Salam...
Entahlah, tiada tajuk lain yang terlintas untuk entri ini. Itu sahaja yang terlintas. Kenapa?
Hari ini, nikmat melihat saya tidak sesempurna insan yang lain. Terpaksa mengecilkan anak mata untuk memandang objek yang jauh.
"Kenapa pulak tu? Mana pergi cermin mata?" tanya seorang rakan.
Sedih sebenarnya, sebab perkara itu tidak mungkin terjadi kalau kita berhati-hati, beringat.
Tengah hari tadi, sesudah menjemput isteri dari klinik untuk pemeriksaan kandungan, saya merebahkan diri di hadapan tivi yang terletak di suatu sudut di dapur yang luas itu. Alhamdulillah tekanan darah isteri sudah naik,
"Dah naik 10.1 mg. Dah tak perlu ke klinik klang lagi, klinik kg jawa je lepas ni," ujar isteri kelegaan.
Kerana, klinik kg. jawa lebih dekat berbanding klinik ibu dan anak di klang yang juga sentiasa ramai dengan ibu-ibu yang lain-lama pula menunggu- di sana.
Sedang berehat, saya lupa menanggalkan cermin mata, seperti rutin. Biarkan ia melekat walaupun mata agak keletihan minta direhatkan.
"Kalau anak-anak datang 'terkam', mau patah cermin ni," bisik saya.
Saya masih bermalas-malas untuk bangun dan meletakkan cermin mata di tempat yang tinggi.
Anak-anak ligat bermain. Kejar mengejar, usik mengusik. Saya tidak betah melayan karenah mereka. Saya mahu rehat sekejap sebelum bersiap ke sekolah, sebentar lagi.
Tanpa diduga, anak sulung meluru laju ke arah saya sambil buku ditangan. Mungkin kerana tidak sempat membrek, buku yang dipegang tersentap ke muka saya.
MasyaAllah!!! Patah?
Apa yang dijangka, terjadi juga. Saya kaget. Masih terkejut. Tiba-tiba ingatan tertumpa pada surat cinta dari Polis Trafik yang masih belum terlunas.
Ya Allah... duit lagi. Saya mengeluh sendirian. Saya mengurung diri di dalam bilik seketika menenangkan diri. Tidak sanggup memarahi si abang kerana dia tidak sengaja, budak pulak tu!
Tiada perkataan dapat ditutur sepanjang saya bersiap ke sekolah. Masih tergamam. Bagaimana bisa untuk memandu ke sekolah dalam keadaan bermata dua, tidak bereempat lagi.
Saya cuba menyelongkar mencari cermin mata lama di dalam laci, mungkin masih boleh diguna sementara memandu ke sekolah. Bukaan yang terlalu besar, menyebabkan cermin mata lama itu sering menggelonsor ke bawah, agak tidak selesa.
Biarlah. Mungkin ini ujian buat saya. Duit boleh dicari, kan? Biar sesusah mana pun, untuk meneruskan hidup, insyaAllah ada la tu.
Saya terpaksa melihat dengan 'dua mata' sehingga ke kedai optometris malam ni atau pagi esok. Tapi esok cuti Hari Pekerja. Nak tak nak kena tunggu sampai hari Isnin la. Tak mengapa la... apa nak buat...
Nikmat bermata empat... hanya kami yang berkenaan sahaja yang mengerti...