Friday, December 30, 2011

Taklimat j-QAF 2012


Hari ini, hari orientasi Murid Tahun 1. Saya diminta untuk menyampaikan Taklimat Program j-QAF untuk semua ibu bapa. Selain itu, ada juga taklimat berkaitan KSSR dan PBS.

Taklimat ini sebenarnya penting untuk semua ibu bapa khususnya yang baru merasai nikmat menghantar anak-anak ke sekolah. Pendedahan ini sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar kepada ibu bapa bagaimana pelaksanaan program di sekolah serta aspek penilaian yang dilakukan dalam PBS.

Saya sertakan slide yang saya gunakan semasa Taklimat j-QAF sebentar tadi:

Taklimat j-QAF 2012

Apapun, meja perbincangan antara ibu bapa dan guru cukup penting. Segala permasalahan dalam pembelajaran anak-anak boleh didiskusikan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. 

Thursday, December 29, 2011

Dimana pilihan TERBAIK untuk anak-anak...



Saya memetik kata-kata seorang sahabat dalam sembang santai petang tadi...

"Sekarang, masa untuk kita menjadi kaya, demi masa depan anak-anak. Kita memerlukan wang yang banyak sebagai satu investment..."

Jujurnya, sebagai ibu bapa semestinya kita hendak yang terbaik untuk anak-anak. Demi masa depan yang sempurna. Tatkala mereka masih kecil, arah tuju mereka, kita yang aturkan. 'Remote' mereka, kita yang pegang. 'Channel' mana yang kita nak, kita yang tekan. Jangan sampai mereka sudah punya akal untuk memilih, malah menentukan sendiri arah laluan mereka. Tika itu, pepatah yang sesuai tidak lagi "melentur buluh biarlah dari rebungnya", tetapi yang paling sesuai "nasi susah menjadi bubur"...

Seawal usia 4 tahun lagi, ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak mereka, memilih pusat pendidikan seperi CIC, CEC, Cuedis, Smart Reader, Genius Aulad, Zul Iman dan macam-macam lagi. Yuran mahal? Itu tak penting bagi mereka, asalkan berbaloi 'pelaburan' yang mereka buat demi anak-anak.

Kita juga boleh lihat sekarang, kenapa agaknya sudah semakin ramai ibu bapa berpusu-pusu malah berebut-rebut untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama swasta, walaupun kita semua tahu, kos yuran yang mahal, tidak memungkinkan semua orang ke sana, apatahlagi dengan anak yang ramai!!!

Apa istimewanya sekolah agama swasta? Apa pula kurangnya di sekolah kebangsaan yang sudah diketahui umum bahawa yurannya telah dimansuhkan!

Saya sendiri pernah menjadi guru di salah sebuah sekolah agama swasta di Subang Jaya. Walaupun yuran yang dikenakan setiap bulan mencecah RM260 - RM320, namun sekolah tersebut mampu menarik ramai ibu bapa untuk menyekolahkan di situ.

Bukan semua ibu bapa tersebut terdiri daripada kategori 'orang berada' atau kaya. Ada juga yang pada hemat saya, berpendapatan sederhana. Tetapi masih sanggup untuk berkorban wang ringgit, sebagai pelaburan masa depan mereka.

Kesedaran ini telah lama wujud. Sewaktu saya mengajar di sekolah tersebut juga, ada ibu-ibu yang mengiringi anak ke sekolah tanpa menutup aurat dengan sempurna, berseluar pendek, tidak bertudung, berbaju T. Namun, mereka tetap mahukan pendidikan agama yang baik untuk anak-anak.

Teringat saya seorang ayah yang menghantar 3 orang anaknya (ketika itu di Tahun 3, Tahun 2 dan Tahun 1) di sekolah tersebut. Kalau dikira2, hampir RM720 sebulan tidak termasuk yuran pendaftaran hampir RM570 seorang.

Dia tidak mempunyai pendapatan tetap. Kerjanya hanya menjual nasi lemak di pasar malam. Orangnya cukup ramah, senyumnya juga tak lekang di bibir. Isteri membantu berniaga. Saya dikhabarkan juga waktu itu, seorang lagi anaknya akan sama-sama mengikut jejak langkah abang dan kakaknya di situ.

Terharu saya lihat kesungguhannya. Kenapa tidak saja dihantar anaknya ke sekolah kebangsaan yang pastinya akan meringankan beban mereka suami isteri?

Saya mengajar dua dari tiga anaknya. Anak-anak itu tidaklah sepintar mana, namun punya akhlak yang cukup cemerlang. Rendah diri, hormat guru, pandai berkawan. Sehingga sekarang, riak muka yang menyejukkan mata ini, sentiasa berligar di dalam benak.

Menurut bapa tadi, harapannya tak banyak. Cuma mahukan anak2nya mendapat ilmu dunia dan akhirat secara seimbang. Dia juga dambakan anak-anak yang punya akhlak soleh dan solehah. Mereka adalah aset untuk dia dan isteri tatkala tiba masa mengadap Ilahi.

Mungkin itu merupakan antara jawapan-jawapan yang akan diberi oleh ibu dan bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka di sekolah agama swasta, bukan di sekolah kebangsaan.

Mungkinkah ibu bapa sekarang ada yang tidak yakin atau kurang yakin dengan kurikulum yang ditawarkan di SK?

Mungkinkah juga, pengaruh yang tidak sihat yang semakin menular dikalangan remaja menjadi faktor untuk mereka menyekatnya dari awal?


Sebenarnya ibu bapa masih ada pilihan. Jika tidak mampu dari segi kewangan, namun masih mengharapkan ada kurikulum agama tambahan untuk anak-anak, mereka masih boleh pergi ke SRA di bawah seliaan JAIS atau KAFA di bawah seliaan JAWI.

Namun, ibu bapa berhak memilih yang terbaik untuk anak-anak mereka. Saya kagum dengan sahabat-sahabat yang mampu menghantar anak-anak mereka di sekolah swasta. Pilihan mereka, pasti yang terbaik. Sanggup sabar menunggu walaupun dalam 'waiting-list'. Sanggup ditemuduga, sanggup melalui ujian-ujian saringan dan macam-macam peringkat sebelum diterima masuk.

Bagi anda wahai pembaca,... dimana pilihan TERBAIK untuk anak-anak anda??? Kenapa itu pilihan anda??? Mari sama-sama kita kongsikan... Moga ia menjadi perkongsian yang bijak antara kita...

Tuesday, December 27, 2011

Agihan Tajuk dan Waktu KSSR PI Thn 2


Assalamualaikum,

Sesi persekolahan 2012 akan bermula beberapa hari sahaja lagi. Tarikh 4 Januari 2012, semua murid ditemani ibu dan bapa serta guru-guru akan memenuhi segenap ruang di sekolah.

Minggu-minggu akhir sebelum sekolah dibuka, sudah pasti semua guru sedang bersiapsiaga mengumpulkan semua bahan-bahan pengajaran.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sudah masuk tahun kedua. Guru-guru yang terlibat dengan KSSR 2011 pastinya sudah mahir dalam selok belok menyediakan RPH berpandukan Dokumen Standard (DS) dan Dokumen Standard Prestasi (DSP), serta mahir menghasilkan instrumen penilaian berdasarkan deskriptor dan evidens yang sesuai.

Guru-guru yang terlibat khususnya dengan KSSR Tahun 2, rasanya semua sudah pun diberikan kursus penyebaran berkaitan pelaksanaan, modul, DS, DSP, PBS dan sebagainya. Sama ada pendedahan tersebut diperingkat negeri, daerah ataupun melalui LADAP di sekolah. Sekurang-kurangnya, ada input yang menjadi sandaran dalam melaksanakan pnp nanti.



Untuk agihan waktu dan tajuk Pendidikan Islam KSSR Tahun 2, boleh rujuk Buku Panduan Kursus KSSR Pendidikan Islam yang dibekalkan semasa kursus sama ada berbentuk softcopy atau hardcopy.

Di sini, saya sediakan beberapa pautan untuk mendapatkan beberapa bahan penting:

1. Buku Panduan Kursus Pendidikan Islam KSSR Tahun 2; klik di sini.
2. Dokumen Standard, sila ke laman web BPK.
3. Segala bahan yang berkaitan PBS, Dokumen Standard Prestasi, boleh rujuk di laman web Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
4. Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Islam KSSR Tahun 1 pula boleh dimuat turun di laman web  JPN Selangor.
5. Pemetaan (maping) Pendidikan Islam KSSR Tahun 2, lihat di sini.

Dokumen Standard Prestasi Pend Islam Thn 2

Pemetaan Pendidikan Islam Tahun 2


Dalam blog ini, saya banyak berkongsi beberapa input berkaitan KSSR Pendidikan Islam. Sekiranya sahabat ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan KSSR Bahasa Arab, sila ke blog sahabat saya antaranya Ustaz Nazri atau juga Ustaz Hakimi. Mungkin ada info yang boleh membantu anda di sana.

Saya selalu ingatkan kepada semua guru yang mengikuti kursus pendedahan KSSR supaya sentiasa alert dengan info berkaitan KSSR serta kerapkali melayari laman web seperti BPK, KPM, atau LPM. Mungkin ada maklumat terkini yang di upload (muat naik) di sana untuk kegunaan kita semasa proses pnp. Saya turut sediakan beberapa pautan berkaitan pada Menu PENDIDIKAN pada blog ini.

Selamat menempuh 2012 dengan lebih cemerlang... ;)

Sunday, December 25, 2011

Diari Sarjana: Mantapkan kayuhan untuk satu Perjuangan

Assalamualaikum...

Lima hari lagi hitungan 'countdown' ke 2012 akan berakhir. Begitu juga saat genting untuk saya akan tiba.

Saya kini dalam fatrah akhir mengikuti kuliah. Bermula awal Januari, akan berjuang di medan 'perang'. Ini perkara biasa yang perlu dilalui oleh calon Sarjana mod Kerja Kursus (coursework) dan Disertasi. Dua semester mengikuti kuliah, selebihkan berusaha menyiapkan disertasi.


Mengikuti kuliah selama 2 semester, banyak memberi gambaran dan laluan kepada saya untuk tamatkan perjalanan ini. Perjalanan seorang pelajar menggapai cita dan impian. Sepanjang tempoh itu juga, 'bebanan' menyiapkan tugasan menjadi latihan untuk menghasilkan penulisan yang lebih berkualiti.

Biasanya, tugasan (assignment) yang dihantar akan dibentangkan. Itu juga menjadi latihan. Ya, latihan untuk saya berdepan dengan prosedur selanjutnya selepas siap disertasi nanti, iaitu VIVA.

Membentangkan tugasan bermakna kita 'mahir' dan mampu kuasai apa yang kita tulis. Kita juga perlu berani bertanggungjawab dengan apa yang kita hasilkan. Buku mana yang kita rujuk, artikel mana yang kita cekup, bahan dari internet mana yang kita sedut, autoriti penulis buku, artikel, pandangan dan sebagainya. Semua itu akan dipersoalkan.

Pensyarah akan bertindak sebagai penilai. Teman sekuliah akan menjadi pendengar, pengkritik dan juga memberi komentar atau mohon pencerahan tentang tajuk yang dibentang.

Bagi saya, itu semua akan lebih mematangkan diri supaya lebih berani. Walaupun akan terdetik rasa gundah, risau, bimbang, cuak, dan bermacam rasa yang kurang enak.

Bila nak mula menulis, kita perlu banyak membaca. Membaca tentang apa yang kita nak kaji. Membaca banyak buah buku yang menjadi bahan 'Review Literature' terhadap proposal yang akan dijalankan nanti.

Tiada alasan yang perlu saya beri, untuk dapatkan seberapa banyak buku. Tiada alasan yang menjadi penghalang untuk saya ke mana-mana 'library' bagi mendapatkan seberapa banyak bahan.

Namun, dalam keadaan seperti saya sekarang, saya perlu bijak mengatur masa. Ya, masa! Jangan sampai silap aturannya. Mungkin saya perlu ada jadual belajar semula. Mungkin juga setiap ruang dinding dalam 'bilik studi' saya (yang dikongsi dengan bilik bacaan anak-anak), perlu digantung atau ditampal dengan kata hikmat, kata azimat, kata peransang, dan sebagainya! Saya kini perlu fokus dan tetapkan matlamat. Jika saya leka, saya tertinggal.

Biasanya, apabila selesai coursework, kita akan jarang dapat ketemu teman-teman sekuliah. Masing-masing akan membawa halatuju sendiri. Ada yang terus bersemangat, ada yang lena dibuai mimpi. Saya mahu menjadi yang pertama, bukan yang kedua! Jadi, saya perlu sentiasa bersama dengan sahabat-sahabat. Saya perlu sentiasa luangkan masa di PTSL, paling kurang.

Sebelum semester baru bermula 20 Februari 2012, saya semestinya sudah bersedia dengan proposal yang mantap, idea yang bernas, rujukan juga perlu pelbagai. Tiada lagi masa untuk saya habiskan begitu saja. Teman-teman yang sedang cuti belajar sama ada tajaan sendiri atau ditaja, anda punya banyak masa. Masa anda tidak diganggu walau sedikit. Beda dengan saya, masa saya sering 'dicuri'!

Kerja di sekolah, atau juga tugasan di luar sekolah. Semua itu adalah CABARAN untuk saya. Saya pernah berkira-kira untuk tangguhkan semester 3 ini. Alasannya; ingin memberi tumpuan untuk mencari bahan/rujukan, kekangan kewangan, dan beberapa faktor lain. Itu cuma perkiraan awal yang dibuat. Namun, jika saya mahu selesaikan 'tugas' ini dengan segera, saya tak perlu tangguh-tangguh lagi, jalan terus!

Saya mohon dan berdoa agar jalan yang saya dan sahabat-sahabat pilih ini, akan dibentang seluas-luasnya untuk kami. Dipermudahkan urusan kami. Agar nanti, lahir sebuah hasil penyelidikan ilmiah yang akan membantu ummah dalam kemelut mencari sinar kebenaran dan keadilan, insyaAllah.


Buat teman-teman yang seirama, ayuh kita gagahkan langkah, mantapkan kayuhan, usah kita tewas sebelum berjuang!!! Bittaufiq wannajah. InsyaAllah.

Friday, December 23, 2011

Obes dan Rakyat Malaysia

Sebentar tadi, saya sempat menjengah blog sahabat saya. Sudah agak lama tak ke 'sana'. Beliau seorang penulis muda yang kian mencipta nama. Papan Kekunci MK Riza. Itu nama blognya.

Saya tertarik dengan entri bertajuk Obes. Cukup menarik.

Saya sempat merujuk petikan akhbar online Berita Harian bertarikh 14 November 2011. Lihat di sini.

Tajuknya; Kadar Obesiti di Malaysia tertinggi dikalangan Negara ASEAN. Fuuh... dahsyat juga tu. Yang bercakap perkara ni, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.



Katanya lagi, punca obesiti berlaku di kalangan rakyat Malaysia adalah disebabkan oleh pengambilan gula yang berlebihan. Ya, terlalu banyak gula. Itu kata Timbalan Menteri Kesihatan sendiri.

Jadi, yang bercakap pun kena tunjukkan contoh. Beliau kena mulakan. Baru rakyat boleh ikut.

Kalau seorang guru misalnya, ingin nasihatkan murid supaya jangan merokok, guru tersebut terlebih dahulu perlu tunjukkan contoh. Bukannya sewenang-wenangnya melepaskan kepulan asap rokok di kantin, dalam bilik guru atas dalam tandas. Jika tidak, pasti peribahasa "guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari" menjadi bualan murid-murid.

Kalau seorang ayah misalnya, ingin anaknya supaya sentiasa solat, si ayah perlu tunjukkan contoh. Bawa anak-anak ke surau atau masjid. Praktikkan solat berjemaah. Barulah dikatakan "bapa borek, anak rintik".

Kalau guru (lagi) sebagai contoh, tak suka (baca: marah) kalau murid buat bising dalam kelas, bercakap-cakap sesama rakan ketika guru sedang mengajar, guru itu jangan pula buat bising atau bercakap-cakap ketika Guru Besar/Pengetua sedang bercakap dalam mesyuarat. Jangan buat 'sub-meeting' pula. Kalau kita hormat orang lain, pasti orang akan hormat kita.

Yang penting, kita perlu jadi qudwah hasanah (contoh terbaik). Sebagai guru, kita adalah 'public figure' kepada masyarakat pelajar. Tindak tanduk kita, tutur kata kita, lagak kita, senyum kita, pakaian kita, semuanya akan diperhatikan.

Dalam berpakaian, tak salah berfesyen. Pasti tak mahu dipanggil 'old-fashioned'. Tapi, sebab kita ni 'public figure', seharusnya ada batasan. Aurat perlu dijaga dan diutama. Jangan terlalu ketat, terlalu menarik perhatian, tidak bertata rias yang melampau, dan sebagainya.

Kepada semua pembaca, khususnya pendidik dan bakal pendidik, sama-sama kita mulakan perubahan...

p/s: Saya ditegur sahabat yang lama tak jumpa, kata mereka saya agak kurus hilang sedikit berat badan (lost weight) berbanding sebelum ni. Bahkan ada kalangan guru di sekolah sedar akan perubahan itu. Siap bagi ucapan 'congratulation' lagi. Huhu... mungkin ini penangan assignment sepanjang semester ini...


Contoh Penulisan RPH Pend Islam KSSR

Dalam Kursus Orientasi Jurulatih Utama KSSR pertengahan tahun 2011, kami telah didedahkan oleh pihak Jemaah Nazir cara penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) untuk KSSR.

Di bawah ini, saya sertakan contoh yang telah dipersetujui untuk digunapakai.


رانخغن فلاجرن هارين
مات فلاجرن
فنديديقن إسلام (جاوي) – تاهون 1 خمرلغ
ستندرد كاندوغن
مغنل، مثبوت دان منوليس حروف2 جاوي توغضل
ماس
60 مينيت
ستندرد فمبلاجرن
6.1.1
6.1.2
اوبجيكتيف فمبلاجرن
1. مغنل دان مثبوت حروف2 جاوي توغضل دغن بتول
2. منوليس حروف2 يغ سام بنتوقث (د، ذ، ر، ز) دغن بتول
اكتيؤيتي فغاجرن دان فمبلاجرن
1. مغنل فستي دان مثبوت حروف يغ دفاميركن
2. مميليه دان مغاسيغكن كد2 حروف مغيكوت كاتيضوري حروف سخارا بركومفولن
3. ممبنتوق حروف2 د، ذ، ر دان ز مغيكوت كرياتيؤيتي ماسيغ2 مغضوناكن تالي / فلستسين.
4. منوليس حروف2 د، ذ، ر دان ز يغ دسبوت اوليه ضورو
اي عيم كيه
1. كرياتيؤيتي : موريد ممبنتوق حروف2 د، ذ، ر دان ز مغيكوت كرياتيؤيتي ماسيغ2 مغضوناكن تالي / فلستسين.
2. كاوسهاونن : موريد بكرجاسام دان ممفوثاءي داي ساءيغ اونتوق مغحاصيلكن كرج بركومفولن
باهن بنتو بلاجر
1. كد حروف
2. تالي / فلستسين
فنيلاين ف دان ف
1. مورناكن حروف2 يغ سام بنتوقث
2. منوليس حروف2 يغ سام بنتوقث
ريفليكسي
(دتوليس سلفس ف دان ف)
20 اورغ موريد تله مغواساءي ايس في
5 اورغ موريد تيدق مغواساءي اكن دبري بيمبيغن سخارا فموليهن


Semoga entri ini dapat membantu guru-guru yang pertama kali terlibat dengan KSSR. Jika terdapat sebarang kemusykilan, sila berhubung dengan Jurulatih Utama yang berhampiran anda.

Muat turun RPT Pend Islam KSSR



Semalam saya menerima satu kiriman SMS daripada salah seorang peserta kursus KSSR 2011. Beliau bertanyakan Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Islam KSSR.

Awal tahun 2011, saya dan beberapa panel penggubal telah diamanahkan untuk menyediakan serta memurnikan RPT PI KSSR utk Tahun 1. Kami telah menyemak beberapa contoh RPT yang telah disediakan oleh beberapa JPN antaranya JPN Kedah, JPN Perak dan JPN Melaka untuk dibuat beberapa penambahbaikan.

Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Islam KSSR Tahun 1 tersebut boleh dimuat turun melalui laman web rasmi JPN Selangor.

Saya juga terlibat bersama-sama guru-guru pakar dan guru cemerlang dalam menyediakan RPT Pend Islam KSSR Tahun 2 bersama Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Kami telah diminta untuk menyediakan RPT tersebut untuk dimuat naik ke laman web rasmi BPK. Namun, RPT tersebut masih belum boleh dimuat turun. InsyaAllah, harapnya ia akan dapat dimanfaatkan oleh semua guru nanti.

Pesanan pihak JPN dan BPK, agar contoh RPT yang disediakan tersebut tidak seharusnya di'cedok' 100 peratus. Ia hendaklah disusun berdasarkan taqwim persekolahan yang telah dikeluarkan oleh pihak sekolah masing-masing. RPT tersebut juga hanya sebagai panduan untuk guru.

Guru tidak seharusnya terikat dengan cadangan aktiviti yang diberikan. Guru boleh menggunakan daya kreativiti sendiri dalam mencorakkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan attractive.

Apa yang penting, RPT yang disediakan hendaklah selari dengan Dokumen Standard Kurikulum (DSK) dan Dokumen Standard Prestasi (DSP). Standard Pembelajaran (SP) yang dipilih juga hendaklah bersesuaian dengan tahap murid di dalam kelas.

Semoga sahabat guru telah bersedia dengan segala kelengkapan bagi menghadapi sesi pembelajaran 2012. Saya yakin dan percaya, semua guru yang terlibat dengan KSSR 2012 telah mendapat taklimat dan menerima pendedahan melalui penyebaran yang dibuat sepanjang tahun 2011.

Selamat mendidik...

Saturday, December 17, 2011

Apabila Si Kecil diganggu...

Bergambar kenangan sewaktu bertugas di SRIMDE, 8 tahun lalu

"InsyaAllah, kita jumpa hari Isnin nanti... "

Itu janji kami. Antara saya dan sahabat saya, Hidayat. Temujanji yang dibuat untuk merawat si kecil.

Sudah agak lama kami tidak berjumpa. Apabila seorang sahabat menceritakan masalah anak kecilnya yang kerap menangis sejak 3 minggu yang lalu, saya terus terlintas untuk hubungi Hidayat.

Disebabkan ayah si kecil kesian melihat anaknya yang asyik menangis, beliau mempercepatkan temujanji. Bukan hari Isnin, tapi kalu boleh petang Jumaat. Alhamdulillah Hidayat bersetuju, tapi selepas asar kerana Hidayat ada temujanji lain sebelum itu.

Kami bergerak jam 4 petang melalui MRR2. Jalan agak sesak. Ibu dan ayah si kecil membuah kerisauan. Saya menghantar SMS kepada Hidayat, maklumkan kelewatan kami. Bimbang beliau ada temujanji lain. Namun lega apabila SMS dibalas:

"Takpe, aku tunggu..."

Alhamdulillah, kami sampai di Batu Caves jam 5.30 petang. Setelah 'diagnose' si kecil, Hidayat mula merawat. Beliau bertanyakan, sama ada si ibu atau ayah mendapat apa2 petanda dalam mimpi. Si ibu dan si ayah menafikan, tiada mendapat apa2 mimpi atau petunjuk.

Hasilnya, Hidayat maklumkan; bayi itu memang diganggu. Ada jin berupa seekor ular melingkari tubuhnya! Jin tersebut sudah lama 'duduk' ditapak rumah yang mereka tinggal sekarang. Walaupun sahabat itu sudah tinggal di situ sejak 2004, namun baru sekarang 'makhluk; itu mahu menunjuk 'belangnya'.

Tambah Hidayat lagi, 'makhluk' itu nak menimbulkan rasa was2 dan ragu dalam diri perawat. Maksudnya, mungkin perawat sudah mengamalkan bacaan yang sewajarnya untuk 'menghalaunya', namun jin yang ditafsirkan sebagai 'kafir totok' oleh Hidayat itu tetap berkeras untuk terus meninggalkan 'menghuni' si kecil itu.

Tambahnya lagi, jin tersebut suka jika timbul rasa ketidakyakinan dalam diri di perawat, contohnya;

"Eh, takkan dah baca 3 Quul pun tak jadi jugak???"
"Aikk... takkan Ayat kursi pun tak boleh juga???" dan lain-lain...

Bahaya juga 'makhluk' ini. Ada juga nak uji2 manusia, apatahlgi perawat! Macam ni punya jin pun ada ka???


Firman Allah dalam surah Al-Jin, ayat 6 bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.



Keistimewaan yang ada pada sahabat saya (Hidayat) ni, dia mampu 'bercakap' dan 'berkomunikasi' dengan makhluk yang mengganggu. Dalam masa dia 'membaca' ayat2 suci al-Quran di telinga bayi itu... dia juga sedang 'berdiplomasi' dgn makhluk itu.

Akhirnya, bayi itu dimandikan dengan air beserta beberapa helai daun sirih. Saya lupa pula nak tanya, kenapa guna daun sirih?

Daun sireh, dicampurkan dengan air, lalu dimandikan bati tersebut.

Sepanjang si kecil itu mandi, tangisannya makin kuat... kasihan sungguh.

Hidayat maklumkan pada si ayah, agar terus bersabar dan berdoa. Jangan sampai 'tewas' dengan ujian dan godaan makhluk itu. Mungkin kerana si ayah turut belajar kaedah perawatan Islam ini, makhluk itu suka untuk 'menguji' beliau.

Nasihat Hidayat, sesiapa jua yang ingin belajar ilmu rawatan Islam ini, perlu 'terjun' sedalam2dalamnya, serta bersedia dengan segala kelengkapan, rohaniah dan jasadiyyah. Perlu bersedia dalam apa jua kemungkinan dan keadaan sekalipun.

Diakhir pertemuan, Hidayat meminta tempoh  7 hari untuk 'menyelesaikan' tugas itu dengan 'jin' tersebut, akibat kedegilannya. Apa yang berlaku antara dia dan jin itu, akan dimaklumkan kemudian. Kami usai hampir Maghrib. Harapan kami, agar si kecil akan beransur pulih...

Teringat saya pada kes 7 tahun lalu. Kes ini berlaku di Balakong Seri Kembangan. Anak kawan kepada sahabat serumah saya telah diganggu makhluk halus. Bayi berumur 4 bulan itu menangis tanpa henti selama 40 hari.

Saya membawa Hidayat untuk melihat dan merawat bayi tersebut. Saya dan abg Amir menjemput Hidayat di flat Pekeliling (kini dah dirobohkan). Kami sampai jam 8.30 malam.

Dalam perjalanan menuju ke Balakong, Seri Kembangan, Hidayat maklumkan, dia berulang alik mandi dan berwudhuk selama 3 kali. Katanya, seperti ada petunjuk...

Sampai di rumah itu, Hidayat mengatakan seolah-olah memang ada 'sesuatu' di sekeliling rumah itu. Menurut ayah si kecil, rumah tersebut milik orang India. Tambah Hidayat, orang India biasa memuja di rumahnya. Jadi tidak mustahil ada makhluk yang turut berada dalam rumah itu.

Beberapa malam sebelum itu, saya dan abg Amir telah ke rumah itu. Tangisan bayi itu cukup nyaring, sehingga kadang2 tak kedengaran suaranya. Kesian saya tengok. Abg Amir dukung si kecil, kemudian diazankan. Terbeliak mata si kecil memandang saya yang berada dibelakang abg Amir. Seolah2 marah dengan tindakan abg Amir itu.

Bayangkan, bagaimana bayi 4 bulan mencelik matanya sebulat bulatnya kepada anda!... Huhu, meremang bulu roma saya ketika itu.

Berbalik cerita bersama Hidayat...

Hidayat mengambil bayi tadi dan mula men'diagnose'... menurut 'bacaan'nya, si kecil telah 'diculik' oleh jin yang bernama Ummu Mildan. Asalnya, jin tersebut cuma nak jadikan si kecil sebagai anak angkatnya, atas dasar kasih dan sayangnya padanya. Jin tersebut sudah lama 'mendampingi' bayi itu sejak dia dilahirkan. Namun, setelah jin itu dicederakan oleh seorang perawat yang datang pada malam sebelum itu, hingga melukakan kakinya, dia mula bertindak ganas.

Taburan garam kasar dan lada hitam pada malam sebelum itu, telah menambah kemarahan jin itu. Lalu, jin itu mengurung si kecil dalam sebuah kurungan yang gelap dan menguncinya dengan 3 'mangga' (mcm solex) yang besar.

Hidayat mula 'berdiplomasi' dengan jin itu. Katanya pada jin itu,

kalau kau sayang pada bayi itu, lepaskan dia, kerana ibu dan ayahnya lebih menyayanginya. Kau tinggal di dunia lain, jangan diganggu hidup sikecil dalam dunia kami ini. Mana mungkin bayi ini dapat hidup di dunia kau yang gelap dan menakutkan itu...

Patutlah bayi itu menangis kerana dia sedang berada dalam dunia yang gelap dan menakutkan!!!

Diplomasi Hidayat nampaknya tidak berjaya... akhirnya, Hidayat melaungkan azan sebanyak 3 kali. Azan yang pertama, merungkai kunci yang pertama, azan yang kedua merungkai kunci kedua dan begitulah pada azan yang ketiga. Akhirnya kesemua kinci tersebut dapat dibuka.

Alhamdulillah, selepas itu, si kecil berhenti menangis. Dengan kuasa Allah. Tampak riang dan syukur di wajah ayah dan ibu si kecil.

Mungkin itu petanda yang dia dapat sewaktu di rumah tadi, iaitu mandi dan berwudhuk sebanyak 3 kali. Akhirnya si kecil lena dalam dakapan ibunya.

Pesan Hidayat agar si ayah dapat mencari rumah lain dan meninggalkan rumah tersebut, untuk mengelakkan kejadian yang sama terus berlaku. Dan lagi, agar diamalkan bacaan ayat2 suci di dalam rumah untuk 'menghalau' penunggu2 yang mendiami rumah.

Itulah keistimewaan sahabat saya, Hidayat. Boleh berkomunikasi dengan 'makhluk halus'. Berkongsi cerita ini bukanlah bertujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun sebagai 'ibrah dan pengajaran untuk semua.

p/s: Hidayat aktif dalam rancangan Bapakku.fm yang bersiaran pada hari Khamis, jam 12.00 pagi hingga 4 pagi. Beliau akan mendengar setiap panggilan telefon yang dibuat kepada DJ Bapakku.fm, Isma Halil Hamzah dan akan membuat ulasan akhir. Dengarkan bersama-sama...

Friday, December 16, 2011

Kovensyen Fiqh Ummah 2012





Assalamualaikum,

Konvensyen Fiqh Ummah 2012 menampilkan ilmuwan2 hebat tempatan dan antarabangsa;

Antaranya;
1- Dr. Zulkifli Al-Bakri
2- Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
3- Dr. Zahazan Muhammad
4- Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
5. Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman
6- Dr. Abdul Basit Abdul Rahman
7- Ustaz Zamri Mantop
8- IM Ashraf
9- Ustaz Ramadhan Fitri Elias
10- Dr. Maszlee Malek
11- Ustaz Hasrizal Jamil (Saifulislam)dan ramai lagi...

Tak ketinggalan ulama' terkenal antarabangsa;

1- Syeikh Hamzah Yusof
2. Syeikh Dr. Aidh Al-Qarni (La Tahzan)
3- Mufti Musa Ismail Menk
4- Syeikh Prof Ali Muhyiddin Al-Qura Daghi.

Konvensyen ini dijadualkan bakal diadakan pada:

Tarikh: 18-19 Februari 2012
Tempat: Dewan Merdeka PWTC
Yuran: RM 100

Sama-sama kita luangkan masa dan wang ringgit untuk mendengar perkongsian ilmu berkaitan soal aqidah,kefahaman teks al-Quran dan al-Hadis, Ibadah, Politik (Siyasah), Kewangan, Gaya Hidup Kehidupan, Dakwah dan banyak lagi...


Thursday, December 15, 2011

Kerana kata, manusia TERJAGA...


Assalamualaikum...

Lama saya 'memerhati' status fb yang dinukilkan oleh Prof Muhaya ini. Saya ambil dari laman web ini (My's Weblog). Maaf, 'copy' tanpa permit. Terkesan dengan kata-kata itu... Cukup bermakna ... sesuai untuk renungan dalam apa jua keadaan, atau dalam erti kata lain, sebaga MUHASABAH DIRI...

Esok buat skrip kehidupan dan tulis apa kita mahu jadi dari sekarang hinnga kita temui Allah. Keep focus insyaAllah tak lalai dan terbawa bawa benda lagha dan remeh temeh dan mencari penghargaan manusia dan mengejar dunia dan pujian manusia dan harta benda yang melalaikan dan tidak sibuk menampakkan kehebatan diri di facebook atau di mana mana. Hidup by design bukan ikut orang lain tapi apa Allah redha sahaja jadi tujuan kita.”

“Kalau kita terlalu sensitif dan cepat kecil hati, selalunya kita kurang yakin diri dan tiada fokus tepat dalam hidup. Mereka yang kuat fokusnya tidak akan dikacau oleh benda remeh yang melambatkan pencapaian apa yang difokus. Jangan sedih kerana cemuhan manusia. Ini amalan sia-sia. Cari Allah di mana kita berada dan apa kita buat. Lihat orang dengan penuh kasih sayang itu kita akan dapat.”

“Apabila orang buat tidak baik pada kita, mafkan dan bebaskan diri dari emosi negatif dan jangan sesekali reaksi kepada mereka. Kekalkan getaran tinggi. Jika kita reaksi, makna kita telah align tenaga kita dan tenaga negatif mereka. Allah sentiasa ada dan sesiapa yang buat tidak baik akan dapat balasan tak perlu kita balas. Alangkah tenang hidup ini jika menjaga apa yang kita fikir rasa dan buat setiap saat dan tidak biarkan tindakan orang lain mengawal perasaan kita. Kita harus sentiasa syukur, sabar dan redha.”

“Manusia paling bahagia dan tenang ialah mereka yang bebas dari penghargaan dan cemuhan manusia. Manakala manusia yang paling cetek akalnya ialah mereka yang sentiasa mengintai ngintai kesalahan orang lain hingga tidak terlihat kesilapan sendiri.”

Tidak salah belajar, kan?

Assalamualaikum...

Minggu ni bermulalah calon2 guru untuk program j-QAF melalui proses seterusnya sebelum layak diberi latihan sebagai seorang pendidik, iaitu SESI TEMUDUGA.

Ya, sesi temuduga inilah yang akan menentukan sama ada anda layak untuk bergelar seorang GURU atau sebaliknya. Bagi saya, tiada tips yang istimewa untuk itu, selain daripada persediaan mental dan fizikal serta bekalan ilmu yang secukupnya.

Beberapa hari lepas, ada saudara dari kampung, hubungi saya. Awalnya terkejut juga. Sebab tidak pernah berhubung melalui telefon kecuali bertemu muka pada musim perayaan atau cuti sekolah.

"Nak mintak tolong ni, adik Abang dapat temuduga KPLI j-QAF ni... ada tak kenalan yang jadi penemuduga KPLI j-QAF di IPG ***? "

Huhu, saya pun guru biasa. Manalah saya kenal apatahlagi TAHU siapa yang terlibat dalam sesi temuduga itu. Melainkan sahabat saya yang bertugas pagi dan petang (kadang2 sampai malam) di Bahagian Pengambilan Guru (BPG).

Nasihat saya kepada beliau, supaya adiknya bersedia sebaik mungkin. Jawab dengan yakin, berdasarkan ilmu yang ada. Yang penting, pastikan boleh baca al-Quran dengan baik dan betul.

Kenapa saya kata begitu?

Sepanjang saya dan rakan2 mengendalikan kursus untuk guru-guru baru khususnya guru program j-QAF, kami dapati ada segelintir (bukan majoriti) daripada ustaz dan ustazah yang masih belum menguasai bacaan al-Quran dengan baik.

Perkara ini tak sepatutnya berlaku. Kerana dalam sesi PnP Pendidikan Islam, matapelajaran Al-Quran merupakan subjek yang cukup penting melalui modul Khatam al-Quran. Bayangkan apa yang dibaca itu salah, pasti menjadi pegangan murid2 sehingga bacaan itu disedari salahnya, dan dibetulkan semula.

Mulanya saya tak percaya, sebab yakin dengan latar belakang mereka. Namun apabila 'berjumpa' sendiri, mengurut2 dada juga dibuatnya.

Antaranya; semasa membaca Fawatih al-Suwar, contohnya عسق dibaca dengan " 'Aaaa, Saa, Qaa", hukum saktah yang dibaca dengan tambahan bunyi sin dihujung, contohnya; dalam Surah Yaasin, من مرقدنا هذا dibaca dengan "Mimmarqodinas Haaza"... bila ditanya kenapa bunyi Mimmarqodinas?, Dengan yakin memberi jawapan "Sebab ada sin kecil di atas tu... kenalah bunyikan macam tu"...

Sebenarnya banyak lagi kesalahan2 dalam bacaan yang mungkin tidak disengajakan. Namun, walaupun kita dah bergelar GURU, tak salah kita belajar dengan orang yang layak untuk menjadi guru kita.

Bukan niat saya nak membuka aib guru2 ini, namun atas rasa kepentingan untuk kita belajar ilmu al-Quran, maka tidak salah rasanya untuk salah berkongsi pengalaman ini.

Walaupun saya bukanlah seorang Hafiz al-Quran, dan tidak selayaknya bercakap soal ini, namun bagi saya, perkara ini perlu di 'bersih'kan dari awal bagi mengelakkan salah faham ilmu al-Quran dikalangan murid-murid.

Tahniah buat sahabat2 saya yang terlibat sebagai JU untuk Kursus Tahsin Qiraat sepanjang beberapa tahun lepas. Matlamatnya hanya satu! Membetulkan bacaan al-Quran, khususnya bacaan2 ghorib (pelik) antaranya seperti kalimah yang ada hamzah wasol, saktah, imaalah, tashiil, fawatih al-suwar dan sebagainya...

Kalau kita tidak tahu, tidak salah untuk kita belajar, bukan? Doa saya untuk adik2, dan sahabat2 yang akan terjun dalam medah dakwah sebagai PENDIDIK, persiapkan diri kita sebaiknya. InsyaAllah, ada jalannya...

Wednesday, December 14, 2011

Sakit tekak...



Sejak semalam saya rasa sakit sangat kat tekak ni. Tak boleh menelan dengan selesa. Biasanya kalau sakit2 tekak camni, akan disusuli dengan demam...

Bila sakit tekak, tambah pulak dengan batuk2... rasa sangat peritnya. Ujian dari Allah... ;)

Bangun pagi tadi, memang rasa lemah badan. Tapi kena gagahkan sebab ada kuliah kat UKM. Nak tak nak, kena pergi jugak. Alhamdulillah, kereta dapat dihidupkan, selepas beberapa kali 'mencuba'. Memang kena tukar bateri baru nih... bocor lagi poket ni hah...

Pagi ni, Hajar buat hal lagi. Meraung2 dalam kereta tak nak turun. Tak nak pergi nursery. Lama juga nak memujuknya... sebab badan ni tak baper 'fit', so... layan je la tadi. Sampailah akhirnya kena akhiri 'drama' tu dengan sedikit 'perjanjian damai'... huhu.

Selesai 'drama' tu, terus memecut ke kelas, sebab dah terlewat.

Sampai kat kelas, kesejukan aircond dalam kelas menambahkan rasa 'tak sedap' badan... bayangkan nak abiskan 3 jam dalam kelas... huhu... terpaksa keluar kelas jap, minum air suam... nak legakan rasa gatal2 tuh...

Usai kelas, terus ke kereta untuk amik anak2 di nursery. Hari ni hari akhir mereka kat sana. Suka sangat la tu. Minggu depan isteri saya dah abih kelas di IPIS. So, boleh la 'jaga' anak2. Malangnya, bila nak start kereta,... tak mau hidup... huhu.

Nasib baik ada teman sekuliah yang belum lewat kereta saya. Saya tahan keretanya, dengan harapan nak minta tolong 'jump' kereta saya tu. Bila buka bonet, rupa-rupanya 'jumper' takde pulak. Aduhh... mula la panik.

Azalee menawarkan diri untuk hantar saya balik ke rumah untuk ambil 'jumper'. Saya menolak kerana tak mahu menyusahkannya. Namun dia berkeras nak menolong, dengan alasan nak kenal rumah... Huhu, saya pun cuba start sekali lagi... Mana tahu, kali ni menjadi...

"Alhamdulillah... dah boleh hidup"... Syukur...

Esok kena beli bateri baru. Memang dah sampai ajalnya... huhu, tuan sakit tekak, kereta pun sakit jugak... ;)








Belum rezeki lagi...



Pagi ini, saya terima satu kiriman SMS dari seorang teman, bunyinya begini:

Salam ustaz... saya xdapat temuduga tu. Mungkin bukan rezeki saya kat sini. Rezeki saya kat tempat lain. Nampaknya kena buat PJJ atau part time je la...
Saya baca SMS tersebut dengan nada kesal. Kecewa pun ada bagi pihak sahabat saya itu. Sudah lama beliau meluahkan hasratnya untuk menyambung pengajian ke peringkat Master. Tapi dengan harapan dapat dibiayai oleh KPM, dengan kata lain, dapat biasiswa. Semangatnya tetap berkobar, biarpun baru saja melahirkan anak, tetapi ia bukan penghalang baginya.

Saya dimaklumkan, semalam keputusan untuk pemohon Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan Cuti Belajar Bergaji Penuh telah boleh disemak. (semak di sini)

Mungkin benar katanya... bukan rezekinya lagi. Tambahnya dalam SMS tersebut:

Mungkin ramai yang mohon, prestasi 90 ke atas...
Ya, itu benar... LNPT menjadi syaratnya... kalau setakat cukup2 makan, (85-90) alamatnya mungkin kurang bernasib baik.

Beruntung sesiapa yang memiliki markah LNPT yang baik dan cemerlang. Beruntung memiliki 'penilai' yang bijak dalam menilai prestasi kerja kalian... tanpa ada perasaan yang 'negatif'... Anda memang wajar bersyukur!!!

Saya berhijrah ke 'sini' untuk mencari suasana baru. Setelah merasakan tiada apa yang dapat membantu saya di 'tempat lama' untuk memungkinkan saya merasai peluang memohon keistimewaan itu. Dendam? Marah? Benci?... simpan je lah. Yang penting, siapa yang menilai, jawab sendiri di hadapan Allah...

Bagi saya, saya tidak kecewa tidak dipanggil temuduga, kerana saya TIDAK PERNAH sekalipun memohon HLP tersebut, kerana saya telah 'kecewa' sebelum ingin memohon lagi. Kenapa? Jawapan bagi soalan tersebut hanya satu... namun, biarkan ia dalam diri sahaja.

'Kali ni, depa susahkan hidup kita, tutup peluang kita... esok lusa, tengok la... Allah akan sempitkan peluang anak cucu depa pulak... Ingat mudah ka jadi ketua, setiap keputusan yang dibuat, akan ada risikonya!!!' usik seorang teman suatu ketika dulu...

Saya teringat kata2 seorang pensyarah dalam kuliah akhirnya baru2 ini. Seorang pensyarah yang cukup 'humble' dan baik, Dr. Abdel Wadoud Moustafa Al-Saudiy... Beliau bimbang dalam meletakkan markah dalam setiap bahas (assignment) yang dihantar.

Sebelum membaca setiap bahas, seterusnya menilai bahas tersebut... beliau akan solat sunat dua rakaat, memohon hidayah daripada Allah. Agar tiada unsur yang boleh memudaratkan orang lain. Kerana beliau tak mahu menjawab di hadapan Allah, jika berlaku tidak adil dalam setiap tindakan... walaupun dengan hanya mengurangkan '1 markah' yang menjadi hak pelajarnya...

Moralnya; jangan sampai tindakan kita, orang lain teraniaya. Tak kira apa jua keadaan...

Pesan saya buat teman saya itu, sabar dengan ujian ini. Teruskan berusaha, semoga suatu hari nanti, Allah akan makbulkan hajat itu.

Rezeki, Allah tentukan... mungkin belum menjadi milik kita hari ini, siapa tahu... suatu hari nanti, ia akan menjadi milik kita.

Monday, December 05, 2011

Program j-QAF ke SM, anda mahu?


Assalamualaikum,

Membaca berita dari BERNAMA berkaitan "Program j-QAF di sekolah menengah Pertengahan Tahun 2012" membuatkan ramai yang terlibat khususnya GPI j-QAF memberi pelbagai reaksi. Positif dan negatif. Positif; kerana ada yang ingin merasai dunia pelajar alam menengah. Negatif pula, bukan tidak bersetuju, namun lebih selesa di sekolah rendah.

Suatu ketika dahulu, saya pernah menyuarakan pandangan dan melontarkan isu berkaitan j-QAF di sekolah menengah. Malah saya daripada poll yang saya buat, majoriti menyatakan hasrat untuk kekal di sekolah rendah. Mereka mempunyai alasan tersendiri.

Isu ini mula timbul pada tahun 2009 apabila murid j-QAF kohort 2005 dijadualkan ke sekolah menengah pada tahun 2011. Jadi, atas dasar untuk meneruskan kurikulum tersebut, dicadangkan agar murid2 ini diteruskan dengan program jQAF dengan penambahbaikan kurikulum.

Ada guru yang menawarkan diri untuk mengajar di sekolah menengah, walaupun ura2 menyebut hanya GPI kohort 2005 dan 2006 yang diberi keutamaan. Malah ada yang lebih rela kekal di sekolah rendah dengan alasan pelbagai.

Namun, itu hanya bisik2 yang tiada kesudahan. Masing2 menunggu keputusan. Sama ada betul atau tidak. Sehinggalah 2 hari lepas, perkara tersebut disuarakan oleh TPM merangkap Menteri Pelajaran. Ada yang terkejut, tak kurang juga yang teruja.

Pernah dulu saya bertanya kepada pegawai BPK yang bertanggungjawab mengurus selia dan menyediakan kurikulum, sama ada hasrat kerajaan untuk meneruskan program j-QAF ke sekolah menengah akan dilaksanakan? Respon yang saya terima, ia masih dalam perbincangan. Kurikulum masih dalam proses penggubalan. Jika ia dilaksanakan pun, kemungkinan besar pada tahun 2017 setelah semua sekolah rendah sudah melaksanakan program ini. Makna kata, masih ramai guru j-QAF diperlukan bagi mengisi kekosongan yang ada.

Apa pun, tunggu je la apa jua keputusannya, moga kurikulum yang bakal digubal nanti, akhirnya mampu membentuk sahsiah yang baik. Sebagai guru dan pendidik, kita yang perlu berusaha. Walaupun ramai yang menolak untuk ke sekolah menengah dengan alasan, mereka kurang ajar, susah dibentuk, tak dengar kata, banyak buat masalah disiplin dan macam2 lagi... inilah masanya untuk kita mngubah dan membentuk generasi ini mengikut acuan yang terbaik. Kita ada ilmu, kita ada kemahiran... jadi, gunakanlah semua itu untuk mengharungi cabaran.

Jika semboyan berbunyi nanti, bukan masanya lagi kita nak mencari2 dimana peluru, dimana meriamnya... tapi masa untuk kita membidik dengan tepat, ya... tepat ke sasarannya... ;)

Salam ukhuwwah...


Thursday, December 01, 2011

Anugerah Dekan... teruskan usaha anda!!!

Sebagai pembakar semangat... InsyaAllah

Assalamualaikum,

Sekarang musim atau 'period' cuti sekolah. Yang pasti semua murid sekolah tengah bercuti. Pastinya juga, macam2 program telah disusun atur oleh ibu bapa sepanjang tempoh cuti tersebut. Cikgu2 plak, ada yang masih perlu ke sekolah sama ada untuk menyelesaikan tugasan yang belum selesai, atau menghadiri sesi mesyuarat sekolah...

Cuti kali ni saya dan isteri belum 'plan' nak ke mana. Walaupun teman2 guru yang lain sedang enak bercuti, namun kami sibuk dengan rutin harian. Saya ada kuliah di UKM, isteri pula ada kelas di IPIS. Masing2 sibuk dengan kelas dan tugasan @ assignments. Jadi, kena struggle banyak la sikit... Huhu.

Awal minggu cuti baru ni, saya dapat surat dari Lembaga Peperiksaan, supaya hadir ke Mesyuarat Pembinaan Item Pentaksiran Berasaskan Sekolah bagi subjek Pendidikan Islam, UPSR. Namun, saya terpaksa mohon excuse dan pelepasan daripada pegawai terlibat atas sedikit 'masyaqqah' yang tak dapat saya elakkan. Bagi saya, peluang yang diberi sebenarnya bagus untuk saya mencedok byk pengalaman bersama guru2 pakar yang lain dalam bidang ini. InsyaAllah, kalau ada kesempatan lain, jika diberi peluang, akan saya hadir.

Mengikut jadual semester, kuliah saya sehingga hujung Disember nanti. Masa tu la nanti, pihak pentadbir akan sibuk untuk mengadakan mesyuarat awal tahun, menjelang sesi persekolahan yang baru. Mesyuarat Pengurusan Sekolah, Mesyuarat Panitia dan mcm2 lagi. Peperiksaan Akhir pula bermula 3 Januari hingga 24 Januari... ;) moga Allah permudahkan semua urusan kami, InsyaAllah.

Saya tersenyum puas apabila menerima Sijil Anugerah Dekan dari fakulti untuk peperiksaan semester yang lalu. Alhamdulillah, semua ini berkat doa ummi , isteri, keluarga dan rakan2... Namun, saya tidak boleh bersenang-senang. Cabaran yang perlu saya harungi masih banyak dan jauh. Bagi saya, saya perlu pantas dan bijak membahagikan masa sebaik mungkin. Bermula Februari 2012, saya perlu mulakan penulisan tesis saya. Jangan sampai terleka dan akhirnya mendatangkan duka...

Pesan seorang teman, ramai pelajar boleh menghabiskan kuliah (courework) dengan cemerlang, namun tak ramai yang mampu sampai ke penghujung (menyudahkan tesis)... Semoga cita2 saya dan rakan2 sekuliah akan tercapai... Sahabat2, tolong doakan kami... ;) Kami dambakan doa kalian...

Wassalam...

Thursday, October 20, 2011

Mesyuarat Pemurnian Modul Rintis KSSR

Assalamualaikum....

Mesyuarat Pemurnian Modul Rintis Pendidikan Islam KSSR Tahun 4.
17-20 Oktober 2011, bertempat di Hotel Seri Malaysia.



Usai mesyuarat, menerima Sijil Penghargaan dari Ustazah Noor Azza Ibrahim, Ketua Unit, Sektor Pendidikan Islam, Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM.





Sunday, October 16, 2011

Ralat demi sebuah tanggungjawab...

Assalamualaikum...

Hampir 5 bulan blog ni tak terusik. Alasannya masih sama...

"... tak cukup masa..."

"... banyak kerja..."

"... assignment bersusun..."

Namun, tiada niat untuk saya terus 'melupakan' dunia blog ini, kerana ia menjadi medan untuk saya berkongsi apa yang saya ada, serta meluahkan apa yang saya rasa...

Minggu ni, saya ditugaskan oleh BPK untuk ke PD selama 4 hari, menyiapkan Modul Rintis KSSR Pendidikan Islam Tahun 4. Menyambung tugasan di Grand Continental pada bulan lalu. Namun ada beberapa ralat yang menyebabkan saya tak berapa senang duduk nanti, sepanjang bermesyuarat... antaranya;

Pertama: Pengasuh anak2 akan ke Mekah minggu hadapan. Alhamdulillah... moga mendapat Haji Mabrur. Namun, ada sisa bimbang untuk meninggalkan Hajar dan Asma' yang sudah mula ada 'chemistry' tinggal bersama pengasuhnya, walaupun baru 7 bulan. Pastinya pada minggu2 pertama, akan berlaku 'drama sedih' antara umi mereka di Taska tu nanti. Yang kurang best, saya di PD waktu itu... ralat untuk membiarkan anak2 dan isteri dalam keadaan sebegitu... huhu, saya berserah pada Allah... tawakkal, agar Allah permudahkan.

Kedua: Semester kedua sudah masuk minggu ke 6. Tugasan semakin banyak. Yang sudah dihantar baru satu, yang tinggal lagi 3... Apabila ada urusan sekolah, PPD, JPN mahupun KPM, pada hari kuliah, makna kata... saya terpaksa 'tuang' kuliah. Cabaran untuk saya. Tapi semua tu dah rasa sem 1 yang lepas... pandai2 lah uruskan masa... ;) Moga2 Allah berikan kelapangan waktu untuk saya... hanya sampai bulan Disember ini sahaja untuk saya habiskan kuliah, baki 2 sem lagi untuk saya 'pulun' menulis... Tapi, bila setiapkali dapat surat untuk hadir apa2 kursus atau mesyuarat,... hmmmm, susah nak cakap macammana... SYMP

Ketiga: Hujung minggu ni (21-23) ada perkhemahan badan uniform di sekolah... rasa teruja sangat dapat berkhemah tahun nih... ;) Saya diamanahkan utk sediakan makan minum murid (selain mereka masak sendiri... -ikhtiar hidup-...), sentri malam dan disiplin. Jadi minggu ni saya perlu berbincang dgn AJK Guru lain untuk sediakan menu yang sesuai, dan mcm2 lagi. Khamis 20hb, baru saya balik dari PD... apapun, harapnya masih ada ruang utk berbincang... insyaAllah.

Keempat: Huhu... Rabu nnt (19hb) hari ulangtahun saya... yang ke-...., tak dapat nak raikan bersama orang tersayang dan keluarga di rumah. Tahun lepas mcm tu juga... terpaksa sambut dgn kawan2 di PD sebab ada Kursus Penyebaran KSSR Tahun 1... Namun yang ni, takde la besar ralatnya pun... sekadar rasa tak syok je... ;) Apa nak buat, demi tugas dan tanggungjawab... SYMP...


Namun, saya buat sehabis baik. Hari ni, saya berjaya membuatkan anak2 saya (Hajar dan Asma') gembira bila saya dan isteri belikan sepasang telekung solat untuk mereka... Huhu, seronok tak kepalang. Harapan saya dan isteri, anak2 kami akan rajin solat, jadi anak2 yang soleh dan solehah... Ameen, InsyaAllah...


Thursday, May 26, 2011

Sistem Pengurusan Pembelajaran

Assalamualaikum,

Entry kali ni, saya cuma nak berkongsi satu portal 'Sistem Pengurusan Pembelajaran' yang diurus selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Apa yang dimaklumkan, portal ni dah lama wujud, tapi kebanyakan guru masih tidak tahu mengenainya.

Kami pun cuma tahu semasa Mesyuarat Pemurniaan Bahan Kursus KSSR dan Dokumen Standard Tahun 2 PI baru2 ni. Jika sesiapa yang nak guna dalam proses p&p, memang bagus.

Portal ni ada semua matapelajaran, dari peringkat Pra Sekolah sehinggalah Sekolah Menengah. InsyaAllah dapat membantu sebagai bahan pengajaran yang interaktif.

Mungkin cabarannya:

1) Ia pembelajaran online, jadi pastikan di sekolah mempunyai 'line' yang pantas seperti UniFi or apa2 je. Kalau line schoolnet yang slow... susah la sikit... ;)

2) Tak semua tajuk ada dalam portal ni. Saya cuma sempat 'run' bab Pendidikan Islam je lah. Kalau rajin, sila la explore portal ni, memang menarik la, InsyaAllah...

Kalau perisian ini boleh dimuat turun, baik juga, boleh guna secara offline. Tidak mengganggu proses pnp, nak tunggu respon yang lama...

Sila klik di sini untuk ke portal tersebut, atau terus ke http://spp.moe.edu.my/

Laman Utama (home) portal tersebut


Contoh paparan: Pendidikan Islam Tahun 3, Tajuk Beriman Kepada Hari Akhirat



dalam portal ni, ada Slot Pengenalan, Pengajaran dan Aktiviti mengikut aras 1-3. Jadi, sesekali gunakan portal ni masa mengajar semester depan, lepas buka cuti, pasti murid2 teruja... InsyaAllah...

Selamat Bercuti...

Popular Posts