Monday, May 16, 2011

Sahabatku Mohd Ali Jaafar, kau pergi jua... Al-Fatihah

16 MEI 2011, ISNIN, JAM 1:06 pagi

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami,
Kerana takdir Yang Maha Esa telah menetapkan,
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan,
Kau sahabatku kau teman sejati.

Itu antara bait lagu yang mengiringi perjalanan pulang kami malam tadi. Bait lagu yang begitu syahdu, mengimbau segala kenangan bersama arwah sahabat kami, ALLAHYARHAM MOHAMAD ALI BIN JAAFAR. Sukar untuk mempercayainya, namun itulah hakikatnya.

Semalam, dalam perjalanan pulang dari melawat arwah, saya diminta supaya update kronologi saat akhir Allahyarham meninggalkan kita semua. Berat hati ni nak tulis, sayu dan sebak. Minggu-minggu akhir sebelum Ali pergi, membuatkan kami lupa penat bekerja, semata2 untuk berbakti pada seorang sahabat, buat kali terakhir...

Buat semua sahabat yang bersama2 Allahyarham pada minggu akhir ini, jazakallah khairal jaza' kerana membuatkan Ali tersenyum, gembira.

Esri, terima kasih atas kerusi rehat itu.
Khairudin, pasti Ali suka dengan roti banjir itu.
Azral, Apiet... suka tgk Ali makan Nasi Arab mlm tu kan?
Fiza, Azman, Zahar... terima kasih atas usaha kalian membantu Ali di pusat rawatan itu.
Wan Hamdah, terima kasih atas bakti dobimu itu, juga kain pelikat buat arwah semasa hayatnya memerlukan.
Krie, terima kasih sudi luangkan masa
PakChu, walau jauh dari Hulu Selangor... itu tak menghalang niat bertemu sahabat kita, kan?

Dan semua yang terlibat... melawat arwah semasa hayatnya, dalam menggembirakan dan menyuntik semangat buat arwah... inilah sedikit garapan kisah minggu2 akhir arwah (versi saya dan rakan2 yang bersama arwah semasa hayatnya) utk renungan kita semua... maaf atas segala kesilapan...

=====================================================

9 MEI 2011, ISNIN jam 2.05 petang

Saya menerima SMS daripada abang ipar arwah yang juga merupakan senior di UM, Ustaz Syafiq. Kiriman SMS yang saya terima agak mengejutkan. Ustaz Syafiq maklumkan, berdasarkan pendapat doctor, tempoh hayat Ali mungkin tidak lama. Ini berikutan sel barah telah merebak ke paru-paru dan organ badan yang lain. Hampir 80 peratus sel barah telah menyerang paru-paru Ali. Maklumnya lagi, jika ada masa, digalakkan ziarah Ali selagi beliau masih ada.

Tersentak membaca kiriman SMS tadi. Agak mengejutkan saya memandangkan info dari Faizah melalui status yang di update di facebook Aqrab, keadaan Ali semakin baik. Azral, yang juga menerima SMS yang sama telah mencadangkan agar kami melawat Ali selepas waktu kerja, pada hari itu juga. Jadi, seusai waktu sekolah, saya, Azral dan Hafeez bergegas ke PPUM. Kami cuba mengajak sahabat lain yang dekat untuk sama-sama ke sana. Nazib ada di Sabah atas urusan kerja. Fiza ada tugas yang tak dapat dielakkan. Alhamdulillah, Esri, Aznur dan Kairuddin setuju untuk berjumpa di PPUM.

Kami sampai agak lewat memandangkan jalan yang sesak di waktu puncak. Usai solat maghrib di tingkat 9U, kami bergerak ke katil 30. Katil bersebelahan kaunter jururawat. Sebelum ini, Ali berada di katil hujung sekali, katil 52. Mungkin disebabkan kondisi yang kurang baik itu, Ali dipindahkan ke katil tersebut.

Kami merapati katil Ali. Ali bernafas dengan bantuan oksigen. Ali tak banyak bercakap, kerana sukar untuk bernafas. Sesekali arwah cuba untuk membalas pertanyaan kami. Namun percakapan arwah tidak jelas, memerlukan isterinya Faizah untuk ‘menterjemahkannya’.

Namun, arwah masih boleh tersenyum. Kami cuba bercerita kisah-kisah lama. Kami cuba untuk arwah melupakan sakitnya buat sementara. Kata Faizah, sepanjang hari, tekanan darah Ali tinggi, namun setelah kami datang, tekanan yang turun sedikit. Ali perlukan teman untuk berbicara, atau bercerita.

Waktu melawat sepatutnya tamat jam 8 malam. Namun pada jam 9.45 kami masih di sana. Tak sampai hati rasanya untuk wida’, dan mengucapkan salam perpisahan pada malam itu. Namun, sebelum balik, kami sama-sama berdoa, agar diringankan beban dan disembuhkan kesakitan yang ditanggung.


Kenangan bersama Allahyarham sebelum usai ziarah


Sebelum balik, Esri mencadangkan agar dibeli kerusi rehat untuk Faizah memandangkan Faizah hanya tidur beralaskan kerusi sahaja. Terima kasih Esri.

11 MEI 2011, (RABU)

Kami sekali lagi ke PPUM. Kali ni, kami pergi bersama bekalan makanan. Saya, Azral, Hafeez dan Khairuddin bergerak dari Seri Kembangan selepas solat Maghrib. Sebelum ke Seri Kembangan, kami singgah di Abraj Restoren. Kami beli Nasi Arab Mandy untuk Ali dan Faizah. Ada juga Nasi Lemak dan Roti Canai yang dibeli dari warung Amjal. Cadangan asal, nak belikan roti banjir di Mapley, namun setelah kami mencubanya pada malam selepas ziarah Ali hari Isnin, rasanya kurang enak seperti dulu. Jadi kami hanya beli di Amjal, lagipun masa melawat pun dah tak banyak.

Sampai di PPUM, Fiza sudah lama menunggu. Kami segera ke katil arwah. Fadzli dan Wahyna dah ada di sana. Sharul Zaman dan Nawawi (Batch Mujaddid) pun ada. Kali ni, kami lihat arwah agak lesu dan keletihan. Kata Faizah, sejak pagi tadi, arwah masih belum makan. Takde seleranya katanya. Kasihan kami tengok arwah bernafas dengan oksigen. Kami biarkan arwah berehat. Kami tak banyak bercakap, tak seperti pada malam Isnin baru ni. Baru kami tahu, Ali sudah tahu kondisinya setelah doctor meminta Ali di discaj kan dalam masa terdekat. Kata doctor, harapan Ali untuk terus hidup dalam masa 2-3 minggu saja lagi. Ali dengar apa yang doctor kata, depan Faizah.

Mungkin sebab kata-kata doctor itu, semangat Ali lemah, luntur dan pudar. Namun kami lihat, Faizah tetap tabah dan kuat. Tak putus-putus memujuk suaminya. Menyuntik kata-kata semangat supaya suaminya terus bangkit melawan kanser yang ditanggung.

Akhirnya pada jam 9.40 mlm, Ali gagahkan diri untuk menjamah juadah yang kami bawa. Bagai nak menitik air mata kami, melihat Ali mengunyah dan menelan Nasi Arab itu. Syukur, Ali masih berselera. Pak Chu (Zaini) turut menyuapkan hirisan betik untuk Ali. Jam 10 malam, kami menerima arahan dari pengawal wad untuk tinggalkan wad. Kami memeluk erat Ali. Kami tiupkan kata-kata semangat untuk Ali. Kami suruh Ali lawan sakitnya. Kena kuat untuk anak-anak dan isterinya.


Tabah hati seorang isteri menjaga suami... Faizah menyuapkan Nasi Arab yang kami bawa pada malam itu


Sebelum balik, kami bertanyakan prosedur untuk discaj Ali yang mungkin esok atau lusa. Kata Faizah mungkin esok (Khamis). Faizah melahirkan rasa bimbangnya dengan keadaan Ali yang terpaksa bergerak bersama-sama oksigen. Namun segalanya terserah pada kehendakNya.

12 MEI 2011, KHAMIS

Menurut Faizah, Ali dalam proses untuk di discaj. Faizah minta didoakan Ali dapat balik dengan selamat memandangkan keadaan Ali agak lemah dan letih pada tengah hari tu. Anggapan kami silap, apabila menurut Faizah, mereka bercadang balik ke Seremban dengan kereta Wan Hamdah, bukannya ambulan PPUM. Jadi, berlaku sedikit masalah teknikal menyebabkan Ali tidak di discajkan pada hari ini. Tangguh pada hari Jumaat. Nasib baik ada ambulan.

Cuma ralatnya, pada jam 7.30 malam, saya menerima panggilan telefon yang minta agar ada sesiapa yang boleh bawa bubur kacang (Ali sebut nak makan) dan kain pelikat untuk Ali pada malam tu. Kerana beg pakaian telah dihantar ke Seremban. Disebabkan ada hal pada malam tu, saya tak dapat pergi ke PPUM dan cuba SMS kepada sahabat2 yang tinggal berdekatan untuk menunaikan hajat Ali.

14 MEI 2011, SABTU

Saya bercadang untuk melawat Ali di Seremban bersama Syeh Syahmun dan Nazib. Namun, Faizah maklumkan, mereka akan ke Jalan Klang Lama untuk berubat di Academy of Aura Solutions, Petaling Jaya. Jadi kami tangguhkan niat untuk ziarah. Kami tunda ziarah pada hari Selasa, Cuti Wesak.

Ali sampai di pusat rawatan tu, sejak malam tadi. Azman dan Fiza mengambil tugas membantu memapah Ali ke bilik air dan sebagainya. Mereka di sana sehingga jam 2.30 pagi. Terima kasih sahabat… besar sungguh pengorbanan kalian.

15 MEI 2011, AHAD

Ali masih meneruskan sesi rawatan mandi aura di pusat rawatan tersebut. Kali ni, Khairudin dan Zahar mengambil tugas membantu Ali bergerak. Ikut kata Zahar dan Azman, Nampak perubahan pada tubuh Ali selepas melalui proses rawatan mandi tersebut. Kulit nampak merah, Ali kelihatan agak bertenaga sehinggakan sempat melawak, supaya ajak Faizah sama-sama mandikannya.

Namun, kehendak Allah mengatasi segalanya. Lebih kurang jam 6 petang, Ali kelihatan keletihan. Nafasnya tercungap-cungap walaupun diberi bantuan oksigen. Diceritakan, sakitnya Ali pada ketika itu sehingga merentap tudung Faizah dan menggenggam erat tangan isterinya. Akhirnya, Ali pergi jua. Itu sudah ajalnya. Kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar yang terbaik untuknya.

Saya menerima khabar kematian Ali pada jam 6.20 petang melalui kiriman SMS daripada Azral. Saya segera meminta penjelasan dari Syafiq yang pada ketika itu belum menerima khabar kematian Ali. Selang 5 minit kemudian, Syafiq mengesahkan berita tersebut.

Azral, Hafeez dan Nazib sepakat bertemu di rumah saya untuk ziarah arwah buat kali terakhir. Jika jenazah di bawa ke Kedah (Guar Kepayang, Pendang), kami bercadang untuk ke sana. Namun, kami dimaklumkan jenazah masih di pusat rawatan tersebut sehingga jam 9 malam. Sampai di PJ, ramai sahabat berada di sana. Antaranya Esri, Aiman, Azman, Ustaz Mohamad Abdullah (Ustaz Amin) dan Zahar. Mereka menunggu Alphard Ustaz Mohamad untuk membawa jenazah ke Pendang. Ustaz Muhamad menawarkan Alphard miliknya setelah sewa ambulans ke Kedah mencecah RM1,900. Jazakallah Ustaz Mad.

Kami mengusung arwah dari tingkat 2, ke tingkat bawah. Keadaan lif yang sempit menyukarkan kami membawa arwah. Jenazah arwah mula bergerak meninggalkan kami semua pada jam 9.30 malam. Ayah, Ibu dan adik arwah bersama-sama di dalam Alphard tersebut. Saudara mara arwah termasuk abangnya, ikut dari belakang. Kami mengambil keputusan untuk tidak ke Kedah memandangkan masing-masing bekerja esoknya dan mengharapkan sahabat-sahabat yang tinggal di Kedah agar dapat ziarah arwah nanti.

Ralat saya tidak dapat menghantar SEHELAI KAIN PELIKAT pada malam Ali memerlukannya. Namun dek kerana kami pada awalnya bercadang untuk ke Kedah malam ini, saya membawa sehelai kain pelikat untuk tujuan solat dan persalinan. Namun, tercapai juga hajat saya apabila keluarga Ali meminta sesiapa yang ada kain untuk ditutupkan tubuh Ali di dalam van. Akhirnya, kain pelikat saya, bukan untuk Ali pakai, namun untuk menyelimuti tubuh kaku Ali.

Kelibat Faizah tidak kelihatan ketika kami sampai. Faizah telah terlebih dahulu pulang ke Seremban bagi mengambil 2 orang anaknya di sana untuk di bawa bersama ke Kedah. Katanya, Faizah tidak mampu berjalan lagi. Lemah badannya menerima berita tersebut. Sebelum ini, kami lihat Faizah sangat kuat, sentiasa mengukir senyum, tak kelihatan riak letih dan penat. Namun, bagi kami, mungkin ini yang terbaik untuk Faizah dan anak-anak. Ketentuan Ilahi ada hikmahnya. Sudah lama Faizah menanggung ujian ini. Pastinya Ali puas dan bangga dengan khidmat Faizah selama ini. Begitu kentalnya seorang isteri yang berusaha untuk memulihkan kembali semangat suaminya.

Kepada Faizah dan keluarga Ali, salam takziah dari kami, keluarga besar AQRAB. Semoga tabah dan kuat menghadpi ujian ini. Semoga ALLAHYARHAM MOHAMAD ALI BIN JAAFAR akan ditempatkan bersama-sama hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Ameen. Al-Fatihah.


21 comments:

Anonymous said...

Innalillah....walau pahit dirasa..apa yg terjadi pada keluarga arwah ini telah memberi impak yg besar pada community Aqrab kita kerana telah kembali mengeratkan lagi hubungan kita sesama warga Aqrab

Min said...

adik, akak ni kakak noor azma. terima kasih atas grapan yg sangat menyayat hati ini. sesungguhnya Allah sahaja yg tahu apa yg terbaik buat kita semua. walaupun ianya perit dirasakan. sampaikan salam kak min buat sahabat2 adik yang sanggup berkorban masa, wang ringgit dan tenaga buat ust ali. moga Allah melimpahkan rahmatNya buat adik2 semua. kak min mengenali faizah ketika dia di UIA dengan azma. semoga Allah terus membekalkan kekuatan & ketabahan buat faizah sekeluarga...

Anonymous said...

Salam Takziah untuk Faizah sekeluarga. Semoga sabar dan tabah menghadapi ujian ini. Mohon maaf kerana gagal menyediakan bubur kacang seperti yang dihajatkan. Juga ats segala salah dan silap sepanjang berukhuwwah.
Cadangan saya, keluarga besar Aqrab inisiatifkan koperasi atau yayasan untuk jaga kebajikan ahli dalam jangka masa panjang.
-Izhan-

Abu Muazz said...

kak min: syukran atas sokongan. Kami akan bantu Pae dan anak2 mereka selagi yang termampu. Moga ikatan ukhuwwah yang ada ini akan kukuhkan lg iman kami semua.

Ini ujian mereka, kita akan tiba jua gilirannya, bila? sama2 kita tunggu saat, tika dan masanya.


Ust Izhan: InsyaAllah, apa yg berlaku akan kami jadikan iktibar. AQRAB akan cuba yg terbaik utk jaga kebajikan ahli semuanya..

Bubur kacang hijau... tak mengapa, kita hanya merancang. sekurang2nya Ali sempat makan Nasi Arab yg diidamkan... alhamdulillah. Moga Ali tenang di alam sana... Ameen

Anonymous said...

midi-zaimah...

berita dah sampai ke seberang...sngt sedih kerana pertemuan april lalu adalah yg terakhir, alhamdulillah Allah aturkan utk berjumpa juga wlpun dlm masa yg singkat,kami sudah sms ke mobile telefon kak faizah dan telah pun sedekahkan bacaan Al-Quran kpd ustaz Ali, no akaun kak faizah pun sy dah ada...InshaAllah kita doakan ustaz Ali ditempatkan di syurga firdausi,
BTW,bz dgn edit draft tesis..doakan,Alhamdulillah,my hubby dh tamat.will inform you through your website bile buku dah sampai,InshaAllah..wslm,sbrg benua

Anonymous said...

eloklah kita sama2 bantu dr sudut kewangan pada kak Faizah,mungkin ramai tak tahu anak kak Faizah-Arwah ustz Ali yang lelaki menghidap G6PD symptoms..sy tak pasti bagaimana effectnya,kene tanya Dr., maklumat ini sy dapati drp kak faizah semasa melawat beliau april lalu..wslm

Unknown said...

Al-Fatihah..Terima kasih ustaz Midi kerana berkongi catatan terakhir ini..Agak terkilan juga tidak dapat bersua mata dengan arwah semasa hidupnya, juga Kak Pae di saat2 terakhir itu...Hanya doa yang mampu mengiringi pemergian arwah di alam baru, jua bingkisan doa agar Kak Pae SABAR atas kehendakNya...Safwan & Yuzi

Abu Muazz said...

Umi: Alhamdulillah, risau gak umi xterima berita nih, try inform via fb, inactive. Bz siapkan thesis, insyaAllah najah nnt...

Pasal kutipan kilat, kami sedang usahakan. so far dah banyak yg dapat, Alhamdulillah. Ttg Fawwaz ada G6PD, kami pun tak tau. Takpe, nnt saya akan cuba bincang ngn sahabat AQRAB yg lain. Tq for the info. Kami jugak tgh tunggu buku tu... ;)

Yuzi & Afan: Tak mengapa, kita masih boleh menyumbang doa dan hadiah utk arwah Ali. InsyaAllah, arwah tenang di alam sana... Ameen.

Anonymous said...

Ok,sepatutnya dah sampai port harini,will check back...
thanks,inshaAllah semua najah, midi-zaimah as well..

Anonymous said...

Syukran Ust Midi atas catatan tentang hari-hari terakhir arwah. Mg Kak Faizah dan anak-anaknya terus tabah dan ujian yg besar ini. Mg Allah merahmati roh arwah. Al-Fatihah-Izwan Yusof dan keluarga

Anonymous said...

Sebak ana baca catatan enta ust, moga Pae terus tabah, moga ali ditempatkan bersama orang2 yang beriman, terima kaish atas catatan ni..

UMMUSHIFA' said...

Al-FAtihah buat Ustaz Ali..Allah,menitis jua air mata yg bertakung..sebak kali pertama mendenagar dari mulut suami balik dari ziarah ustaz Ali..sy tak kenal us Ali hingga suami tunjukkan gambar sebenar dalam email yg dikirim ustaz fairus ismail..tuhan sangat menyayangi Insan yg baik..sepertimana sy membaca catatan ustaz hamidi,kembali mngulang kisah saya mencatat kepulangan indah adik junior sy Syafawati yg pergi sekelip mata tanpa pesan...bezanya cara kematian kita namun amat didoa dan diharapkan agar pengakhiran yg terbaik dikelilingi insan tersayang dan yg paling penting dlm mardhatillah..syukran ustaz atas catatan bermakna dan pastinya akan kembali menjadi titipan ingatan buat insan yg masih hidup meneruskan kehidupan dgn penuuh ketabahan dan bertambah ketaatan kepada Allah..semoga Allh mengurniakn segala kekuatan,hikmah,kesabaran dan kemuliaan hati,keberkatan dan segenap arah kemudahan buat kak faizah,anaknya fawwaz dan kakaknya serta seluruh ahli keluarga Allahyarham..Ameen ya rabb..~ummushifa',sg merab~

Ust Ibrahim said...

Al-fatihah untuk allahyarham Ust Ali. Sesungguhnya kematian, sngt menginsafkan kita, semoga yg hidup terus beringat bahawa kematian pasti akan dtg. Kepada ustazah Faizah dan anak2 semoga tabah dan sabar di atas musibah ini. Terima kasih Ust Hamidi di atas perkongsian cerita, sungguh sedih membaca setiap perkataan yg ditulis di blog. Semoga Allah menganugerahi setiap usaha yg kita lakukan.

Anonymous said...

saya didatangi berita kematian sahabat handai agak kerap tahun ini dan juga tahun lepas. Biarlah berita pemergian mereka ini menjadi tazkirah buatku Ya Allah. Jangan Engkau palingkan hati ini dari mengingatiMu

Anonymous said...

Semoga Allah menempatkan saudara kita Muhammad Ali Jaafar di kalangan orang-orang yang soleh, saya hanya mengetahui keadaan beliau hanya lebih kurang dua hari sebelum beliau kembali ke rahmatullah. Hanya doa yang dapat dipanjatkan, rasa terkilan tidak dapat menziarahinya.

huzairi said...

Takziah kepada ukhti Faizah sekeluarga,ana menerima berita pemergian akhi Ali ketika berada dalam Masjidil Haram melalui sms yang dihantar oleh Ukhti Che Nor Sakinah,mungkin ramai yang maklumkan melalui no 019,tapi ukhti CNS sahaja boleh hubungi melalui no di Makkah,moga Allah mengampuni dosa-dosanya,merahmati dan memberkati segala amalannya. Moga kesabaran mengiringi ukhti Faizah dan anak-anak. moga Allah memberi ganjaran atas musibah tersebut dan menggantikan dengan yang lebih baik. Doa yang nabi ajar - Allahumma'jurni fi musibati wa akhlifli khairan minha

adialhadi said...

Assalamualaikum wbt. Kpd semua sahabat-sahabt arwah.. Mungkin ramai yg tak mengenali saya,tp melalui gmbr dlm blog ni sy bru tahu yg Akhi Hafeez (pernah bekerja sepejabat) turut mengenali Arwah rupanya.Dua lg kwn d kiri & kanan tu rasa mcm prnh tgk jgk.Sy sebenarnya rakan karib beliau di Madrasah al-Hidayah Tobiar, Pendang Kedah sejak kelas peralihan (1991) hingga 1997.. sy bukn setakat kwn baik, tp duduk sebilik di aspura, sekelas selama 7thn bahkan duduk sebelh menyebelh dlm kelas..kami sering beriringan kebanyakan masa ke mana shj spnjg 7 thn tu..beriringn dr aspura ke sekolah..ke library..ke kedai..sesiapa yg sezaman dgn kami d sekolah tu akan kata sehabat baik Ali adalah saya.Byk kali jgk dia bwa sy ke rumhnya d pondok guar kepayang dgn motosikal ayhnya (honda c70 lmpu bulat) ada mini kedai runcit drumhnya.Sy terima sms slps Raya puasa thn lps dr saudara Asrolizani Abdullah (sekampung di kedah)memaklumkan beliau sakit d N9.Sy berusaha cari no contact utk bertanya khabar beliau tetapi gagal.. Arwah pernah mencari sy tahun (tahun 2004) dan kami berdua berjumpa di Tmn SPPK Segambut..mkn bersama.. Menurut arwah beliau bekerja di Shell Sg Buloh wktu tu.. "ada peluang lbh baik nk cri kerja lain "katanya.. dia juga bercerita kereta wira kepunyaannya dibeli dgn hrga +- 24k.. no hset dia klu xsalah wkt tu 0177777*** . Itulah kali terakhir jumpa dia. Pghujung Thn 2005 sy brpindh ke Terengganu dan terputus hubungan gdn arwah sehggalh dpt sms kepulangannya ke pgkuan ilahi. Apa yg blh sy katakan d sini ialah arwah seorg yg baik,.sepanjg kenal dia zaman skolah dulu arwah kerap bgin mlm solat tahajjud sblm subuh.. Sy hrp dpt brkenaln dgn keluarga arwah terutama anak-anaknya supaya tak trputus hubungan sy dgnnya.. Hrp kwn2 d sini blh sampaikan slm sy pd keluarga arwah d N9.. dan blh hubungi sy d facebook madrasah al-hidayah tobiar pendang..ramai kwn2 arwah ucpkn takziah d FB tu.. Allhummaghfirlahu warhamhu..

Chik Att said...

Salam ....

agak mengejutkan bagi saya . Baru hari ini saya mengetahui kepulangan Ali dan penderitaan sakitnya .
Seorang pelajar yang masih saya ingat ... dan terbayang-bayang tingkahnya di mata saya ...

Pada isterinya (Faizah) dan anak2 semoga diberi kekuatan oleh Allah melalui dugaan yang besar ini .

-Cikgu Roslina Salleh
Butterworth

razali_ishak said...

Setiap kali kita mengingatinyaa...kita terus sedekahkanya Al-fatihah...

Abu Muazz said...

Hampir 7 bulan arwah meninggalkan kita semua... moga arwah tenang di sana. Hanya bait doa mampu dikirimkan....

Ali, kami merindui gelak tawamu...

Al-Fatihah

Ashraaf Abu Talib a.k.a Not Perfect said...

As'salam ,, in'nalillahiwainailahirojiun.
saya salah seorang pesakit kanser yang berada di wad 9u semasa allayarham berada disana ..
saya juga pernah berjumpa tuan semasa melawat arwah malam tu ..

Popular Posts