Friday, July 23, 2010

"Menyesal???... tak guna dah!!!"

Salam...

Dalam sesi pembentangan bengkel pada hari terakhir, saya tertarik dengan pembentangan yang dimulakan dengan sebuah cerita. Ingin saya kongsikan cerita tersebut mengikut fahaman saya, genre saya... tidak 100% cerita asal.

======

Dalam sebuah syarikat, ada seorang pekerja yang berdedikasi. Pekerja yang disayangi, kerana kerja yang dihasilkan bermutu tinggi. Seorang tukang rumah yang teliti kerjanya, puas hati hasilnya. Rumah yang dihasilkan, membanggakan majikannya.

Suatu hari, pekerja tersebut yang sudah lewat usianya mengambil keputusan untuk berhenti. Keputusan yang sudah pasti mengejutkan majikannya. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, pekerja tersebut bertemu dengan majikannya untuk menyatakan rasa isi hatinya.

Setelah selesai hasrat dituturkan, alangkah terkejutnya si majikan. Berkali2 memohon pekerja yang begitu disenangi dan dihormati itu untuk menarik balik hasratnya.

"Pakcik, pertimbangkanlah semula keputusan itu..." pinta dan rayu si majikan.

Namun, usaha majikan tersebut berbuah kegagalan. Tidak mampu menahan hasrat pekerjanya itu.


Pekerja itu perlahan-lahan mengatur langkah meninggalkan pejabat. Tiba-tiba, majikannya memanggil.

"Pakcik, kalau boleh sebelum pakcik berhenti dan meninggalkan syarikat ini, saya ada satu permintaan.

Bolehkah kiranya pakcik membina sebuah rumah dengan keluasan yang pakcik sendiri tetapkan. Gunakanlah segala material yang ada untuk membina rumah tersebut. Barangkali, itulah hasil kerja pakcik yang terakhir untuk syarikat ini." jelas majikannya.

Pekerja tersebut menerima tugas terakhirnya dengan paksa rela. Tidak seperti apa yang dilakukan sebelum ini.

Segala bahan yang digunakan tidak sesempurna dulu. Bancuhan simen, pendawaian, lantai rumah dan segalanya dibina sekadar menyiapkan tugasan terakhir. Hanya dia sahaja yang tahu apa yg dia gunakan. Kerana dia seorang yang menyiapkannya.

"Aku nak berhenti pun, diberi kerja juga... majikan apa ni?" keluh pakcik itu.

Kerjanya tak seindah dulu, kerana bersama kerjanya, hati yang marah, geram dan sakit. Jadi kerjanya tidak sebaik dulu.

"Buat je rumah ni, asal siap..." getusnya sendiri.

Cukup masa yang sepatutnya, siaplah rumah terakhir yang dibangunkannya.

Hari terakhir yang begitu menyentuh hati. Pekerja tersebut menyerahkan kunci rumah yang baru siap didirikannya tadi kepada majikan. Dengan perasaan yang tidak senang, marah dan mungkin juga benci.

"Terima kasih, pakcik. Akhirnya siap juga rumah itu. Kerja terakhir pakcik untuk syarikat kami. Beginilah pakcik, sebenarnya tiada apa yang dapat saya berikan kepada pakcik sebagai menghargai jasa baik pakcik selama ini. Besarnya jasa itu kepada kami.

Untuk itu, ambillah semula kunci ini dan anggaplah rumah yang pakcik dirikan itu sebagai hadiah dari kami untuk pakcik sekeluarga. Saya tahu, pakcik telah membinanya dengan bahan yang baik seperti hasil kerja sebelum ini."

Tersentak pekerja itu. Tidak disangka rumah terakhir yang dibinanya sekadar memenuhi hasrat majikan, menggunakan bahan yang murah, tidak berkualiti itu... akhirnya menjadi miliknya.

Sesalan mula bercambah dalam hati. Tiada gunanya lagi... rumah yang dibina atas dasar marah dan cincai tadi, kini telah menjadi miliknya.

Pengajaran...

Mungkin,... inilah bezanya jika kerja yang dilakukan atas dasar untuk kepentingan diri sendiri dan juga kepentingan orang lain.

Kerja dalam keadaan tenang, pasti bagus hasilnya.

Namun kerja dalam keadaan marah, benci dan dendam... pasti musnah segalanya... kita di mana? Sama-sama kita fikir-fikirkan...


Bikin Panas Badan... Bau 'Harum' 1Dewan...

Salam...

Selama 3 hari di Bagan Lalang, kami mengambil kesempatan 'merayau-rayau' cari ketenangan dan menghilangkan sisa-sisa 'lemak tepu' yang bersarang dalam kepala...

Lokasinya, di Kg. Tali Air, Kuala Langat. Melalui Kg. Batu Laut, Kg. Endah, Tanjung Sepat. Sungguh Indah suasana kampung. Damai dan menenangkan...

Terima kasih banyak buat Syeikh Ashari Jumingan yang menjadi tourist guide dan belanja makan durian. Habis sebakul durian, pergi pulak ke kedai makan utk makan malam (melepas makan kat hotel... )


Durian ditimbang sebelum makan... hampir 16.2 kg. Mak oii... banyak tuh. Tapi takpe, bukan 1mulut yang makan, tapi 6 mulut... ;)


Sampai biji durian pun digigitnya... ;)...


Aksi makan durian... dari atas, Tn. Syeikh Hazri, YM Tn Syeikh Afendi, Tn. Syeikh Hisyam. Bawah kiri, Syeikh Ashari (tuan kampung)... terima kasih syeikh... dan Syeikh Ikmal... habis sebakul durian, pakat menyandar mencari posisi yang seselesa mungkin dalam kereta...



Alhamdulillah, takde la panas sangat badan lepas makan durian ni, cuma berpeluh sebab malamnya nak kena bentangkan hasil bengkel... harum semerbak bau dewan malam tu,... rupa-rupanya bukan kami berlima sahaja yang pekena durian... ada lagi yang turut menyumbangkan bau durian dalam dewan malam tuh... pergghhh... baunya, sungguh nikmat... ;)

Ole-ole buat isteri di rumah... semangkuk tempoyak yang fresh lagi original...

Tuesday, July 20, 2010

Kursus KSSR utk GPI...

Salam...

Alhamdulillah, Kursus Orientasi KSSR Pendidikan Islam Tahun 1 Untuk Jurulatih Utama Zon A telah selesai pada 7 Julai yang lalu. Resolusinya, semua JPN diminta mempersiapkan strategi untuk menyebarluaskan intipati dan bahan kursus, seluas-luasnya di negeri masing2.

Strategi yang diambil, bergantung kepada kebijaksanaan masing2. Semua maklum, tiada budget yang selesa untuk kursus pada tahun ini, tidak seperti tahun2 kebelakangan ini. Budget seminima mungkin... lagi baik, pesan mereka... zero budget...

Pergh... kalu zero budget, nampaknya kena buat kursus utk GPI (khusus yg mengajar Thn 1) dalam bulan Ramadhan, pakej 2 hari... mula jam 8 pagi, balik jam 5pm. For sure tiada budget yang keluar... ;) makan minum dah tak perlu fikir lagi... Ada berani... Gurrllppp...

Biar apa pun, Kursus KSSR utk semua subjek pasti akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini kerana pelaksanaannya akan bermula pada tahun hadapan. By hook or by crook...

Bergambar kenangan bersama pegawai JPN Selangor, Ustazah Sabariah

Kini, menanti saat dan waktu semua JU Negeri dipanggil semula berkumpul, mengatur strategi terbaik bagi menyampaikan slot dengan kaedah yang termudah utk difahami... seterusnya berkongsi idea bersama JU Daerah dan akhir sekali... turun padang (mungkin ke dewan PPD je kot... ) bersama pelaksana kurikulum yang baru digubal ini.


Bergambar kenangan bersama pegawai BPK, KPM

Kepada Guru2 Pendidikan Islam Negeri Selangor, InsyaAllah kita akan bertemu dalam mana2 siri kursus orientasi ini. Semoga semuanya berjalan lancar. Doa kami, agar semua amanah ini dipermudahkan... Ameen Ya Rabbal 'Alamee

Tuesday, July 06, 2010

Kursus bermula...

Salam..

Alhamdulillah, Kursus Orientasi KSSR Pendidikan Islam bermula malam tadi. Kursus kali ini telah mengumpulkan seramai lebih kurang 80 peserta yang terdiri daripada Jemaah Nazir, Pensyarah IPGM, Pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Negeri serta Jurulatih Utama Negeri Zon A (Semenanjung Malaysia).


Sesungguhnya peluang bersama-sama dengan pakar-pakar serta orang yang berpengalaman dalam bidang pendidikan ini, takkan disia-siakan. Pendedahan KSSR Pendidikan Islam ini juga mungkin akan memberikan pelbagai reaksi dan respons yang pelbagai daripada peserta yang hadir.

Jurulatih Utama yang hadir bersama pegawai JPN negeri masing-masing dipertanggungjawabkab sepenuhnya bagi menyampaikan serta menyebarluaskan kefahaman berkaitan KSSR ini kepada semua guru Pendidikan Islam khasnya, bagi diaplikasikan sepenuhnya menjelang 2011.

Bukan suatu tugas yang mudah! Ini satu tanggungjawab dan amanah yang berat!

Antara perbincangan sepanjang kursus ini nanti ialah:

1. Info Guru Pendidikan Islam
2. Kurikulum Transformasi KSSR
3. Pedagogi Pendidikan Islam
4. Elemen Merentas Kurikulum
5. KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) Tahun 1

KSSR ini akan bermula tahun hadapan. Sasarannya semua murid tahun 1 dan ia akan diteruskan sehinggalah murid tersebut melangkah ke Tahun 6. Ini bermakna, setiap tahun bermula tahun 2011 akan diberikan pendedahan khusus berkaitan pelaksanaan KSSR ini.

Kursus ini masih baru bermula... segala info untuk membantu memahamkan guru, akan saya update kan nanti, InsyaAllah...

Teruskan mendidik jiwa anak-anak kita... walau apa pun perubahan dalam kurikulum. Agar terbentuk jiwa yang utuh dengan Iman bagi menepis segala budaya yang merosakkan, InsyaAllah...

Kepada teman sekursus... selamat berkursus...

Saturday, July 03, 2010

Berkursus...

Salam...

Sekarang, heboh dan hangat diperkatakan KBSR akan di tukar kepada KSSR. Pastinya, setiap yang melibatkan perubahan kurikulum, akan diberikan pendedahan kepada para guru.

InsyaAllah, 5-7 Julai 2010, bertempat di Concorde Inn, KLIA, Sepang akan berlangsung Kursus Orientasi KSSR Pendidikan Islam Tahun Satu untuk Jurulatih Utama Zon A, anjuran Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran Malaysia.

Semoga kursus ini akan memahamkan peserta, konsep dan pelaksanaan KSSR nanti.

Kepada sahabat2 yang sama terlibat, selamat berkursus!

Friday, July 02, 2010

Duhai Ummi...



23. dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).

24. dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."


"Dah kirim duit untuk ummi di kampung?"...


Soalan yang sering keluar dari mulut isteri tatkala tiba hujung bulan. Terima kasih kerana mengingatkan.

Anak-anak ummi semua dah bekerja kecuali adik bongsu yang masih menggalas amanah di Bumi Kinanah.

"Tak kisah lah... kalau tak cukup sekalipun, jangan langsung tak bagi. RM50 pun memadai. Ummi tentu faham..."

Ingat pesan Angah. Rezeki pasti bertambah jika ada bahagian untuk ummi. Pasti doanya untuk kita tak putus2 agar dimurahkan rezeki lagi. Itulah doa seorang ibu! Sudah pasti...

"Disitu ada berkatnya..."


Saya kagum sikap isteri. Beria-ria mahu bekerja. Alasannya cuma satu... mahu memberikan duit titik peluhnya pada ibu dan ayah. Biar mereka dapat merasakan hasil dari anaknya sendiri.

Isteri selalu menyebut:

"Rasa puas kalau dapat berikan apa yang mak dan ummi suka. Beli apa yang mereka mahu, makan apa yang mereka idamkan, bawa mereka ke mana sahaja mereka nak pergi..."

Tiada kepuasan selain membahagiakan ibu kita tatkala kita atau mereka masih hidup.

Dulu... hanya dengan gaji RM429, abah mampu menanggung kami 6 beradik. Ditambah hasil jualan kuih ummi setiap hari. Segala keperluan kami, abah dan ummi disediakan. Walau dengan apa cara sekalipun. Hatta berjaya menamatkan pengajian di menara gading... Terima kasih, Abah... Ummi...

Namun, selain memberikan duit pada mereka, perlu juga kita jaga hati mereka.

Betullah kata orang, makin berusia seseorang itu, makin sensitif jiwanya. Makin rapuh perasaannya.

Perlu bijak dalam berkata-kata... pandai mengawal emosi dalam berbicara. Ibu menyimpan rasa, memendam dalam jiwa. Sukar diungkapkan... namun tak semena-mena, berjujuran air matanya... Maafkan kami, ummi...

Ummi jauh di kampung. Jarang sekali dapat pulang.

"Dah telefon ummi hari ni? kalau takde benda nak cakap pun... tanyalah khabar..."

Teguran yang tepat ke muka. Pedas... tapi manis ;)

"Jangan la bila nak exam ke, nak interview ke... baru nak telefon..."

Pernah beberapa kali menelefon ummi... tak berangkat. Banyak kali di cuba, masih tak berjawab. Namun lega, apabila mendengar suara ummi di hujung talian... ;)

Buat ummi... maafkan kami anak2 mu. Andai ada terguris perasaanmu kala mendidik dan membesarkan kami. Andai ada kata yang memedihkan. Andai ada perlakuan kami yang meresahkan.

Ya Allah... ampunilah segala dosa ummi... tenangkan hati ummi... jauhkan ummi daripada segala ujian berat yang tak tertanggung olehnya... Ameen, Ya Rabbal 'Alameen...

Popular Posts