Tuesday, July 28, 2009

Bersabarlah bila kita diuji

"Ya... duk kat hospital. Mungkin lama lagi sebab hari Khamis baru boleh buat CT Scan. Tak elok sebenarnya mengadu susah kepada sesama makhluk, seolah-olah kita tak redho dengan ketentuan Ilahi. Kalau ada cinta-Nya dihati, pasti ujian berat pun terasa manis. Kawe jauh lagi dari tahap tu... HasbiyaLlahu Wa Ni'mal wakeel..."

"Ilham kena masa umur 50 hari. Sekarang dah 73 hari. Dia tak demam, tapi penyakit dia infantile spasm (sejenis sawan, tanpa tanda-tanda). Dalam banyak kes, punca penyakit unknown. Ilham pun sama, doktor masih mencari punca penyakit. Kalau tengok body dan berat, dia nampak ok dan sihat"

"...Sedih jugak, tapi dah nama hidup di dunia, kena sabar atas ujian. Orang lain lagi susah. Inna liLlahi wa inna ilaihi raaji'un...

=====

Itu lah sebahagian balasan SMS daripada sahabat saya, Mohd Arif yang sudah agak lama tidak ketemu. Berita tentang anaknya dimasukkan ke hospital pun, saya dapat tahu daripada emel MailingList alumni saya.

Anak keduanya, Ilham baru berusia 73 hari. Mula dihantar ke hospital ketika umurnya baru 50 hari. Saya, tahu... sahabat saya ni memang seorang yang kuat dan tabah. Membaca SMSnya sahaja telah membuatkan saya yakin, beliau mampu menghadapi ujian Allah ini dengan tabah. Pergantungannya kepada Allah cukup tinggi. Beliau begitu yakin, setiap makhluk di dunia pasti diuji.

Saya juga mendapat khabar yang tidak baik daripada Fared. Anak sahabat saya yang baru berusia beberapa bulan turut dimasukkan ke hospital. Terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkan darah beku. Mengikut maklumat yang saya terima, anaknya kini sedang mendapat rawatan susulan seperti fisioterapi, pediatrik dan neuro. Semoga Asfani dan Hidayati akan tabah juga. Baca cerita di sini.

Terdahulu, selepas kami menjalankan gathering di Putrajaya, anak kecil Fadzli dan Wahyuna (tuan rumah gathering) telah dimasukkan ke hospital. Akibat demam berlarutan. Kini Hannan sedang menerima antibiotik bagi memberi kekuatan pada dirinya.

Mungkin ini hanya sebahagian cerita dan berita yang saya tahu. Ada lagi yang tidak sampai ke telinga saya. Bila cerita ni tersebar, hanya doa dari para sahabat lain...amat diharapkan. Semoga si kecil yang diuji akan segera sembuh dan pulih. Semoga si ayah dan si ibu tidak kering air mata, mengenang nasib si kecil yang masih belum betah menerima sakit sebegitu.

Saya cuba menyelami hati dan perasaan sahabat-sahabat saya ini. Bagaimana mereka mengharungi kisah hidup apabila anak yang masih kecil merengek, menangis kerana kesakitan. Mungkin sekarang, mereka diuji... nasib kita, belum kita ketahuinya lagi. Kerana jika kita mengaku kita beriman, kita pasti akan diuji.

Firman Allah dalam Surah 'Ankabut, ayat 2-3 yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.

Semoga ujian Allah ke atas Arif, Asfani dan Fadzli serta keluarga akan menjadi iktibar buat semua dan akan menambahkan lagi pergantungan kepada Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui setiap apa yang berlaku ke atas kita.

Sahabat... bersabarlah dengan ujian yang ada...

Monday, July 27, 2009

Selamat berhijrah...

Cadangnya semalam, kami sekeluarga hanya ingin berehat di rumah. Setelah agak kepenatan seharian berjalan-jalan pada hari Sabtu.

Namun, SMS yang diterima menganjak keputusan itu. SMS yang mengajak saya ke rumahnya, untuk mengambil 'barang' yang dilelong selain tujuan berziarah. Nampaknya pagi semalam kami ke Sentul pula. Ziarah senior saya yang akan berhijrah, ke Dubai.

Itulah rezeki namanya. Rezeki berhijrah ke tempat orang. Namun ia tak datang melayang, tak juga kunjung bergolek. Perlu ada ikhtiar untuk semua itu.

Pertemuan ini sebenarnya tak terancang, namun tergerak hati ini untuk bertemu muka dengan senior yang mungkin akan terpisah, buat beberapa tahun.

Senior yang saya maksudkan, Ustaz Nazri Chik. Umum agak mengenali beliau. Agak lantang dalam gelanggang politik serta seorang 'pegawai' yang berjaya di sebuah bank di sini. Mula kenal dengan beliau, sejak di UM. Sekitar tahun 1999 hinggalah sekarang. Hampir 10 tahun lamanya.

Kami pernah duduk serumah (rumah sewa), masak bersama, makan bertalam, usrah, persatuan, jemaah dan sebagainya.

Bila ditanya kenapa ingin berhijrah, jawabnya... ingin menyiapkan PhD! Lupa pula bertanya tajuk tesisnya. Kesibukan dengan tuntutan kerja hakiki dan jemaah, menyebabkan kesuntukan masa untuk menyiapkannya. Selain daripada ingin melunakkan lidah dengan Lughatul Quran, Bahasa Arab...

Ironinya, bahasa yang digunakan di sana, hampir 80 peratus Bahasa Inggeris. Sehinggakan katanya, agak pelik sekiranya rakyat tempatan di sana tidak mahir berbahasa asing itu. Aneh, bukan?

Mungkin pertemuan semalam adalah Liqa' wada' antara saya dengan beliau? Beliau dan keluarga akan berhijrah pada Oktober nanti. Doa saya agar beliau akan berjaya hidup di sana dan berjaya menyiapkan PhDnya nanti.

Azamnya, membakar semangat saya! Untuk menyambung pelajaran. Dah ramai sahabat yang berbuat begitu. Yusri, Zubaidi, Badli dan ramai lagi. Saya rasa dah tiba masanya giliran saya. InsyaAllah, semoga Allah memberi saya jalan dan kekuatan.

Buat Ustaz Nazri dan Dr. Maisarah... selamat berhijrah! Semoga berjaya. Terima kasih atas hadiah mainan buat si kecil Muazz dan Hajar yang teruja dengan barang mainan tersebut. Juga terima kasih kerana menerima diskaun yang ditawarkan. Semoga SHARP itu akan menjadi kenangan buat kami. :)

pstt: Kalau sesapa nak beli Toyota Vios miliknya... sila ke webnya. :)

Saturday, July 25, 2009

Merayau di Pesta Buku Selangor


Pulang dari sekolah tengah hari tadi, saya mengajak isteri keluar mengambil angin 'segar'. Kami menuju ke PKNS Shah Alam. Semalam sudah bermula Pesta Buku Negeri Selangor 2009. Pasti meriah, agak saya!

Kami sampai pukul 12.30 tengah hari. Nampaknya tidak begitu ramai pengunjungnya. Tidak seperti semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2 bulan lalu. Kami tidak berada dalam lautan manusia. Senang sahaja mengharungi jalan dari booth ke booth bersama 3 anak. 2 dipimpin, seorang dikelek.

Terserempak dengan seorang sahabat. Ustaz Nazib. Datang berseorangan tanpa ditemani isteri dan anak-anak. Sempat bercerita tentang satu bisnes. Saya perlu baca dan fahami dulu. Terima kasih atas kiriman emel... nanti aku bagitau hang naa...

Ralit membelek buku sambil memerhati gelagat anak-anak, disapa seorang lelaki. Katanya dia kenal saya. Saya pulak yang cuak. Tak kenal dia. Tak ingat langsung. Katanya, dia memang perasan muka saya. Tapi tak ingat di mana...

Ahh.. sudah,... akhirnya... dia berlalu dengan seribu persoalan bermain dalam benak saya... Siapa dia, ya? Jumpa kat mana? Apa pun , saya berterima kasih kerana ditegur... :)

Buku yang dibeli, banyaknya untuk si abang dan kakak. Biar mereka 'membaca'. Biar bersepah buku di ruang tamu, asal mereka mengenal dan tahu apa yang dilihat.

Ternyata, Muazz dan Hajar juga teruja dengan buku-buku baru mereka!

Pukul 2 petang kami bergerak keluar. Singgah di Masjid Negeri Shah Alam untuk solat Asar dan beriadah bersama. Aktiviti kegemaran Muazz dan Hajar... berlari mengelilingi dataran masjid.

Yang pasti anak-anak gembira apabila dibawa keluar hari ini. Inilah aktiviti yang paling dinanti pada hujung minggu. Saya terkilan kerana tidak memenuhi janji pada mereka pagi tadi. Saya berjanji akan pulang sekejap ke rumah untuk mengambil mereka... sama-sama mendengar ceramah Israk Mikraj di sekolah saya. Saya berjanji semalam. Muazz ingat janji itu. Setiap janji Abi dan Ummi akan di ungkit si kecil itu.

Bila terjadi insiden tak digemari di sekolah pagi itu, niat untuk kembali ke rumah mengambil mereka terbatal. Saya maklumkan pada isteri. Muazz meraung apabila baju melayu yang siap tersarung terpaksa dibuka umminya... "nak gi sekolah abi... nak gi sekolah abi..."

Namun saya berterima kasih pada isteri kerana berjaya memujuk si kecil. Yang pasti sekembali saya ke rumah tengah hari tadi, Muazz menagih janji saya... untuk ke sekolah... Ahh.. maafkan Abi, ya Muazz...

Tapi... hari ni, kita telah keluar bersiar-siar... Muazz dan Hajar dapat buku pulak tu... :)


Salah Faham jee..

Salam...

Masing-masing menunggu. Usai solat hajat dan bacaan Yasin, sesi ceramah Israk dan Mikraj. Saya diminta oleh KP untuk menunggu penceramah di dataran sekolah.

Ya, penceramah tersohor... pasti ramai yang teruja. Seisi sekolah sangat menanti kehadiran penceramah tersebut.

Saya cuba menghubungi penceramah yang masih belum kelihatan walaupun jam menunjukkan jam pukul 9 pagi. Saya bimbang kalau-kalau ada masalah yang timbul.

Saya cuba menghubungi beliau melalui telefon bimbit, nombor yang saya ambil dari rakan saya, Frizdan.

Saya agak terkejut, apabila setelah saya berjaya menembusi talian, beliau bertanya semula kepada saya:

"Jadi ke ni Ustaz? Takde orang yang confirmkan pun..."

"Ye ker...? Hmm... saya dimaklumkan, dah ada yang confirmkan...abis tu macamana ni ustaz?"

Saya yakin, ramai yang kecewa. Orang yang dinanti... tak dapat datang... hanya kerana salah faham...

Yang pasti, kami semua (Panitia Agama Islam) terus dipersalahkan atas kecuaian ini...

Saya hanya membisu. Rakan saya yang ditaklifkan menghubungi Ustaz tadi pun, diam. Rasa bersalah mula menyelubungi dirinya. Saya, sebagai rakan, hanya mendengar luahan dan keluhan, serta rasa sesal yang berbuah lebat.

Orang yang paling dipersalahkan dalam hal ini, tak lain tak bukan, KP kami. Kesian saya tengok dia. Dalam keadaan yang sedang sarat, menanti hari sahaja... pelbagai kata-kata yang kurang enak didengar, terpancul keluar dari mulut-mulut yang tidak berlesen. Hampir-hampir beliau menitikkan air mata. Saya lihat matanya merah... Dah banyak yang beliau lakukan. Walaupun seksa dengan keadaannya, beliau masih gagah ke hulu dan ke hilir.

Namun bila jadi macam nih, kena juga atas kepala.

Sabar je lah kak... Akak dah jalankan tugas dengan baik... akak juga dah ingatkan agar dihubungi peceramah semalam, namun tiada tindakan daripada insan yang tertaklif.

Ahirnya majlis diteruskan dengan Ceramah Motivasi yang sebenarnya dijadualkan selepas Ceramah Israk Mikraj. Kami juga meminta Ustaz yang dijemput mengendalikan ceramah motivasi itu menyelitkan sama dalam ceramahnya intipati berkisar Israk dan Mikraj. Terima kasih Ustaz Sayuti... jasamu dikenang!!!

Pengajaran daripada isu ini:
  1. Perlu dibuat mesyuarat setiap kali ingin mengadakan aktiviti sekolah yang melibatkan orang luar. Ibu bapa yang datang juga ada yang terkilan... apa nak buat
  2. Setiap AJK yang diamanahkan tugas, perlu 'alert' dengan taklifan masing-masing.
  3. Perlu ada 'back-up' dan 'stand-by' daripada mana-mana Ustaz sekolah sendiri untuk mengisi ruang ada
  4. Jangan mudah menuding jari... mencari salah dan mengungkit perkara yang sama. Yang silap, sama-sama diperbetulkan.
  5. Hayati kisah dan iktibar disebalik sirah Israk dan Mikraj Nabi Muhammad... itu yang kita mahukan sebenarnya, kan?
  6. Sama-sama bermuhasabah atas kelemahan diri sendiri.
Kepada semua yang terlibat dalam majlis hari ini, JazakaLlahu Khairal Jaza'... Hanya ALLAH yang dapat membalas jasamu.

Kepada Ustaz A, kami juga mohon maaf atas salah faham yang timbul, InsyaAllah jika ada masa, kami akan jemput.

Tuesday, July 21, 2009

Indahnya Hidup Bersyariat

Salam...

Semalam, usai dari mesyuarat saya terpandang dua buah kotak berisi buku dalam bonet kereta seorang rakan, Ustaz Hazri. Saya pernah melihat dan membaca buku itu, namun belum berkesempatan memilikinya.

Namun, peluang yang ada, saya rebut. Saya segera mendapatkan buku tersebut daripada Ustaz Hazri. Terima kasih atas harga istimewa yang diberikan... JazakaLlahu Khairal Jaza'...

Bukunya cukup menarik. Bagi saya, sangat sesuai untuk semua orang, tak kira yang alim, atau baru nak mengenal. Isinya cukup ringkas dan padat. Sesuai untuk bacaan umum. Olahannya juga mudah difahami.

Yang menarik, semua helaian buku berkulit tebal ini adalah licin dan cantik. Ilustrasinya juga menarik, grafiknya juga hebat. Walaupun tiada huraian yang berjela, namun boleh dijadikan rujukan dan bahan bacaan. Untuk tambahan, boleh dirujuk kitab Muktabar lain.


Isi buku INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT ini merupakan panduan untuk diri sendiri (fardu ain), seisi keluarga, masyarakat dan umat sejagat (fardu kifayah). Ia merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, penekaan pendidikan remaja, hukum-hakam muamalat (jual beli), munahakat (nikah kahwin dan rumah tangga) serta amalan zikir, doa dan adab. Semua ilmu bersumberkan al-Quran dan hadis sahih.

Bak kata sahabat saya Ustaz Nazib:

Buku ini memuatkan modul Fardhu Ain diri, keluarga dan masyarakat sepanjang hayat. Buku yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd ini dihasilkan daripada kolaborasi mantap Al-Fadzil Ustaz Dato' Ismail Kamus dan Ustaz Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid (Pensyarah Pusat Matrikulasi UIAM).

Katanya lagi...

Dengan berbelanja RM55.00 untuk buku ini saya berpendapat ia sangat-sangat berbaloi dan anda pasti tidak akan menyesal setelah memilikinya. Buku ini amat sesuai untuk rujukan institusi pendidikan di semua peringkat serta boleh dijadikan bahan tazkirah dalam laman blog anda. Saya bukan ape, cuma nak tolong promosi benda-benda yang bagus!

Saya jawab...

Saya pun begitu juga... : )

Monday, July 20, 2009

Info Mahrajan Negeri Selangor

Salam...

Hari ni, saya hadir satu mesyuarat bersama Penolong Pengarah Kanan Bidang Operasi j-QAF. Saya bertanya sendiri tentang tarikh Mahrajan j-QAF Negeri Selangor.

Menurut beliau, Mahrajan j-QAF akan dilaksanakan pertengahan Ogos. Sebelum Ramadhan. Namun sekiranya peruntukan yang dipohon masih belum diterima, berkemungkinan tarikh tersebut akan dianjak lagi.

Rasanya masih ada daerah yang masih belum mengadakan Mahrajan Peringkat Daerah. Yang saya tahu, Sepang dah selesai. Ustaz Yahuza yang maklumkan. Sekolahnya akan mewakili daerah Sepang dalam pertandingan Kalam Jamaie... Mabruk ustaz!

Jadi, pesanan daripada Ustaz Wan Yusof, kepada sekolah yang masih belum 'dipanggil' oleh PPD, teruskan dengan latihan. Mahrajan Negeri akan pasti dilaksanakan! InsyaAllah.

Ustaz Zubaidi boleh lah teruskan semula latihan ya. Pastinya saingan tahun ni akan sengit. Ramai yang berbakat. Teruskan usaha... Dengar cerita, tahun ni SK Meru 2 jadi tuan rumah Mahrajan j-QAF Daerah Klang, wallahu 'alam.

Friday, July 17, 2009

Mahrajan j-QAF Negeri Selangor: Perubahan tarikh

Salam...

Saya cuba mendapatkan kepastian. Penantian tarikh, amat memenatkan. Sesi latihan juga tertangguh. Sebab belum tahu bila tarikhnya.

Jadi, saya hubungi Pegawai j-QAF Kuala Selangor, Ustaz Ramli selaku tuan rumah Mahrajan j-QAF Negeri Selangor 2009.

Menurut ustaz Ramli, tarikh Mahrajan ditunda pada bulan Ogos, tapi tidak dinyatakan tarikhnya dengan tepat. Mungkin masih dalam peringkat perbincangan. Mungkin juga kerana pertembungan program lain atau kesuntukan masa, tarikh asal dianjakkan.

Sama ada 1 Ogos, 8 Ogos atau 15 Ogos? Yang pasti sebelum hadirnya Ramadhan, kan?

Mungkin selepas ni, akan dapat surat arahan dari PPD pulak. Buat sekolah yang sudah pasti ke peringkat negeri, bersedia lah. Buat yang masih berlumba-lumba merebut tempat, berusaha lah dari sekarang!

TAHNIAH buat kontinjen negeri yang berjaya dalam Festival Nasyid MTQ Peringkat Kebangsaan di Kuantan yang baru sahaja selesai pagi tadi. Maklumat yang saya perolehi daripada Ustaz Anis a.k.a AbuHazieq, keputusannya seperti berikut:

Kategori Sekolah Rendah:

JOHAN: Negeri Pahang
NAIB JOHAN: Negeri Sembilan (AL-Mumtaz... tahniah ustatkimi)
KETIGA: Perak

Kategori Sekolah Menegah:

JOHAN: Johor
NAIB JOHAN: Kuala Lumpur
KETIGA: Pahang

Tahniah dan syabas kepada kontinjen yang berjaya! Segala penat lelah, pasti terbalas...


Popular Posts