Saturday, February 05, 2011

Pandangan & Fatwa yang berbeza


Dr. Yusuf Al-Qardhawi Tegas Menyeru Rakyat Mesir Bangkit



Daha – Infopalestina: Ulama besar Al-Allamah Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang juga ketua Seketriat Ulama Islam Sedunia menggesa rakyat Mesir dari setiap peringkat menuju ke Medan Tahrir untuk bergabung dan bersatu demi mendesak Presiden Mesir Husni Mubarak mundur daripada takhta kerajaan.

Gambar Dr. Yusof Al-Qaradhawy


Dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh televisyen Aljazeera Qatar kemarin (2 Feb) Qaradhawi menegaskan, "Saya sentiasa mengikuti dan memantau isu yang berlaku di Mesir dan berasa bangga, kerana mereka adalah pemuda yang memiliki jiwa yang bebas serta keimanan dan moral yang tinggi. Sejak dahulu lagi mereka tidak pernah melakukan kezaliman. Mereka keluar mempertikai serta mengecam dan memprotes kezaliman yang dilakukan kerajaan di Mesir selama bertahun-tahun."

Menurutnya, "Namun kami menilai hari demi hari bahawa terdapat kelompok pengacau yang menyerang penunjuk perasaan. Mereka seringkali menakut-nakutkan warga tempatan serta tidak bertanggungjawab terhadap keamanan di bumi Mesir."

"Haram bagi kamu wahai Husni Mubarak membunuh rakyat. Jika kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat, maka sepatutnya kamu menjaga kesejahteraan dan bukan membunuh mereka. Haram bagi kamu membiarkan rakyat dizalimi penjahat." Tegas Qaradhawi yang menyerukan pimpinan di Mesir menjaga rakyatnya.

Kepada penunjuk perasaan di Medan Tahrir, Qaradhawi menegaskan ucapannya dalam pidato, "Tetaplah kalian di medan tersebut, kerana sekarang kalian memilih sama ada hidup mulia atau mati syahid". Beliau juga menyerukan kepada para khatib dan imam agar membela para pemuda-pemuda Mesir yang menentang kezaliman Mubarak di Mesir.

Sumber: Tuhafatul Kalam

================================

TINDAKAN MUFTI MESIR MENGECEWAKAN


Saya ingin melahirkan rasa kecewa ke atas kenyataan Mufti Mesir ‘Ali Jum’ah –yang muncul dalam TV Mesir- yang meminta rakyat Mesir menghentikan tunjuk perasaan (sila rujuk di sini) . Ya, memang selama ini ‘Ali Jum’ah adalah benteng Hosni Mubarak, dia dilantik oleh Mubarak sekalipun ramai tokoh-tokoh ilmuwan Mesir lain yang jauh lebih terserlah keilmuan dibandingkan beliau. Malang sekali, selama beliau dilantik, apa yang sering beliau bangkitkan hanyalah isu sekitar perselisihan pendapat dalam kalangan umat Islam seperti masalah perbezaan mazhab dalam aliran kalam dan fekah. Beliau tidak lantang seperti al-Syeikh al-Qaradawi, Muhammad al-Ghazali r.h dan lain-lain dalam mengkritik kezaliman dan kerakusan Mubarak. Beliau tidak berfatwa tentang tindakan-tindakan Mubarak menipu rakyatnya.

mufti_mesir.jpg

Gambar: Mufti Mesir ‘Ali Jum’ah

Tiba-tiba hari ini, ketika rakyat keluar menuntut hak mereka, tanpa menumpahkan darah, hanya demonstrasi jalanan, beliau mengeluarkan pandangan agama tentang larangan keluar membantah Mubarak. Bahkan mengalu-alukan langkah Mubarak yang kononnya ingin membuat pembaharuan dalam masa tujuh bulan. Jika 30 tahun Mubarak gagal membuat pembaharuan, apakah dia mampu melakukannya dalam masa tujuh bulan seperti yang dia janjikan?

Jika beliau mampu bererti selama ini beliau ternyata seorang pengkhianat besar! Jika tidak mampu, beliau mesti berhenti dan berikan laluan kepada pilihan rakyat. Jika rakyat berhenti membantah, regim itu akan kembali berkuasa.Kenapa ‘Ali Jum’ah tidak mengeluarkan fatwa tentang penyokong Mubarak yang membunuh rakyat awam dalam demonstrasi tersebut, dan juga selama 30 tahun Mubarak membunuh para penentangnya secara zalim! Dunia Islam menjadi mundur disebabkan pemerintah yang zalim dan korupsi, dibantu pula oleh ulama yang bersekongkol.

Tahniah kepada al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam temubual al-Jazeera yang menyatakan pejuang yang mati berdemonstrasi aman di Mesir adalah syahid dan demonstrasi itu mesti disokong! Inilah contoh ulama yang berani dan berkata tanpa kepentingan diri.

Akhirnya, semoga golongan agama tidak menjadikan tindakan Mufti Mesir ini sebagai teladan positif, sebaliknya ia adalah contoh yang negatif seorang yang memakai gelaran agama.

-Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin



1 comments:

paw said...

Catatan yang menarik :D

Teruskan bro Midi

Popular Posts