Saturday, July 25, 2009

Merayau di Pesta Buku Selangor


Pulang dari sekolah tengah hari tadi, saya mengajak isteri keluar mengambil angin 'segar'. Kami menuju ke PKNS Shah Alam. Semalam sudah bermula Pesta Buku Negeri Selangor 2009. Pasti meriah, agak saya!

Kami sampai pukul 12.30 tengah hari. Nampaknya tidak begitu ramai pengunjungnya. Tidak seperti semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2 bulan lalu. Kami tidak berada dalam lautan manusia. Senang sahaja mengharungi jalan dari booth ke booth bersama 3 anak. 2 dipimpin, seorang dikelek.

Terserempak dengan seorang sahabat. Ustaz Nazib. Datang berseorangan tanpa ditemani isteri dan anak-anak. Sempat bercerita tentang satu bisnes. Saya perlu baca dan fahami dulu. Terima kasih atas kiriman emel... nanti aku bagitau hang naa...

Ralit membelek buku sambil memerhati gelagat anak-anak, disapa seorang lelaki. Katanya dia kenal saya. Saya pulak yang cuak. Tak kenal dia. Tak ingat langsung. Katanya, dia memang perasan muka saya. Tapi tak ingat di mana...

Ahh.. sudah,... akhirnya... dia berlalu dengan seribu persoalan bermain dalam benak saya... Siapa dia, ya? Jumpa kat mana? Apa pun , saya berterima kasih kerana ditegur... :)

Buku yang dibeli, banyaknya untuk si abang dan kakak. Biar mereka 'membaca'. Biar bersepah buku di ruang tamu, asal mereka mengenal dan tahu apa yang dilihat.

Ternyata, Muazz dan Hajar juga teruja dengan buku-buku baru mereka!

Pukul 2 petang kami bergerak keluar. Singgah di Masjid Negeri Shah Alam untuk solat Asar dan beriadah bersama. Aktiviti kegemaran Muazz dan Hajar... berlari mengelilingi dataran masjid.

Yang pasti anak-anak gembira apabila dibawa keluar hari ini. Inilah aktiviti yang paling dinanti pada hujung minggu. Saya terkilan kerana tidak memenuhi janji pada mereka pagi tadi. Saya berjanji akan pulang sekejap ke rumah untuk mengambil mereka... sama-sama mendengar ceramah Israk Mikraj di sekolah saya. Saya berjanji semalam. Muazz ingat janji itu. Setiap janji Abi dan Ummi akan di ungkit si kecil itu.

Bila terjadi insiden tak digemari di sekolah pagi itu, niat untuk kembali ke rumah mengambil mereka terbatal. Saya maklumkan pada isteri. Muazz meraung apabila baju melayu yang siap tersarung terpaksa dibuka umminya... "nak gi sekolah abi... nak gi sekolah abi..."

Namun saya berterima kasih pada isteri kerana berjaya memujuk si kecil. Yang pasti sekembali saya ke rumah tengah hari tadi, Muazz menagih janji saya... untuk ke sekolah... Ahh.. maafkan Abi, ya Muazz...

Tapi... hari ni, kita telah keluar bersiar-siar... Muazz dan Hajar dapat buku pulak tu... :)


0 comments:

Popular Posts