Thursday, December 29, 2011

Dimana pilihan TERBAIK untuk anak-anak...



Saya memetik kata-kata seorang sahabat dalam sembang santai petang tadi...

"Sekarang, masa untuk kita menjadi kaya, demi masa depan anak-anak. Kita memerlukan wang yang banyak sebagai satu investment..."

Jujurnya, sebagai ibu bapa semestinya kita hendak yang terbaik untuk anak-anak. Demi masa depan yang sempurna. Tatkala mereka masih kecil, arah tuju mereka, kita yang aturkan. 'Remote' mereka, kita yang pegang. 'Channel' mana yang kita nak, kita yang tekan. Jangan sampai mereka sudah punya akal untuk memilih, malah menentukan sendiri arah laluan mereka. Tika itu, pepatah yang sesuai tidak lagi "melentur buluh biarlah dari rebungnya", tetapi yang paling sesuai "nasi susah menjadi bubur"...

Seawal usia 4 tahun lagi, ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak mereka, memilih pusat pendidikan seperi CIC, CEC, Cuedis, Smart Reader, Genius Aulad, Zul Iman dan macam-macam lagi. Yuran mahal? Itu tak penting bagi mereka, asalkan berbaloi 'pelaburan' yang mereka buat demi anak-anak.

Kita juga boleh lihat sekarang, kenapa agaknya sudah semakin ramai ibu bapa berpusu-pusu malah berebut-rebut untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama swasta, walaupun kita semua tahu, kos yuran yang mahal, tidak memungkinkan semua orang ke sana, apatahlagi dengan anak yang ramai!!!

Apa istimewanya sekolah agama swasta? Apa pula kurangnya di sekolah kebangsaan yang sudah diketahui umum bahawa yurannya telah dimansuhkan!

Saya sendiri pernah menjadi guru di salah sebuah sekolah agama swasta di Subang Jaya. Walaupun yuran yang dikenakan setiap bulan mencecah RM260 - RM320, namun sekolah tersebut mampu menarik ramai ibu bapa untuk menyekolahkan di situ.

Bukan semua ibu bapa tersebut terdiri daripada kategori 'orang berada' atau kaya. Ada juga yang pada hemat saya, berpendapatan sederhana. Tetapi masih sanggup untuk berkorban wang ringgit, sebagai pelaburan masa depan mereka.

Kesedaran ini telah lama wujud. Sewaktu saya mengajar di sekolah tersebut juga, ada ibu-ibu yang mengiringi anak ke sekolah tanpa menutup aurat dengan sempurna, berseluar pendek, tidak bertudung, berbaju T. Namun, mereka tetap mahukan pendidikan agama yang baik untuk anak-anak.

Teringat saya seorang ayah yang menghantar 3 orang anaknya (ketika itu di Tahun 3, Tahun 2 dan Tahun 1) di sekolah tersebut. Kalau dikira2, hampir RM720 sebulan tidak termasuk yuran pendaftaran hampir RM570 seorang.

Dia tidak mempunyai pendapatan tetap. Kerjanya hanya menjual nasi lemak di pasar malam. Orangnya cukup ramah, senyumnya juga tak lekang di bibir. Isteri membantu berniaga. Saya dikhabarkan juga waktu itu, seorang lagi anaknya akan sama-sama mengikut jejak langkah abang dan kakaknya di situ.

Terharu saya lihat kesungguhannya. Kenapa tidak saja dihantar anaknya ke sekolah kebangsaan yang pastinya akan meringankan beban mereka suami isteri?

Saya mengajar dua dari tiga anaknya. Anak-anak itu tidaklah sepintar mana, namun punya akhlak yang cukup cemerlang. Rendah diri, hormat guru, pandai berkawan. Sehingga sekarang, riak muka yang menyejukkan mata ini, sentiasa berligar di dalam benak.

Menurut bapa tadi, harapannya tak banyak. Cuma mahukan anak2nya mendapat ilmu dunia dan akhirat secara seimbang. Dia juga dambakan anak-anak yang punya akhlak soleh dan solehah. Mereka adalah aset untuk dia dan isteri tatkala tiba masa mengadap Ilahi.

Mungkin itu merupakan antara jawapan-jawapan yang akan diberi oleh ibu dan bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka di sekolah agama swasta, bukan di sekolah kebangsaan.

Mungkinkah ibu bapa sekarang ada yang tidak yakin atau kurang yakin dengan kurikulum yang ditawarkan di SK?

Mungkinkah juga, pengaruh yang tidak sihat yang semakin menular dikalangan remaja menjadi faktor untuk mereka menyekatnya dari awal?


Sebenarnya ibu bapa masih ada pilihan. Jika tidak mampu dari segi kewangan, namun masih mengharapkan ada kurikulum agama tambahan untuk anak-anak, mereka masih boleh pergi ke SRA di bawah seliaan JAIS atau KAFA di bawah seliaan JAWI.

Namun, ibu bapa berhak memilih yang terbaik untuk anak-anak mereka. Saya kagum dengan sahabat-sahabat yang mampu menghantar anak-anak mereka di sekolah swasta. Pilihan mereka, pasti yang terbaik. Sanggup sabar menunggu walaupun dalam 'waiting-list'. Sanggup ditemuduga, sanggup melalui ujian-ujian saringan dan macam-macam peringkat sebelum diterima masuk.

Bagi anda wahai pembaca,... dimana pilihan TERBAIK untuk anak-anak anda??? Kenapa itu pilihan anda??? Mari sama-sama kita kongsikan... Moga ia menjadi perkongsian yang bijak antara kita...

1 comments:

makcikcun said...

boleh tahu dimanakah sekolah swasta agama di Subang Jaya yang pernah anda ngajar dahulu?

Popular Posts