Tuesday, August 07, 2012

Masihkah Ada Ramadhan...

Assalamualaikum...

Ramadhan kian laju meninggalkan kita. Dalam hal ni, kita yang sepatutnya mengejar... bukan tertinggal sampai tak terkejar. Ramai muzakkir yang menyampaikan tazkirah berpesan dan menimbulkan persoalan... adakah kita masih berpeluang menikmati ganjaran pahala dalam bulan Ramadhan pada masa-masa yang akan datang? Adakah kita pernah menganggap Ramadhan tahun ni, Ramadhan yang terakhir buat kita?



Drama 'Masihkah ada Ramadhan' yang ditayangkan setiap hari Isnin, jam 10 malam di saluran Astro Prima sedikit menyentuh hati saya. Saya kagum dengan sifat tenang seorang anak (Zali) yang sanggup menyembunyikan sengsara diri demi menjaga hati dan perasaan kedua ibu bapanya.

Lakonan yang menggunakan hampir 90 % loghat Terengganu itu, terasa dekat dihati. Santai rasanya lakonan mereka. Walaupun banyak dialog yang begitu memuji orang-orang Trengganu... ;)

Zali yang menderita barah otak begitu kuat semangatnya. Azamnya untuk menyatukan abang2 dan kakaknya harus dipuji. Kata-katanya juga amat halus dan terkesan. Tiada nada-nada tinggi diucapkan dalam drama ini, kecuali watak Pak Leh, ayah kepada Gayah yang begitu mengambil berat soal maruah anak perempuannya itu.

Drama ini, meletakkan hubungan kekeluargaan sebagai kunci kebahagiaan ibu dan ayah. Hubungan keluarga yang takkan putus. Unsur nasihat dan cara menyampaikan teguran juga turut diselit. Moga cerita-cerita sebegini akan terus dibentuk dan diketengahkan dalam masyarakat sekarang yang terlalu meletakkan kesenangan dunia, kebendaan sehingga melupakan tanggungjawab yang sebenar.

Sama-sama kita koreksi diri... sama-sama kita perbetulkan diri.

Di mana silap kita sebagai anak kepada ibu dan ayah...
Di mana salah kita sebagai adik kepada abang dan kakak...
Di mana salah kita sebagai abang atau kakak kepada adik...
Di mana salah kita sebagai suami kepada isteri...
Di mana salah kita sebagai isteri kepada suami...
Di mana salah kita sebagai guru kepada anak-anak didik...
Di mana salah kita sebagai murid kepada guru...

Dan yang paling UTAMA,
Apakah dosa kita terhadap ALLAH yang Maha Esa?

Moga-moga Ramadhan boleh menyatukan kita semua...

Baarakallahu Fiikum...

Monday, May 21, 2012

Demam eGTukar

Assalamualaikum...


Sedih juga saya menatap status dan komen2 dari sahabat guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak. Ada yang sudah hampir 10 tahun menabur bakti di bumi kenyalang dan negeri di bawah bayu itu. Ada juga teman-teman yang sama-sama menjadi kohort pertama program j-QAF sejak tahun 2005 yang masih belum diluluskan permohonan mereka untuk bertukar.


Banyak kes yang saya dengar dari sahabat-sahabat di sana.


Ada yang berjauhan suami dan isteri, hingga beranak pinak sejak beberapa tahun tidak tinggal bersama. Suami di Borneo, isteri dan anak2 di Semenanjung. Ada pula isteri dan anak-anak di Borneo, suami pula di Semenanjung. Masing-masing dengan rutin harian bukan sebagai satu keluarga.


Bagi saya, ini satu cabaran getir buat mereka. Bagaimana mereka mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup rumahtangga dalam suasana yang agak kritikal. Ujian Allah hanya untuk hambaNya yang mampu menghadapi semua itu. Yakinlah wahai sahabat, setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi, yang tidak kita ketahui...


Saya hanya mampu berdoa agar semua sahabat yang berkorban masa, jiwa dan tenaga, demi sebuah perjuangan walau dimana kalian berada, akan mendapat ganjaran di sisi Allah...


Andai ada rezeki, saya juga ingin bertukar... bertukar angin, bertukar suasana... untuk mendapatkan environment kerja yang menyenangkan jiwa dan minda...


Saya juga berkira-kira untuk berhijrah... pulang ke kampung halaman, menabur bakti sepenuh masa untuk ummi tercinta, selagi ada hayat ini...


Harapanku, suatu hari nanti, aku akan menerima khabar gembira seperti ni... ya, suatu hari nanti yang insyaAllah pasti... aku tunggu saat itu...




Ameen Ya Rabb... 

Wednesday, May 16, 2012

Terima kasih atas INGATAN dan PENGHARGAAN...


Terima kasih buat semua murid... atas ingatan dan penghargaan ini. Semoga kalian terus berusaha untuk menjadi INSAN CEMERLANG dan TERPUJI. Bukan hadiah yang kami harapkan, cuma KEJAYAAN kalian, DUNIA dan AKHIRAT, insyaAllah.

Sebenarnya, sambutan Hari Guru kali ni, agak kurang menyengat dan meriah jika dibandingkan pada 8-9 tahun lalu sejak saya begelar GURU. Mungkin perancangan yang kurang baik disebabkan sambutan yang dibuat agak tergesa2. Mungkin juga kerana surat makluman sambutan serentak yang dikeluarkan juga menyebabkan sekolah terpaksa membuatnya secara 'ala kadar'... (bukan 'ala-carte').

Tak mengapa... hanya seorang GURU akan memahami JIWA seorang GURU yang lain. Teruskan istiqomah mendidik anak-anak kita. Moga tiada istilah PENAT, dan JEMU dalam kamus hidup kita...

Hadir kita sentiasa dinanti,
Hilang kita pasti dicari,
Pergi kita, akan dirindui...
Itu lah GURU yg berjaya menambat HATI...

Buat semua pendidik, SELAMAT HARI GURU...

Khususnya yang pernah mendidik saya suatu ketika dulu...

Semua guru SK Desa Pahlawan (SKDP) tahun 1986-1991
Semua guru/ustaz/ustazah SMU (A) Syamsul Ma'arif, Pulai Chondong (1992-1994)
Semua guru/ustaz/ustazah Maahad Muhammadi Lilbanin, Pengkalan Chepa (1995-1997)
Semua pensyarah Pra Akademi Pengajian Islam Nilam Puri (1997-1999)
Semua pensyarah/tutor Akademi Pengajian Islam UM, KL (2000-2003)
Semua pensyarah Fakulti Pengajian Islam, UKM (2010 hingga sekarang)

Jasamu akan tetap ku kenang... Terima Kasih Cikgu...

Artikel Tentang GURU... suatu ketika dulu...

BERITA HARIAN, 19 Mei 2003, Surat Pembaca


Surat Pembaca, 17 Mei 2002, Berita Harian


Monday, May 14, 2012

Mentaksir dan ditaksir... PLBS, PEKA dan PAFA

Assalamualaikum...

Petang tadi, sekumpulan Pentaksir Kawasan (PKw) telah dipanggil untuk mendengar Taklimat Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). PKw tersebut terdiri daripada pentaksir bagi Mata Pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris (PLBS), Sains (PEKA) dan Pendidikan Islam (PAFA).

Gerak kerja pentaksiran hanya akan bermula pada 2 Julai hingga 13 Julai 2012. Setiap PKw telah diminta untuk membuat pentaksiran di  4 buah sekolah yang telah dipilih dan terpilih. Disebabkan saya baru saja dilantik, maka saya tidak berupaya untuk memilih sekolah-sekolah sekitar sebaliknya perlu ‘menziarahi’ sekolah-sekolah yang agak jauh, namun bukannya terpencil. Sekolah yang berhampiran telah terlebih dahulu di'booked' awal oleh PKw yang 'senior'. Apa kan daya... ;(

Akhirnya... SK KLIA, SK Sg. Pelek, SRA Integrasi Salak dan SJKT BBST akan menjadi sekolah pilihan saya. SK Tmn Pantai Sepang Putra dan SK Sg. Rawang akan berada dalam senarai menunggu (waiting list) jika diarahkan oleh Ketua Pentaksir Kawasan (KPKw).

Berdasarkan taklimat tadi, dalam penilaian PAFA, ada beberapa perubahan dalam format mengisi laporan dan pencapaian murid. Jadi, penyelaras sekolah akan memastikan semua dokumen yang diperlukan semasa pentaksiran dibuat, perlu disediakan dengan lengkap.

Jangan bimbang, insyaAllah sesi taklimat kepada penyelaras sekolah akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan segala bentuk perubahan yang dibuat dalam mengisi pencapaian murid.

Pentaksiran ini hanyalah sebagai kayu ukur sahaja. Matlamat utama, semua murid perlu menguasai semya elemen dan ‘kod’ yang ada dalam PAFA. Biar mereka semua mengerti apa yang diucapkan kepada guru pentaksir. Bukan hanya menghafal, malah tahu, faham dan boleh diamalkan dalam kehidupan seharian… InsyaAllah.



Namun masih ada ralat sebab saya masih belum upaya membuka dengan jayanya Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS). Masih bermasalah... walaupun sudah hampir 4 hari mencuba. Masih menunggu lama setelah menekan butang 'cari'... tak tahu dimana silapnya...

Saya masih tidak mampu untuk melihat sendiri 'masalah' yang dimaklumkan (aduan) oleh salah seorang guru di SJKC tentang isu ketidakseragaman yang berlaku antara deskriptor yang terdapat di dalam sistem (untuk di 'tick') dengan manual ada di dalam Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang di sediakan oleh LP.

Harapnya, masalah ini tak berlarutan. Semoga 'kesibukan' yang berlaku atas talian ini akan segera dipulihkan.

Wednesday, May 09, 2012

Rayuan Sumbangan Dana

Assalamualaikum...


Atas dasar membantu sahabat seagama memahami serta mempelajari ISLAM dengan fahaman yang baik dan benar, maka Persatuan Kebajikan Sahabat Insani Malaysia telah mengambil langkah dan inisiatif menubuhkan Pusat Pendidikan Sahabat Insani. Pusat Pendidikan yang menelan belanja hampir RM7 juta ini bertujuan untuk membantu golongan berkeperluan khas seperti masalah pembelajaran, masalah penglihatan dan masalah pendengaran untuk belajar tentang ISLAM.


Brosur

Brosur (klik untuk besarkan imej)


Program sulung anjuran SAHABAT INSANI MALAYSIA  iaitu Tautan Mahabbah pada 25 Mac 2012 bertempat di Masjid Negeri, Shah Alam baru-baru ini merupakan satu langkah awal untuk kami menapak lebih jauh.


Seminar sehari tersebut telah melibatkan 2 orang panel hebat iaitu YBhg. Dr. Zuhdi Marzuki (UM) dan juga YBhg. Prof. Dato' Dr. Sidek Baba (UIA). 


Antara peserta yang hadir


Peserta yang hadir


Panel 1: Dr. Zuhdi Marzuki (UM)


Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba


Apa yang membuatkan kami lebih teruja dengan idea ini apabila kebanyakan soalan yang diutarakan kepada panel berkisar persoalan am, contohnya; hukum bercakap bohong antara rakan, hukum isteri yang mempunyai hubungan dengan suami orang lain, hukum anak yang tidak menghormati ibu bapa dan banyak lagi. 


Kami juga terpaut dengan telatah para peserta yang menunjukkan pelbagai reaksi dan eksperesi sepanjang majlis berlangsung. Dek kerana mungkin penggunaan bahasa yang agak tinggi oleh panelis, timbul kesukaran kepada mereka untuk memahami beberapa konten yang cuba untuk disampaikan.


Malah, saya turut belajar cara mereka berkomunikasi, antaranya cara memberi dan menjawab salam, ucap terima kasih, juga cara 'bertepuk tangan' cara mereka. Menarik!!!


Seperti yang saya maklumkan tadi, persoalan yang mereka ditimbulkan bersifat pengetahuan asas dalam Islam. Justeru, persatuan akan berusaha untuk membantu sahabat-sahabat ini agar dapat mendalami ilmu ISLAM dengan cara yang terbaik.


Kami akan merangka modul-modul yang sesuai dengan tahap kemampuan mereka dengan bahan-bahan rujukan yang muktabar selain menyediakan keperluan dan kemudahan serta insfrastruktur yang terbaik untuk mereka.


Sekiranya Pusat Pendidikan ini berjaya diwujudkan, kami mempunyai cita-cita dan impian yang tinggi. Kami berhasrat untuk membiayai mana-mana individu yang ingin menyambung pengajian ke peringkat Master dan PhD dalam bidang yang berkaitan pendidikan khas. Semoga tesis dan kajian yang dilakukan kelak akan membantu kami dalam membangunkan keperluan sahabat ini, insyaAllah. Semua ini tidak mustahil sekiranya ada yang sudi membantu kami.



KONSEP BANGUNAN DAN KOS



Bangunan 4 tingkat berbentuk U. Blok bangunan tersebut mempunyai 1 dewan besar, 3 dewan kuliah,  30 bilik kuliah,  1 pejabat pentadbiran, 1 surau, 1 pusat sumber, 1 bilik sukan, 1 bilik rawatan, 1 bilik percetakan, 2 unit stor,  1 kafetaria, 24 unit penginapan, 10 unit komersil dan tandas. Anggaran kos pembinaan bangunan keseluruhan adalah RM 7 juta.
  
LOKASI DAN HARGA TANAH


 Sila klik gambar untuk besarkan imej

Tapak Pusat Pendidikan Sahabat Insani terletak di Lot No. 11995, Jijan, Mukim Labu, Seremban, Negeri Sembilan. Tanah sebagai tapak pembinaan telah dipersetujui bersama tuan tanah dengan harga RM 270 000.00.

SUMBANGAN DANA

Persatuan ini bergerak tanpa mendapat dana daripada mana-mana agensi amat berharap kepada sumbangan daripada dermawan bagi membiayai dan merealisasikan hasrat murni ini.

Segala sumbangan boleh disalurkan terus melalui akaun bank:

No. Akaun: 12300000574100 
Bank: CIMB Islamik Bank Cawangan Bandar Baru Salak Tinggi
atas nama: Tabung Pembangunan Pusat Pendidikan Sahabat Insani 

Persatuan sedang menunggu kelulusan LHDN untuk pelepasan cukai ke atas sumbangan yang diberikan. Apa yang lebih penting dan utama, setiap sumbangan anda akan dikira sebagai amal jariah berterusan disisi Allah SWT.

Sila maklumkan pada saya jika tuan/puan memerlukan resit untuk tujuan mendapatkan pelepasan cukai LHDN.


Sila forward kepada saya melalui SMS (013-2166461) atau emel (mohaz79@gmail.com) details bank transfer sekiranya anda membuat sumbangan melalui pindahan wang dengan menyatakan TARIKH, MASA dan JUMLAH sumbangan dibuat untuk tujuan rekod kami.


Terima kasih atas segala perhatian anda. Moga Allah dapat membalas segala jasa anda semua.


Blog rasmi persatuan : http://pusatpendidikansahabatinsani.blogspot.com




Sunday, May 06, 2012

Berjiwa besar... dalam medan dakwah

"Kita kena berjiwa besar"...


Itu ayat keramat sepanjang kami berbengkel selama dua hari ini. Semua ahli bengkel cuba 'menjiwai' apa kehendak YDP.


"Kerja hakiki kita hanya sampingan, kerja dakwah itu yang utama"...


Ya, tepat sekali.


Setelah hampir 5 bulan bersama dengan Persatuan Kebajikan Sahabat Insani Malaysia (Sahabat Insani), kami mula menapak laju. Sesi bengkel selama 2 hari ini, telah membuka minda dan jalan untuk kami, agar mampu bergerak lebih pantas.


Sesi bergambar bersama ahli keluarga setelah selesai berbengkel selama 2 hari 1 malam. 


Pertama kali mendengar, susah untuk percaya... adakah berjaya? atau mungkinkah ia hanya satu cita-cita yang sukar digapai sebenarnya.


Hakikatnya, persatuan ini diwujudkan bukan untuk mencari keuntungan. Malah, ia sebuah NGO untuk bersama2 membantu golongan yang kelainan upaya (masalah pendengaran, masalah penglihatan dan masalah pembelajaran) untuk kenal, tahu, faham seterusnya menghayati tuntutan ISLAM.


Program pertama anjuran Sahabat Insani Malaysia telah berjaya. Tautan Mahabbah, yang berjaya mengumpulkan hampir 100 peserta dari kalangan buta, pekak dan bisu selain ibubapa yang mempunyai anak2 yang bermasalah sedemikian.


Fokus kami seterusnya adalah untuk menubuhkan sebuah Pusat Pendidikan Sahabat Insani. Cita-cita dan matlamat yang besar, tapi bagi kami, ia TIDAK MUSTAHIL. Jalannya sudah ada, hanya perlu ditebas segala semak samun. 'Dana'nya telah Allah sediakan, namun perlu usaha untuk mencarinya...


Untuk itu, kami mengharapkan ihsan dari semua... kami memerlukan dana hampir RM7 juta untuk menyiapkan sebuah pusat pendidikan khusus untuk golongan2 tersebut. Kita perlu bantu mereka untuk mendalami ilmu agama dengan lebih baik. Hasil dari program Tautan Mahabbah baru2 ini, telah membuka mata kami bahawa mereka amat-amat memerlukan pengisian tentang ISLAM.


Sehingga antara resolusi spontan yang dibuat, "Kita semua perlu belajar Bahasa Isyarat untuk beri kuliah, ceramah kepada golongan pekak ini"...


Jika sahabat-sahabat inginkan penjelasan berkaitan persatuan ini serta Pusat Pendidikan Sahabat Insani, sila layari laman blog yang telah kami sediakan. Kami amat memerlukan dana untuk membangunkan bangunan/pusat tersebut.


Namun jika anda memerlukan kami untuk 'bercerita' sendiri tentang semua ini, kami akan lakukannya. Kami sanggup turun padang bagi memberikan penerangan. 


Di dalam brosur ini, ada sedikit maklumat berkaitan.


Sila klik gambar untuk besarkan imej


Sila klik gambar untuk besarkan imej

Semoga kita dapat menginfaqkan harta kita ke jalan dakwah ini. Bukan banyak yang kami perlukan daripada anda. Kami akan mengeluarkan Sijil Waqaf yang bernilai RM50. Sijil Waqaf ini juga boleh dijadikan resit untuk mendapat pelepasan cukai LHDN, insyaAllah. 

Sama-sama kita renung, betapa pentingnya kita berikan ilmu pada mereka. Kami bukan NGO yang memberikan sumbangan @ bantuan kewangan kepada golongan sasar ini. Namun kami hanya berikan kemudahan mendapatkan ilmu agama pada tahap yang sesuai dengan mereka.

Jadi, bantulah kami untuk membantu mereka...

Salam ukhuwwah,

MOHD HAMIDI ZAKARIA
Setiausaha,
Persatuan Kebajikan Sahabat Insani Malaysia.
(Sahabat Insani Malaysia)


Wednesday, April 18, 2012

Habibullah; Terjemahan Kitab Al-Syamail Al-Muhammadiyyah

Alhamdulillah, saya menerima hadiah yang cukup bernilai dari seorang sahabat yang aktif menyampaikan kuliah dalam jilsah, selain giat menulis dan menterjemah kitab-kitab hadis, iaitu Ustaz Mohd Hazri Hashim. Pertemuan kami yang singkat semasa sama-sama terlibat dengan Kursus Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Al-Quran SJKC dan SJKT baru ini, setelah sekian lama tidak berjumpa, hanya melalui SMS dan medan maya sahaja.


Kitab Habibullah ini merupakan terjemahan kitab al-Syamail al-Muhammadiyah karangan al-Hafiz al-Imam al-Tirmidzi. Kitab Habibullah ini juga mendapat sentuhan Prakata oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari Al-Makkiy.

Kitab ini membicarakan berkenaan akhlak dan fizikal Nabi Muhammad S.A.W seperti rupa paras, bentuk tubuh, perilaku dan budi bahasa baginda yang menjadi tauladan ummat baginda. Apabila kita kenal seseorang individu itu, luar dan dalam pasti kita boleh menilai hati budinya. Begitu juga dengan diri Rasulullah. Jika kita benar-benar kasih dan cinta pada baginda, sewajarnya kita mencontohi segala sunnah yang telah diajar dan ditunjukkan sendiri oleh baginda melalui hadis-hadis yang ditinggalkan.

Saya masih belum berkesempatan menatap himpunan hadis dalam kitab ini. Namun melihat kepada atur letak huruf dan perkataannya sudah cukup membuatkan saya jatuh cinta. Begitu teliti dan kemas! Tahniah kepada sentuhan grafik yang menarik. InsyaAllah... akan saya cuba habiskan kitab ini secepat mungkin.

Jika ada sahabat2 yang ingin memiliki kitab terjemahan ini, sila ke blog Ustaz Hazri untuk membuat sebarang tempahan kepada beliau. Semoga perkongsian ilmu ini akan lebih mendekatkan diri kita pada junjungan Rasulullah SAW, InsyaAllah...

Berkampung bersama GPI SJKC & SJKT


Assalamualaikum...

Alhamdulillah, hari ni saya diberi peluang untuk menitip sesuatu di sini. Sudah lama rasanya. Lumrah dalam dunia blogger, jika ada berita dan masa, pasti ia dikemaskini setiap masa. Namun jika sudah lama tak terusik, susah untuk mendapat semula momentum menulis...

Hari ni, (18 April 212) saya selesai menunaikan tugas rasmi diluar. Diberi tanggungjawab oleh Sektor Pengurusan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) untuk berkongsi info berkaitan pengurusan dalam pengajaran dan pembelajaran Al-Quran untuk guru-guru Pendidikan Islam dari SJK(C) dan SJK(T) yang terpilih.

Kursus selama 3 hari 2 malam ini, dilaksanakan di Permaisuri Beach Resort, Port Dickson telah melibatkan seramai 30 orang guru terpilih dari seluruh Selangor. Khabarnya, ini melibatkan fasa 1. Fasa 2 dan seterusnya, hanya akan dilangsungkan jika ada peruntukan. 

Penulis bergambar bersama sahabat pembentang
Dari kiri: Penulis, Ust Khairi dan Ust Hazri.

Mulanya, saya agak berat untuk menerima taklifan ini. Memandangkan saya bukanlah dikalangan 'ahli' yang ada 'sanad' untuk slot ini. Namun, saya bertuah kerana digandingkan bersama JU dan penceramah yang mantap seperti Ustaz Saiful Kahar Ahmad (Guru Cemerlang Pendidikan Islam), Ustaz Mohd Hazri Hashim (SK Kerling) dan Ustaz Mohd Khairi Ramlee (SK Kg. Rinching).

Bagi saya, kursus kali ni agak banyak bedanya berbanding beberapa kursus yang pernah saya dan sahabat2 lain kendalikan dulu. Antaranya, semua peserta yang terlibat adalah dari SJKC dan SJKT yang agak jarang bersama dalam mana-mana kursus sebelum ini.

Dalam kursus kali ni, kami diminta menyampaikan slot berkaitan:
1- Modul Literasi Al-Quran
2- Modul Pengajaran Jawi - Model 'Kasuhu'
3- Konsep Pengajaran Al-Quran
4- Kesalahan2 dalam Pengajaran Iqra' dan Al-Quran
5- Tahsin Qiraah, Bacaan Gharib

Perkongsian kali ini, diharapkan dapat membantu guru-guru pendidikan Islam di SJKC dan SJKT dalam melaksanakan PnP Al-Quran. Walaupun banyak kekangan dan cabaran yang terpaksa diharungi, mereka perlu kuat untuk memastikan anak-anak generasi Islam di sana akan terus menjunjung kehormatan mukjizat Al-Quran, InsyaAllah...

Yang pasti, ilmu berkaitan Al-Quran perlu dicari dan dipelajari. Tidak memadai hanya dengan khatam Al-Quran semasa remaja, menjadi tiket utk kita mengaku kita 'pandai' mengaji. Tidak salah berguru, membetulkan kesalahan yang kita buat, tanpa kita sedari. Moga kita semua dapat memupuk minat membaca Al-Quran dalam diri generasi muda, seterusnya cintakan Al-Quran sepenuhnya... InsyaAllah.

Kepada Penyelaras Kursus, Ustazah Sabariah merangkap Penyelia Kanan Operasi Teras PI Rendah JPS dan semua barisan urusetia terlibat; Ust Shamsul, Ust Mokhlas dan Ust Sukeri, terima kasih atas segalanya. Mohon maaf atas segala kelemahan dan kekurangan... 

Sunday, January 22, 2012

Realiti Seorang Guru...

Ini antara keluhan realiti dalam dunia pendidikan, dunia seoran guru...
Tersepit dan dikepit...

Di maktab perguruan, kami diajar bahawa murid yang tidak mengikut peraturan perlu dihukum. Tapi hakikatnya di sekolah, semua jenis hukuman ditangguhkan. Hukuman terbesar seperti buang sekolah pun boleh dibangkang oleh murid kerana kita ada dasar pendidikan wajib 11 tahun. Jadi semua murid boleh melanggar semua peraturan sekolah, seperti ponteng kelas dan tidak perlu menyiapkan kerja sekolah kerana tidak ada satu peraturan yang boleh menyentuh mereka. Murid boleh berjalan keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar dan tidak ada siapa boleh menghalang mereka. 

Punca pelajar menengah gagal membaca, menulis. 

Jan. 16th, 2012 at 6:01 PM 


SAYA ingin merujuk kepada tulisan Hassan Salleh bertajuk 'Di Manakah Silap Guru' di ruangan ini yang menyentuh soal wujudnya pelatih-pelatih PLKN lepasan sekolah menengah yang masih tidak boleh membaca dan menulis. 

Jawapan saya sebagai seorang guru yang telah lima tahun mengajar di sekolah menengah ialah: 

Di maktab perguruan, kami diajar bahawa murid yang tidak mengikut peraturan perlu dihukum. Tapi hakikatnya di sekolah, semua jenis hukuman ditangguhkan. Hukuman terbesar seperti buang sekolah pun boleh dibangkang oleh murid kerana kita ada dasar pendidikan wajib 11 tahun. Jadi semua murid boleh melanggar semua peraturan sekolah, seperti ponteng kelas dan tidak perlu menyiapkan kerja sekolah kerana tidak ada satu peraturan yang boleh menyentuh mereka. Murid boleh berjalan keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar dan tidak ada siapa boleh menghalang mereka. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan murid berbanding sekolah. Tapi hakikatnya di sekolah, guru disuruh bertungkus-lumus membuat kerja perkeranian sehingga tidak ada masa untuk mengajar. Terbaru di negeri Johor, pertandingan dibuat di antara sekolah-sekolah untuk mencari siapakah guru yang paling cekap membuat kerja perkeranian dan mengurus fail. Tentunya guru yang menang itu akan diberi anugerah dan dapat mengharumkan nama pengetua. Tapi kebanyakan guru yang menang itu tidak pernah memenangkan murid dalam apa-apa pertandingan pun. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya memikirkan cara bagaimana hendak mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya murid yang pelbagai kerenah boleh dibantu. Tapi hakikatnya di sekolah, yang dipelbagaikan ialah jenis jawatankuasa, borang dan fail, bukan teknik pengajaran. Akhirnya setiap guru akan memegang 10 hingga 15 jawatan dalam pelbagai jawatankuasa, dan murid kadang-kadang satu buku pun tidak ada. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya 'buat apa yang betul untuk murid'. Tapi hakikatnya di sekolah, pengetua hanya mahu mencari nama dan hendak cepat naik pangkat dan naik gaji. Oleh itu semua guru mesti berhempas pulas mengurus hal-ehwal sekolah. Kadang-kadang guru terpaksa meninggalkan kelas untuk hadir mesyuarat kerana pengetua mahu semua fail lengkap dan terkini. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya mengajar mengikut tahap murid. Untuk itu, murid diasingkan mengikut kelas. Murid yang pandai dan cekap akan diletak di kelas pandai, supaya guru boleh mengajar dengan pantas. Jika kurang cekap dan lemah, akan diletak di kelas kurang pandai supaya guru boleh mengajar perlahan-lahan dan murid boleh dibantu. 

Tapi hakikatnya, ibu bapa menuduh guru menganggap anaknya bodoh jika diletak di kelas hujung, jadi ibu bapa akan bawa wartawan, bawa ahli politik dan bawa ketua kampung untuk serang guru di sekolah. Oleh kerana sekolah tidak suka orang politik mencari populariti dalam sekolah, sekolah pun beralah dan murid kurang pandai ini pun diletakkanlah di kelas pandai. 

Ibu bapa pun baliklah dengan bangga dan berceritalah kepada jiran-jiran, kononnya anaknya di kelas pandai. Tapi akhirnya anaknya ketinggalan kerana tak mampu mengejar murid pandai yang lain dan guru akan diserang lagi kerana tak pandai mengajar. 

Di maktab perguruan, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan klien. Tapi pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran tidak pernah anggap guru sebagai klien mereka. Guru sekolah hanya 'kuli' pihak PPD dan jabatan semata-mata. Jika PPD dan jabatan minta data, guru mesti sediakan secepat mungkin. Kalau boleh dua saat selepas diminta, data mesti sudah sampai ke pejabat. 

Dua hari selepas data dihantar, PPD dan jabatan akan telefon sekolah untuk memarahi pengetua kerana guru tidak hantar data. Pengetua pun marahlah kepada guru dan guru pun terpaksalah meninggalkan kelas untuk menghantar lagi data buat kesekian kalinya kerana PPD dan jabatan memang tidak pernah simpan apa-apa data pun. Setiap kali mahu apa-apa mereka akan minta dari sekolah, sehingga data yang sama boleh dihantar hampir sepuluh kali ke pejabat. Tanyalah kepada Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid, berapa kali agaknya data enrolmen murid dihantar ke pejabat dalam setahun. 

Saya fikir kesilapan pihak guru ialah, lain yang diajar di maktab, lain yang perlu dbuat. Pengetua, PPD, jabatan dan ibu bapa, semua membuli guru sekolah. Kalau maktab perguruan mahu membantu hapuskan buta huruf, ajarlah guru pelatih bagaimana hendak 'mengajar' orang atasan.


Sumber : Tranungkite Online

Wednesday, January 18, 2012

Sabarlah wahai diri...



Peperiksaan hari ni, sepatutnya berakhir dengan satu kepuasan. Namun, ia berlaku sebaliknya. Kita hanya mampu merancang, Allah jua menentukan. Rata-rata sahabat lain juga meluahkan rasa yang sama.

Kaedahnya mudah. Daripada 6 soalan yang diberi pensyarah, ramai yang memilih untuk membaca 4-5 tajuk sahaja memandangkan ada 3 tajuk tugasan dalam bahasa Arab. Malangnya, apabila dua tajuk yang tidak diberi tumpuan itulah yang masuk, termasuk satu tajuk yg tiada dalam muqorror. Pendek kata, daripada 4 soalan yang keluar, hanya 1 soalan yang benar-benar menepati sasaran.

Apa nak dikata. Gunakanlah elemen pengetahuan sedia ada dalam menjawab baki 2 soalan. Sesal pun dah tak guna. Namanya pun exam, kan? Huhu... Apa yang memeranjatkan, baru setengah jam bermula, sudah ada yang mula menghantar kertas jawapan. Sama ada selesai menjawab kesemua soalan, ataupun turut 'frust' macam saya... hehe.

Selang 5-10 minit, makin ramai yang menyusul. Sorang demi seorang. Bagai memberi sedikit cabaran buat saya. Argh... takpe, jawab je mana yang ingat... Masa 2 jam setengah perlu dimanfaatkan... ;)

Selesai sesi 'mengarang', masing-masing keluar dewan dengan senyuman pahit dan tawar. Sama-sama kita doakan, agar ada markah ihsan dari ustaz nanti... InsyaAllah.

Saya mengambil keputusan untuk tidak terus pulang. Ada tempat yang perlu saya singgah. Untuk kembalikan semangat dan 'pujuk' diri ini, agar tidak terlalu kecewa. Saya menuju ke Alamanda. Mahu menebus baucer buku yang diberi itu, di MPH Book Store. Saya menghabiskan masa antara 45-60 minit untuk menggeledah setiap ruang dan pelosok rak, bagi mencari buku-buku yang sesuai. Akhirnya, saya berjaya memerangkap 2 buah buku akademik dan 2 buah buku bacaan agama, termasuk sebuah buku istimewa sebagai hadiah untuk isteri sempena hari lahirnya, 4 hari lepas. (Tunggu wrapped dulu, baru boleh kasi... )

Saya akan mulakan pembacaan untuk meneruskan fasa kedua saya untuk semester 3 akan datang, menulis! Itulah kekuatan yang perlu saya dapat. Moga2 ianya akan berjaya, InsyaAllah.

Selesai sesi mencari bahan bacaan, saya 'tersinggah' di booth Focus Point. Memandangkan alat bantu lihat saya sudah semakin longgar, saya mula menapak perlahan, memerhati frame yang ditayang. Satu persatu dibelek sehingga akhirnya muncul satu lembaga hitam yang tak diundang. Huhu, sapa lagi kalau bukan salesgirl FP.

Harga yang ditawarkan cukup menarik. antara RM129-239 (frame+lens). Akhirnya saya tertarik dengan frame RM199. Setelah ditambah harga lens (xtermasuk pakej, RM90 (harga biasa RM250- kata minah tu laaaa), saya terpaksa membayar RM289.

Selama hampir 2 jam, saya berjaya melupakan peristiwa tak berapa manis dalam dewan peperiksaan sebentar tadi. Moga ia tidak lagi menghantui kami semua. The past is past. Let by-gone, be by-gone...

Tamatnya kertas peperiksaan tadi, maka berakhirlah semester 2 saya sepanjang di UKM. Ada lagi baki 2 semester yang perlu saya habiskan. Moga Allah permudahkan jalan saya dan sahabat2 yang lain. InsyaAllah...

Monday, January 16, 2012

Selesai RPT PI Thn 2 Semester 1


Alhamdulillah, akhirnya selesai mengedit Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Islam KSSR Tahun 2. Walaupun saya tak ditugaskan mengajar Tahun 2, namun atas dasar untuk membantu sahabat2 sepanitia, saya gagahkan diri ini.

Kebetulan, saya mula hadapi peperiksaan akhir semester 1 sesi 2011/2012 pada awal Januari. Ghalibnya, sudah semestinya saya sibuk dengan persediaan utk exam tersebut. Mood pun, kadang-kadang ada, kadang-kadang hilang.

Seperti tahun lepas, saya masih diberi kepercayaan sebagai Penolong Setiausaha Kokurikulum. Tugasnya agak mencabar disebabkan sehingga saat ini, kerusi dan bilik GPK Koku masih belum terisi sejak GPK Koku sebelum ini, telah dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar di SK Jenderam Hilir.

Oleh itu, banyak perancangan koku termasuk menyusun atur jawatankuasa koku terpaksa saya dan SU Koku lakukan. Data murid mengikut unit uniform, sukan/permainan dan persatuan juga masih belum terusik. Harapan saya, SU Koku faham situasi saya sekarang. Masih 'bergelumang' dengan nota-nota, kertas2 tugasan!!!

Sehingga saat ini, sudah 3 kertas peperiksaan berjaya disudahkan. Hanya tinggal 1 sahaja lagi. Maktabah Tafsir. Yang masih belum dibaca, tapi sudah disusun kemas. Tunggu 'mood' itu datang sebelum tiba hari peperiksaan, iaitu 18hb nanti.


Berbalik pada tajuk di atas, saya seboleh mungkin mahu segera menyiapkan meng'edit' keseluruhan RPT PI Thn 2 tersebut. Namun dek kerana kekangan masa, saya siapkan dahulu sehingga minggu ke-19 dahulu. Saya perlu edit mengikut kesesuaian taqwim sekolah. Saya mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab untuk memuat naik bahan RPT tersebut akan segera memurnikannya. Pasti ramai yang tertunggu-tunggu. Namun, rasa saya, sudah ramai dikalangan guru yang sudah mahir menyediakan RPT itu, sendiri. Tahniah dan syabas...

Hari ini, saya dikejutkan dengan dua berita sedih. Tergamam dan terkedu saya mendengarnya. Pertama, ayahanda kepada sahabat saya, Ku Ahmad Munauwir telah kembali ke Rahmatullah akibat kemalangnn jalan raya. Takziah buat seluruh ahli keluarga arwah. Moga roh Allahyarham akan ditempatkan bersama-sama hamba yang beriman dan beramal soleh. (Saya sempat menonton berita kemalangan tersebut melalui Berita Awani 7.45 dan saluran tv9, malam tadi)

Kedua, seorang rakan guru mengadu tentang anak kecilnya, yang baru berumur 6 bulan, telah disumbat dengan stokin ke dalam mulutnya. Kejadian itu disedari apabila dia tanpa sengaja telah pergi ke rumah pengasuh anaknya itu untuk menghantar barang milik abang di kecil itu. Mungkin itu gerak hari seorang ibu. Zalim sungguh manusia itu! Hati ibu mana yang tak terguris apabila melihat bayi yang kecil yang tanpa kudrat, meronta2 meminta ihsan simpati.

Macam-macam hal dan cerita tentang pengasuh sejak kebelakangan ini. Daripada 1001 kisah dan cerita itu, ada kalanya, ada juga yang tak masuk akal. Masih ada orang yang kononnya bertamadun sanggup memperlakukan sedemikian rupa... terhadap kanak-kanak pulak tu...Huhu... Mungkin ibu bapa perlu lebih berhati-hati. Jangan terlalu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada 'mereka'. Ada masa, pantaulah 'kerja' mereka itu. Ada yang bermanis muka dan mulut dihadapan kita, namun hati sepahit hempedu.

Semoga ia menjadi pengajaran buat kita semua...

Sunday, January 01, 2012

Hits dan Carian 'Keywords'

Assalamualaikum...

2011 dah berakhir. Tirainya dah dilabuhkan semalam. Hari ni bermula hari baru (just another day) bagi Taqwim Masihi. Sepatutnya sambutan Tahun Baru Masihi tidaklah semeriah Tahun Baru Hijri. Ada yang menetapkan KPI azam mereka berpandukan Tahun Hijri, malah ada juga yang meletakkan KPI azam mereka atas sandaran Tahun Masihi.

Sebentar tadi, saya menyemak analisis pengunjung blog Kalam Murabbi. Pengunjungnya semakin bertambah sejak saya mula mengemaskini beberapa maklumat dan entry berkaitan KSSR, RPT dan sebagainya. Hampir beberapa bulan blog ini tiada isi. Sementara 'mood' mengemaskini blog ini ada, saya akan cuba berkongsi input yang berguna, InsyaAllah...

Harapan saya, agar entry2 tersebut dapat membantu pengunjung yang singgah walau seketika cuma.

Dibawah ini saya sertakan beberapa analisis sehingga 25 Disember 2011:

Stat Hits sepanjang bulan Disember 2011

Peratusan pengunjung sepanjang bulan Disember 2011
Keywords untuk hari ini (1 Januari 2012)

Daripada keywords atau kata kunci yang dicari untuk sampai ke blog Kalam Murabbi, majoriti pengunjung mencari bahan berkaitan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan RPH. PRT Pend Islam KSSR Tahun 2 pastinya menjadi 'buruan' kerana sesi persekolahan 2012 akan bermula beberapa hari sahaja lagi.


Keywords sepanjang minggu ini

Sepanjang minggu ini juga, bahan-bahan pengajaran j-QAF dan KSSR menjadi tumpuan pengunjung. Selain itu, contoh Kajian Tindakan turut dijadikan kata kunci yang paling diminati. Namun, ada juga yang menjadikan "BEST KE JADI GURU j-QAF" sebagai keywords mereka. Harapnya, bila dah berkunjung ke sini, akan ada rasa minat itu, InsyaAllah...

Keywords 2 minggu terakhir bulan Disember


Apabila saya melihat analisa keywods 2 minggu lepas, saya tersenyum sendiri kerana ada pengunjung ke blog ini dengan menaip nama sahabat saya yang semakin terkenal sebagai penceramah di radio dan televisyen, USTAZ AHMAD HUSNI ABD RAHMAN. Rata-rata teruja dengan perubahan fizikal Ustaz Husni yang telah kurus sejak beberapa bulan yang lalu. Sehingga ada yang mencari kata kunci ' Ustaz Husni Abd Rahman dah kurus', Ustaz Husni abd rahman kurus', dan 'ustaz husni kurus'. Pastinya sedang menjadi idola kepada yang ingin mengikut jejak langkah beliau. Mabruk syeikh Husni...

Keywords sepanjang bulan Disember

Dan terakhir, ini adalah keywords sepanjang bulan Disember. Pelabagai kata kunci yang dicari untuk sampai ke blog ini. Hatta yang menaip 'stor sukan' pun ada. Yang pasti, berdasarkan hits yang terbanyak ialah carian berkaitan Kajian Tindakan Pendidikan Islam yang telah saya muatkan dalam entry pada tahun 2009 sewaktu berada di SK Telok Menegon dulu.

Apa pun, sekalung penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada semua sahabat dan pengunjung yang sudi singgah di blog ini. Semoga ia dapat membantu anda mencari bahan yang dihajati. Salam ukhuwwah dari saya, mohon maaf atas kekurangan yang terdapat dalam blog ini. Moga Tahun 1433H dan 2012M ini akan memberi sinar kebahagiaan kepada kita semua...

Wassalam.

(Mode: Tension duk study untuk exam 3hb Januari nanti... ambil peluang up-dated blog dengan entry Tahun Baru 2012... doakan saya dan sahabat yang lain dalam exam sem 2 nanti yer ;) ... Syukran)

Popular Posts