Sunday, December 25, 2011

Diari Sarjana: Mantapkan kayuhan untuk satu Perjuangan

Assalamualaikum...

Lima hari lagi hitungan 'countdown' ke 2012 akan berakhir. Begitu juga saat genting untuk saya akan tiba.

Saya kini dalam fatrah akhir mengikuti kuliah. Bermula awal Januari, akan berjuang di medan 'perang'. Ini perkara biasa yang perlu dilalui oleh calon Sarjana mod Kerja Kursus (coursework) dan Disertasi. Dua semester mengikuti kuliah, selebihkan berusaha menyiapkan disertasi.


Mengikuti kuliah selama 2 semester, banyak memberi gambaran dan laluan kepada saya untuk tamatkan perjalanan ini. Perjalanan seorang pelajar menggapai cita dan impian. Sepanjang tempoh itu juga, 'bebanan' menyiapkan tugasan menjadi latihan untuk menghasilkan penulisan yang lebih berkualiti.

Biasanya, tugasan (assignment) yang dihantar akan dibentangkan. Itu juga menjadi latihan. Ya, latihan untuk saya berdepan dengan prosedur selanjutnya selepas siap disertasi nanti, iaitu VIVA.

Membentangkan tugasan bermakna kita 'mahir' dan mampu kuasai apa yang kita tulis. Kita juga perlu berani bertanggungjawab dengan apa yang kita hasilkan. Buku mana yang kita rujuk, artikel mana yang kita cekup, bahan dari internet mana yang kita sedut, autoriti penulis buku, artikel, pandangan dan sebagainya. Semua itu akan dipersoalkan.

Pensyarah akan bertindak sebagai penilai. Teman sekuliah akan menjadi pendengar, pengkritik dan juga memberi komentar atau mohon pencerahan tentang tajuk yang dibentang.

Bagi saya, itu semua akan lebih mematangkan diri supaya lebih berani. Walaupun akan terdetik rasa gundah, risau, bimbang, cuak, dan bermacam rasa yang kurang enak.

Bila nak mula menulis, kita perlu banyak membaca. Membaca tentang apa yang kita nak kaji. Membaca banyak buah buku yang menjadi bahan 'Review Literature' terhadap proposal yang akan dijalankan nanti.

Tiada alasan yang perlu saya beri, untuk dapatkan seberapa banyak buku. Tiada alasan yang menjadi penghalang untuk saya ke mana-mana 'library' bagi mendapatkan seberapa banyak bahan.

Namun, dalam keadaan seperti saya sekarang, saya perlu bijak mengatur masa. Ya, masa! Jangan sampai silap aturannya. Mungkin saya perlu ada jadual belajar semula. Mungkin juga setiap ruang dinding dalam 'bilik studi' saya (yang dikongsi dengan bilik bacaan anak-anak), perlu digantung atau ditampal dengan kata hikmat, kata azimat, kata peransang, dan sebagainya! Saya kini perlu fokus dan tetapkan matlamat. Jika saya leka, saya tertinggal.

Biasanya, apabila selesai coursework, kita akan jarang dapat ketemu teman-teman sekuliah. Masing-masing akan membawa halatuju sendiri. Ada yang terus bersemangat, ada yang lena dibuai mimpi. Saya mahu menjadi yang pertama, bukan yang kedua! Jadi, saya perlu sentiasa bersama dengan sahabat-sahabat. Saya perlu sentiasa luangkan masa di PTSL, paling kurang.

Sebelum semester baru bermula 20 Februari 2012, saya semestinya sudah bersedia dengan proposal yang mantap, idea yang bernas, rujukan juga perlu pelbagai. Tiada lagi masa untuk saya habiskan begitu saja. Teman-teman yang sedang cuti belajar sama ada tajaan sendiri atau ditaja, anda punya banyak masa. Masa anda tidak diganggu walau sedikit. Beda dengan saya, masa saya sering 'dicuri'!

Kerja di sekolah, atau juga tugasan di luar sekolah. Semua itu adalah CABARAN untuk saya. Saya pernah berkira-kira untuk tangguhkan semester 3 ini. Alasannya; ingin memberi tumpuan untuk mencari bahan/rujukan, kekangan kewangan, dan beberapa faktor lain. Itu cuma perkiraan awal yang dibuat. Namun, jika saya mahu selesaikan 'tugas' ini dengan segera, saya tak perlu tangguh-tangguh lagi, jalan terus!

Saya mohon dan berdoa agar jalan yang saya dan sahabat-sahabat pilih ini, akan dibentang seluas-luasnya untuk kami. Dipermudahkan urusan kami. Agar nanti, lahir sebuah hasil penyelidikan ilmiah yang akan membantu ummah dalam kemelut mencari sinar kebenaran dan keadilan, insyaAllah.


Buat teman-teman yang seirama, ayuh kita gagahkan langkah, mantapkan kayuhan, usah kita tewas sebelum berjuang!!! Bittaufiq wannajah. InsyaAllah.

0 comments:

Popular Posts