpuan hanya pada murid. Bermula Selasa ini, Ujian Prestasi 2 akan bermula. Lebih baik saya membuat latih tubi murid untuk subjek Bahasa Arab dan juga membuat penilaian PKSR untuk bulan Mac yang tertangguh.

Itu lebih baik...
@mail01

Tuesday, March 03, 2009

Sesudah Azan Subuh


"Kenapa nama saya tak ada pula? Kan awalnya ada..." tanya saya.

"Entahlah ustaz, saya pun tak pasti. Banyak nama dah kena potong," jawabnya serba salah.

-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-
Seminggu ni, banyak perkara yang menyemakkan minda. Pelbagai isu yang merobek jiwa. Isu di sekolah, isu negara, perebutan kuasa di Perak yang tak sudah-sudah, kes buli membuli, berita di tv yang menyesakkan dada... Tak tahu kenapa. Mungkin inilah ujian Allah kepada hambaNya. Cara untuk menguji sejauh mana tahap iman hamba kepada Pencipta Yang Maha Esa.


Mungkin juga sebab kita alpa dan lupa pada tanggungjawab padaNya... Allah ingatkan kita melalui ujian dan mehnah dalam mengharungi hidup.

Masalah, ujian, musibah dan apa jua bentuk cabaran yang kita tempuh, pasti ada hikmah dan ibrahnya. Kita yang perlu mencarinya, merenung dan menghayati dengan penuh keinsafan dan penyesalan.

Muhasabah, muroqabah... aspek yang perlu diutamakan.

Berapa kali kita bermuhasabah? Kenapa jadi macam tu? Kenapa perkara yang kecil pun boleh dibesar-besarkan? Kenapa ramai murid yang gagal? Kenapa masih ada murid yang lemah walaupun kelas pemulihan dah diwujudkan? Kenapa dan kenapa???

Rumusan seminggu saya terbeban dengan masalah yang meruntun jiwa, banyakkan bersabar. Setiap yang hak... pasti dibela. Yang ditindas, pasti terbela. Iman dan taqwa menjadi ukuran nilai seseorang hamba di sisi yang Esa.



Apa kita rasa bila ditegur? Teguran bukan mencela...bukan untuk mengaib, tapi untuk membetulkan mana yang kurang... marah? malu? geram? dendam? suka? syukur? terima kasih?

Terpulanglah pada diri. Muhasabah suatu yang indah. Memekarkan suatu yang dah layu tanpa sedari. Menceriakan diri yang lesu. Semuanya, kita yang tentukan.


Saya sering ingatkan murid, kita tak selamanya di dunia. Dunia tempat persinggahan. Tempat mengumpul pahala sebagai bekalan menuju hidup yang kekal abadi, di Akhirat. Ya... akhirat tujuan kita. Selagi ilmu yang ada kita amal, selagi iman yang utuh menjadi bekal... insyaAllah kita akan selamat.Semoga semua yang menghantui diri... akan lenyap bersama lenyapnya mimpi buruk (nightmare) sesudah mendengar azan Subuh. Semoga Allah memberi kekuatan kepada diri ini untuk menabur khidmat bakti kepada anak bangsa.

Popular Posts