Monday, February 23, 2009

Abah... Pergimu Amat Dirasai...

Assalamualaikum,

Tergerak hati, untuk menulis satu dedikasi untuk ayahanda tercinta, yang kini sudah lama meninggalkan kami. Walaupun tanganku menggigil, menggeletar, kolam air mata semakin penuh, menanti saat untuk melimpah, kugagah jua... Sekadar untuk mengingati kisah, perginya abah, amat dirasai.

Hari ni, genap 2 tahun arwah abah kembali ke RahmatuLlah. Kehilangan yang cukup dirasai.

Abah telah diserang strok kali pertama pada November 2002. Waktu itu, saya masih lagi di Universiti Malaya, semester akhir. Panggilan yang syahdu dari angah (kakak) telah membuatkan hati ini begitu sebak. Angah akan kembali ke Mesir bagi menyambung pengajian yang masih berbaki satu semester di sana. Agak berat hati angah untuk meninggalkan abah dalam keadaan abah macam tu. Saya pula, kebetulan cuti semester, mengambil keputusan untuk pulang segera.

Keadaan abah pada waktu itu, tidak begitu serius. Setelah mengikuti beberapa sesi urut satu tubuh badan, abah kembali pulih. Serangan stroke yang tidak terlalu bahaya. Alhamdulillah.

Namun begitu, perwatakan abah telah menunjukkan sedikit perubahan. Abah tidah dapat bercakap dengan lancar dan jelas seperti sebelum ini. Mulut abah juga sedikit 'herot' kesan daripada stroke yang menyerang. Tapi aku lihat abah tabah. Kuat semangat.

Gambar abah tenang berlatarbelakangkan kaabah


Sukar untuk kami berkomunikasi dengan abah terutama melalui talian telefon. Suara abah tidak begitu jelas. Tapi saya dan keluarga bersyukur kerana abah masih kuat dan dapat berjalan dan menjalankan rutinnya seperti biasa.

Malah saya turut berbangga, kerana abah dapat hadir ke Konvokesyen semasa saya graduasi Universiti Malaya pada 2003, dan Konvokesyen KPLI j-QAF di Putrajaya pada 2006. Abah masih kuat pada masa tu.


Gambar Ummi dan Abah sewaktu mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan dua tahun lalu


PANGGILAN YANG PILU

Sehinggalah pada suatu pagi, saya mendapat panggilan telefon daripada achik (adikku) dari kampung mengatakan abah kemalangan, terlanggar lori yang parking di tepi jalan sewaktu menuju ke Masjid untuk solat Subuh. Kemudian disusuli dengan SMS dan panggilan daripada along (abangku) menyatakan perkara yang sama.

Kata achik, abah diberikan Rawatan Pesakit Luar sahaja, memandangkan luka abah tidak serius, tapi dijahit beberapa jahitan dikepala akibat kecederaan ringan yang dialami.

Saya dan along berpakat untuk balik. Kami menaiki bas secara berasingan. Along pulang sehari awal daripada saya. Malang sungguh, bas yang saya naiki (Konsortium) telah mengalami kerosakan pada malam saya bertolak. Bas rosak pada jam 11.30 malam berhampiran terowong di Genting Sempah. Bas hanya bergerak jam 5 pagi. Kalau ikut jadual, waktu tu saya dah pun sampai di Kelantan.

Sesampai di rumah, Along dalam perjalanan membawa abah pulang dari HUSM. Bersama achik yang semalaman menemani abah. Achik telah membuat keputusan menolak tawaran panggilan ke Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat semata-mata untuk menjaga abah yang kurang sihat. Saya bangga dengan achik. Walaupun achik terlalu teruja untuk pergi temuduga sebelum ini. Cita-citanya semakin hampir. Sanggup mengorbankan cita-citanya demi abah. Abah menangis mendengar keputusan achik. Kebelakangan ini, abah kerap menangis, hatinya mudah tersentuh, apatahlagi apabila sanak saudara datang ziarah...memeluk abah, makin kuat tangisan abah.

Saya pula hanya sempat menemani abah sehari sahaja. Pada malam itu, saya pulang ke Klang kerana isteri saya juga tidak berapa sihat, mengandungkan anak kedua. Abah pula masa itu, saya lihat sudah beransur baik. Saya meminta izin daripada abah untuk pulang, walaupun saya sendiri tidak sampai hati meninggalkan abah.

SAAT YANG CEMAS HADIR JUA

Keadaan yang mencemaskan hadir juga. Achik menelefon saya pada lewat malam itu. Achik maklumkan abah sudah tidak bercakap dan hanya mendiamkan diri. Makan pun tidak. Saya sudah mengalirkan air mata. Sebak, tiada kata mampu terucap.

Kebetulan cuti Tahun Baru Cina, saya dan isteri bergegas pulang. Sepanjang perjalanan, pelbagai perasaan menggangu. Isteri hanya menenangkan. Air mata kering dengan sendiri.

Sesampai di kampung, saya lihat sanak saudara sudah ramai yang menziarahi abah. Saya terus meluru ke bilik abah. Sedih dan hiba apabila melihat abah hanya terbujur tanpa mampu berkata apa-apa. Saya mencium dahi abah...sambil tertitis air mata. Abah sudah tidak dapat membalas senyum hibaku.

ABAH DIMASUKKAN KE HUSM

Ramai sanak saudara beranggapan abah sudah tidak lama. Tapi aku dan achik memujuk along untuk membawa abah ke hospital. Peluang abah mungkin masih ada...

Kami menjaga abah di HUSM. Kelihatan (dari kanan) Along, saya dan Chik (mak saudara)

Malam itu abah dibawa ke HUSM dengan ambulans. Terima kasih kepada Pakcik Hanafi (Cik Napi) atas sokongan beliau. Sesampai di sana, abah dimasukkan ku unit kecemasan. Tiub dimasukkan ke dalam mulut abah untuk disedut kahak yang tersumbat yang mengakibatkan abah sukar bernafas. Kemudian, abah dimasukkan ku ICU buat sementara waktu sebelum dimasukkan ke wad biasa di tingkat 8. Menurut doktor lagi, abah diserang angin ahmar (stroke) kali kedua.

Selama hampir seminggu abah di HUSM. Saya dan along mengambil cuti rehat, sambung cuti Tahun Baru Cina. Kata doktor, keadaan abah semakin serius. Kami bergilir-gilir menjaga abah. Yasin sering berkumandang di dalam wad. Abang Ngah menyewa sebuah rumah rehat untuk tempat kami sekeluarga berehat, terima kasih abg ngah!!!

Pagi Sabtu 24 hb Feb 2007, kami sekeluarga bersepakat untuk membawa abah pulang ke rumah. Oksigen yang membantu pernafasan abah dibuka. Abah dimasukkan ke dalam ambulans. Along dan Adik Ti menemani abah di dalam ambulans. Saya mengambil isteri dan anak di rumah mertua untuk balik ke kampung saya, Kok Lanas.

ABAH SUDAH DIJEMPUT ILAHI

Saya mengerling jam di dalam kereta. Pukul 10.10 pagi. Saya meneruskan perjalanan. Tiba-tiba saya terima SMS daripada Adik Ti yang mengatakan abah sudah tiada sewaktu dalam perjalanan pulang. Abah hanya tersenyum. Menurut Along, abah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.10 pagi. MasyaAllah, tepat pada masa saya terpandang jam di dalam kereta tadi. Innalillah wa inna ilaihi raajiun... tanpa disangka air mata berlinang tanpa diminta.

Abah sewaktu ditanah suci

Sesampai di rumah, saya lihat sanak saudara sudah ramai memenuhi ruang rumah. Kami memandikan abah. Saya, along, achik dan abg ngah memangku abah. Air mata masih panas membasahi pipi. Sukar untuk saya memberhentikan daripada mengalir. Kehilangan yang begitu besar... Walaupun saya sendiri sedar, setiap yang bernyawa... pasti MATI.

Terima kasih kepada Imam Masjid, kerana membantu melancarkan proses memandikan, menkafankan serta mengebumikan abah.

ABAH DISEMADI

Selepas solat Zuhur, abah disembahyangkan. Kemudian jenazah abah di bawa ke tanah perkuburan berhampiran rumah kami untuk disemadikan. Sekali lagi, saya, along dan achik turun ke liang lahad untuk membantu abah disemadikan di situ buat selama-lamanya.

Seusai dikebumikan, talkin di baca. Peringatan untuk yang masih hidup agar sentiasa bersedia menghadapi maut. Tidak sampai 5 jam proses persemadian abah. Alhamdulillah, kami telah melaksanakan amanah abah sebaik mungkin.

Saya lihat Ummi begitu tenang. Saya memluk ummi, tangisan tidak dapat dibendung. Tika itu ummi hanya membisikkan,"anak-anak ummi kena kuat, baru ummi akan kuat. Anak-anak ummi kena belajar terima dan redha. Ummi yakin anak-anak ummi terpelajar, ummi beri pelajaran agama... ketentuan Ilahi, kita terima... abah dah takde," tasngisan saya semakin menjadi, ummi ke peluk erat...kian erat. Ummi akan ditinggalkan sendirian, tanpa abah kini.

Jadi kami perlu bagi sokongan kepada ummi. Achik la akan menggantikan kami, menemani ummi di sini. Terima kasih achik...terima kasih banyak-banyak.

Kini, setiap kali pulang ke kampung, pusara abah pasti dikunjung. Masih terasa abah berada bersama kami. Walaupun sudah tiada gelak tawa dan senyumnya, abah masih di hati kami.

Semoga abah sentiasa tenang di sana. Kami akan sentiasa mendoakan abah. Maafkan kami. Terima kasih kerana mendidik kami sehingga kami berjaya.

Kini, Ummi tempat berkongsi kasih dan sayang. Maafkan anakmu ini, agak kurang bertanya khabar. Isteri selalu mengingatkan, "Abang, telefon lah ummi tiap hari...sekurang-kurangnya bertanya khabar.." terima kasih sayang kerana mengingatkan abang...

Buat Along, Angah, Achik, Ha dan Adik Ti...marilah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan abah. Hanya doa kita yang abah dambakan. Doa anak yang soleh dan solehah. Sudah pasti, itulah yang abah dan ummi harapkan.

ANAK-ANAKMU KINI...

Along, kini seorang jurutera berjaya yang juga seorang instructor di ILSAS, Bangi. Angah pula seorang pendidik di sebuah sekolah agama YIK di Tanah Merah, Kelantan. Sering melawat Ummi pada hari minggu. Membawa buah hati penyeri hari nenek...Najihah dan Wafa'. Achik pula, bekerja sendiri. Usahawan berjaya. Tunggu masa untuk mendirikan rumahtangga. Banyak menghabiskan masa menemani Ummi di rumah. Kerana hanya achik yang kini menjaga dan bersama Ummi. Terima kasih achik. Moga Allah merahmati dirimu.

Ha pula bertugas di Johor Bharu sebagai Guru j-QAF. Tengah praktikum sekarang, selamat menjalankan tugas sebagai pendidik yang berjaya dan cemerlang. Adik Ti pula, menyahut seruan dan cita-cita serta impian Abah dan Ummi... menjadi Hafizoh. Sedang melanjutkan pengajian di Al-Azhar Mesir dalam bidang Qiraat. Selepas tamat 30 juzuk di KUIS, Bangi. Moga cita-cita abah, akan adik realisasikan... Ma'a taufiq wannajah...

Sesungguhnya abah...pergimu amat dirasai...

8 comments:

amirmukhtar said...

Al-Faatihah,

Midi, everybody will have the same experience. I don't know when my turn come, I will be as strong as you or not...

yahuza said...

abahmu akan berbahgia "disana" kerna mempunyai anak soleh sepeerti mu....thank... kerna mengigatkan soal kematian.

Abu Muazz said...

amir: syukran, kena bersedia menghadapinya...

jihad4iman: syukran akhi

azmi said...

sedih baca perjalanan hidup hang, sampai aku menitiskan air mata... apa khabar mu di sana ???

Abu Muazz said...

salam mi..

mana hang jupo aku punya blog nih.
lama tul tak dgr citer hang naa..
dah hepi sgt duk kedah naa...

aku sihat ja...rajin2, mai la lagi naa

azmi said...

salam. lama x dgr berita. baca2 dlm blog hang dah nak masuk anak ke3. aku pun, insyaallah bln 9 ni bertambahlah ahli keluarga aku. nanti, hang kim salam kat kwn2 kita kat sktm, rindu aku kat hampa semua...

Abu Muazz said...

tima kasih Mi...sudi jenguk. Hang ada blog?? pas la kat aku sama. kat sini semua ok, cuma mcm biasa la, hang pun paham kan camana... kak azrina pun tgh pregnant gak. due sama bini aku.

azmi said...

kak azrina ke kak zarina? klu k azrina aku x kenai la... moga semangat kental menyelubungi kamu. aku x dak blog la. saja suka2 bukak dan baca blog2 member. kim salam kat k asiah, k suzi, rina, yusmA, K INA ZUL & AYA...MISS U ALL....

Popular Posts