Showing posts with label Pesta Buku. Show all posts
Showing posts with label Pesta Buku. Show all posts

Saturday, July 25, 2009

Merayau di Pesta Buku Selangor


Pulang dari sekolah tengah hari tadi, saya mengajak isteri keluar mengambil angin 'segar'. Kami menuju ke PKNS Shah Alam. Semalam sudah bermula Pesta Buku Negeri Selangor 2009. Pasti meriah, agak saya!

Kami sampai pukul 12.30 tengah hari. Nampaknya tidak begitu ramai pengunjungnya. Tidak seperti semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2 bulan lalu. Kami tidak berada dalam lautan manusia. Senang sahaja mengharungi jalan dari booth ke booth bersama 3 anak. 2 dipimpin, seorang dikelek.

Terserempak dengan seorang sahabat. Ustaz Nazib. Datang berseorangan tanpa ditemani isteri dan anak-anak. Sempat bercerita tentang satu bisnes. Saya perlu baca dan fahami dulu. Terima kasih atas kiriman emel... nanti aku bagitau hang naa...

Ralit membelek buku sambil memerhati gelagat anak-anak, disapa seorang lelaki. Katanya dia kenal saya. Saya pulak yang cuak. Tak kenal dia. Tak ingat langsung. Katanya, dia memang perasan muka saya. Tapi tak ingat di mana...

Ahh.. sudah,... akhirnya... dia berlalu dengan seribu persoalan bermain dalam benak saya... Siapa dia, ya? Jumpa kat mana? Apa pun , saya berterima kasih kerana ditegur... :)

Buku yang dibeli, banyaknya untuk si abang dan kakak. Biar mereka 'membaca'. Biar bersepah buku di ruang tamu, asal mereka mengenal dan tahu apa yang dilihat.

Ternyata, Muazz dan Hajar juga teruja dengan buku-buku baru mereka!

Pukul 2 petang kami bergerak keluar. Singgah di Masjid Negeri Shah Alam untuk solat Asar dan beriadah bersama. Aktiviti kegemaran Muazz dan Hajar... berlari mengelilingi dataran masjid.

Yang pasti anak-anak gembira apabila dibawa keluar hari ini. Inilah aktiviti yang paling dinanti pada hujung minggu. Saya terkilan kerana tidak memenuhi janji pada mereka pagi tadi. Saya berjanji akan pulang sekejap ke rumah untuk mengambil mereka... sama-sama mendengar ceramah Israk Mikraj di sekolah saya. Saya berjanji semalam. Muazz ingat janji itu. Setiap janji Abi dan Ummi akan di ungkit si kecil itu.

Bila terjadi insiden tak digemari di sekolah pagi itu, niat untuk kembali ke rumah mengambil mereka terbatal. Saya maklumkan pada isteri. Muazz meraung apabila baju melayu yang siap tersarung terpaksa dibuka umminya... "nak gi sekolah abi... nak gi sekolah abi..."

Namun saya berterima kasih pada isteri kerana berjaya memujuk si kecil. Yang pasti sekembali saya ke rumah tengah hari tadi, Muazz menagih janji saya... untuk ke sekolah... Ahh.. maafkan Abi, ya Muazz...

Tapi... hari ni, kita telah keluar bersiar-siar... Muazz dan Hajar dapat buku pulak tu... :)


Sunday, April 26, 2009

Cuci Mata di PBAKL: Last Day

Salam,

Akhirnya, dapat kujejak juga di sini. Alhamdulillah. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bakal melabuhkan tirainya hari ini. Yang pasti, ramai pengunjung akan membanjiri PWTC.

Hari ni merupakan last day. Apa pun, mesti pergi juga. Semalam saya dan isteri bercadang untuk ke sana, langsung dari rumah Along di Bangi, selepas Angah berangkat ke Kelantan.

"Abang, rasa macam tak larat laa... budak-budak ni pulak meragam je nih... kita postpone esok je lah yer'" pinta isteri.

Walhal, isteri yang beria mengajak ke PBAKL. Saya menurut sahaja. Kesian juga. Dengan keadaan yang sarat lagi, anak-anak pun tak cukup tidur, jadi dari Bangi jam 12.00 tengah hari terus balik ke Klang.

Ya, itu semalam. Hari ni kami pergi juga. Bersiap-siap dan bertolak seawal jam 8.20 pagi.

Dah agak dah...hari ni last day pasti ramai pengunjungnya. Untuk menikmati suasana yang sesak itu, kami gagahkan diri juga. Bersama putera dan puteri kami. Huhu... bersesak-sesak dengan orang ramai, tangan Hajar dan Muazz dipimpin erat walau kekadang mereka cuba untuk meloloskan diri.

Tiga jam 'mencuci mata'... masih tidak sempat merayau seisi bangunan tapak pameran. Lama menyinggah di booth pendidikan awal anak-anak. Kami di'kidnapped' oleh seorang petugas di situ. Katanya 5 minit. Hampir setengah jam berlalu. Namun, penerangannya bagus. Menarik juga programnya, namun budget tidak mengizinkan, insyaAllah ada peluang nanti akan dibeli juga program tersebut.

Terserempak dengan beberapa sahabat lama. Seperti yang dijangka. Antaranya Ustaz Izhan Hamidi dan juga Frizdan.

Tidak banyak memborong, cuma beberapa buku sahaja. Saya mengerling gerai Alaf 21 yang menayangkan banyak novel-novel baru. Waduh... gian bangat ni. Dah lama tak melayan novel ni. Namun bila difikirkan, kurang masa untuk itu. Biarlah dulu. Keperluan lain masih perlu diutamakan.

Saya hanya membeli beberapa buku sahaja. Antaranya Bidadari Dari Timur, Bagaimana Meransang Seronok Belajar, Motivasi Alihan Pelajar, Saat Cinta Bertasbih dan Memoir Jihad Anak Melayu di Afghanistan serta beberapa buku untuk si kecil serta satu set Montessori untuk mereka. Isteri pula hanya membeli beberapa buah majalah Millenia. Buku-buku lain yang dirancang untuk dibeli, tidak terbeli.



Melihat isteri dan anak keletihan, saya mencadangkan agar berehat dan mencari food court yang sesuai.

"Banyak lagi yang belum disinggah... tak mengapa, lepas makan nanti sambung lagi," bisik hati kecil.

Saya pergi ke kereta untuk meletakkan buku-buku dah set montessori yang dibeli. Tak larat untuk di bawa ke hulu ke hilir. Isteri dan anak hanya menunggu di ruang legar tapak pameran.

Sesampai di tempat letak kereta, saya terlihat dua kelibat tubuh berpakaian seragam putih. Menggerunkan. Apa lak nih, kena saman ke?

Telahan saya memang tepat. Kelihatan tiket saman disisipkan pada wiper. Saya hanya menatap tiket saman itu dengan perasaan hiba. Berhabisan berbelanja di dalam, di luar ni pun kena 'belanja' juga. Hmm... saya menjeling kereta-kereta lain yang di 'parking' di kiri kanan jalan yang lain. Semua dapat 'surat jemputan' juga.

Melayang RM70. Begitu saja... bagai debu berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Arghhh... itu lah, dah tau salah letak kereta di situ, letak juga. Dah terima hukum. Itu hanya mainan di dunia ni.

Syariat Allah, kalau dipermainkan juga, yang salah dibuat, yang haram diturut, yang dilarang diikut, padahnya lagi amat dahsyat... peringatan buat diriku.

Nampak gaya, tak jadi nak teruskan niat menyambung 'langkah' ke gerai yang lain. Hasrat nak membeli beberapa buku lain juga dikuburkan. Mood telah hilang... terbang seperti gagak mencari makan...

Jam 1.30 petang, kami sampai di rumah. Sepanjang perjalanan, saya bermuhasabah, bermonolong lagi... koreksi diri, di masa salahnya... di mana silapnya... di mana kurangnya... ya, setiap apa yang berlaku, ada kisah di sebaliknya. Ada hikmah yang tersirat. Bila direnung, ada... memang ada... biar ia menjadi pedoman dan ingatan buat diriku...

PBAKL... tahun depan kita jumpa lagi... InsyaAllah.

Friday, April 17, 2009

Pencinta Buku


Himpunan manusia yang pasti menggamatkan dunia pencinta ilmu dan peminat buku. Acara tahunan yang diadakan khusus bagi insan yang dahagakan bacaan baru. Buku ilmiah, kitab agama, novel, motivasi dan sebagainya pasti menyentap jiwa yang memerlukannya.

Persediaan yang perlu dibuat:

  1. buat budget sebaiknya. Kelabu mata bila dah ke sana nanti
  2. beli buku yang perlu sahaja. Kalau yang tak berapa perlu, baca je kat sana... huhu. 17-26 April... Lama tu. Boleh pergi tiap hari, lepak kat gerai tu, baca la buku yang kita minat kalau tak nak beli... tu pun kalau tak tau malu la. Buat muka selambau...
  3. kalau ada anak kecil, rasa-rasanya tak usahlah bawa. Terutama yang lasak. Takut ibu bapa 'ghalit' dan seronok memilih buku, anak entah ke mana... tempat ramai, sukar di jaga. Tapi anak2 ni perlu juga diajar cara memilih buku dan menghargai ilmu ni. Kena bawak juga ke kedai-kedai buku. Kena tengok dan awasi la yer. Bahaya dan malang tak berbau...
  4. jangan bawak duit banyak sangat. Tinggalkan kad bank di rumah. Huhu... takut gila nak beli banyak buku. Tapi kalau sesapa yang memang dah budget setahun untuk ke PBAKL ni, apa lagi... inilah masanya ana berbelanja.
Kekedang PBAKL ni berjaya menemukan sahabat lama yang telah lama tidak bersua. Tak sedar sedang asyik memilih buku, sahabat lama berada di sebelah. Sedang jalan-jalan gerai ke gerai, berselisih bahu dengan geng dulu. Huhu... pasti seronok kan. Dah jumpa, ajak pulak minum dan makan kat gerai-gerai yang ada. Wah... pasti banyak cerita yang diborak.

InsyaAllah, 2 minggu yang ada ni... akan dicari masa yang sesuai untuk ke sana. Nak cari bahan-bahan yang menarik untuk bekalan seorang pendidik a.k.a Murabbi. Sambil mengintai bahan bacaan santai tatkala diri dirundung duka.

Popular Posts