Tuesday, July 28, 2009

Bersabarlah bila kita diuji

"Ya... duk kat hospital. Mungkin lama lagi sebab hari Khamis baru boleh buat CT Scan. Tak elok sebenarnya mengadu susah kepada sesama makhluk, seolah-olah kita tak redho dengan ketentuan Ilahi. Kalau ada cinta-Nya dihati, pasti ujian berat pun terasa manis. Kawe jauh lagi dari tahap tu... HasbiyaLlahu Wa Ni'mal wakeel..."

"Ilham kena masa umur 50 hari. Sekarang dah 73 hari. Dia tak demam, tapi penyakit dia infantile spasm (sejenis sawan, tanpa tanda-tanda). Dalam banyak kes, punca penyakit unknown. Ilham pun sama, doktor masih mencari punca penyakit. Kalau tengok body dan berat, dia nampak ok dan sihat"

"...Sedih jugak, tapi dah nama hidup di dunia, kena sabar atas ujian. Orang lain lagi susah. Inna liLlahi wa inna ilaihi raaji'un...

=====

Itu lah sebahagian balasan SMS daripada sahabat saya, Mohd Arif yang sudah agak lama tidak ketemu. Berita tentang anaknya dimasukkan ke hospital pun, saya dapat tahu daripada emel MailingList alumni saya.

Anak keduanya, Ilham baru berusia 73 hari. Mula dihantar ke hospital ketika umurnya baru 50 hari. Saya, tahu... sahabat saya ni memang seorang yang kuat dan tabah. Membaca SMSnya sahaja telah membuatkan saya yakin, beliau mampu menghadapi ujian Allah ini dengan tabah. Pergantungannya kepada Allah cukup tinggi. Beliau begitu yakin, setiap makhluk di dunia pasti diuji.

Saya juga mendapat khabar yang tidak baik daripada Fared. Anak sahabat saya yang baru berusia beberapa bulan turut dimasukkan ke hospital. Terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkan darah beku. Mengikut maklumat yang saya terima, anaknya kini sedang mendapat rawatan susulan seperti fisioterapi, pediatrik dan neuro. Semoga Asfani dan Hidayati akan tabah juga. Baca cerita di sini.

Terdahulu, selepas kami menjalankan gathering di Putrajaya, anak kecil Fadzli dan Wahyuna (tuan rumah gathering) telah dimasukkan ke hospital. Akibat demam berlarutan. Kini Hannan sedang menerima antibiotik bagi memberi kekuatan pada dirinya.

Mungkin ini hanya sebahagian cerita dan berita yang saya tahu. Ada lagi yang tidak sampai ke telinga saya. Bila cerita ni tersebar, hanya doa dari para sahabat lain...amat diharapkan. Semoga si kecil yang diuji akan segera sembuh dan pulih. Semoga si ayah dan si ibu tidak kering air mata, mengenang nasib si kecil yang masih belum betah menerima sakit sebegitu.

Saya cuba menyelami hati dan perasaan sahabat-sahabat saya ini. Bagaimana mereka mengharungi kisah hidup apabila anak yang masih kecil merengek, menangis kerana kesakitan. Mungkin sekarang, mereka diuji... nasib kita, belum kita ketahuinya lagi. Kerana jika kita mengaku kita beriman, kita pasti akan diuji.

Firman Allah dalam Surah 'Ankabut, ayat 2-3 yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.

Semoga ujian Allah ke atas Arif, Asfani dan Fadzli serta keluarga akan menjadi iktibar buat semua dan akan menambahkan lagi pergantungan kepada Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui setiap apa yang berlaku ke atas kita.

Sahabat... bersabarlah dengan ujian yang ada...

0 comments:

Popular Posts