Thursday, May 07, 2009

Cerita Bulan Mei... suka dan duka

Salam...

Hari ni, 7 Mei 2009. Seingat saya, banyak perkara berlaku dalam bulan Mei. Bermula dengan Hari Pekerja pada 1 Mei, kemudian Hari Ibu, Hari Guru 16 Mei, Hari Jururawat, Hari Setiausaha dan macam-macam lagi. Hatta 13 Mei pun masih segar dalam ingatan...

Bagi saya, Bulan Mei yang istimewanya hanya tiga.

Pertama: Anak sulung saya, Ahmad Muazz lahir pada 5 Mei 2006 (05.05.06).

Kedua: Arwah abah, menyambut kelahiran pada setiap 7 Mei.

Ketiga: Semestinya Hari Guru... hari untuk semua pendidik, tak kira guru tadika, guru pra, guru biasa, tutor mahupun pensyarah...

SELAMAT HARI ULANGTAHUN, ABAH...

Kenangan Abah dan Ummi memangku Afrina, Muazz dan Najihah


Namun entri kali ni, saya nak dedikasikan sesuatu sempena tarikh 7 Mei...

Baru dua hari lepas, ulangtahun ke3 anak sulung saya. Saya tidak meraikan dengan jamuan, parti atau potong kek. Saya cuma menyambutnya biasa saja.

Tengah hari tadi, semasa sedang memandu ke sekolah saya terfikir-fikir kaitan satu peristiwa dengan hari ini. Tiba-tiba ingatan tertumpu pada arwah abah.

Biasanya, kami adik-beradik (6 orang) sangat alert dengan ulangtahun kelahiran masing-masing termasuk abah dan ummi. Ya, hari ini, ulangtahun kelahiran abah...

Biasanya, pada malam ulang tahun atau awal paginya... kami akan dapat SMS atau panggilan telefon ucapan tahniah dan iringan doa...

Namun kali ini, tiada lagi ungkapan ucap selamat untuk Ulangtahun Abah. Kalau dihitung, usia abah kini sudah 69 tahun. Sudah 2 tahun ucapan itu tidak dapat dilafazkan. Hanya disimpan jauh disudut hati kami. Sesekali ingatan terhadap abah begitu mendalam...


Kenangan hari raya 2005. Tiada dalam gambar, Angah dan Achik. Angah di Mesir dan Achik jd jurufoto gambar ni.

Saya cuba mengingat... apakah hadiah istimewa untuk abah setiap hari ulangtahunnya?

Apa yang saya ingat hingga kini, setiapkali saya telefon untuk ucapkan 'Selamat Hari Lahir, Abah...', abah akan diam seketika, kadang-kadang agak lama... membisu. Lalu dari corong telefon, kedengaran esakan halus... abah sebak, menangis rupanya... Abah cuba menahan sebak.

Hati seorang tua. Cukup sensitif. Mungkin gembira kerana anak-anak mengingati hari lahirnya. Saya andaikan. Mungkin.

Ingatan buat abah kian segar. Apatahlagi bila membaca nukilan adik ti dan adik ha sebentar tadi. Sebagai hadiah untuk ulangtahun abah, tiada yang berharga. Cuma doa yang mampu saya diiringkan.

Usai solat Maghrib sebentar tadi, saya hadiahkan abah bacaan Al-Fatihah, Yaasin dan Doa. Hanya itu sahaja hadiah yang abah dambakan, kini. Bukan lagi baju Melayu, jubah, jam tangan atau serban.

Kini, hanya Ummi tempat memadu kasih, tempat bermanja.

Kala sedih, ummi ku ceritakan segalanya...
Kala susah, ummi tempat ku mengadu...

Tiapkali tiba hari peperiksaan, tak kira besar atau kecil... ummi akan dihubungi... minta didoakan ketenangan anaknya ini.

Jadi, saya cuba berazam untuk sentiasa menghubungi ummi yang hanya bertemankan rindu dan sepi. Tak sabar menanti cuti sekolah. Tak sabar bertemu mata. Ingin kupeluk tubuh itu, seolah tubuh abah masih bertaut sama.

Ya Allah... ampunilah segala dosaku selama ini pada abah...

Abah... kami merinduimu... amat merindui...

Wednesday, May 06, 2009

I've lost my teeth

Alhamdulillah, segala kesakitan yang dialami sejak hari Ahad yang lalu telah berakhir.

Selepas insiden bermata empat telah selesai, datang lagi ujian seterusnya... sakit gigi!!!

Kata orang, sakit gigi ni, lebih menderita daripada sakit nak bersalin... saya pun tak pasti sebab tidak pernah mengalaminya.

Namun bila diajukan kepada isteri, dia mengiyakan. Lebih rela sakit bersalin daripada derita sakit gigi berpanjangan.

Gigi ni, nikmat Allah yang amat hebat. Mampu mengoyak makanan selumat-lumatnya. Namun, saya telah kehilangan nikmat itu. Gigi geraham saya telah dengan relanya dicabut tepat jam 9.32 minit pagi tadi.

Tak mampu lagi saya menanggung derita. Paling melemahkan saya, bila diuji dengan denyutan yang kuat pada gusi bahagian gigi yang berlubang itu. Wah... nak mengajar pun seksa. Nak bercakap pun tersekat.

Usai solat Asar semalam, sempat berbual dengan seorang rakan. Dia juga pernah cabut gigi geraham. Saya membayangkan bagaimana panjangnya akar gigi itu untuk dikeluarkan.

Gigi sahabat saya tadi pada awalnya hanya sedikit berlubang, tapi bila dicabut, giginya pecah. Doktor mencadangkan agar dibuat minor surgery... waduh... nak bedah gusi tuh... lagi la saya cuak.

Rasanya last time pergi jumpa dentist masa belajar di UM dulu. Tu pun jadi patient kepada seorang rakan, doktor gigi pelatih di sana. Dr. Mai namanya. Sebabnya, student dental kena cari pesakit untuk dijadikan bahan praktikal. Jadi, saya dengan rela hati, jadi patient nya...


Lepas tu, memang trauma nak pergi klinik gigi.

Tapi memandangkan kesakitan yang dialami malam tadi cukup menyeksakan, saya terpaksa memberanikan diri ke Klinik Anika di sini.

Dup dup dup... Allah sahaja yang tahu. Tapi bila difikirkan sakitnya lagi kalau di'simpan' gigi itu, maka saya terpaksa akur... hanya mencabut gigi geraham.

Terkejut saya melihat gigi geraham yang dicabut. Memang panjang struktur akarnya... Sakit? Memang sakit. Kebas bius pun baru sahaja hilang.

Nikmat yang perlu dijaga. Saya pernah ke klinik swasta sewaktu bekerja sambil belajar dahulu. Dr. Saidah nama pemiliknya. Katanya, kalau sebatang gigi itu masih boleh diselamatkan, dia tidak akan sesekali mencabutnya. Jadi, dia telah membuat rawatan 'canal' pada gigi hadapan geraham saya. Sampai sekarang, gigi tersebut masih elok.

InsyaAllah, selepas ini saya akan cuba berusaha menjaga nikmat Allah yang amat berguna ini. Yang paling saya bershukur, sakit gigi saya telah hilang! Alhamdulillah... saya boleh menjalankan rutin saya seperti biasa...

Monday, May 04, 2009

Kursus bermula...?

Salam...

Sedang saya mengajar Al-Quran pada hari Khamis lepas, tiba-tiba telefon saya berdering...

Telefon... telefon berbunyi... wonderpet kami datang...

"Ustaz... boleh naik ke pejabat sekejap tak? Ada surat kursus"

Kerani sekolah memulakan bicara sejurus saya meminta murid saya berhenti membaca al-Quran buat seketika.

"Kursus apa ye?"saya mula meneka sekaligus bertanya kepadanya.

Setelah kelas berakhir, saya ke pejabat mengambil surat seperti diarahkan.

Tertera surat daripada JPS : Kursus Pentaksiran Pendidikan Islam KBSR pada 13 - 15 Mei 2009 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang.

Saya mula terlibat dengan kursus Pendidikan Islam, tahun lalu. Saya telah diamanahkan sebagai Jurulatih Utama Pendidikan Islam KBSR selain sebagai Jurulatih Utama Pendidikan Islam Program j-QAF.

Tugas yang merupakan amanah yang amat berat. Saya telah cuba menolak. Saya rasa tidak mampu untuk memikul dua tugas yang memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi.

Saya cuba berbincang dengan Penolong Pengarah JPS Bahagian Teras untuk menolak tawaran sebagai JU Pendidikan Islam memandangkan jadual kursus Pendidikan Islam dan Pemantapan j-QAF yang akan berturut-turut pada waktu itu.

Komitmen saya mula terganggu di sekolah bermula bulan Julai 2008.

Bermula dengan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Daerah dan Negeri, seterusnya bermula Kursus Pemantapan j-QAF dan Pendidikan Islam dan disusuli dengan Mukhayyam Bahasa Arab Negeri Selangor.

Jadi, ada banyak suara di sekolah yang merungut dan bersungut. Malah ada rakan setugas yang memaklumkan, bahawa SKT atau prestasi saya untuk tahun tersebut kemungkinan besar akan merosot kerana kerap keluar berkursus atau dalam erti kata yang sebenarnya, memberi kursus atau input kepada guru lain.

Saya menerimanya secara positif. Saya cuba mohon nasihat daripada JU sekolah yang berpengalaman.

Itu kisah tahun lalu. Saya tidak pasti pula tahun 2009 ini bagaimana keadaannya.

Saya cuba mengagak kemungkinan kursus kali ini turut dilibatkan Guru Pendidikan Islam program j-QAF demi mencapai kata sepakat atau mengurangkan jurang yang ada. Ya, jurang antara GPI dan GPI j-QAF sepertimana yang telah diwar-warkan semasa kursus sepanjang tahun 2008.

Mungkin ini jalannya atau caranya. Biarkan kubu atau tembok pemisah yang ada, diruntuhkan segera. Itu yang terbaik, bukan?

Kursus Pentaksiran Pendidikan Islam KBSR yang bakal saya hadiri ini akan merungkai segalanya nanti. Semoga persepakatan yang diambil akan menatijahkan suatu yang bererti kepada dunia pendidikan.

Sebentar tadi, menerima SMS daripada seorang sahabat yang juga merupakan JU di sini. Dia juga terpilih mengikuti kursus yang sama. Alhamdulillah, nanti kita jumpa di Bagan Lalang...

Namun, terdetik dalam hati, tarikh kursus agak hampir dengan due isteri untuk bersalin. Saya cuba menghitung sendiri. Moga Allah memudahkan segala urusan saya dan keluarga nanti...

Thursday, April 30, 2009

Nikmat Bermata Empat


Salam...

Entahlah, tiada tajuk lain yang terlintas untuk entri ini. Itu sahaja yang terlintas. Kenapa?

Hari ini, nikmat melihat saya tidak sesempurna insan yang lain. Terpaksa mengecilkan anak mata untuk memandang objek yang jauh.

"Kenapa pulak tu? Mana pergi cermin mata?" tanya seorang rakan.

Sedih sebenarnya, sebab perkara itu tidak mungkin terjadi kalau kita berhati-hati, beringat.

Tengah hari tadi, sesudah menjemput isteri dari klinik untuk pemeriksaan kandungan, saya merebahkan diri di hadapan tivi yang terletak di suatu sudut di dapur yang luas itu. Alhamdulillah tekanan darah isteri sudah naik,

"Dah naik 10.1 mg. Dah tak perlu ke klinik klang lagi, klinik kg jawa je lepas ni," ujar isteri kelegaan.

Kerana, klinik kg. jawa lebih dekat berbanding klinik ibu dan anak di klang yang juga sentiasa ramai dengan ibu-ibu yang lain-lama pula menunggu- di sana.

Sedang berehat, saya lupa menanggalkan cermin mata, seperti rutin. Biarkan ia melekat walaupun mata agak keletihan minta direhatkan.

"Kalau anak-anak datang 'terkam', mau patah cermin ni," bisik saya.

Saya masih bermalas-malas untuk bangun dan meletakkan cermin mata di tempat yang tinggi.

Anak-anak ligat bermain. Kejar mengejar, usik mengusik. Saya tidak betah melayan karenah mereka. Saya mahu rehat sekejap sebelum bersiap ke sekolah, sebentar lagi.

Tanpa diduga, anak sulung meluru laju ke arah saya sambil buku ditangan. Mungkin kerana tidak sempat membrek, buku yang dipegang tersentap ke muka saya.

MasyaAllah!!! Patah?

Apa yang dijangka, terjadi juga. Saya kaget. Masih terkejut. Tiba-tiba ingatan tertumpa pada surat cinta dari Polis Trafik yang masih belum terlunas.

Ya Allah... duit lagi. Saya mengeluh sendirian. Saya mengurung diri di dalam bilik seketika menenangkan diri. Tidak sanggup memarahi si abang kerana dia tidak sengaja, budak pulak tu!

Tiada perkataan dapat ditutur sepanjang saya bersiap ke sekolah. Masih tergamam. Bagaimana bisa untuk memandu ke sekolah dalam keadaan bermata dua, tidak bereempat lagi.

Saya cuba menyelongkar mencari cermin mata lama di dalam laci, mungkin masih boleh diguna sementara memandu ke sekolah. Bukaan yang terlalu besar, menyebabkan cermin mata lama itu sering menggelonsor ke bawah, agak tidak selesa.

Biarlah. Mungkin ini ujian buat saya. Duit boleh dicari, kan? Biar sesusah mana pun, untuk meneruskan hidup, insyaAllah ada la tu.

Saya terpaksa melihat dengan 'dua mata' sehingga ke kedai optometris malam ni atau pagi esok. Tapi esok cuti Hari Pekerja. Nak tak nak kena tunggu sampai hari Isnin la. Tak mengapa la... apa nak buat...

Nikmat bermata empat... hanya kami yang berkenaan sahaja yang mengerti...

Monday, April 27, 2009

Penawar buat yang 'sakit'

Risau saya memikirkan masa depan mereka. Semakin lama, semakin 'hebat' sikap mereka. Saya cuba menenangkan hati dan perasaan marah. Mereka tahu apa akan jadi kalau saya naik berang. Kelas yang saya masuk, akan kedengaran suara-suara yang bising dari dalam kelas...

"Ish... diam, Ustaz datang... "

"Eh... eh... Ustaz la woi... "

Saya cuba membuang title ustaz garang, ustaz bengis, ustaz 'beking'... saya juga ingin digelar ustaz baik, ustaz cool, ustaz sporting dan sebagainya. Bukan sebagai anugerah, tapi untuk kepuasan.

Saya cuba sedaya mungkin...


Minggu lepas saja, banyak insiden buruk yang berlaku. Seorang murid terseliuh tangan akibat tolak menolak semasa beratur, seorang lagi murid cedera pada ibu jari kaki akibat terpijak dawai kokot atas pentas, bergaduh dalam kelas dan mengacau murid perempuan.

Mereka baru sahaja ditahap satu. Tidak perlu menuding jari mencari puncanya. Semua pihak perlu bertanggungjawab.

Mereka cukup tegar. Setiap guru yang masuk ke kelas mereka, pasti akan meninggi suara, tak kira guru lelaki mahupun perempuan. Kalau guru perempuan, lagi lah.

GPI yang masuk bersama saya, seorang yang tenang dan penyabar. Agak jarang bercakap kasar, tinggi suara apatahlagi mencubit atau memukul.

Namun, bila tiba giliran kelas mereka, saya nampak kelainan pada wajahnya. Masam, marah, geram dan sebagainya. Lebih nampak tertekan jika saya tidak bersama, katanya. Kalau saya ada mesyuarat atau kursus yang menidakkan saya masuk bersamanya ke dalam kelas, GPI itu akan resah.

Sukar mengawal emosi marah.

Kenapa jadi begitu? Saya kekadang kesal dengan situasi ini. Mereka sudah tidak tahu menghormati guru, masih tersenyum walaupun bersalah... tidak menyiapkan kerja, meninggalkan buku di rumah, membuat bising, berbual sesama mereka walau guru sedang mengajar... dan macam2 lagi.

Saya sedang mencari di mana silapnya. Kebanyakan guru sudah malas melayan karenah mereka. Saya pernah menegur seorang rakan yang kerap meninggikan suara apabila mengajar kelas mereka. Sedangkan dia sedang hamil. Saya minta dia banyakkan bersabar, bimbang terkesan kepada kandungan.

Bagi saya, mereka ini agak 'istimewa'. Kerana saya terpaksa melayan mereka lebih daripada murid dalam kelas yang lain.

Saya perlu mendapatkan 'penawar' secepat mungkin sebelum semuanya terlambat. Tidak mahu berbunga rasa sesal bila semuanya sudah terjadi...

Saya bimbang dengan situasi sebegini. Setiapkali setelah api kemarahan saya reda, saya mengingatkan mereka pada tanggungjawab terhadap ibu bapa, kenang jasa mereka, pengorbanan mereka, kasih pada mereka dan sebagainya, agar terdetik rasa keinsafan yang lahir dari jiwa yang masih muda...

Saya pernah berbincang dengan guru senior, mendapatkan nasihat dari pengalaman mereka mengatasi masalah yang berlaku.

"Dalam ketegasan perlu ada kelembutan, dalam kelembutan pula ada ketegasan..." itu antara nasihat mereka kepada saya yang baru masuk tahun kelima bergelar pendidik di sini.

Buat semua pendidik, carilah penawar terbaik bagi setiap penyakit... kerana setiap penyakit itu ada penawarnya kecuali mati...

Sunday, April 26, 2009

Cuci Mata di PBAKL: Last Day

Salam,

Akhirnya, dapat kujejak juga di sini. Alhamdulillah. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bakal melabuhkan tirainya hari ini. Yang pasti, ramai pengunjung akan membanjiri PWTC.

Hari ni merupakan last day. Apa pun, mesti pergi juga. Semalam saya dan isteri bercadang untuk ke sana, langsung dari rumah Along di Bangi, selepas Angah berangkat ke Kelantan.

"Abang, rasa macam tak larat laa... budak-budak ni pulak meragam je nih... kita postpone esok je lah yer'" pinta isteri.

Walhal, isteri yang beria mengajak ke PBAKL. Saya menurut sahaja. Kesian juga. Dengan keadaan yang sarat lagi, anak-anak pun tak cukup tidur, jadi dari Bangi jam 12.00 tengah hari terus balik ke Klang.

Ya, itu semalam. Hari ni kami pergi juga. Bersiap-siap dan bertolak seawal jam 8.20 pagi.

Dah agak dah...hari ni last day pasti ramai pengunjungnya. Untuk menikmati suasana yang sesak itu, kami gagahkan diri juga. Bersama putera dan puteri kami. Huhu... bersesak-sesak dengan orang ramai, tangan Hajar dan Muazz dipimpin erat walau kekadang mereka cuba untuk meloloskan diri.

Tiga jam 'mencuci mata'... masih tidak sempat merayau seisi bangunan tapak pameran. Lama menyinggah di booth pendidikan awal anak-anak. Kami di'kidnapped' oleh seorang petugas di situ. Katanya 5 minit. Hampir setengah jam berlalu. Namun, penerangannya bagus. Menarik juga programnya, namun budget tidak mengizinkan, insyaAllah ada peluang nanti akan dibeli juga program tersebut.

Terserempak dengan beberapa sahabat lama. Seperti yang dijangka. Antaranya Ustaz Izhan Hamidi dan juga Frizdan.

Tidak banyak memborong, cuma beberapa buku sahaja. Saya mengerling gerai Alaf 21 yang menayangkan banyak novel-novel baru. Waduh... gian bangat ni. Dah lama tak melayan novel ni. Namun bila difikirkan, kurang masa untuk itu. Biarlah dulu. Keperluan lain masih perlu diutamakan.

Saya hanya membeli beberapa buku sahaja. Antaranya Bidadari Dari Timur, Bagaimana Meransang Seronok Belajar, Motivasi Alihan Pelajar, Saat Cinta Bertasbih dan Memoir Jihad Anak Melayu di Afghanistan serta beberapa buku untuk si kecil serta satu set Montessori untuk mereka. Isteri pula hanya membeli beberapa buah majalah Millenia. Buku-buku lain yang dirancang untuk dibeli, tidak terbeli.



Melihat isteri dan anak keletihan, saya mencadangkan agar berehat dan mencari food court yang sesuai.

"Banyak lagi yang belum disinggah... tak mengapa, lepas makan nanti sambung lagi," bisik hati kecil.

Saya pergi ke kereta untuk meletakkan buku-buku dah set montessori yang dibeli. Tak larat untuk di bawa ke hulu ke hilir. Isteri dan anak hanya menunggu di ruang legar tapak pameran.

Sesampai di tempat letak kereta, saya terlihat dua kelibat tubuh berpakaian seragam putih. Menggerunkan. Apa lak nih, kena saman ke?

Telahan saya memang tepat. Kelihatan tiket saman disisipkan pada wiper. Saya hanya menatap tiket saman itu dengan perasaan hiba. Berhabisan berbelanja di dalam, di luar ni pun kena 'belanja' juga. Hmm... saya menjeling kereta-kereta lain yang di 'parking' di kiri kanan jalan yang lain. Semua dapat 'surat jemputan' juga.

Melayang RM70. Begitu saja... bagai debu berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Arghhh... itu lah, dah tau salah letak kereta di situ, letak juga. Dah terima hukum. Itu hanya mainan di dunia ni.

Syariat Allah, kalau dipermainkan juga, yang salah dibuat, yang haram diturut, yang dilarang diikut, padahnya lagi amat dahsyat... peringatan buat diriku.

Nampak gaya, tak jadi nak teruskan niat menyambung 'langkah' ke gerai yang lain. Hasrat nak membeli beberapa buku lain juga dikuburkan. Mood telah hilang... terbang seperti gagak mencari makan...

Jam 1.30 petang, kami sampai di rumah. Sepanjang perjalanan, saya bermuhasabah, bermonolong lagi... koreksi diri, di masa salahnya... di mana silapnya... di mana kurangnya... ya, setiap apa yang berlaku, ada kisah di sebaliknya. Ada hikmah yang tersirat. Bila direnung, ada... memang ada... biar ia menjadi pedoman dan ingatan buat diriku...

PBAKL... tahun depan kita jumpa lagi... InsyaAllah.

Wednesday, April 22, 2009

Pesanan Buat Pendidik 2

Salam,

Entri kali ni menyambung beberapa pesanan yang dirujuk dalam sebuah kitab yang tidak ternilai bukan sahaja buat seorang pendidik, malah kepada ibu dan bapa yang baru menapak menelusuri jalan mencipta sebuah istana bahagia bersama anak-anak. Mengajar mengenal erti sebuah kehidupan.

Melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi:

Ertinya:

Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia.

Malah, saya tertarik juga dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tobrani;

Ertinya:

Lengkapkanlah anak-anakmu dengan tiga perkara: Cinta terhadap Nabi kamu, cinta terhadap ahli rumahtangganya dan selalu membaca Al-Quran

Selain himpunan hadith dan ayat suci yang terkandung dalam kitab tersebut, banyak kata-kata perangsang yang tertulis. Bukan kata-kata biasa, malah mampu menyirap ke sanubari seorang murabbi.

Antara wasiat Ibnu Sina dalam soal pendidikan anak-anak, katanya:

Hendaklah anak yang belajar di sekolah itu mempunyai teman-teman yang ramai, baik adabnya, senonoh adab dan tertibnya, kerana anak-anak itu akan meniru lagak dan tingkahlaku sesama mereka, ambil mengambil dan berkasih sayang

Antara kesungguhan lain yang jelas terlihat dalam pemilihan pendidikan anak-anak, melalui kata-kata Hisyam bin Abdul Malik kepada pendidik anaknya yang bernama Sulaiman Al-Kalbi.

Katanya;

Sesungguhnya anakku ini adalah cahaya mataku, dan kini aku telah serahkan kepadamu untuk kau mengajarinya. Maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, dan tunaikan amanah dengan sempurna.

Beliau menyambung lagi;

Mula-mula sekali, aku wasiatkan kepadamu supaya engkau membimbingnya dengan kitab Allah. Kemudian engkau lengkapkan dirinya dengan syair-syair yang terbaik sekali, kemudian engkau bawa dia mengelilingi perkampungan-perkampungan Arab, dan pilihlah syair-syair mereka yang terbaik sahaja, dan jangan lupa mengingatkannya dari hal halal dan haram. Ajarlah dia juga berpidato dan cara-cara berperang

Hebat bukan? Bersemangat saya membacanya. Bagaikan ada sebuah kekuatan muncul dalam diri. Begitu tinggi harapan seorang bapa tatkala menyerahkan anak untuk dididik seorang pendidik.

Mengapa masyarakat Arab begitu mengagungkan karya dalam bait-bait syair? Syair merupakan suatu yang indah, bukan calang-calang orang dapat menghasilkan karya syair yang begitu puitis menusuk kalbu, jua penuh bermakna.

Lihat juga, bagaimana soal halal dan haram dititikberatkan. Kita telah dedahkan perkara itu kepada murid-murid bukan? Ya, sememangnya. Namun, dapatkah mereka amalkan, hayati? Bila ditanya erti halal, haram, makruh, sunat dan harus,... lancar bibir menuturkannya.

Namun lekatkah dihati? Wallahu 'Alam. Bimbang saya dengan situasi kini.

Kenapa? Saya cukup risau. Anak-anak semakin membesar. Banyak yang dipelajari sehari-hari. Petang tadi saya telah dipertanggungjawabkan menyelesaikan satu kes. Cukup mengejutkan. Melibatkan murid tahun satu. Nanti lah, dalam entri yang akan datang, mungkin saya akan ceritakan.

Membaca kata-kata tersebut membuatkan saya bermonolog sendiri. Adakah saya mampu menjadi pendidik seumpama apa yang dikata? Adakah saya mampu membentuk akhlak anak-anak harapan keluarga sebagaimana yang diharapkan?

Wahai para pendidik, renungkanlah... tanggungjawab kita cukup besar... Laksanakanlah sebaiknya...

Tuesday, April 21, 2009

Bon Voyage...Oman

Dalam entri kali ni, saya nak ucapkan Selamat Berangkat dan 'Bon Voyage' kepada sahabat-sahabat Program j-QAF yang telah terpilih ke Oman bagi Program Pertukaran Kepakaran Malaysia-Oman khususnya dalam bidang pendidikan.

Semoga segala ilmu dan kepakaran yang diperolehi di sana akan dapat dikembangkan serta dikongsi bersama.

Kepada wakil Selangor, Akhi Mohd Ikmal Izwan Rosli dan sahabat dari Johor, Akhi Mior Syazril... selamat berangkat dan selamat kembali... jangan lupa sediakan Travelog dari Oman. Kami menanti suatu yang menarik dari sana.

Semoga program j-QAF akan lebih menarik dan mencabar sekembalinya kalian dari sana.

Selamat jalan...

Popular Posts