Monday, July 13, 2009

Laskar Pelangi: Cerita hebat

Menonton Laskar Pelangi cukup menghiburkan. Menarik jalan ceritanya. Garapan plot yang tidak membosankan.

Terima kasih buat Hisham, kerana sudi mengepos CD Laskar Pelangi kepada saya minggu lepas. Walaupun agak sibuk dengan rutin harian, di samping tugasan di rumah melayan anak-anak, saya cuba meluangkan sedikit masa menonton kisah menarik ini.

Sinopsisnya lebih kurang begini...

SD Muhammadiyyah yang hanya mempunyai 9 orang murid akan ditutup jika gagal menerima seorang lagi murid. Kecekalan Bu Mus dan Pak Harfan memastikan SD Muhammadiyah tetap berdiri megah, begitu hebat!

Haron, seorang murid 'istimewa' telah berjaya menyelamatkan sekolah tersebut daripada dilenyapkan.

Saya suka dan kagum dengan watak Ikal, Lintang dan Mahar. Sepuluh murid yang digelar Laskar Pelangi oleh Bu Mus juga mempunyai kisah dan keistimewaan yang tersendiri. Masing-masing berlatarbelakangkan keluarga susah. Walaupun tanpa sepatu, tetap bersemangat ke sekolah!

Saya paling kagum dengan semangat Lintang. Ayahnya nelayan. Ibu telah tiada. Pesan ayahnya, tidak mahu Lintang mengikut jejaknya, menjadi nelayan!. Keperitan hidup, bukan alasan untuk berjaya. Setiap hari terpaksa melalui belukar yang dihuni Sang Buaya. Wajah Lintang tenang. Lintang cekap mengira. Hanya mencongak! Otaknya bagai kalkulator... pantas mendapat hasil, tatkala teman yang lain masih lagi menghitung menggunakan keratan lidi.

Lintang gagal meneruskan pengajiannya ke peringkat tertinggi hanya kerana ayahnya meninggal dunia, karam dilautan. Lintang akur dengan ketentuan Ilahi. Sedih... hanya sijil kejayaan tergantung didinding rumahnya.



Ada kisah lucu, sedih, dan ceria. Bagi saya, ada pengajarannya. Bukan niat untuk mengagungkan karya luar, namun garapan ceritanya menyentuh jiwa saya. Akhirannya begitu menarik.

Saya bercadang nak pertontonkan Laskar Pelangi ni pada anak murid saya. Sebagai 'modul' motivasi diri. Kemiskinan, bukan alasan untuk kita tidak berjaya. Kesungguhan dan kerajinan, kunci segalanya.

Kepada Hisham dan Najibah kerana sudi berkongsi DVD ni. Semoga dipermudahkan oleh Allah menyambut kelahiran cahaya mata pertama tak lama lagi...

0 comments:

Popular Posts