Thursday, May 26, 2011

Sistem Pengurusan Pembelajaran

Assalamualaikum,

Entry kali ni, saya cuma nak berkongsi satu portal 'Sistem Pengurusan Pembelajaran' yang diurus selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Apa yang dimaklumkan, portal ni dah lama wujud, tapi kebanyakan guru masih tidak tahu mengenainya.

Kami pun cuma tahu semasa Mesyuarat Pemurniaan Bahan Kursus KSSR dan Dokumen Standard Tahun 2 PI baru2 ni. Jika sesiapa yang nak guna dalam proses p&p, memang bagus.

Portal ni ada semua matapelajaran, dari peringkat Pra Sekolah sehinggalah Sekolah Menengah. InsyaAllah dapat membantu sebagai bahan pengajaran yang interaktif.

Mungkin cabarannya:

1) Ia pembelajaran online, jadi pastikan di sekolah mempunyai 'line' yang pantas seperti UniFi or apa2 je. Kalau line schoolnet yang slow... susah la sikit... ;)

2) Tak semua tajuk ada dalam portal ni. Saya cuma sempat 'run' bab Pendidikan Islam je lah. Kalau rajin, sila la explore portal ni, memang menarik la, InsyaAllah...

Kalau perisian ini boleh dimuat turun, baik juga, boleh guna secara offline. Tidak mengganggu proses pnp, nak tunggu respon yang lama...

Sila klik di sini untuk ke portal tersebut, atau terus ke http://spp.moe.edu.my/

Laman Utama (home) portal tersebut


Contoh paparan: Pendidikan Islam Tahun 3, Tajuk Beriman Kepada Hari Akhirat



dalam portal ni, ada Slot Pengenalan, Pengajaran dan Aktiviti mengikut aras 1-3. Jadi, sesekali gunakan portal ni masa mengajar semester depan, lepas buka cuti, pasti murid2 teruja... InsyaAllah...

Selamat Bercuti...

Tuesday, May 24, 2011

Terima Kasih Cikgu...



Assalamualaikum,

Hari Guru dah seminggu berlalu, namun kat sekolah saya ni tak sambut lagi. Ikut cadangan tarikhnya, 27hb Mei nanti, penutup semester 1 ni, sebelum bercuti 2 minggu. Jadi, rasanya tak terlewat la nak ucap SELAMAT HARI GURU kat semua rakan pendidik, khususnya insan2 yang telah mendidik saya sejak tabika sampai sekarang...

1984-1985 : Tabika KEMAS Kok Lanas (masa tu takde PASTI, kalau tak mesti ke sana... hehe)

1986-1991 : SK Desa Pahlawan (SKDP)

Cikgu Keftiah, Ustazah Nasihah, Cikgu Fauziah, Cikgu Ramli Yusuf, Cikgu Ramli Manaf, Madam Alice, Madam Koh, Cikgu Samaruddin, Cikgu Shamsuddin Mat Saman, Cikgu Fakaruddin, Cikgu Hamzah, Cikgu Hishan, Cikgu Yus, Cikgu Norbaizura, Cikgu Ummi Kalthom .... ((ramai lagi ni... tak ingat la pulak ;( ))

1992-1994 : SMU(A) Syamsul Maarif

Ustaz Abdullah, Ustazah Hasinah, Cikgu Fauziah, Cikgu Azmi, Cikgu Johari, Cikgu Tarmizi, Cikgu Maznah...

1995-1997: Maahad Muhammadi Lelaki

Ustazah Asiah, Ustaz Badrul Hisyam, Cikgu Sabihah, Cikgu Azmi, ...

1997-1999: Pra Akademi Pengajian Islam UM, Nilam Puri

Ustaz Osman Yasin, Ustaz Abdul Rahim, Ustaz Razuki, ...

1999-2003: Akademi Pengajian Islam, UMKL

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi, Prof Madya Dr. Naemah, Prof Madya Raihanah, Prof Madya Dr. Shamsiah, Prof Dr. Salleh Ahmad,...

2004: Maktab Perguruan Islam, Bangi

2005-2006 : Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM)

2010 hingga sekarang : Fakulti Pengajian Islam UKM

Prof Dato' Dr. Hailani Muji Tahir, Prof. Dr. Abd Ghafar, Prof Madya Dr. Hashim Mehat, Prof Madya Dr. Hayatullah Laluddin, Ustaz Mohd Noor Abdullah, Prof Madya Dr. Sunawari Long dan Prof Madya Dr. Jaafary Awang.

(Maaf, ada insan yang tak terlintas tika entry ini ditulis... ingatan pada semua guru akan sentiasa berkekalan, InsyaAllah...)

Semoga Allah memberkati hidup kalian yang telah mengajar aku erti sebuah kehidupan. Berkatilah segala ilmu yang dicurahkan, ampunilah segala dosa anak didikmu ini. Aku doakan, agar kalian sentiasa dalam lembayung rahmat Allah Taala.

Al-Fatihah buat guru-guruku yang telah meninggal dunia. Moga ditempatkan bersama hambaNya yang beriman dan beramal soleh... InsyaAllah.

Terima kasih, cikgu-cikgu ku...


p/s: Saat ini, tinggal 3 hari lagi sebelum sambutan peringkat sekolah... harapnya multimedia yang dihasilkan, akan dapat siap, dan ditayangkan tanpa masalah... InsyaAllah


Saturday, May 21, 2011

Kenduri Tahlil Arwah...

Assalamualaikum,

Jemputan Kenduri Tahlil untuk Allahyarham Mohd Ali Jaafar:

Tarikh: 28 Mei 2011
Hari : Sabtu
Masa : Lepas solat Maghrib
Tempat: Lot 148, Kg. Jiboi Baru, 70400 Ampangan, Seremban

Kepada sahabat yang berkesempatan, isteri Allahyarham iaitu ukhtuna Faizah menjemput sedara/sedari sekalian khususnya sahabat2 yang mengenali arwah untuk sama-sama hadir dalam majlis tahlil tersebut. Semoga arwah tenang di dalam sana. InsyaAllah.

Al-Fatihah.



Wassalam




Monday, May 16, 2011

Sahabatku Mohd Ali Jaafar, kau pergi jua... Al-Fatihah

16 MEI 2011, ISNIN, JAM 1:06 pagi

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami,
Kerana takdir Yang Maha Esa telah menetapkan,
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan,
Kau sahabatku kau teman sejati.

Itu antara bait lagu yang mengiringi perjalanan pulang kami malam tadi. Bait lagu yang begitu syahdu, mengimbau segala kenangan bersama arwah sahabat kami, ALLAHYARHAM MOHAMAD ALI BIN JAAFAR. Sukar untuk mempercayainya, namun itulah hakikatnya.

Semalam, dalam perjalanan pulang dari melawat arwah, saya diminta supaya update kronologi saat akhir Allahyarham meninggalkan kita semua. Berat hati ni nak tulis, sayu dan sebak. Minggu-minggu akhir sebelum Ali pergi, membuatkan kami lupa penat bekerja, semata2 untuk berbakti pada seorang sahabat, buat kali terakhir...

Buat semua sahabat yang bersama2 Allahyarham pada minggu akhir ini, jazakallah khairal jaza' kerana membuatkan Ali tersenyum, gembira.

Esri, terima kasih atas kerusi rehat itu.
Khairudin, pasti Ali suka dengan roti banjir itu.
Azral, Apiet... suka tgk Ali makan Nasi Arab mlm tu kan?
Fiza, Azman, Zahar... terima kasih atas usaha kalian membantu Ali di pusat rawatan itu.
Wan Hamdah, terima kasih atas bakti dobimu itu, juga kain pelikat buat arwah semasa hayatnya memerlukan.
Krie, terima kasih sudi luangkan masa
PakChu, walau jauh dari Hulu Selangor... itu tak menghalang niat bertemu sahabat kita, kan?

Dan semua yang terlibat... melawat arwah semasa hayatnya, dalam menggembirakan dan menyuntik semangat buat arwah... inilah sedikit garapan kisah minggu2 akhir arwah (versi saya dan rakan2 yang bersama arwah semasa hayatnya) utk renungan kita semua... maaf atas segala kesilapan...

=====================================================

9 MEI 2011, ISNIN jam 2.05 petang

Saya menerima SMS daripada abang ipar arwah yang juga merupakan senior di UM, Ustaz Syafiq. Kiriman SMS yang saya terima agak mengejutkan. Ustaz Syafiq maklumkan, berdasarkan pendapat doctor, tempoh hayat Ali mungkin tidak lama. Ini berikutan sel barah telah merebak ke paru-paru dan organ badan yang lain. Hampir 80 peratus sel barah telah menyerang paru-paru Ali. Maklumnya lagi, jika ada masa, digalakkan ziarah Ali selagi beliau masih ada.

Tersentak membaca kiriman SMS tadi. Agak mengejutkan saya memandangkan info dari Faizah melalui status yang di update di facebook Aqrab, keadaan Ali semakin baik. Azral, yang juga menerima SMS yang sama telah mencadangkan agar kami melawat Ali selepas waktu kerja, pada hari itu juga. Jadi, seusai waktu sekolah, saya, Azral dan Hafeez bergegas ke PPUM. Kami cuba mengajak sahabat lain yang dekat untuk sama-sama ke sana. Nazib ada di Sabah atas urusan kerja. Fiza ada tugas yang tak dapat dielakkan. Alhamdulillah, Esri, Aznur dan Kairuddin setuju untuk berjumpa di PPUM.

Kami sampai agak lewat memandangkan jalan yang sesak di waktu puncak. Usai solat maghrib di tingkat 9U, kami bergerak ke katil 30. Katil bersebelahan kaunter jururawat. Sebelum ini, Ali berada di katil hujung sekali, katil 52. Mungkin disebabkan kondisi yang kurang baik itu, Ali dipindahkan ke katil tersebut.

Kami merapati katil Ali. Ali bernafas dengan bantuan oksigen. Ali tak banyak bercakap, kerana sukar untuk bernafas. Sesekali arwah cuba untuk membalas pertanyaan kami. Namun percakapan arwah tidak jelas, memerlukan isterinya Faizah untuk ‘menterjemahkannya’.

Namun, arwah masih boleh tersenyum. Kami cuba bercerita kisah-kisah lama. Kami cuba untuk arwah melupakan sakitnya buat sementara. Kata Faizah, sepanjang hari, tekanan darah Ali tinggi, namun setelah kami datang, tekanan yang turun sedikit. Ali perlukan teman untuk berbicara, atau bercerita.

Waktu melawat sepatutnya tamat jam 8 malam. Namun pada jam 9.45 kami masih di sana. Tak sampai hati rasanya untuk wida’, dan mengucapkan salam perpisahan pada malam itu. Namun, sebelum balik, kami sama-sama berdoa, agar diringankan beban dan disembuhkan kesakitan yang ditanggung.


Kenangan bersama Allahyarham sebelum usai ziarah


Sebelum balik, Esri mencadangkan agar dibeli kerusi rehat untuk Faizah memandangkan Faizah hanya tidur beralaskan kerusi sahaja. Terima kasih Esri.

11 MEI 2011, (RABU)

Kami sekali lagi ke PPUM. Kali ni, kami pergi bersama bekalan makanan. Saya, Azral, Hafeez dan Khairuddin bergerak dari Seri Kembangan selepas solat Maghrib. Sebelum ke Seri Kembangan, kami singgah di Abraj Restoren. Kami beli Nasi Arab Mandy untuk Ali dan Faizah. Ada juga Nasi Lemak dan Roti Canai yang dibeli dari warung Amjal. Cadangan asal, nak belikan roti banjir di Mapley, namun setelah kami mencubanya pada malam selepas ziarah Ali hari Isnin, rasanya kurang enak seperti dulu. Jadi kami hanya beli di Amjal, lagipun masa melawat pun dah tak banyak.

Sampai di PPUM, Fiza sudah lama menunggu. Kami segera ke katil arwah. Fadzli dan Wahyna dah ada di sana. Sharul Zaman dan Nawawi (Batch Mujaddid) pun ada. Kali ni, kami lihat arwah agak lesu dan keletihan. Kata Faizah, sejak pagi tadi, arwah masih belum makan. Takde seleranya katanya. Kasihan kami tengok arwah bernafas dengan oksigen. Kami biarkan arwah berehat. Kami tak banyak bercakap, tak seperti pada malam Isnin baru ni. Baru kami tahu, Ali sudah tahu kondisinya setelah doctor meminta Ali di discaj kan dalam masa terdekat. Kata doctor, harapan Ali untuk terus hidup dalam masa 2-3 minggu saja lagi. Ali dengar apa yang doctor kata, depan Faizah.

Mungkin sebab kata-kata doctor itu, semangat Ali lemah, luntur dan pudar. Namun kami lihat, Faizah tetap tabah dan kuat. Tak putus-putus memujuk suaminya. Menyuntik kata-kata semangat supaya suaminya terus bangkit melawan kanser yang ditanggung.

Akhirnya pada jam 9.40 mlm, Ali gagahkan diri untuk menjamah juadah yang kami bawa. Bagai nak menitik air mata kami, melihat Ali mengunyah dan menelan Nasi Arab itu. Syukur, Ali masih berselera. Pak Chu (Zaini) turut menyuapkan hirisan betik untuk Ali. Jam 10 malam, kami menerima arahan dari pengawal wad untuk tinggalkan wad. Kami memeluk erat Ali. Kami tiupkan kata-kata semangat untuk Ali. Kami suruh Ali lawan sakitnya. Kena kuat untuk anak-anak dan isterinya.


Tabah hati seorang isteri menjaga suami... Faizah menyuapkan Nasi Arab yang kami bawa pada malam itu


Sebelum balik, kami bertanyakan prosedur untuk discaj Ali yang mungkin esok atau lusa. Kata Faizah mungkin esok (Khamis). Faizah melahirkan rasa bimbangnya dengan keadaan Ali yang terpaksa bergerak bersama-sama oksigen. Namun segalanya terserah pada kehendakNya.

12 MEI 2011, KHAMIS

Menurut Faizah, Ali dalam proses untuk di discaj. Faizah minta didoakan Ali dapat balik dengan selamat memandangkan keadaan Ali agak lemah dan letih pada tengah hari tu. Anggapan kami silap, apabila menurut Faizah, mereka bercadang balik ke Seremban dengan kereta Wan Hamdah, bukannya ambulan PPUM. Jadi, berlaku sedikit masalah teknikal menyebabkan Ali tidak di discajkan pada hari ini. Tangguh pada hari Jumaat. Nasib baik ada ambulan.

Cuma ralatnya, pada jam 7.30 malam, saya menerima panggilan telefon yang minta agar ada sesiapa yang boleh bawa bubur kacang (Ali sebut nak makan) dan kain pelikat untuk Ali pada malam tu. Kerana beg pakaian telah dihantar ke Seremban. Disebabkan ada hal pada malam tu, saya tak dapat pergi ke PPUM dan cuba SMS kepada sahabat2 yang tinggal berdekatan untuk menunaikan hajat Ali.

14 MEI 2011, SABTU

Saya bercadang untuk melawat Ali di Seremban bersama Syeh Syahmun dan Nazib. Namun, Faizah maklumkan, mereka akan ke Jalan Klang Lama untuk berubat di Academy of Aura Solutions, Petaling Jaya. Jadi kami tangguhkan niat untuk ziarah. Kami tunda ziarah pada hari Selasa, Cuti Wesak.

Ali sampai di pusat rawatan tu, sejak malam tadi. Azman dan Fiza mengambil tugas membantu memapah Ali ke bilik air dan sebagainya. Mereka di sana sehingga jam 2.30 pagi. Terima kasih sahabat… besar sungguh pengorbanan kalian.

15 MEI 2011, AHAD

Ali masih meneruskan sesi rawatan mandi aura di pusat rawatan tersebut. Kali ni, Khairudin dan Zahar mengambil tugas membantu Ali bergerak. Ikut kata Zahar dan Azman, Nampak perubahan pada tubuh Ali selepas melalui proses rawatan mandi tersebut. Kulit nampak merah, Ali kelihatan agak bertenaga sehinggakan sempat melawak, supaya ajak Faizah sama-sama mandikannya.

Namun, kehendak Allah mengatasi segalanya. Lebih kurang jam 6 petang, Ali kelihatan keletihan. Nafasnya tercungap-cungap walaupun diberi bantuan oksigen. Diceritakan, sakitnya Ali pada ketika itu sehingga merentap tudung Faizah dan menggenggam erat tangan isterinya. Akhirnya, Ali pergi jua. Itu sudah ajalnya. Kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar yang terbaik untuknya.

Saya menerima khabar kematian Ali pada jam 6.20 petang melalui kiriman SMS daripada Azral. Saya segera meminta penjelasan dari Syafiq yang pada ketika itu belum menerima khabar kematian Ali. Selang 5 minit kemudian, Syafiq mengesahkan berita tersebut.

Azral, Hafeez dan Nazib sepakat bertemu di rumah saya untuk ziarah arwah buat kali terakhir. Jika jenazah di bawa ke Kedah (Guar Kepayang, Pendang), kami bercadang untuk ke sana. Namun, kami dimaklumkan jenazah masih di pusat rawatan tersebut sehingga jam 9 malam. Sampai di PJ, ramai sahabat berada di sana. Antaranya Esri, Aiman, Azman, Ustaz Mohamad Abdullah (Ustaz Amin) dan Zahar. Mereka menunggu Alphard Ustaz Mohamad untuk membawa jenazah ke Pendang. Ustaz Muhamad menawarkan Alphard miliknya setelah sewa ambulans ke Kedah mencecah RM1,900. Jazakallah Ustaz Mad.

Kami mengusung arwah dari tingkat 2, ke tingkat bawah. Keadaan lif yang sempit menyukarkan kami membawa arwah. Jenazah arwah mula bergerak meninggalkan kami semua pada jam 9.30 malam. Ayah, Ibu dan adik arwah bersama-sama di dalam Alphard tersebut. Saudara mara arwah termasuk abangnya, ikut dari belakang. Kami mengambil keputusan untuk tidak ke Kedah memandangkan masing-masing bekerja esoknya dan mengharapkan sahabat-sahabat yang tinggal di Kedah agar dapat ziarah arwah nanti.

Ralat saya tidak dapat menghantar SEHELAI KAIN PELIKAT pada malam Ali memerlukannya. Namun dek kerana kami pada awalnya bercadang untuk ke Kedah malam ini, saya membawa sehelai kain pelikat untuk tujuan solat dan persalinan. Namun, tercapai juga hajat saya apabila keluarga Ali meminta sesiapa yang ada kain untuk ditutupkan tubuh Ali di dalam van. Akhirnya, kain pelikat saya, bukan untuk Ali pakai, namun untuk menyelimuti tubuh kaku Ali.

Kelibat Faizah tidak kelihatan ketika kami sampai. Faizah telah terlebih dahulu pulang ke Seremban bagi mengambil 2 orang anaknya di sana untuk di bawa bersama ke Kedah. Katanya, Faizah tidak mampu berjalan lagi. Lemah badannya menerima berita tersebut. Sebelum ini, kami lihat Faizah sangat kuat, sentiasa mengukir senyum, tak kelihatan riak letih dan penat. Namun, bagi kami, mungkin ini yang terbaik untuk Faizah dan anak-anak. Ketentuan Ilahi ada hikmahnya. Sudah lama Faizah menanggung ujian ini. Pastinya Ali puas dan bangga dengan khidmat Faizah selama ini. Begitu kentalnya seorang isteri yang berusaha untuk memulihkan kembali semangat suaminya.

Kepada Faizah dan keluarga Ali, salam takziah dari kami, keluarga besar AQRAB. Semoga tabah dan kuat menghadpi ujian ini. Semoga ALLAHYARHAM MOHAMAD ALI BIN JAAFAR akan ditempatkan bersama-sama hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Ameen. Al-Fatihah.


Popular Posts