Sunday, May 31, 2009

Kelantan yang kurindui

Salam...

Sudah hampir enam bulan. Lama betul tak balik kampung. Perasaan gumbira tak terkata, walaupun perjalanan biasanya memakan masa 8-9 jam... Lagi la lama kalau banyak tempat yang kami singgah, menyelesaikan 'urusan' anak-anak.

Kami bertolak seawal jam 4.30 pagi. Malam tadi tidur jam 11 malam selepas menerima kunjungan terakhir daripada Ustaz Nazri Chik dan isteri Dr. Maisarah Mansor bersama puteri mereka Najiyya yang comel. Mereka sampai di teratak kami jam 9 mlm lebih kurang. Tak sangka sampai jugak senior saya ke sini. Dah lama tak jumpa dan berbual-bual macam malam tadi.

Apa pun, terima kasih banyak-banyak kepada Ustaz Nazri dan Dr. Mai kerana sudi singgah jumpa Asma'... shukran atas hadiah-hadiah iringan yang dibawa bersama. Ralat la pulak tak sempat nak 'snap' gambar kenangan... mungkin lain kali yer.

Saya bersiap jam 3.30 pagi. Anak-anak pun bangun sama. Selesai bersiap jam 4.15 pagi, 15 minit kemudian, kami bertolak melalui Highway KESAS. Alhamdulillah, tidak banyak kereta menyusuri jalanraya. Tak seperti dijangka.

Solat Subuh di Hentian Petronas berhampiran Dusun Eco Resort, kemudian meneruskan perjalanan sehinggalah berhenti di Merapoh. Anak-anak bangun bila enjin kereta dimatikan. Bila dah bangun, macam-macam hal la kat belakang tuh...

Kami berhenti untuk brunch (breakfast + lunch) kat RnR Gua Musang jam 9.30 pagi. Sejam kemudian kami meneruskan perjalanan. Menurut kata makcik yang bekerja sebagai tukang cuci di sana, semalam (Sabtu) ramainya manusia tak terkata. Hari ni pulak yang sunyi sepi... Nasib la tak berebut-rebut ngan orang lain... :)

Namun, sepanjang perjalanan ada masalah air cond kereta pulak. Tetiba kuar wap. Rasanya baru jer servis. Alhamdulillah cuaca hari ni tak panas terik. Kata orang kelate 'jo o' . Mendung la tuh. Jadi, tak yah pasang air cond, ambik je 'fresh air.'

Sampai je kat Kuala Krai, saya lihat sudah banyak bendera PAS dan BN yang terpacak. Pilihanraya Kecil Manek Urai akan berlansung Julai nanti. Namun bahangnya sudah dirasai. Mungkinkah bendera 'Kunci', 'Buku' dan 'Payung' akan terpacak juga? Nantikan je lah...

Kami sampai di Kok Lanas jam 12.35 tengah hari selepas bertolak dari RnR Gua Musang jam 10.30 pagi. Shukur, Alhamdulillah... perjalanan kami selamat.


Asma' pada hari keenam...

Sampai juga kami ke negeri kami... Kelantan yang kami rindui. Inilah kali pertama Asma' menjejakkan 'kaki' ke Bumi Serambi Mekah... Alhamdulillah... :)

Thursday, May 28, 2009

Asma'... Hari ke-4

Salam...

4 hari menyepi. Tidak berkesempatan menulis apa-apa kecuali menjawab sapaan dan ucapan tahniah daripada teman-teman pengunjung blog saya ini. Agak sibuk melayan anak-anak, dan menguruskan isteri yang sedang berpantang.

Baru saya tahu, bukan senang mengendalikan urusan rumahtangga sepenuhnya. Fuhh... menitik jugak la peluh jantan ni haa.. Kali ini, tiada mak dan ummi dari kampung yang dapat membantu. Uzur.

Tak mengapa, rasanya takde la susah mana pun. Kata kawan saya "Berani buat, berani tanggung"... Yelah, selagi terdaya, akan saya buat. Nak jaga isteri tengah berpantang tidak semudah yang disangka. Mandi, makan, urut, bengkung dan sebagainya... Perghh... nak ke tak nak... kena belajar buat la, ye tak?

Kepada teman yang merakamkan ucapan tahniah sama ada melalui emel, shoutmix dan SMS, Jazakallah Khairal Jaza' kepada semua. Semoga doa yang dipohon, termaqbul hendaknya, Ameen.

Namun ada yang merisaukan saya. Kekadang bimbang ada juga. Ada beberapa perkara yang mengganggu.

Kertas Bahasa Arab telah berlalu. Namun skrip jawapan masih belum saya ambil di sekolah. Saya cuba menghubungi sahabat di sekolah agar menyimpannya untuk saya, sementara saya ke sekolah hari ni (cadangnya lah). Namun sahabat saya memaklumkan hanya ada 2 kelas sahaja (3 M & 3I), satu lagi kelas??? Mana pergi pulak yer.

Saya masih belum berpeluang ke sekolah. Sebabnya?

Anak saya Asma' demam dengan suhu 37.8 darjah celcius. Jururawat Masyarakat yang datang melawat menyarankan saya dan isteri merujuk di Klinik Aneka, Klang. Ada juga tanda-tanda jaundis. Saya akur, namun bimbang tetap ada.

Selepas ujian darah diambil, keputusannya: TSB 222 uml/l. Kata doktor, masih ok namun perlu dibawa untuk pemeriksaan lanjut pada hari Isnin. (Kami bercadang untuk pulang ke Kelantan hari Sabtu atau Ahad...) Namun doktor menasihati agar Asma' dirujuk di klinik atau hospital di kampung nanti.

Suhu badan Asma' yang kekadang ok, dan kekadang pula naik menyebabkan kami bertambah risau. Apa yang boleh dibuat, cuma tidak membedung tubuh kecilnya, malah membiarkan dirinya hanya ber'pampers' sahaja. Itu nasihat jururawat.

Kesian Asma'... mungkin sebab cuaca yang agak panas... menyebabkan badannya juga terasa bahangnya.

Saya juga 'terbayang' tugasan di sekolah yang perlu diselesaikan. Agak memberatkan sebab saya adalah Penyelaras. Jadi saya tidak sempat meminta sahabat lain menyelesaikan beberapa perkara sebelum cuti sekolah bermula...

Antaranya:
- Pengisian Data e-Pelaporan j-QAF 2009
- PKSR Bahasa Arab Tahun 5
- KBS Tahun 2 & 3 pada 30 Mei 2009
- Skrip Kalam Jamaie untuk MKQ nanti
- Data Khatam Al-Quran untuk Bulan Mei.

Saya bercadang untuk ke sekolah tengah hari tadi, bagi menyelaraskan beberapa tugasan berkaitan bersama sahabat-sahabat saya di sekolah sejurus selesai membuat pendaftaran kelahiran anak saya di Pejabat Pendaftaran Negara di Klang. Namun, saya terpaksa membatalkan hasrat tersebut selepas isteri memaklumkan badan Asma' agak panas.

Esok (jumaat) saya akan ke sekolah. Mencari dan mendapatkan skrip jawapan Bahasa Arab dan Jawi untuk disemak di kampung nanti. Harap-harapnya ada lah ye. Kalau hilang, susah jugak la saya nanti.

Kepada sahabat-sahabat yang prihatin di SKTM... syukran jaziilan... antum adalah team yang terbaik... :)

Pulang ke kampung? Sama ada perlu ditangguhkan atau diteruskan? Bergantung kepada keadaan Asma'. Jika panas dan jaundis semakin hilang dan keadaanya kian stabil, InsyaAllah kami akan pulang mengikut jadual. Jika tidak, tangguh la jawabnya.

Anakku Asma'... semoga dirimu kuat, tabah, cekal dan kental bak semangat Asma' binti Abu Bakar... InsyaAllah

Monday, May 25, 2009

Anugerah Ilahi

Salam...



Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi. 25 Mei 2009 mencatat satu lagi sejarah buat keluarga kami. Isteri saya telah selamat melahirkan cahaya mata kami yang ketiga dengan selamat. Baby girl. Walaupun diuji dengan 'gimmick' pada minggu lepas, antara nak keluar atau tidak, akhirnya hari ni, bayi kami berjaya juga menjengah dunia...


Saat baru dilahirkan... Alhamdulillah


Isteri saya dimasukkan ke wad kecemasan pada jam 12.35 pagi setelah mengadu 'leaking' (air ketuban pecah) semasa sedang tidur. Saya bergegas bersiap dan menelefon pengasuh anak, untuk menghantar Muazz dan Hajar buat sementara waktu.

Isteri di masukkan ke wad 1D sebelum disorong ke Labour Room. Saya kembali ke rumah untuk mengambil Muazz dan Hajar. Bimbang kalau-kalau mereka menangis, mencari Abi dan Umi. Jam 5.30 pagi, isteri SMS memberitahu baru terbuka 4cm. Saya hanya mampu memohon kepada Allah agar dipermudahkan...

La ilaaha illa anta, Subhanaka Inni Kuntu Minaz Zhoolimin.


Saya sampai di HTAR jam 7.45 pagi. Alhamdulillah, saya bertembung dengan isteri yang sudah bersedia untuk ke Bilik Bersalin. Sempat bermaaf maafan, dan memberi kata-kata semangat kepada isteri.


Sedang berehat setelah penat berjuang

Saya menanti diluar bilik. Seperti biasa, hanya doa yang dipanjatkan. Walaupun ini anak ketiga, gusar dan gundah tetap muncul jua.

Jam 10.00 pagi, isteri disorong keluar daripada bilik bersalin. Alhamdulillah, isteri dan anak kami selamat. Menurut isteri saya, sejurus masuk ke dalam Labour Room jam 7.47 pagi, isteri terus rasa sakit. Anak kami akhirnya lahir jam 7.55 pagi dengan berat 2.8 kg, seperti abang dan kakaknya juga. Bayi perempuan yang sempurna... Alhamdulillah, berkat doa semua, telah dipermudahkan... Alhamdulillah...

Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kami...

Nampak gayanya, dapat la saya menyambung terus cuti. Cuti khas 7 hari dan disambung dengan cuti persekolahan selama 2 minggu... Rezeki, rezeki... Alhamdulillah

Tapi nak kena ambil kertas soalan juga untuk disemak pada waktu cuti nanti...

Pasti Muazz dan Hajar tidak sabar-sabar untuk berjumpa adik mereka...

"Adik... Welcome to our Happy Family...
"

Lagi gambar baby kami, singgah di sini.

Sunday, May 24, 2009

Koleksi Bank Soalan

Salam...

Semasa saya berkursus minggu lepas, kami dimaklumkan bahawa tiada lagi soalan setara daripada Jabatan Pelajaran Selangor. Kata Penolong Pengarah Kanan Teras (Menengah), Ustaz Mazlan Apandi, ketiadaan soalan tersebut bagi mengelakkan isu ketidaksesuaian soalan dengan kondisi sekolah.

Sekolah perlu menyediakan sendiri soalan Peperiksaan Berasaskan Sekolah.

Jadi, bermula tahun ini, soalan setara tidak lagi disediakan. Semua soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan juga Akhir Tahun perlu disediakan sendiri oleh pihak sekolah. Buat je lah, kan? Apa nak dikata?

Cuma pada pertengahan tahun, soalan Bahasa Arab tahun 1 hingga 5 telah disediakan oleh panel penggubal yang dilantik. Dalam blog saya ni, saya upload kan soft copy soalan-soalan tersebut.

Begitu juga koleksi soalan-soalan yang saya ada. Ada yang saya terlibat sebagai penggubal, ada juga yang saya terima daripada sahabat-sahabat. Ada juga yang saya 'sedut' daripada Jurulatih Utama Pendidikan Islam tahun lepas.

Semuanya bermula apabila seorang ustazah j-QAF di PJ, juga sahabat saya di UM dulu meminta saya attach kan set soalan Pendidikan Islam Pertengahan Tahun melalui emel. Rentetan itu, saya merasakan lebih baik saya upload kan set bank soalan yang ada untuk rujukan pengunjung blog saya ni.

Jadi, atas dasar perkongsian pintar, saya akan letakkan beberapa lagi set soalan dalam simpanan saya di dalam blog ni, dari semasa ke semasa, insyaAllah. Yang dah ada, boleh di upload... sila kan lah yer.

Cuma, semua set soalan yang ada adalah himpunan soalan sejak tahun 2005 hingga April 2009. Kalau ada beberapa kesilapan atau kesalahan dari sudut ejaan (typing error), struktur ayat dan sebagainya, harap tuan/puan boleh betulkan ye... sekadar rujukan dan nilai tambah dalam menyediakan soalan...

Kalau ada terjumpa mana-mana blog yang menyediakan Set Soalan (Bank Soalan), boleh la war-warkan juga. Apa salahnya kita berkongsi, ye tak?

Selamat Menanda Kertas... :)

Friday, May 22, 2009

Data e-PELAPORAN j-QAF 2009

Salam...

Teruja saya membaca tajuk entri pada blog Ustaz Nazri tadi. Saya rasa, inilah berita yang ditunggu-tunggu oleh ramai guru j-QAF khususnya guru data.

Saya rasa, berita baik ini perlu diwar-warkan dengan cepat. Jadi, saya copy berita gembira ini daripada blog tersebut.

Menurut maklumat daripada sahabat saya yang sama-sama mengikuti Mesyuarat Penyelarasan Data j-QAF di KL International Hotel pada 19-21 Mei 2009 baru-baru ini, mulai tahun ini, CD data tidak lagi dibekalkan. Cuma perlu sedut ke dalam thumbdrive je.


Mesyuarat data peringkat JPN dan PPD mungkin akan bermula minggu hadapan. Tunggu saja lah. Namun, kalau ada sahabat yang nak mula cepat, boleh muat turun dari blog j-QAF Melaka. Tapi kalau nak tunggu surat panggilan dari JPN atau PPD, takde masalah... ;)

Bimbang kalau-kalau ada apa-apa perubahan dalam data tersebut... mana lah tahu kan? Tapi sahabat-sahabat boleh rujuk dalam blog j-QAF Melaka tu dulu yer...



Selamat mengisi data... jangan demam udah la yer...

Guru Idola 2009

Salam...

Hari ni, Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat SK Telok Menegon. Yang pasti, sejak semalam saya tidak seceria sebelum ini menyambut hari bermakna yang hanya datang sekali setahun. Entah lah, saya kurang pasti kenapa.

Sejak minggu lalu, saya kurang menyinggah di 'bilik gerakan' iaitu Bilik j-QAF. Ada sesuatu yang 'menghalang' saya. Saya banyak menghabiskan masa di Makmal Komputer, Pusat Sumber dan Bilik Guru sahaja.

Seperti biasa, majlis dimulakan dengan ucapan wakil murid, ucapan Guru Besar, perutusan khas KPPM dan perutusan khas Menteri Pelajaran.

Disusuli pula dengan nyanyian Lagu Guru Malaysia dan Lagu Tema "Guru Pembina Negara Bangsa". Murid-murid apa lagi, setahun sekali dengar semua guru menyanyi, gegak gempita sorakan dan gemuruh tepukan yang diberi... terima kasih.

Kemudian, seperti tahun-tahun lalu juga, diadakan undian untuk Anugerah Guru Idola 2009. Saya tidak pernah 'tergelar' mana-mana anugerah sebelum ini. Kurang popular agaknya... hehehe.

Masing-masing tergelak mendengar pantun dari Pengerusi Majlis sebelum pengumuman Pemenang Anugerah:

Membeli parabot di Pandamaran,
Singgah makan di Tanjung Harapan,
Anugerah Idola bukanlah sandaran,
Namun dalam hati, tahun ni, moga-moga ada la harapan...

Namun pada tahun ini, daripada 4 kategori untuk setiap sesi (sesi pagi dan petang, guru lelaki dan perempuan), saya tercalon dalam 3 kategori (3 undian tertinggi)... hehe, tersenyum sendiri je lah.

Kategori yang tercalon ialah "Guru Lelaki Paling Ceria", "Guru Lelaki Penampilan Menarik" dan "Guru Lelaki Paling Kemas". Saya cuma tidak tercalon untuk "Guru Lelaki Paling Tegas" sedangkan saya agak "garang" di dalam kelas... hmmm

Akhirnya, nama saya diumumkan sebagai "Guru Paling Kemas 2009 - Guru Lelaki Sesi Petang". Alhamdulillah, terima kasih kepada semua murid yang memberikan penghargaan buat saya. Kredit juga buat isteri saya yang rajin menggosok dan menyeterika baju saya sebelum ke sekolah. Itulah yang menyebabkan saya kelihatan kemas, mungkin... huhu

Terima kasih anak-anakku... Minggu hadapan adalah minggu penentuan untuk semester pertama. Menguji tahap kefahaman dan penguasaan murid-murid. Semoga kalian dapat melakukan yang terbaik...

Semoga Berjaya Dengan Cemerlang!!!

(Panorama sekitar Hari Guru akan di muat naik nanti... Tak sempat nak transfer lagi... Tungguuuu yerr) :)

Wednesday, May 20, 2009

Ujian Jawi 6 Bulan Pertama

Salam...

Minggu depan, bermula peperiksaan pertengahan tahun. Mungkin kebanyakan sekolah akan terlibat. Atau mungkin ada sesetengah sekolah yang telah pun menjalankan peperiksaan tersebut. Apa pun, lepas selesai je periksa, tugas kita ialah menanda kertas la pulak, ye tak?

Hari ni, kami di sekolah selesai menjalankan Ujian Pencapaian Jawi Enam Bulan Pertama kepada murid Tahun 1 sehingga Tahun 5. Mengikut jadual, matapelajaran jawi tidak diletakkan dalam jadual umum. Jadi, kami mengambil keputusan melaksanakan ujian tersebut minggu ini sahaja.

Mungkin kebanyakan sekolah masih belum menerima set ujian bagi Ujian Pencapaian Jawi bagi tahun 5, kan? Saya pernah bertanyakan masalah ini kepada Penyelia j-QAF PPD, dan ustaz menyarankan agar saya menyediakan sendiri soalan tersebut.

Jadi, atas arahan, saya pun meminta sahabat saya yang mengajar Tahun 5 untuk menyediakan soalan jawi tersebut.

Namun, semasa saya menghadiri Mesyuarat Pembinaan Instrumen Pertandingan Bilik j-QAF pada Isnin lalu, Penolong Pengarah Kanan j-QAF, JPS, Ustaz Wan Yusof Wan Sulong telah memberikan CD yang berisi set soalan bagi Ujian Jawi 6 Bulan Pertama dan Kedua untuk Tahun 5.

Nasib baik soalan yang sahabat saya buat masih belum di riso, jadi kami bersetuju menggunakan soalan dari KPM tersebut walaupun aras yang ditanya mungkin agak rendah.

Rasanya, masih banyak sekolah yang belum menerima set soalan tersebut. Saya pun belum berkesempatan untuk upload soalan jawi tu dalam blog saya ni.

Kepada mana-mana sekolah yang masih belum menyediakan Soalan Jawi Tahun 5, boleh di muat turun di sini atau klik pada link di sidebar 'Muat Turun'.

Tapi kalau mana sekolah dah buat soalan sendiri, dan sudah pun diriso, jalan je... tak pe.

Cuma markah bagi Ujian Jawi akan dimasukkan ke dalam e-Laporan yang akan dibekalkan pada masa terdekat, mungkin... bila? Saya pun tak pasti...

Selamat menanda kertas dan Selamat bercuti 2 minggu lagi... :)

Tuesday, May 19, 2009

2011: j-QAF di SMK

Salam...

Semalam (18 Mei 2009), saya mengikuti Mesyuarat Pembinaan Instrumen Pertandingan Bilik j-QAF Negeri Selangor anjuran JPS.

Dalam mesyuarat tersebut, dimaklumkan juga bahawa pada tahun 2011, pelaksanaan j-QAF akan diperluaskan ke SMK. Justeru, semua kohort 2005 dan 2006 berkemungkinan sama ada diWAJIBKAN atau PILIHAN, akan ditempatkan semula ke SMK bagi mengisi kekosongan jawatan Guru Pendidikan Islam j-QAF di sana.

Kepada sahabat-sahabat kohort 2005 dan 2006, bersedia lah untuk ke alam menengah pada tahun 2011 nanti.

Selain itu, kami dimaklumkan juga bahawa proses pengambilan j-QAF dan KPLI pada bulan Jun (Khas) telah pun selesai. Kemasukan ke sekolah dan maktab terpilih adalah pada pertengahan Jun nanti, atau awal Julai.

Manakala pengambilan KPLI dan j-QAF untuk Ambilan Januari 2010 pula, permohonan akan dibuka pada September 2009 nanti. Jangan terlepas peluang pula yer...

Selamat Hari Guru...kepada semua pendidik!!!

Wad vs PTK

Salam...

WAD

Tiga hari berkampung di wad 1D, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Walaupun isteri mengalami contraction yang kerap, namun masih belum ada tanda-tanda akan bersalin. Jalannya belum terbuka. Jadi, isteri dipantau selama tiga hari.

Semalam, dah boleh discharge. Mengikut due, 9 Jun. Namun doktor pakar minta bersedia je. Bila-bila masa je baby akan keluar. Lepas je isteri maklumkan jarak rumah dengan hospital dekat je, baru doktor bagi keluar wad.

Layanan di wad 1D, memang 1st class, sebab wad tu memang wad kelas pertama. Cukup berbeza dengan wad 1A, tempat mula-mula isteri di warded kan. Sebab masa tu, wad 1D penuh, occupied.

Apa bezanya?

Banyak, katil cuma 4. Air-conditioned, makanan pun best, layanan pun bagus, makan 6 kali sehari dan selesa sangat.

Wad kelas 3? Penuh sangat, sesak. Panas, makanan ok, cuma layanan nurse agak biasa. Layan tak layan jer... Beza keramah tamahannya...

Nasib saya ada GL. Duduk 1st class pun bayar tak mahal. Berbanding orang awam tanpa GL. Nak masuk pun deposit dekat RM800. RM50 satu malam. Syukur alhamdulillah.

Namun apa yang saya terkilan dan kesalkan, bagai ada perbezaan dalam layanan antara wad kelas 3 dan kelas 1.

Kenapa? Kenapa?

===

PTK

Bulan Mac lepas, kali kedua saya amik exam ni. Kali pertama bulan Ogos 2008. Keputusan yang saya dapat Umum 3, Khusus 3. Alhamdulillah, semalam semak via SMS... Umum 3, Khusus 4. Bulan Ogos nanti amik Umum je la. Tu pun kalau PTK ni masih relevan untuk dilaksanakan.

Kepada semua warga pendidik, hargai lah masa yang ada. Penuhi tanggungjawab dan amanah yang dipikul sebaiknya..


Saturday, May 16, 2009

Hadiah Hari Guru?

Sejak malam tadi, isteri mengadu sakit. Katanya, tak nak ke hospital selagi air ketuban belum keluar. Saya mengikut sahaja. Pengalaman dua orang anak sebelum ni, menyebabkan isteri berkeras tidak mahu 'menginap' lama di hospital.

Namun, pagi ni... contraction datang sekejap-sekejap. Saya tak sanggup melihat isteri kesakitan lagi. Saya packing barang anak-anak untuk dihantar ke rumah pengasuh.

Isteri minta nak baca Surah Maryam sekejap sebelum ke hospital. Saat mencemaskan datang lagi. Akan bermula lagi episod baru dalam hidup kami.

Doakan kami... moga isteri saya dan anak kami akan selamat.

Mungkinkah ini HADIAH yang akan saya terima sempena HARI GURU tahun ini?

Syukur Alhamdulillah... hadiah yang bergitu bermakna.

Friday, May 15, 2009

Terima Kasih, Cikgu

Salam...


Setiap hari, kita menghitung masa. Tugas dan tanggungjawab yang terlaksana menjadi tanda tanya. Amanah mendidik mengenal dan cintakan Al-Quran. Menjadi pendamping pada bila-bila masa...

Semoga amanah yang dilaksanakan, diredhai dan dirahmati... InsyaAllah

Kepada semua insan bergelar pendidik, guru, tutor, pensyarah yang telah mendidik diri ini, JazakaLlah...

Kepada semua sahabat seperjuangan...



Banner Khat yang diambil daripada penakhat


SMS menarik yang saya terima - ucapan Hari Guru:

1- Nawawi:

Jadilah seorang guru yang hadirnya di TUNGGU, hilangnya di RINDU, ilmunya di BURU, nasihatnya di SERU, tingkahlakunya di TIRU

2- Haslindan

Guru at 20... mengancam, at 30... bermacam-macam, at 40... terancam, at 58... diancam, at 60... dah tak boleh nak cam

3- Kak Zarina:

A teacher's achievements is not how many'A's or 'B's he produces BUT hoe many lives he changes and how many hearts he touches. Happy Teacher's Day

4- Kak Shimah

Mu'az berkata: Pelajarilah ilmu pengetahuan kerana mempelajarinya kerana ALLAH adalah tanda TAKUT kepadaNya, menuntutnya adalah IBADAH, menelaahnya adalah TASBIH, mencarinya adalah JIHAD, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah SEDEKAH, memberikannya kepada ahlinya adalah KEBAKTIAN...
5- Nazib

Hidup dipagari dengan jatidiri, Ilmu penuh didada sebagai pedoman untuk lahirkan Modal Insan Tonggak Negara Bangsa- Guru Pembina Negara Bangsa

Terima Kasih, Cikgu!!!


Thursday, May 14, 2009

Transformasi Kurikulum

Salam...

Bilik 202
Hotel Seri Malaysia, Bagan lalang.
13 Mei 2009
10.45 malam

Jam 5.00 petang saya tiba di perkarangan Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang bersama teman dari Kuala Selangor. Kami bertolak jam 3.00 petang dari Klang. Hampir 2 jam perjalanan kami menaiki Exora barunya. Lamanya kan? Actually, silap jalan... asyik bersembang, tersilap masuk jalan. Nak dekat, jadi jauh. Apa nak buat...

Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang

Setibanya di lobi hotel, saya mendaftar. Kelihatan beberapa batang tubuh yang biasa ketemu, namun ada juga muka baru. Kebanyakannya guru senior yang berpengalaman.

Jam 8.30 malam, bermula sesi taklimat. Ustaz Saiful Kahar selaku urusetia menerangkan pengisian dan atur cara yang bakal berlangsung selama 3H 2M di sini.

Rupanya, semua peserta yang hadir akan berbengkel. Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah. KBSR kepada KSSR. Apa benda tuh?

14 Mei 2009 (Khamis)
6.45 pagi

Bermula pagi ini, para peserta akan berbengkel. Peserta yang hadir adalah daripada pelbagai latarbelakang pengalaman dalam bidang pendidikan. Antaranya, GPI di sekolah biasa (SK), Guru Cemerlang, GPI SKJT, GPI SKJC, GPI SK (Asli) wakil PPD dan juga GPI Program j-QAF.

Kursus pentaksiran ini sebenarnya sebagai persediaan terhadap standard kurikulum yang akan dilaksanakan pada 2010. Selepas taklimat dan 'brainstorming' diberikan semalam, saya baru 'nampak', apa yang akan saya harungi sehingga esok.

Sebelum usai malam tadi, kami diagihkan kepada 6 kumpulan. Dalam setiap kumpulan terdiri daripada pelbagai latarbelakang. GPI j-QAF yang hadir seramai 6 orang, diserap ke dalam kumpulan berasingan.

14 Mei 2009
6.05 petang

Perbincangan dalam bengkel tadi begitu hangat. Walaupun dalam bilik seminar yang dingin.

Semua kumpulan di minta menyediakan satu mekanisme pentaksiran yang relevan untuk digunakan kepada semua murid tahun 1 pada tahun 2010 nanti.

Ini berikutan timbulnya masalah pertindanan atau 'overlap' dalam mengisi pentaksiran PAFA dan juga Kem Bestari Solat. Data dalam e-laporan yang diisi, masih perlu diisi dalam buku PAFA. Bukankah itu membanyakkan tugas?

Selain itu, kaedah pentaksiran yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan juga lebih menjurus kepada PBS (Penilaian Berasaskan Sekolah) yang telah menekankan aspek teori, amali dan kerja kursus.

Bergambar bersama Ustaz Zukhairi


Melalui perbincangan juga, mulai tahun hadapan, (insyaAllah), kemungkinan apabila Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), PKSR (Ujian Penilaian)hanya akan melibatkan 30% daripada markah keseluruhan sahaja, manakala 70% markah lagi akan melibatkan PBS tadi.

Perubahan lain yang akan berlaku ialah, Penilaian Pendidikan Islam khususnya PAFA dalam UPSR akan diberikan standard LULUS dengan BAND. Seperti ujian MUET. Band 1 hingga Band 6. Ini akan memudahkan guru di sekolah menengah mengetahui tahap sebenar murid yang LULUS (wajib LULUS) dalam UPSR.

Kajian dan perbincangan masih hangat dikalangan Lembaga Peperiksaan yang akan menyediakan kaedah terhadap pertindihan kerja yang berlaku.

Sesi bengkel petang ini sudah selesai. Malam ini akan dibentangkan semua hasil perbincangan dan proses pemurnian terhadap pentaksiran yang dicadangkan.

Bagaimanakah pentaksiran baru Pendidikan Islam yang akan (masih belum gazet) dilaksanakan pada 2010 nanti? Kita nantikan...

15 Mei 2009
12.30 pagi

Segala perbincangan dan bengkel telah selesai malam tadi. Perbincangan menjurus kepada mencari jalan penyelesaian bagi memudahkan tugasan guru dengan erti kata lain, meminimakan tugasan merekodkan data yang sepatutnya.

Pengisian data PAFA dan e-PELAPORAN, perkara yang hampir sama, namun dilakukan pada rekod yang berbeza. Ini menyebabkan guru akan melakukan kerja yang sama.

Proses pemurnian borang dan instrumen yang telah dibentangkan bakal memudahkan kerja. Harap-harap lah ye. Kepada GPI, kita perlu bersedia dengan perubahan yang bakal berlaku. Semuanya pada tahun 2010.

Dalam kursus ini juga, kami dimaklumkan program j-QAF ini akan diteruskan ke peringkat menengah pada tahun 2011. Namun, segala model yang akan dilaksanakan bersifat lebih advance dan merupakan penambahbaikan terhadap j-QAF yang telah terlaksana.

Ini kerana, jika model yang sama dilaksanakan, ini menunjukkan program j-QAF tidak berjaya!!!

Yang penting sekali, sama-sama kita pastikan, objektif dan matlamat pelaksanaan j-QAF akan tercapai. Tahun 2010 juga, semuanya akan terlihat hasilnya.

Thursday, May 07, 2009

Cerita Bulan Mei... suka dan duka

Salam...

Hari ni, 7 Mei 2009. Seingat saya, banyak perkara berlaku dalam bulan Mei. Bermula dengan Hari Pekerja pada 1 Mei, kemudian Hari Ibu, Hari Guru 16 Mei, Hari Jururawat, Hari Setiausaha dan macam-macam lagi. Hatta 13 Mei pun masih segar dalam ingatan...

Bagi saya, Bulan Mei yang istimewanya hanya tiga.

Pertama: Anak sulung saya, Ahmad Muazz lahir pada 5 Mei 2006 (05.05.06).

Kedua: Arwah abah, menyambut kelahiran pada setiap 7 Mei.

Ketiga: Semestinya Hari Guru... hari untuk semua pendidik, tak kira guru tadika, guru pra, guru biasa, tutor mahupun pensyarah...

SELAMAT HARI ULANGTAHUN, ABAH...

Kenangan Abah dan Ummi memangku Afrina, Muazz dan Najihah


Namun entri kali ni, saya nak dedikasikan sesuatu sempena tarikh 7 Mei...

Baru dua hari lepas, ulangtahun ke3 anak sulung saya. Saya tidak meraikan dengan jamuan, parti atau potong kek. Saya cuma menyambutnya biasa saja.

Tengah hari tadi, semasa sedang memandu ke sekolah saya terfikir-fikir kaitan satu peristiwa dengan hari ini. Tiba-tiba ingatan tertumpu pada arwah abah.

Biasanya, kami adik-beradik (6 orang) sangat alert dengan ulangtahun kelahiran masing-masing termasuk abah dan ummi. Ya, hari ini, ulangtahun kelahiran abah...

Biasanya, pada malam ulang tahun atau awal paginya... kami akan dapat SMS atau panggilan telefon ucapan tahniah dan iringan doa...

Namun kali ini, tiada lagi ungkapan ucap selamat untuk Ulangtahun Abah. Kalau dihitung, usia abah kini sudah 69 tahun. Sudah 2 tahun ucapan itu tidak dapat dilafazkan. Hanya disimpan jauh disudut hati kami. Sesekali ingatan terhadap abah begitu mendalam...


Kenangan hari raya 2005. Tiada dalam gambar, Angah dan Achik. Angah di Mesir dan Achik jd jurufoto gambar ni.

Saya cuba mengingat... apakah hadiah istimewa untuk abah setiap hari ulangtahunnya?

Apa yang saya ingat hingga kini, setiapkali saya telefon untuk ucapkan 'Selamat Hari Lahir, Abah...', abah akan diam seketika, kadang-kadang agak lama... membisu. Lalu dari corong telefon, kedengaran esakan halus... abah sebak, menangis rupanya... Abah cuba menahan sebak.

Hati seorang tua. Cukup sensitif. Mungkin gembira kerana anak-anak mengingati hari lahirnya. Saya andaikan. Mungkin.

Ingatan buat abah kian segar. Apatahlagi bila membaca nukilan adik ti dan adik ha sebentar tadi. Sebagai hadiah untuk ulangtahun abah, tiada yang berharga. Cuma doa yang mampu saya diiringkan.

Usai solat Maghrib sebentar tadi, saya hadiahkan abah bacaan Al-Fatihah, Yaasin dan Doa. Hanya itu sahaja hadiah yang abah dambakan, kini. Bukan lagi baju Melayu, jubah, jam tangan atau serban.

Kini, hanya Ummi tempat memadu kasih, tempat bermanja.

Kala sedih, ummi ku ceritakan segalanya...
Kala susah, ummi tempat ku mengadu...

Tiapkali tiba hari peperiksaan, tak kira besar atau kecil... ummi akan dihubungi... minta didoakan ketenangan anaknya ini.

Jadi, saya cuba berazam untuk sentiasa menghubungi ummi yang hanya bertemankan rindu dan sepi. Tak sabar menanti cuti sekolah. Tak sabar bertemu mata. Ingin kupeluk tubuh itu, seolah tubuh abah masih bertaut sama.

Ya Allah... ampunilah segala dosaku selama ini pada abah...

Abah... kami merinduimu... amat merindui...

Wednesday, May 06, 2009

I've lost my teeth

Alhamdulillah, segala kesakitan yang dialami sejak hari Ahad yang lalu telah berakhir.

Selepas insiden bermata empat telah selesai, datang lagi ujian seterusnya... sakit gigi!!!

Kata orang, sakit gigi ni, lebih menderita daripada sakit nak bersalin... saya pun tak pasti sebab tidak pernah mengalaminya.

Namun bila diajukan kepada isteri, dia mengiyakan. Lebih rela sakit bersalin daripada derita sakit gigi berpanjangan.

Gigi ni, nikmat Allah yang amat hebat. Mampu mengoyak makanan selumat-lumatnya. Namun, saya telah kehilangan nikmat itu. Gigi geraham saya telah dengan relanya dicabut tepat jam 9.32 minit pagi tadi.

Tak mampu lagi saya menanggung derita. Paling melemahkan saya, bila diuji dengan denyutan yang kuat pada gusi bahagian gigi yang berlubang itu. Wah... nak mengajar pun seksa. Nak bercakap pun tersekat.

Usai solat Asar semalam, sempat berbual dengan seorang rakan. Dia juga pernah cabut gigi geraham. Saya membayangkan bagaimana panjangnya akar gigi itu untuk dikeluarkan.

Gigi sahabat saya tadi pada awalnya hanya sedikit berlubang, tapi bila dicabut, giginya pecah. Doktor mencadangkan agar dibuat minor surgery... waduh... nak bedah gusi tuh... lagi la saya cuak.

Rasanya last time pergi jumpa dentist masa belajar di UM dulu. Tu pun jadi patient kepada seorang rakan, doktor gigi pelatih di sana. Dr. Mai namanya. Sebabnya, student dental kena cari pesakit untuk dijadikan bahan praktikal. Jadi, saya dengan rela hati, jadi patient nya...


Lepas tu, memang trauma nak pergi klinik gigi.

Tapi memandangkan kesakitan yang dialami malam tadi cukup menyeksakan, saya terpaksa memberanikan diri ke Klinik Anika di sini.

Dup dup dup... Allah sahaja yang tahu. Tapi bila difikirkan sakitnya lagi kalau di'simpan' gigi itu, maka saya terpaksa akur... hanya mencabut gigi geraham.

Terkejut saya melihat gigi geraham yang dicabut. Memang panjang struktur akarnya... Sakit? Memang sakit. Kebas bius pun baru sahaja hilang.

Nikmat yang perlu dijaga. Saya pernah ke klinik swasta sewaktu bekerja sambil belajar dahulu. Dr. Saidah nama pemiliknya. Katanya, kalau sebatang gigi itu masih boleh diselamatkan, dia tidak akan sesekali mencabutnya. Jadi, dia telah membuat rawatan 'canal' pada gigi hadapan geraham saya. Sampai sekarang, gigi tersebut masih elok.

InsyaAllah, selepas ini saya akan cuba berusaha menjaga nikmat Allah yang amat berguna ini. Yang paling saya bershukur, sakit gigi saya telah hilang! Alhamdulillah... saya boleh menjalankan rutin saya seperti biasa...

Monday, May 04, 2009

Kursus bermula...?

Salam...

Sedang saya mengajar Al-Quran pada hari Khamis lepas, tiba-tiba telefon saya berdering...

Telefon... telefon berbunyi... wonderpet kami datang...

"Ustaz... boleh naik ke pejabat sekejap tak? Ada surat kursus"

Kerani sekolah memulakan bicara sejurus saya meminta murid saya berhenti membaca al-Quran buat seketika.

"Kursus apa ye?"saya mula meneka sekaligus bertanya kepadanya.

Setelah kelas berakhir, saya ke pejabat mengambil surat seperti diarahkan.

Tertera surat daripada JPS : Kursus Pentaksiran Pendidikan Islam KBSR pada 13 - 15 Mei 2009 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang.

Saya mula terlibat dengan kursus Pendidikan Islam, tahun lalu. Saya telah diamanahkan sebagai Jurulatih Utama Pendidikan Islam KBSR selain sebagai Jurulatih Utama Pendidikan Islam Program j-QAF.

Tugas yang merupakan amanah yang amat berat. Saya telah cuba menolak. Saya rasa tidak mampu untuk memikul dua tugas yang memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi.

Saya cuba berbincang dengan Penolong Pengarah JPS Bahagian Teras untuk menolak tawaran sebagai JU Pendidikan Islam memandangkan jadual kursus Pendidikan Islam dan Pemantapan j-QAF yang akan berturut-turut pada waktu itu.

Komitmen saya mula terganggu di sekolah bermula bulan Julai 2008.

Bermula dengan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Daerah dan Negeri, seterusnya bermula Kursus Pemantapan j-QAF dan Pendidikan Islam dan disusuli dengan Mukhayyam Bahasa Arab Negeri Selangor.

Jadi, ada banyak suara di sekolah yang merungut dan bersungut. Malah ada rakan setugas yang memaklumkan, bahawa SKT atau prestasi saya untuk tahun tersebut kemungkinan besar akan merosot kerana kerap keluar berkursus atau dalam erti kata yang sebenarnya, memberi kursus atau input kepada guru lain.

Saya menerimanya secara positif. Saya cuba mohon nasihat daripada JU sekolah yang berpengalaman.

Itu kisah tahun lalu. Saya tidak pasti pula tahun 2009 ini bagaimana keadaannya.

Saya cuba mengagak kemungkinan kursus kali ini turut dilibatkan Guru Pendidikan Islam program j-QAF demi mencapai kata sepakat atau mengurangkan jurang yang ada. Ya, jurang antara GPI dan GPI j-QAF sepertimana yang telah diwar-warkan semasa kursus sepanjang tahun 2008.

Mungkin ini jalannya atau caranya. Biarkan kubu atau tembok pemisah yang ada, diruntuhkan segera. Itu yang terbaik, bukan?

Kursus Pentaksiran Pendidikan Islam KBSR yang bakal saya hadiri ini akan merungkai segalanya nanti. Semoga persepakatan yang diambil akan menatijahkan suatu yang bererti kepada dunia pendidikan.

Sebentar tadi, menerima SMS daripada seorang sahabat yang juga merupakan JU di sini. Dia juga terpilih mengikuti kursus yang sama. Alhamdulillah, nanti kita jumpa di Bagan Lalang...

Namun, terdetik dalam hati, tarikh kursus agak hampir dengan due isteri untuk bersalin. Saya cuba menghitung sendiri. Moga Allah memudahkan segala urusan saya dan keluarga nanti...

Popular Posts