Saya tertarik dengan Tazkirah Ramadhan yang disampaikan di surau beberapa malam yang lepas. Isu yang disentuh, persoalan aurat. Isu yang sering disebut, namun mungkin kurang diambil berat dan bena oleh sesetengah orang.
Mengapa isu ini sering ditimbulkan?
Kesempurnaan dan kecantikan seorang muslim dan muslimah, terletak kepada sejauh mana mampu menjaga batasan Aurat yang telah Allah tetapkan.
Apabila persoalan ini timbul, maka akan tersentap jiwa yang sudah sebati dengan pemakaian yang selesa buat dirinya. Pemakaian baju yang agak 'menarik' dan tudung yang agak nipis, jarang dan singkat.
Disebut, dalam surah Al-Ahzab, Ayat ke 31, ertinya:
dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.
Mungkin persoalan aurat ini remeh bagi sesetengah orang. Bagi yang telah bertudung, mungkin baginya aurat telah ditutup sepenuhnya. Alhamdulillah.
Namun, kita perlukan kesempurnaan.
Apabila aurat dipersoalkan, pasti menyentuh aspek pemakaian tudung, pakaian yang sopan, pemakaian stokin dan sebagainya.
Di sekolah, setiap kali tiba kelas Al-Quran, saya akan pastikan semua murid perempuan memakai tudung. Jika tidak dibawa dari rumah, kami sediakan beberapa helai di dalam bilik j-QAF.
Apabila ingin membaca Al-Quran, aurat perlu dijaga.
Namun, aspek pemakaian tudung dikalangan murid, masih belum dapat dipraktikkan dengan baik. Memerlukan masa. Sentiasa perlu diberi nasihat dan teguran. Mereka masih muda, masih ditahap 1. Selain ustaz dan ustazah yang sentiasa ingatkan, ibu bapa juga tak kurang peranannya.
Kekadang, bila mereka dipuji... cantiknya awak hari ni. Kan manis jika sentiasa bertudung... esoknya dan seterusnya, insyaAllah mereka akan terus mengenakan tudung ke sekolah.
Cuba lihat, kenapa buah yang baru berbuah muda, dibungkus dengan kain atau plastik? Sebabnya untuk mengelakkan daripada diserang serangga dan ulat perosak. Sudah pasti untuk mendapatkan hasil tuaian yang cantik, segar, sihat dan masak ranum.
Begitu lah juga dengan kita, manusia. Perumpamaan antara buah yang dibalut, dengan tubuh badan kita yang diselaputi pakaian yang menutup aurat.
Pernah, beberapa bulan lalu, murid Tahun 5 (batch pioneer j-QAF- Group 01/05) membuka tudungnya semasa berlatih bola jaring bersama guru PJK. Saya agak terkilan, lalu meminta seorang ustazah menasihatinya... Ini mungkin kerana guru yang melatih juga tidak memakai tudung, murid tersebut terikut-ikut. Wallahu 'Alam.
Soalnya, murid di sekolah, ada yang beri nasihat dan teguran. Moga ibu bapa teruskan peranan di rumah pula. Semoga generasi yang kita ingin lahirkan, generasi yang mampu menongkah arus kehidupan yang semakin mencabar ini.